Isnin, Februari 27, 2012

Jangan beri ‘tempoh lanjutan’ kepada Pakatan Pembangkang lagi!


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, pakatan pembangkang tidak perlu diberi ‘tempoh lanjutan’ untuk terus memerintah Selangor yang menyaksikan banyak janjinya tidak tertunai malah membebankan rakyat dengan pelbagai masalah.

Perdana Menteri berkata, Selangor selama ini maju kerana dasar-dasar dan prasarana yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini, dan pihak pembangkang tidak boleh mendapatkan pujian terhadap hasil titik peluh BN itu.



“Kita akui mungkin kita ada buat sedikit sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat Selangor kalau ada apa-apa kesilapan.

“Dan kita berikrar daripada kesilapan itu, atas kesedaran itu, kita akan bangunkan satu kekuatan baru untuk mengubah landskap di Selangor supaya di bawah kepimpinan BN, kita akan menjurus kepada masa depan yang lebih baik lagi,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Selangor di di Terminal CIQS, Pelabuhan Klang hari ini.



Walaupun hujan turun dengan lebat sebelum PM tiba, namun hampir 30,000 petugas jentera pilihanraya BN dan hadirin yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk untuk mendengar amanat Perdana Menteri. Ia memberi keyakinan kepada PM bahawa jentera pilihanraya BN Selangor sudah bersiap sedia untuk merampas kembali negeri Selangor.

Datuk Seri Najib turut mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor agar bekerja dengan lebih sistematik dan terancang untuk menarik sokongan rakyat di negeri ini. Perdana Menteri berkata, jentera BN juga perlu bekerja sebagai satu pasukan dan sentiasa mengamalkan sikap mesra pengundi di kawasan masing-masing.

"Setiap jentera BN juga perlu mengenali pengundi di kawasan mereka dan kalau perlu, hubungi mereka dengan cara menelefon setiap seorang daripada mereka," katanya.



Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim.

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor seterusnya mengingatkan setiap ahli BN supaya terus memberi sokongan kepada siapa sahaja yang dipilih menjadi calon bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kalau kita tak boleh jadi calon jangan sabotaj parti, kita mesti akur kepada pucuk pimpinan buat keputusan.

"Sekiranya kita sabotaj parti ibarat kita jaringkan gol sendiri dan kita akan kalah dan bila kalah, kita akan merana. Cukuplah empat tahun Selangor ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jangan bagi tempoh lanjutan sebab nanti susah hendak dapat balik, inilah peluang terbaik untuk Selangor dikembalikan kepada BN," tegas beliau.

Dalam pada itu, Najib juga mahu setiap pemimpin parti komponen BN supaya menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

"Dalam BN kita kena jaga semua orang, calon BN mesti jaga semua rakyat, kalau kita UMNO, kena jaga juga masyarakat berketurunan Cina, India, Punjabi dan Sikh serta Orang Asli pun kita kena jaga.

"Begitu juga calon dari MCA, kita mesti jaga orang Melayu dan India," kata beliau.

Dalam ucapan selama setengah jam itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata sejak dua minggu lepas, beliau telah turun padang ke Perak, Melaka, Kedah dan hari ini di Selangor, dan mendapati suasana dalam negara kini menjurus menyokong BN pada pilihan raya umum kelak.

Sayangi Selangor Yakini BN

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: