
Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?
Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.
Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.
Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.
Persepsi
Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.
Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.
Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi.
Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.
Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa.
Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum.
Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.

Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan