Jumaat, Jun 21, 2013

Adakah Anwar mewarisi jiwa 'memberontak dan menentang arus'?


Kemungkinan langkah memilih jalan politik secara confrontational oleh penyokong gerakan reformasi sebenarnya banyak, termasuk faktor karisma yang dimiliki Anwar sendiri serta political psyche yang telah sekian lama dikesan berada di dalam jiwanya.Psiki politik yang dimaksudkan ini ialah kecenderungan ke arah tindak-tanduk anti-establishment yang bersifat memberontak atau revolusioner serta mirip kepada falsafah machiavelli yang menegaskan tentang ‘the ends justifying the means’ atau ‘matlamat menghalalkan cara’.

Minda politik yang sama sekali off-tangen atau menyimpang dari budaya politik mainstream orang Melayu inilah yang dikaitkan dengan diri Anwar semasa memimpin pergerakan pelajar radikal tahun 1970an dan seterusnya ketika memimpin ABIM. Jelaslah kini bahawa selama ini budaya bantah serta berontak ini tetap kekal menjadi darah daging dalam diri Anwar Ibrahim walaupun telah hampir dua dekad lamanya memimpin UMNO sebelum ini ( sebelum dipecat )!

Andaian tentang pengekalan pemberontakkan jiwa di dalam nurani Anwar adalah didasarkan oleh perkembangan mutakhir yang membiaskan kerenahnya di dalam UMNO dan kerajaan serta tindak-tanduk setelah dipinggir dari arus perdana politik Melayu yang cuba ditungganginya itu.

Berdasarkan kata-kata serta tindak-tanduk yang diambilnya ekoran peminggiran dari arus perdana tersebut tidak syak lagi jiwa radikal dan pemberontak ini telah turut mengikuti kariernya di dalam UMNO dan kerajaan sehinggalah ketika hampir-hampir mencecah puncak kekuasaan di dalam parti dan kerajaan.


Rupa-rupanya selama ini lakonan status quo establishment begitu meyakinkan sekali sehingga dapat diterima oleh majoriti ahli parti lantas menggugat kedudukan mentor politiknya sendiri yakni Dr. Mahathir. Keberkesanan peri lakonan Anwar sepanjang penglibatannya selam 16 tahun di bawah asuhan Dr. Mahathir bersesuaian dengan arus politik perdana UMNO secara langsung membelenggu sebahagian besar ahli parti sehingga mampu melemahkan minda tradisi UMNO.

Mereka lupa tentang sejarah kelantangan suara anti-kerajaan ketika beliau berjuang melalui wadah ABIM dan secara langsung bersekongkol dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain serta parti-parti pembangkang seperti Pas.

Kelantangan suara anti-kerajaan ketika berada di dalam ABIM inilah yang akhirnya membuat beliau begitu disegani malah digeruni oleh kalangan pemimpin status quo pemerintahan di negara ini sehinggakan tidak salah jika dikatakan bahawa ABIM semasa di bawah kepimpinan beliau jauh berbeza dari segi landasan perjuangannya jika dibandingkan dengan ABIM ketika beliau berada di dalam status quo pemerintahan negara.

Ketika Anwar mengemudi pergerakan belia Islam itu dasar perjuangan pertubuhan sukarela belia ini banyak memperlihatkan cirri-ciri yang bersifat radikal serta revolusioner terutamanya dari segi pandangan tentang beberapa perkembangan politik semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.


Misalnya ekoran kejayaan revolusi Iran pada sekitar lewat 1970an menjatuhkan pemerintahan Shah Iran dan menggantikan dengan beberapa peringkat kerajaan revolusi interim yang masing-masingnya mengakui membawa pelbagai pemerintahan bercorak Islam tetapi pada dasarnya lebih bersifat revolutionary-socialist secular seperti kerajaan yang dikuasai oleh puak Mujahideen Khalq yang menyokong Presiden Abolhassan Bani Sadr.

Anwar yang ketika menerajui ABIM telah menjadikan badan pergerakan belia Islam itu antara yang paling lantang merayakan kejayaan tersebut. Bagaimanapun ekoran kejatuhan kerajaan Bani Sadr dan pemerintahan Iran dikuasai pula oleh Ulama tradisional maka kelantangan ABIM menyokong revolusi Islam Iran terus pudar dan akhirnya terus lenyap apabila Anwar mengambil keputusan pada tahun 1982 untuk menyertai kerajaan dan UMNO yang sebelum itu dianggap sebagai sebuah pemerintahan yang sekular bersifat asabiyah dan agak bercanggahan dengan prinsip politik Islam.

Setelah menyertai UMNO Anwar kelihatan begitu popular secara mendadak ibarat apa yang digelar sesetengah ahli akar umbi parti itu sebagai ‘pemimpin payung terjun’. Bagaimanapun bagi sesetengah kalangan ahli UMNO sifat Anwar yang anti-establishment dikatakan telah mencapai tahap lagenda. Perkara ini telah menjadi suatu stigma yang sukar untuk dikikis dari hati nurani sanubari mereka.

Dari pergaulan yang agak lama dengan kumpulan-kumpulan aktivis akar umbi UMNO, kesimpulannya perasaan kesangsian mereka terhadap kehadiran Anwar di dalam parti menjadi lebih tebal lagi sejak tokoh intelek Islam itu memegang jawatan Menteri Kewangan dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Pada peringkat ini Anwar dilihat sebagai berusaha mengukuhkan imejnya sebagai seorang democrat liberal yang berkecenderungan untuk mengimpot idea-idea tentang kebebasan, governance, ketelusan, akauntabiliti, hak asasi dan globalisasi – seperti yang dijaja oleh golongan cendekiawan, media dan teknokrat Barat. Apa yang paling disangsikan golongan akar umbi UMNO ini ialah tentang konsep kebebasan serta hak asasi yang cuba diketengahkan oleh Anwar melalui imej kepimpinannya yang baru itu.

Mereka sering tertanya-tanya persoalan-persoalan berikut; Adakah kebebasan yang dimaksudkan Anwar itu bermakna mana-mana individu atau puak boleh bertindak sesuka hati? Atau adakah kebebasan berkait rapat dengan undang-undang dan tanggungjawab?

Kita tidak dapat dinafikan bahawa satu dari ciri-ciri sejarah politik zaman moden ini ialah kebangkitan rakyat jelata bagi menuntut apa yang mereka anggap sebagai perubahan atau reformasi yang hak mereka tetapi dalam hal kebangkitan yang cuba dianjurkan oleh Anwar para penyokong serta mereka yang bersimpati terhadap perjuangannya yang penuh enigma lagi mengelirukan itu perlu mempersoal apakah sebenarnya hak yang hendak dituntut itu.

Adakah yang dituntut itu kebebasan dan kemerdekaan? Dan jika kebebasan seperti ini yang dituntut rasanya mereka yang menyokong perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri perlu merenung sejenak dan memikirkan pula tentang hakikat kebebasan yang telah kebanyakan kita nikmati sejak negara mencapai kemerdekaan dari penjajahan British.

Fikir dan renongkan lah!

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Mohd Islam berkata...

Assalamualaikum,

Iklankan barangan yang ingin dijual atau perniagaan anda di laman web www.produkmuslim.info

Terima kasih