Selasa, Januari 21, 2014

Wisma Putra nafi dakwaan Penasihat PKR?


Wisma Putra menafikan dakwaan terlibat dalam 'komplot' dengan pihak berkuasa Jepun bagi melarang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memasuki negara tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sebaliknya larangan itu dikuatkuasakan oleh kerajaan Jepun di bawah Perkara 5 (iv), Akta Pengiktirafan Pelarian dan Kawalan Imigresen.

Jelasnya, larangan menurut akta berkenaan mengambil kira sesiapa yang disabitkan atas suatu pelanggaran mana-mana undang-undang atau peraturan Jepun, atau mana-mana negara lain, dan telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun atau lebih, atau suatu penalti yang setara.

"Ketua Pembangkang itu dilarang memasuki Jepun kerana beliau dianggap 'tidak diingini' oleh pihak berkuasa imigresen di sana. Setiap negara mempunyai kedaulatan undang-undang dan hak untuk menafikan sesiapa untuk memasuki negaranya.

"Dalam kes ini, Anwar tiada kewajipan untuk menjelaskan mengapa pihak berkuasa Jepun membuat penegasan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang menuding jari kepada kerajaan dengan mendakwa larangan itu dikuatkuasakan kononnya selepas pihak berkuasa Jepun mendapat aduan terbaharu mengenai beliau daripada Wisma Putra.


Dalam kejadian semalam, Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun melarang Anwar daripada memasuki negara itu selain meminta beliau pulang semula ke Malaysia.

Anifah memberitahu, dakwaan yang mengaitkan Wisma Putra terlibat dalam larangan itu atau pihaknya memiliki 'kuasa' untuk mempengaruhi negara luar ialah sesuatu yang tidak masuk akal.

"Kami tiada kaitan dengannya," tegas beliau.

Anifah turut menafikan dakwaan Anwar yang mengaitkan larangan itu berdasarkan kepada suatu 'laporan' yang kononnya diserahkan oleh kerajaan kepada Jepun.

"Saya tidak pernah mengemukakan sebarang laporan mengenai Anwar kepada Jepun. Atas dasar apa perlunya kita mengemukakan sebarang perkara berkaitan Anwar bagi menghalangnya memasuki mana-mana negara," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Wisma Putra telah menghubungi pihak berkuasa Jepun bagi mendapatkan pengesahan lanjut mengenainya memandangkan perkara itu melibatkan rakyat Malaysia.

"Tidak kira mereka dari pihak kerajaan atau pembangkang atau sesiapa pun, bagi kami, Anwar ialah seorang warganegara Malaysia," tambahnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: