Ahad, Januari 26, 2014

Belajar daripada kisah 'Bangau oh bangau'?


Tidaklah mengejutkan apabila pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari meluahkan perasaannya baru-baru ini. Beliau musykil tentang kesungguhan Pas melaksanakan hudud apabila peluang itu berulang kali ada di depan mata.

Dalam luahannya kepada sebuah portal berita awal bulan ini, pensyarah undang-undang yang bertukar kerjaya menjadi ahli politik itu seperti kecewa kerana hujahnya bahawa hudud boleh dilaksanakan di Kelantan sudah tidak diendahkan. Pendapatnya tentang hudud tidak lagi popular sedangkan sebelum ini beliau diangkat sebagai wira hudud Pas.

Kini tiada siapa lagi yang mahu memperkatakan tentang hudud. Keadaan sudah terbalik 180 darjah, Sudah lama tidak kedengaran soal hudud daripada mulut orang Pas bahkan pimpinan mereka seperti mengunci mulut apabila berhadapan dengan soal ini.

Pas seperti terpukul apabila mufti, ulama dan pakar undang-undang menyatakan hudud boleh dilaksanakan tanpa perlu kuasa Kerajaan Persekutuan. Pada masa sama, Pas seperti tidak bermaya apabila parti sekutunya menentang pelaksanaan hukum hudud. Pas jadi kerdil apabila berhadapan dengan tuntutan melaksanakan hudud. Pas tiba-tiba seperti tidak tahu apa-apa tentang hudud.



Setelah Kerajaan Persekutuan tidak boleh lagi dipersalahkan, mereka kini menggunakan bermacam helah. Selepas satu jawatankuasa, satu jawatankuasa lain ditubuhkan untuk 'membeli masa' daripada melaksanakan hudud.

Rupa-rupanya mereka hanya pandai bercakap dan berhujah. Tiada satu pun yang bermanfaat besar kepada rakyat boleh dibanggakan telah dilaksanakan. Apabila gagal membangun negeri, mereka salahkan Kerajaan Pusat. Apabila gagal bina lebuh raya, sekali lagi orang lain juga yang disalahkan.

Pas sekali lagi menunjukkan kelemahan melakukan perubahan dan pembaharuan. Kelebihan mereka rupa-rupanya hanya mahir mengikut arus, menurut sahaja telunjuk DAP dan PKR. Bagaimanakah mereka mampu mentadbir negara yang masalahnya lebih kompleks jika hal-hal asas seperti ini pun gagal dilaksanakan?

Pas nampaknya tidak lebih seperti kisah 'Bangau oh bangau'. Pas menjadi reaktif apabila berhadapan dengan masalah dan kerumitan. Bangau yang kurus menyalahkan ikan kerana tak timbul dan ikan pula menyalahkan rumput yang panjang.

Begitulah Pas yang terus menyalahkan Kerajaan Pusat. Pas terbukti gagal menggunakan pengaruh dan kuasanya. Yang mereka hebohkan kuasa Pusat yang bukan dalam lingkungannya sedangkan pengaruh dan kuasa di tangan sendiri tidak dimanfaatkan dengan baik. Pas dilihat parti yang dicorakkan bukan mencorakkan.

Kisah 'Bangau oh bangau' juga berlaku di Selangor. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat cepat-cepat menyalahkan penjawat awam dalam kes penyingkiran Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Azmin Ali.


Belum pun hujung dan pangkal masalah diketahui, Pengurus Besar PKNS , Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif Kerja, Norita Mohd.Sidek ditukarkan serta-merta. Mengapakah beliau tidak mengambil tanggungjawab kolektif dengan meminta maaf jika berlaku kesilapan teknikal atau berlaku salah faham dalam kes penyingkiran Azmin itu?

Tindakan terburu-buru Abdul Khalid itu seperti mahu memberi gambaran seolah-olah pemimpin PKR begitu kemaruk jawatan dalam kerajaan. Kedudukan Azmin yang memegang jawatan kanan dalam parti seperti tidak boleh diusik. Sesiapa yang berani mengganggu pemimpin ini walaupun tidak disengajakan bakal menerima padah.

Sebagai ketua eksekutif, Abdul Khalid sepatutnya mengambil sikap bertanggungjawab untuk menanggung apa jua kelemahan pentadbiran beliau, bukan mengambil langkah mudah menuding kesilapan kepada pihak lain.

Tambah pelik apabila Abdul Khalid sanggup menggunakan kuasanya mendedahkan dokumen sulit untuk memberikan gambaran beliau tidak terlibat dalam isu penyingkiran Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

Tetapi mungkin sudah begitu resam pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang. Mereka lebih suka bermain mengikut rentak 'Bangau oh bangau'.

Masalah yang selalu dihadapi ialah kita sering gagal menggunakan kuasa dan pengaruh yang berada dalam kawalan kita. Kuasa dan pengaruh walaupun dianggap kecil tetapi jika digunakan dengan bijaksana boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Seperti kata-kata orang bijak pandai, yakini apa yang dilakukan. Ada kuasa, gunalah kuasa itu dengan bijaksana. Ada kekuatan, gunalah dengan penuh berhemah. Ada pengaruh dan wibawa, gunalah dengan penuh waspada. - UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: