Ahad, Jun 16, 2013

'Kenapa DAP singkir saya?'- Jenice Lee.


Kelantangan bercakap dan enggan mengikut telunjuk sesiapa dengan menolak amalan 'gosok kasut' golongan 'tokong' mungkin antara punca mengapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai dari DAP, Ying Lee Ha atau lebih dikenali sebagai Jenice Lee tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Ini sehingga memaksa dirinya berdepan dengan pelbagai kemelut dan drama.

Jenice mendakwa, 'kumpulan tokong' itu sangat berkuasa sehingga tidak ada sesiapa yang boleh melawan mereka. Andai sesiapa bertindak berdepan dengan mereka, maka hayat mereka akan habis di situ sahaja. Bukan sahaja ahli-ahli akar umbi menghambakan diri mereka kepada kumpulan itu, bahkan hampir semua penyokong. Mereka juga tidak sedar akan krisis dalaman DAP.

Dan 'Dinasti Lim' itu sendiri umpama 'Tuhan'.

Mungkin di mata kasar, Jenice dianggap pengkhianat oleh DAP kerana bertindak bertanding tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Namun hakikatnya, sifat bersih dan lurus bendul yang dipertahankan beliau menyebabkan dirinya ditendang keluar parti.

Jenice mendedahkan kepada penulis baru-baru ini bagaimana sikapnya yang begitu mengikut prinsip parti yang selama ini menjadi slogan retorik DAP sebagai punca dirinya tidak disukai.

Malah 'sekumpulan' pemimpin tertinggi itu bertindak merancang secara berbulan-bulan untuk 'menghapuskan' beliau terus dari kawasan Teratai.

Dan pada saat-saat akhir pula sebelum PRU, beliau dipalitkan dengan tuduhan yang langsung tidak masuk akal kononnya pembantunya terlibat dengan penyelewengan wang. Dia kemudian dipanggil, disoal siasat dan kemudian digantung keahlian tanpa Jenice sendiri mengetahuinya.

Jenice juga sering digelar sebagai 'syaitan' oleh kumpulan pemimpin ini kerana terlalu menyusahkan segelintir mereka dalam DAP.

Juga beliau beberapa kali diberi amaran kerana dipercayai menyokong kem Rainbow yang diketuai Datuk Theng Chang Kim di Selangor. Namun jika mahu dirinya selamat, beliau dinasihatkan untuk menyokong kem United yang didakwa diketuai oleh Tony Pua dan Teresa Kok.

Apabila kem Rainbow menang besar, Jenice antara yang menerima kecaman. Walaupun beliau merupakan anak didik kepada kumpulan yang menyokong kem United, namun prinsip ketelusan yang diajar kepadanya menjadi pegangan.

Walaupun menjadi ADUN, beliau tidak pernah sesekali berminat dengan mana-mana projek atau mengambil 'sesuatu' daripada pihak pemaju seperti segelintir ahli majlis di kawasannya. Ini sehinggakan pegawai di Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengagumi prinsip beliau. Sikap ini pula menyusahkan sekumpulan ahli majlis lain.


"Ada beberapa orang ahli majlis pernah membuat aduan tentang saya kepada parti. Soalnya, adakah salah untuk berpegang kepada prinsip ketelusan? Salah kerana mahu bersih? Saya dipilih oleh rakyat kerana mempercayai saya namun saya rasa sikap saya ini menyusahkan sesetengah pemimpin dalam DAP," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.


Tambah Jenice, beliau sendiri pernah beberapa kali bertemu dengan Pengerusi Disiplin DAP, Tan Kok Wai untuk membuat aduan tentang ahli majlis yang cuba menyeleweng wang rakyat untuk kepentingan mereka. Namun aduan beliau dipandang 'serong' serta dianggap ADUN trouble maker.

Dakwa beliau, sebelum beberapa bulan menjelang PRU lepas, iaitu bermula Oktober, beberapa mesyuarat 'rahsia' yang dihadiri oleh seorang pemimpin DAP bersama beberapa ahli majlis telah membincang serta merancang strategi untuk menjatuhkan beliau sekali gus mengeluarkan dirinya dari Teratai dan Selangor.

Melalui mesyuarat itu yang berlangsung hampir empat bulan, mereka berjaya menggunakan pelbagai taktik seperti memujuk Persatuan Penjaja dan Persatuan Penduduk untuk membuat aduan secara bertulis kepada ibu pejabat DAP selain membuat demonstrasi kononnya beliau telah gagal dalam menunaikan tanggungjawab beliau.

Ironinya, kumpulan ini kemudian akan bertindak menyalahkan MCA dan Barisan Nasional sebagai dalang mengadakan demonstrasi menentangnya.

Kadang-kala dalam mesyuarat atau ceramah dan makan malam bersama penduduk Teratai, satu dua pemimpin DAP akan tampil membuat kenyataan secara terbuka bahawa Jenice mungkin akan digugurkan kerana tidak mencapai standard DAP sebagai ADUN. Jenice mengakui beliau sendiri pernah terdengar kenyataan seumpama itu.

Namun demikian, kumpulan itu tidak berjaya merosakkan nama beliau seperti yang dirancang kerana sokongan terhadap dirinya masih kukuh berikutan sifat telus dan rajin beliau. Tidak akan ada sesiapa di Teratai yang tidak mengenalinya kerana beliau juga 'YB' yang mula bekerja seawal 6 pagi sehingga tengah malam setiap hari. Kadang kala terlajak ke subuh andai terdapat mesyuarat.

Kumpulan ini kemudian mula menggunakan cara lain, dengan menyebar khabar angin kepada pihak media khususnya media Cina bermula Mac tahun ini. Ujian terakhir beliau sebelum PRU-13 adalah walaupun rata-rata mereka yang dicalonkan telah dimaklumkan dari awal akan bertanding,

Namun bagi kerusi DUN Teratai, sehari sebelum penamaan calon, baharulah Setiausaha Agung, Lim Guan Eng mahu membuat pengumuman bahawa Jenice digugurkan bersama beberapa ADUN lain termasuk Ronnie Liu dan M.Manoharan.

"Saya beberapa kali cuba bercakap dengan Guan Eng dan Lim Kit Siang sebelum itu kerana masalah-masalah yang dihadapi disebabkan kumpulan ini namun tidak pula dilayan. Pengerusi DAP, Karpal Singh juga tidak mempunyai masa untuk saya.

"Bagaimana pemimpin-pemimpin yang saya sanjung tinggi ini enggan mendengar saya, bagaimana mereka boleh menjatuhkan hukuman tanpa mendengar penjelasan saya?


"Lupakah mereka saya adalah antara ahli yang telah bekerja dari bawah, saya bertungkus lumus demi parti yang saya sayangi ini? Saya kerja siang malam sebelum kejayaan besar pada PRU-12 lalu, saya pernah ditangkap kerana sering turun ke jalanan.

''Saya pernah diherdik, dikutuk, hilang kawan, khabar -khabar angin juga disebar untuk memalukan keluarga saya dan macam-macam lagi namun semuanya seolah-olah sudah di lupai," ujarnya dengan linangan airmata.

Menurut Jenice, beliau pernah meminta penjelasan daripada pemimpin DAP Selangor apabila kepimpinan tertinggi enggan melayan namun jawapan mereka juga mengecewakan.

"Antaranya, mereka kata saya tidak popular selain dibenci dalam kalangan penduduk Teratai. Tetapi yang peliknya survey Merdeka Centre yang dibuat pada awal tahun ini menunjukkan saya lebih popular di Teratai berbanding bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat. Kemudian mereka memberi alasan lagi, akar umbi tidak menyokong saya lagi, walhal sembilan cawangan tampil menyokong saya sehingga ada yang dipecat baru-baru ini.

"Mereka juga memberi alasan saya tidak mempunyai hubungan baik dengan ahli DAP lain di Selangor malah tidak langsung disukai oleh mereka. Tetapi jika sedemikian, mengapa pula pada pemilihan parti saya mendapat undi tertinggi? Alasan yang sungguh 'bodoh' oleh mereka sebenarnya demi menghapuskan saya selamanya,"katanya.

Jelas Jenice, beliau hanya bertanding sebagai calon bebas bukan dengan niat menghancurkan DAP tetapi kerana mahu menegakkan keadilan. Ini kerana penyandang ketika ini, Tiew Way Keng juga pernah didakwa dengan penyelewengan ketika beliau masih menjadi Ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

"Atas kapasiti apa dia dipilih? Dia tidak pernah berbuat apa-apa di Teratai. Bagaimana kes yang terpalit pada dirinya? Bagaimana DAP boleh memilihnya sedangkan dengan saya dituduh mempunyai masalah moral sehingga tidak layak menjadi calon?

"Guan Eng, Kit Siang dan Karpal pernah meminta saya menarik diri di hadapan media, bukan berjumpa dengan saya sendiri. Saya sebenarnya telah dilayan dengan cara paling hina, saya adalah ahli DAP yang setia tetapi hanya kerana sekumpulan pemimpin yang sangat pentingkan diri, saya jadi begini.

"Sekiranya mereka fikir saya akan putus asa, mereka silap. Saya membuat keputusan untuk mencabar keputusan DAP di mahkamah. Saya tidak mahu prinsip yang didukung oleh parti selama ini diperkotak-katikkan oleh kumpulan ini sesuka hati, saya ulang sekali lagi. Saya sayang parti saya dan masa depan dalam parti ini, saya akan kembali kepada DAP tidak lama lagi," ujarnya.

Sebelum ini, Jenice telah memfailkan tuntutan kes pemecatannya sebagai ahli DAP ke mahkamah berikutan kegagalan pemimpin tertinggi DAP yang menerajui barisan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) termasuk Guan Eng menghantar surat rasmi dan membuktikan beliau layak dipecat.

Kata beliau, pemecatannya pada 20 April lalu juga tidak sah kerana kesemua jawatan dalam CEC termasuk yang dipegang Guan Eng tidak diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS) ekoran kemelut pemilihan jawatankuasa itu Disember lalu.- UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: