Khamis, Februari 17, 2011

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!














PERPECAHAN MELAYU TELAH LAMA BERLAKU


Ucaptama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Simposium Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menarik perhatian akhbar-akhbar Cina untuk mengulasnya.

Antaranya seperti artikel yang disiarkan oleh Nanyang Siang Pau di ruangan pendapat terbitan 15 Februari lalu.

Artikel bertajuk ‘Kritis bahasan Mahathir’ pada halaman A16 itu ditulis oleh pengkritik semasa, Koh See Kien.

Tulisnya, terdapat dua isu utama yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir dalam ucapannya iaitu pertamanya, orang Melayu kini berpecah berikutan perbezaan ideologi politik sehingga menyebabkan mereka perlu mendapat sokongan kaum lain untuk terus memerintah.

Keduanya, bekas Perdana Menteri itu mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disalah guna oleh orang tertentu. Bagaimanapun, Dr. Mahathir berpendapat dasar itu perlu diteruskan dan jika tidak, orang Melayu akan kalah dan terus tercicir.

Menurut See Kien, beliau ingin mempersoalkan isu pertama yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir kerana hairan kenapa hanya sekarang soal perpecahan itu diperkatakan sedangkan perkara itu telah lama berlaku.

‘‘Selepas merdeka pada 1957, orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan dengan yang terbesar ialah UMNO, diikuti oleh Pas dan seterusnya kumpulan orang Melayu daripada golongan sayap kiri.

‘‘Kenapa pada waktu itu, Dr. Mahathir tidak mengkritik orang-orang Melayu yang telah berpecah dalam politik?’’ soalnya.

Penulis berkenaan turut mempersoalkan kenapa bekas Perdana Menteri itu tidak membangkitkan isu sama ketika perpecahan berlaku pada zaman beliau menerajui UMNO apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 pada 1989.

Dalam pada itu, See Kien turut menempelak negarawan itu, sambil menyifatkan beliau sebagai sangat fanatik apabila dalam ucaptamanya menyatakan jika orang Melayu terus berpecah, mereka akan menjadi hamba abdi di negara sendiri.

‘‘Kata-kata seperti ini sangat fanatik, kerana sama ada Dr. Mahathir suka atau tidak, Malaysia adalah negara berbilang kaum.

‘‘Adakah beliau menganggap kejayaan membentuk kerajaan yang kuat sebelum ini terlepas daripada sokongan rakyat berbilang kaum?’’ soalnya.

Penulis berkenaan turut melahirkan perasaan kesalnya apabila Dr. Mahathir menyatakan bahawa kaum Cina menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1999 kerana berterima kasih kepada kerajaan yang telah menyelamatkan mereka daripada krisis kegawatan ekonomi.

‘‘Kenapa beliau berkata orang Cina sokong BN kerana mahu selamatkan harta benda dan aset mereka. Ini adalah tohmahan berat sebelah dan berpandangan tidak adil.

‘‘Sebenarnya orang Cina menyokong BN pada masa itu kerana mereka masih belum tahu matlamat dan hala tuju parti pembangkang yang sebenar.

‘‘Cuma apabila orang Cina terdesak mahukan perubahan pada pilihan raya umum 2008, barulah tsunami politik ini berlaku,’’ tulisnya.

Sementara itu, See Kien turut menyifatkan pandangan bersifat perkauman yang dibuat oleh Dr. Mahathir adalah amat berbeza dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih mengutamakan gagasan 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berasaskan kepada demokrasi.

‘‘Apa yang dibuat oleh Dr. Mahathir ini akan menyebabkan negara mundur ke belakang dan tindakannya ini juga boleh dianggap seolah-olah mengkritik MBE,’’ tulisnya lagi.

MASYARAKAT CINA TIDAK PERLUKAN MCA

Usaha MCA untuk meraih sokongan kaum Cina mendapat perhatian Loh Hon Chew yang menulis mengenainya dalam akhbar China Press.

Artikel bertajuk ‘Mahu berpolitik bukan pergi belanja makan-makan sahaja’ disiarkan menerusi ruangan perbincangan rakyat akhbar berkenaan bertarikh 11 Februari lalu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa hanya parti itu sahaja yang mewakili masyarakat Cina dan sebab itu kaum berkenaan terus menyokong MCA.

Menurut Hon Chew, Tiong Lai telah lupa kata-kata seorang pemimpin MCA lain bahawa parti itu umpama ikan dan masyarakat Cina adalah air.

‘‘Air boleh untuk tidak memerlukan ikan tetapi ikan tidak boleh hidup tanpa air,’’ jelasnya.

Jika mahu dihuraikan secara lebih jelas lagi, tulis beliau, air tidak perlukan ikan seperti MCA, kerana masih banyak lagi ikan di luar sana yang boleh masuk ke dalam air itu bagi menggantikan parti berkenaan.

Beliau turut menempelak MCA sebagai ikan yang akan mengalami kepupusan disebabkan wakil rakyat parti itu menang dalam pilihan raya kerana sokongan pengundi Melayu.

‘‘Jika ikan-ikan ini hidup bertautkan pada pengundi Melayu, walaupun MCA mendapat jawatan-jawatan menteri, sudah tentu mereka tidak mewakili suara orang Cina,’’ tulis beliau.

Tambah beliau, hakikat itu menyebabkan UMNO tidak menghormati MCA, kerana menganggap parti itu tidak mewakili suara orang Cina yang sebenar.

Sikap UMNO terhadap MCA, tegas beliau, telah mengecewakan masyarakat Cina sehingga menyebabkan mereka tidak menyokong parti itu dan akhirnya menyebabkan ia semakin lemah dan tidak bermaya.

Dalam pada itu, jelas beliau, sokongan masyarakat Cina telah mula merosot sejak 1950-an yang berpunca kerana terdapat beberapa budaya tradisi tidak baik yang diamalkan MCA termasuk keengganan pemimpin parti itu mempelajari bahasa Mandarin sehingga menyebabkan mereka tidak tahu kehendak kaum itu yang diluahkan dalam akhbar berbahasa berkenaan.

‘‘MCA juga telah melakukan kesilapan besar apabila memisahkan diri dengan Dong Jiao Zong (Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia) dan mahu menghapuskan sistem pendidikan sekolah Cina.

‘‘ Apa yang masyarakat Cina mahukan dianggap menyusahkan oleh MCA. Sebab itu, apabila kita mahu wujudkan sekolah menengah Cina, isu ini diketepikan oleh parti berkenaan.

‘‘Jika MCA tidak tahu mengambil kesempatan daripada isu-isu yang orang Cina sukakan, bagaimana mereka akan mendapat sokongan daripada kaum ini?’’ soalnya.

Tegas beliau, jika parti itu mahu terus dihormati dan berkembang di kalangan masyarakat Cina, mereka harus mengubah tradisi lapuk yang terdapat dalam parti itu.

‘‘Maksud berubah ini bukan dengan cara belanja makan untuk isi perut sahaja. Jika di peringkat bawahan MCA masih menggunakan tradisi lama, sudah pasti masyarakat Cina dengan sendirinya akan tinggalkan parti ini,’’ tulis Hon Chew.

Sumber : UM

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

TESLAMARIN berkata...

mohon dilinkkan dengan blog tuan