Jumaat, Januari 17, 2014

Sandiwara gugurkan Azmin: Siapa betul? PKNS atau Khalid bercanggah!


Siapa berbohong? Itulah persoalan yang timbul apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengesahkan penamatan jawatan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.

Kenyataan PKNS itu ternyata bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mendakwa keputusan pengguguran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan dibuat kerajaan negeri, sebaliknya oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd. Sidek berkata, kuasa melantik Ahli Lembaga Pengarah adalah di tangan MMKN yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid dan bukan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

"Merujuk kepada isu jawatan Azmin sebagai ahli perbadanan PKNS yang dilaporkan di media, PKNS ingin mengesahkan bahawa kami telah mengutus surat bertarikh 8 Januari 2014 kepada Azmin bagi memaklumkan tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan MMKN pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.

"PKNS juga memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan MMKN dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Semalam, Abdul Khalid menafikan pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS mempunyai kaitan dengan pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.

Beliau berkata, pengguguran Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa daripada jawatan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan politik selain mendakwa kerajaan negeri pada peringkat awal tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Ini kerana katanya, keputusan tersebut bukan dibuat oleh kerajaan negeri sebaliknya dibuat oleh Othman dan kerajaan negeri menerima keputusan pengguguran Azmin selepas itu.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan mengakui tidak lagi berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS menerusi satu surat yang diterima pada 10 Januari lalu.

Walau bagaimanapun, pengguguran Azmin itu dilihat mencetuskan rasa tidak puas hati pemimpin PKR Selangor apabila Setiausahanya, Amirudin Shari menerusi laporan sebuah portal berita menuntut penjelasan daripada Abdul Khalid mengenai perkara itu.

Menurut Amirudin, pengguguran Azmin dibuat tanpa memaklumkan kepada mereka walaupun kongres tahunan parti pada Oktober lalu memutuskan semua pelantikan politik termasuk penggantian dan pengguguran perlu mendapat sokongan parti.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: