Khamis, Februari 07, 2013

Hadi belakangi Majlis Syura?



Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Negeri, Wan Ismail Wan Ahmad menegaskan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus dipersalahkan kerana membuat persetujuan yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura Ulama parti itu.

Katanya, akibat daripada tindakan Presiden Pas itu, ia menyebabkan DAP terus bertindak biadab dengan menggesa kalimah suci tersebut boleh digunakan oleh bukan Islam.

Beliau berkata, sepatutnya, sebelum membuat sebarang keputusan bersama anggota pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Abdul Hadi perlu terlebih dahulu merujuk kepada majlis syura.



"Memang Abdul Hadi yang salah dalam hal ini. Beliau terus masuk ke pakatan pembangkang, membelakangi Majlis Syura dalam isu ini.

"Ibarat ayam, tak perlu tanya sembelih tak sembelih sebab Abdul Hadi bawa masuk (ke pakatan pembangkang untuk setuju penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam) tu yang sudah sembelih dah.

"Lepas kecoh baru nak mesyuarat, ini tak ada guna. Ini orang panggil kerja bodoh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa bekas tokoh Pas yang menyifatkan kelantangan Karpal secara berterusan mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama Pas dalam isu kalimah Allah adalah disebabkan kelemahan Abdul Hadi selaku presiden parti itu.

Mengulas lanjut, Wan Ismail berkata, berikutan kelemahan itu Pas akan menerima kesan buruk terutama dari aspek kepercayaan orang ramai khususnya umat Islam terhadap parti itu.


Katanya, kredibiliti Pas semakin lenyap semenjak bersekutu dengan DAP dan PKR sehingga mencetuskan banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, menjawab kedegilan Pas untuk kekal bersama pakatan pembangkang meskipun wujud perbezaan ideologi termasuk dalam soal menyentuh akidah umat Islam, beliau berkata, ia hanya disebabkan keghairahan parti itu untuk ke Putrajaya.

"Tak ada benda lain, kerana hendak kejar Putrajaya. Gilakan Putrajaya itu sahaja. Kalau betul-betul Pas memperjuangan agama, memperjuangkan akidah umat Islam sudah lama Pas keluar daripada pakatan itu," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: