Sabtu, Februari 18, 2012

Fungsi SELCAT Pakatan Rakyat Selangor dipertikai!

Datuk Seri Noh Omar hari ini mencabar kerajaan negeri supaya membuka semula sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung dakwaan penyelewengan pasir Selangor yang tertangguh sejak tahun 2010.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, cabaran dibuat kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan Selcat dijadikan alat untuk menutup kelemahan kerajaan negeri, khususnya berkaitan dakwaan berkenaan sebelum ini.

Ini kerana difahamkan, selain beliau, isu penyelewengan pasir di negeri ini pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, dua tahun lalu atas dakwaan yang sama melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

"Ekoran dakwaan tersebut, kerajaan negeri mengadakan sesi pendengaran awam Selcat pada tahun 2010. Tetapi saya difahamkan, sudah satu tahun lebih isu berkenaan masih lagi tergantung dan tidak ada sebarang kata putus.

"Jadi, kita pertikaikan mengapa keadaan ini berlaku, dahulu mereka (kerajaan negeri) tubuhkan Selcat kononnya atas dasar ketelusan. Tetapi kenapa pendengaran awam mengenai dakwaan penyelewengan pasir dua tahun lalu tergantung, senyap begitu sahaja sehingga kini.

"Jika begini keadaannya, kerajaan negeri seolah-olah mewujudkan Selcat itu hanya untuk menutup kelemahan mereka, untuk tujuan politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Agama Tanjong Karang, di sini hari ini.

Tambah Noh, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan kerajaan negeri menangguhkan Selcat itu adalah untuk menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) daripada membangkitkan isu mengenai aktiviti perlombongan pasir di Selangor pada Sidang DUN.

Ini kerana, katanya, taraf Selcat adalah lebih tinggi daripada DUN dan mana-mana kes yang dibicarakan di bawahnya tidak boleh dibahaskan dalamnya.

"Selcat mungkin digunakan untuk menutup kelemahan kerajaan negeri. Contohnya, mana-mana kes termasuklah dakwaan penyelewengan pasir yang sedang dibicarakan oleh Selcat tidak boleh dibahas dan dibangkitkan dalam DUN.

"Jadi kalau perkara berkenaan tidak boleh dibangkitkan dalam DUN, di mana lagi tempat ADUN-ADUN nak bangkitkan. Jadi, sebab itu, saya lihat Selcat seolah-olah hanya untuk kepentingan politik sahaja," jelasnya yang turut mempersoalkan peranan Selcat yang gagal menyelesaikan dakwaan penyelewengan pasir sebelum ini.

Pada masa yang sama, Noh turut mengulangi keputusan yang diumumkannya semalam bahawa beliau menuntut kerajaan negeri mengadakan perbicaraan terbuka mengenai isu penyelewengan pasir di Selangor.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti-bukti mengenai dakwaan penyelewengan pasir di negeri ini termasuk beberapa saksi.

"Saya sanggup datang jika dipanggil, saya ada saksi yang sanggup tampil memberikan bukti mengenai dakwaan itu. Kalau kerajaan negeri tidak mahu adakan perbicaraan terbuka atau 'mahkamah rakyat', kita mahu supaya pendengaran Selcat mengenai dakwaan yang sama sebelum ini diteruskan semula," ujarnya.

Pada masa sama, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menegaskan pendirian tidak akan menerima cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini yang mahu beliau memberikan maklumat mengenai dakwaan itu kepada Transparency International dan KSSB.

"Buat apa saya nak berikan maklumat yang saya ada kepada Transparency International dan KSSB, siapa mereka ini. Kalau beri maklumat kepada orang yang didakwa, ia bukan satu tindakan yang bijak," tegasnya.-UMO











Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: