Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Februari 21, 2012
Menghurai kata dua kepada Anwar!
Sebenarnya kata dua Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Anwar Ibrahim hasil rumusan Majlis Syura Pas menarik untuk diberikan ulasan.
Nik Aziz dalam kenyataannya mendesak Anwar membuat kenyataan terbuka menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman The Wall Street Journal (WSJ). Pendirian Majlis Syura Pas seperti yang disampaikan oleh Nik Aziz terkandung beberapa tafsiran dan kemungkinan.
Tafsiran pertama adalah kenyataan Anwar ada merit untuk dibincang. Ada merit bermakna kenyataan yang dikeluarkan itu adalah benar-benar berlaku. Ia bukan manipulasi pihak lain tanpa memahami konteksnya.
Kalau tidak Majlis Syura tidak akan membincangkan secara panjang lebar. Sekiranya kenyataan itu diada-adakan atau hasil manipulasi media tempatan tentunya Majlis Syura tidak menghabiskan masa untuk membincangkannya. Bila didapati kenyataan itu benar dikeluarkan oleh Anwar selayaknya Majlis Syura Pas menerusi kenyataan Nik Aziz meminta Anwar menyaman WSJ sekiranya kenyataan itu tidak benar.
Tafsiran kedua, Majlis Syura Pas sudah tentu ada maklumat, analisis dan kajian tersendiri mengenai isu ini tanpa lebih dahulu meminta pandangan dan ulasan Anwar . Kalau Anwar akhirnya dapat bertemu Nik Aziz memperjelaskan sudut pandangannya mengenai isu itu, merit Majlis Syura Pas akan jatuh. Majlis Syura tidak akan membuat kenyataan supaya Anwar menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman WSJ.
Sepatutnya dalam konteks Pakatan Rakyat isu itu dibincangkan secara bersama. Bila Majlis Syura membuat keputusan lebih awal bermakna ada pendirian bahawa kenyataan Anwar itu adalah benar dan kalau ia tidak benar Anwar harus saman WSJ. Kemungkinan pertama, Anwar tidak akan menjawabnya secara terbuka. Anwar akan menemui Nik Aziz untuk memperjelaskan keadaan. Sekiranya Nik Aziz menerima penjelasan Anwar sebagai wajar, ia memperlekeh kewibawaan Majlis Syura Pas.
Kemungkinan kedua, Majlis Syura Pas akan menolak penjelasan Anwar mengenai isu ini dan ia adalah sesuatu yang serius bagi hubungan Pas dan PKR apalagi Pakatan Rakyat. Isu mengenai Israel dan nasib umat Palestin adalah sesuatu yang menyentuh hati orang Pas kerana perjuangan Pas selama ini adalah menyokong umat Palestin dan menentang kehadiran Israel di bumi Palestin.
Kalau Pas bersetuju dengan pandangan Anwar bermakna hilang lagi agenda perjuangan parti itu terhadap isu keadilan dan kemanusiaan seperti hilangnya perjuangan negara Islam yang beralih kepada negara berkebajikan.
Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan keras tentang haramnya menyokong Israel. Haram menyokong Israel memberi implikasi sebarang kenyataan dari tokoh-tokoh Islam adalah haram.
Mengikut Pengerusi Pentadbiran Yayasan al Quds Malaysia , Nasharuddin Mat Isa, Ismail Haniyeh orang kuat perjuangan Palestin yang ditemuinya di Kuwait merasa amat kecewa dengan kenyataan Anwar itu. Sebelum itu, Dr. Azzam Tamimi orang kuat Ikhwan Muslimin di London menyatakan pendirian yang sama terhadap kenyataan Anwar berkenaan.
Isu ini tidak saja bersifat nasional, ia sudah bersifat antarabangsa. Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa tidak merujuk Utusan Malaysia atau apa-apa akhbar tempatan untuk mendapat sumber berita tetapi mereka mengambilnya dari WSJ kepunyaan Rupert Murdoch yang memang diketahui kecenderungannya terhadap perjuangan Yahudi.
Ia ditambah kenyataan The Jerusalem Post menerusi Michael Ordman (portal AIDC) menyambut baik sokongan Anwar terhadap keselamatan Israel. Pendirian Abdul Hadi sebagai Presiden Pas, kekecewaan Ismail Haniyeh terhadap kenyataan Anwar, keserahan Dr. Azzam seorang tokoh perjuangan Palestin yang banyak pengaruhnya di kalangan generasi gerakan Islam di Malaysia dan kenyataan memberangsangkan daripada Michael Ordman terkandung maksud yang terdedah dengan pelbagai tafsiran, tersurat dan tersirat.
Kenyataan Anwar itu bukan berlaku secara kebetulan. Kerajinan Anwar membuat kenyataan di media antarabangsa sudah tentu mempunyai tujuan tertentu. Dalam kenyataan di WSJ ia tidak terjadi secara tidak dirancang. Ada latar belakang yang cukup intim antara Anwar dan pihak-pihak asing yang menyebabkan kenyataan itu dibuat.
Suatu hal yang memang dipercayai ada di kalangan ahli Majlis Syura adalah pengetahuan mengenai keakraban Anwar sejak sekian lama menjalin hubungan dengan pihak-pihak asing di Amerika Syarikat (AS). Anwar sangat rapat dengan Paul Wolfowitz yang pernah menjawat Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan dikenali sebagai arkitek perang Afghanistan/ Iraq.
Anwar juga rapat dengan Shaha Ali Riza teman wanita Wolforwitz dan pernah menulis surat kepada Robin Cleveland iaitu Penasihat Undang-undang Wolfowitz di Bank Dunia pada 1 Oktober 2006 yang meminta agar Shaha Ali dipindahkan ke The Foundation For The Future di mana Anwar menjadi orang kuatnya suatu ketika dulu.
Anwar juga mempunyai hubungan dengan Martin Indyk bekas Duta AS ke Israel dan bekas Timbalan Pengarah Penyelidikan American Israel Public Affair Committee (AIPAC) suatu kumpulan pelobi pro Israel di AS.
Anwar juga rapat dengan James Wolfenshon, bekas Presiden Bank Dunia yang berasal dari keluarga Yahudi di England. Pada 2005, Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice melantik Wolfensohn dalam utusan khas di Gaza bagi membantu memperkuatkan kedudukan Israel.
Semasa menjadi Presiden Bank Dunia, James Wolfenshon melantik Anwar (ketika itu Menteri Kewangan Malaysia) sebagai ahli Committee International Finance Corporation, World Bank/IMF pada 1997. Pada 24 Julai 2008, Wolfensohn bersama dua tokoh Yahudi (Paul Martin dan Michel Camdessus) menggesa agar pertuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim digugurkan.
Anwar juga amat rapat dengan William Cohen berasal dari keluarga Yahudi di Rusia merupakan Setiausaha Pertahanan AS di bawah pentadbiran Bill Clinton. Cohen kemudian menjemput Anwar secara peribadi ke Pentagon, Virginia pada 16 April 1998. Pada 1999, Cohen mengecam Malaysia dan menggesa pertuduhan liwat ke atas Anwar digugurkan.
Banyak lagi maklumat seperti ini sudah tentu diketahui oleh Ahli Syura Pas. Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah. Sebab itu penulis percaya sudah tentu ada yang tidak kena dengan kenyataan Anwar suatu ketika di BBC dan sekarang di WSJ yang menyebabkan Majlis Syura bersidang dan menyebabkan keputusan terhadap Anwar diambil.
Keputusan yang diambil adalah sesuatu yang berani. Keberanian harus mampu diperteguh dengan bersikap terbuka terhadap isu-isu Anwar. Pas sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan cita-cita Islamiah sudah tentu titik akhirnya adalah menegakkan kebenaran dan keadilan.
Sekiranya ini menjadi matlamat perjuangan Pas isu kawan lama, rakan sepasukan tidak harus dijadikan sandaran mutlak tanpa soal jawab. Pas harus meletakkan Islam di tahap teratas dan meletakkan kepentingan kebenaran dan keadilan mengatasi muslihat politik.-UMO
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan