Rabu, Jun 05, 2013

SOSMA banteras anarkis!


Sesetengah orang ramai masih menghadiri perhimpunan anjuran penyokong pembangkang kerana tindakan benar-benar tegas belum dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Negara kita sekarang merasa bahang keceluparan sekumpulan manusia yang kecewa. Cita-cita besar mereka menawan Putrajaya bukan baharu. Lima tahun lalu, sewaktu kita semua bersiap sedia menghadapi PRU-12 (pada 8 Mac 2008), pemimpin kumpulan ini sejak awal lagi sudah mendakwa mereka pasti berjaya.

Malang bagi mereka, yang dimpikan itu tidak menjadi kenyataan. Pun begitu, mereka telah menawan tiga negeri - Selangor, Pulau Pinang, Kedah, sambil sekutunya kekal memerintah di Kelantan. Tapi kejayaan yang terhad ini nampaknya masih tidak mampu memuaskan nafsu besar mereka.

Lalu gendang perang terus dipalu. Macam dulu, mereka terus mendakwa pada PRU-13, mereka akan menang. Ceramah dan kempen disusun dan dilakukan pada setiap masa dan banyak tempat. Askar dan hulubalang maya mereka (kini dipanggil Askar Kacang Merah) digerakkan menguasai ruang siber, menyebarkan fitnah dan dakyah. Pembohongan diadun bersama fakta terpilih, hingga rakyat sukar mengenal pasti mana yang betul dan mana yang palsu.

Begitu berkesan sekali serangan mereka di ruang maya, hingga slogan 'Ubah' serta slogan lain menjadi ucapan biasa segolongan remaja yang sudah terpesona dengan janji ketua mereka - bahawa mereka akan menang pada kali ini.


Ramai sekali pakar pembuat cerita (digelar Spin Doctors) muncul, meyakinkan rakyat bahawa parti mereka pasti menang. Andainya mereka kalah (pada mereka mustahil akan berlaku), pastinya itu disebabkan "penipuan SPR dan kerja jahat BN".

Mereka ditakdirkan kalah lagi pada PRU-13. Lalu satu 'sebab' yang baru mesti dicari dan dijelmakan sebagai fakta sebenar, yang tidak boleh ditolak lagi. Maka timbullah konsep 'undi popular,' serta dakwaan yang amat menarik bahawa "Mereka sebenarnya telah mendapat undi majoriti daripada pemilih - justeru merekalah yang berhak menguasai Putrajaya".

Mereka sengaja lupa (atau buat-buat lupa) bahawa semenjak belum merdeka lagi (kali pertama pilihan raya diadakan adalah pada tahun 1955, sewaktu saya berada di Tingkatan 3, Sekolah Tinggi Muar) kita tidak pernah mengamalkan sistem undi popular, tetapi majoriti kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding.

Anehnya mereka tidak pula menolak sistem kerusi majorit ini bagi keputusan pilihan raya di tiga negeri yang mereka kekal memerintah - Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, tapi tetap menolak keputusan BN menang 133 kerusi Parlimen.

Manusia jenis apa macam ini? Tolak keputusan peringkat pusat, tetapi terima keputusan di peringkat negeri, pada hal undi itu datang daripada pengundi (pemilih) yang sama.


Untuk mengekalkan momentum, agar mereka tidak dilupakan oleh penyokong serta pengundi yang telah tertipu dengan janji-janji kemenangan mereka, perlu dicari pelan baru bagaimana matlamat mereka merampas Putrajaya masih boleh dicapai. Lalu timbullah pula slogan baru "Daripada pilihan raya ke jalan raya".

Sementara rakyat jelata dihasut dan dipujuk untuk turun ke jalan raya (barangkali ala Bersih 1, 2 dan 3 yang lalu) yang pastinya akan mengambil masa, perlu diadakan program selingan untuk terus menarik minat dan perhatian penyokong.

Lalu diatur dan dilakonkan Silent Walk remaja berbaju hitam, disusuli perhimpunan besar-besaran di merata tempat dengan jenama baru Black 505, di mana cerita karut-marut yang lama itu dikitar semula dan didendangkan.

Setakat mereka berhimpun dan berucap sahaja, rasanya pihak PDRM boleh menanganinya dengan baik dan adil di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012. Pada masa ini, pertuduhan telah pun dibuat di bawah Akta ini terhadap beberapa individu tertentu yang menganjurkan perhimpunan Black 505 itu.

Tetapi bagaimana halnya jika protes jalan raya yang mereka hendak jalankan itu mencetuskan huru-hara? Pada masa ini pun sudah kedengaran individu tertentu menyatakan secara lantang "Kerajaan BN mesti digulingkan dengan menggunakan 'kuasa rakyat' (people power)."


Pada hemat saya, orang yang mengeluarkan kata-kata sedemikian itu bukan lagi aktivis. Mereka sudah menjadi anarkis.

Akta 747 atau nama penuhnya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (dalam bahasa Inggeris bernama Security Offences (Special Measures) Act atau ringkasnya SOSMA) perlu kita lihat semula untuk mengetahui sama ada ia mampu membanteras kemunculan anasir anarkis di negara ini.

SOSMA adalah undang-undang Parlimen yang diluluskan di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, bertujuan menangani "kesalahan keselamatan". Ia menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act, ringkasnya ISA) 1960.

SOSMA perlu dibaca bersama dengan Kanun Keseksaan (Penal Code), khususnya Bab VI (seksyen 121 hingga 130A) dan Bab VIA (seksyen 130B hingga 130T). Ringkasnya Bab VI Kanun Keseksaan menghuraikan kesalahan terhadap negara (offences against the State), manakala Bab VIA menghuraikan kesalahan berhubung keganasan (offences relating to terrorism).


Dalam bahasa mudah, boleh kita simpulkan bahawa perbuatan menggulingkan kerajaan yang sah menerusi protes jalanan atau 'kuasa rakyat', bukan menerusi proses pilihan raya adalah termasuk dalam erti kata 'kesalahan keselamatan' yang termaktub dalam SOSMA.

Andainya seorang individu itu disyaki terlibat melakukan atau cuba melakukan kesalahan keselamatan yang dimaksudkan dalam SOSMA (dibaca bersama Kanun Keseksaan) ini, dia boleh ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai polis - seksyen 4(1).

Sebaik-baik sahaja dia ditangkap, individu itu mesti dimaklumkan kenapa dia ditangkap - seksyen 4(2). Orang itu tidak boleh ditangkap disebabkan kepercayaan atau aktiviti politiknya - seksyen 4(3). Selepas ditangkap orang itu boleh ditahan bagi maksud siasatan, tetapi tidak melebihi 28 hari, dengan syarat penahanan bagi tempoh hampir sebulan itu hanya boleh diberi oleh pegawai berpangkat Superintendent Polis atau lebih tinggi daripada itu - seksyen 4(5).

Jika pihak polis berpendapat orang itu tidak perlu ditahan selama tempoh 28 hari itu, polis boleh melepaskan orang itu pada bila-bila masa tetapi dia akan dikenakan peranti pemantauan letronik bagi memastikan pergerakannya - seksyen 4(6).


Untuk mendapatkan alat letronik dipasang pada tubuh badan orang itu, pihak polis terpaksa terlebih dahulu menghantar laporan siasatan mereka kepada Pendakwa Raya - seksyen 4(7). Sebaik-baik sahaja menerima laporan siasatan polis itu, Pendakwa Raya boleh memohon perintah Mahkamah supaya peranti letronik itu dipakai oleh individu tersebut bagi satu tempoh tidak melebihi 28 hari - seksyen 4(8).

Prosedur pemasangan peranti letronik itu dihuraikan dalam seksyen 7. Mahkamah dikehendaki menjelaskan kepada individu berkenaan terma dan syarat pemakaian peranti itu. Andainya orang itu gagal atau ingkar mematuhi terma dan syarat yang dikenakan, dia melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun - seksyen 7(6).

Andainya individu berkenaan merosakkan atau menjahanamkan alat letronik berkenaan, itu juga adalah satu kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun, selain terpaksa membayar ganti rugi kerana kerosakan atau kemusnahan alat berkenaan - seksyen 7(7).

Di akhir tempoh pemasangan alat itu, orang itu hendaklah menghadirkan dirinya di balai polis yang terdekat supaya alat itu boleh dilucutkan daripadanya - seksyen 7(8).


Semua kes kesalahan keselamatan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi - seksyen 12. Apabila seorang itu dituduh melakukan kesalahan keselamatan, dia tidak boleh dilepaskan dengan jamin (bail), kecuali dalam kes-kes tertentu andainya dia berusia kurang daripada 18 tahun, seorang wanita atau seorang yang uzur - seksyen 13. Dalam keadaan sedemikian, alat letronik akan dipasang padanya sekiranya ada permohonan daripada Pendakwa Raya.

Setakat yang diketahui pada masa ini, prosedur di atas belum lagi dilaksanakan pada mana-mana orang tertuduh. Keberkesanan SOSMA juga belum diuji sepenuhnya pada masa ini.

Sama-sama kita tunggu dan lihat sama ada protes jalanan yang disebut-sebutkan oleh elemen anarkis itu akan berlaku. Andainya apa yang kita khuatiri ini benar berlaku, kita tunggulah pula apa tindakan yang akan dijalankan oleh pihak polis.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang baru telah pun menyatakan beliau serahkan semua tindakan membanteras elemen anarkis ini kepada kebijaksanaan PDRM.-UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

BnTube berkata...

Assalamualaikum

Senaraikan produk muslim yang anda tahu atau produk anda sendiri untuk dijual di direktori laman web www.produkmuslim.info

Segala penyertaan anda amat dihargai

Terima kasih