Isnin, Julai 16, 2012

Utamakan projek loji rawatan air!



Kerajaan negeri sepatutnya meluluskan segera pembinaan Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Projek Langat 2) daripada terus membangkitkan isu kenaikan tarif air.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, jika pembinaan Loji Air Langat 2 tidak diteruskan, rakyat Selangor akan berhadapan dengan krisis air yang serius dan ketika itu kenaikan tarif bekalan itu tidak lagi menjadi isu.

"Bagaimana nak bincang masalah tarif air kalau bekalan itu dah tak ada. Jadi lebih baik luluskan pembinaan Projek Langat 2 dahulu, lepas dah siap nanti barulah nak bincang tentang tarif dan sebagainya," kata beliau.


Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian selepas Sesi Penerangan Mengenai Isu-Isu Bekalan Air Selangor di sini baru-baru ini. Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan timbalannya, Datuk Noriah Kasnon.

Menurut Noh, selepas Projek Langat 2 siap dibina, mana-mana pihak yang layak termasuk kerajaan negeri boleh menguruskannya.

Ini kerana kata beliau, projek tersebut dibina bukan untuk kepentingan syarikat tertentu tetapi bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan air terawat yang mencukupi.

"Kerajaan negeri tidak perlu bimbang kerana tidak semestinya Syarikat Bekalan Air Selangor sdn. Bhd. (Syabas) yang akan menguruskan Projek Langat 2. Kita tidak ada masalah jika kerajaan negeri berminat," katanya.


Noh turut menjelaskan, kerajaan BN juga akan menggunakan kaedah yang berbeza bagi memastikan rakyat Selangor yang kurang berkemampuan terus mendapatkan air percuma jika kembali memerintah negeri itu.

"Kita akan lakukan terbaik untuk rakyat dan memastikan semua yang layak mendapat kemudahan itu dengan menyelesaikan masalah meter pukal. Bukan macam sekarang, janji nak bagi air percuma kepada semua rakyat tetapi ada yang tidak dapat kerana masalah meter pukal tidak selesai," kata beliau.

Beliau mengulas cadangan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) agar kerajaan BN menyertakan rancangan pemberian air percuma di Selangor sebanyak 20 meter padu atau lebih kepada rakyat di dalam manifesto pilihan rayanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: