Jumaat, Disember 26, 2008

HUDUD Senjata Politik Pas!


Bagi orang-orang Melayu amat sukar untuk membezakan antara UMNO dan PAS, kalau PAS mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, UMNO juga boleh mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, demikian juga kalau PAS mendakwa ianya memperjuangkan Islam, UMNO juga mendakwa ianya memperjuangkan Islam, bahkan dalam Perlembagaan UMNO sendiri tertulis dengan jelas matlamat Islam dalam perjuangannya.

Oleh itu untuk menunjukkan yang PAS itu lebih Islam dari UMNO, maka PAS telah membangkitkan hukum hudud yang belum lagi dibangkitkan oleh UMNO dan menggunakan hukum itu sebagai isu politik, supaya dengan demikian penonjolan Islam yang ada pada PAS itu dapat menenggelamkan Islam yang ada pada UMNO. Isu-isu lain seperti mengkafirkan UMNO, UMNO parti asabiah, UMNO mengasingkan agama daripada politik dan sebagainya dianggap sudah lapok sukar untuk dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi. Justeru itu semasa kempen Pilihanraya Umum 1990, PAS telah membesar-besarkan isu hudud dan berjanji kepada rakyat, khasnya di Kelantan sekiranya parti itu berkuasa mereka akan melaksanakan hukum tersebut.

Setelah PAS berjaya memerintah Negeri Kelantan, maka janji yang dibuat oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu hanya tinggal janji, kerana sebelum itu tidak ada apa-apa persediaan yang dibuat bagi melaksanakan hukum tersebut. Tetapi apabila Pilihanraya Umum yang baru heboh diperkatakan yang ianya akan diadakan tidak lama lagi, maka mahu tak mahu janji itu harus diselesaikan walau dengan apa cara sekalipun. Kalau tidak ianya akan mengancam kedudukan parti yang membuat janji itu.

Justeru itu dalam tempoh yang singkat, secara tiba-tiba pada 24 dan 25hb November 1993, maka bergemalah suara-suara yang lantang dan bersemangat di Dewan Undangan Negeri Kelantan, menandakan lahirnya hukum Hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.
Oleh kerana hudud itu sudah dan diluluskan berdasarkan kepentingan politik dan bukan berdasarkan kebenaran serta perancangan yang rapi dan menyeluruh, maka banyaklah kelemahan dan kelonggaran yang tidak mencerminkan Hudud Islam tetapi lebih mencerminkan Hudud PAS.

Antara kelemahan-kelemahan dan kelonggaran yang terdapat dalam Hudud PAS itu menurut mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana hukum tersebut tidak dibuat melalui proses mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan akidah feqah yang syaamil.

Kajiannya amat terhad tidak boleh ditafsirkan sebagai selari dengan kaedah feqah untuk mencapai muslihat ummah. Undang-undang itu juga hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dikenakan mengikut Undang-undang Jenayah Biasa, perbezaan antara kedua-duanya amat ketara, tidak mencerminkan keadilan dalam apa jua sistem nilai dan agama. Justeru itu maka Hukum Hudud yang ditaja oleh PAS itu terpaksa ditolak dan dikaji semula.

Walaupun hukum itu ditolak, tetapi bagi pemimpin dan ahli-ahli PAS bukanlah merupakan masalah pokok yang perlu dikesali, yang penting mereka dapat melepaskan diri daripada ikatan janjinya terhadap rakyat Kelantan, kalau tidak janji itu akan mengancam kedudukan mereka dalam pilihanraya yang akan datang, sekarang mereka telah terselamat dari ancaman itu bahkan mereka juga telah mendapat modal baru untuk memancing undi dan modal itu sekarang telahpun kedengaran di sana-sini terkeluar dari lidah-lidah PAS yang panas dan membakar, kononnya UMNO menentang Hukum Hudud, UMNO membuat tipu helah untuk melaksanakan hukum hudud, UMNO menggunakan ulamak ala Amerika untuk menolak Hukum Hudud dan bermacam-macam tuduhan lagi dibuat.

Walau apa pun diperkatakan, UMNO tetap berpegang kepada aqidah dan kepercayaan bahawa Hukum Hudud itu adalah Hukum Allah yang jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, ianya tidak boleh ditolak dan diingkari kebenaran dan kesempurnaannya, sesiapa yang menolak dan mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran dan kepada sesiapa yang menuduh orang lain menolak dan mengingkari Hukum Hudud itu seperti juga ia menuduh orang lain kafir, sekiranya tuduhan itu tidak benar maka tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh itu sendiri.

Ini berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Zar dalam Kitab Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim yang bermaksud;

"Barangsiapa yang menuduh fasik dan kafir, terhadap seseorang yang lain, maka ia sendiri akan menjadi fasik atau kafir, jika tuduhan itu tidak benar".

Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.

UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dalam menegak dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Dan undang-undang Hudud itu sebahagian kecil dari undang-undang Jenayah Islam yang sangat luas. Seperti apa yang telah dikatakan oleh Ustaz Abdul Hadi, “ Hukum Hudud itu adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam”. UMNO juga tidak akan mencemarkan Hukum Hudud yang lebih sempurna dan agung itu di mata orang-orang bukan Islam lantaran kepentingan politik, sedangkan kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakannya belum lagi mengizinkan.

Taminsari
Shah Alam

12 ulasan:

Taminsari berkata...

Salam..sedikit lagi sejarah pendedahan hudud di Kelantan..

Pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bahawa Sultan Kelantan telah menandatangani pindaan hukum hudud jelas menunjukkan bahawa Pas bukan sahaja berbohong malah apa yang tersirat sebenarnya ialah mereka hanya menjadikan ‘hudud’ sebagai propaganda politik – agar Pas dilihat sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam.

Selain itu, ‘hudud’ juga dijadikan umpan oleh Pas – umpan untuk pancing undi, umpan untuk mendapat kuasa lagi dan umpan supaya dengan kuasa itu, mereka boleh hidup mewah dan mengaut kekayaan negeri Kelantan.

‘Sejarah hidup’ Pas selama ini memang sering berdolak-dalik dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan Islam. Oleh sebab kononnya ‘baju’ mereka adalah ‘baju Islam’, maka hanya mereka sahaja yang layak untuk berkata tentang Islam – dan apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin mereka semuanya adalah ‘fatwa’ yang boleh dipercayai.

Sikap totok kepada perjuangan yang walaupun songsang ini, membuatkan sebilangan penyokong Pas ditipu bulat-bulat tanpa kompromi!!! Jika bukan kerana pendedahan Ku Li, mungkin ramai yang mempercayai dakwaan pemimpin Pas bahawa tidak adanya perkenan dari Sultan Kelantan adalah antara penyebab kenapa hudud masih belum terlaksana di Kelantan.

Apalagi iktibar yang boleh didapati dari pendedahan ini selain dari pembuktian bahawa Pas memang tidak bersedia dengan pelaksanaan hukum hudud!!! Ini semua hanyalah omongan dan nawaitu tidak ikhlas pemimpin Pas untuk menunjukkan kehebatan tidak bertempat kepada rakyat – setelah mabuk kuasa!

Akhirnya menyalahkan mantan PM Tun Mahathir menjadi penyebab mengapa Hudud tidak boleh terlaksana di Kelantan..

Lebih menghairankan, Pas yang mendakwa mereka tidak pernah membazir telah menggunakan dana sejumlah lebih RM200,000 wang rakyat, diperuntukkan kepada sebuah syarikat guaman, semata-mata untuk membuat undang-undang yang masih belum terlaksana ini!!!

KALAU UMNO DALAM SETIAP PERHIMPUNAN AGUNGNYA BOLEH TELUS DALAM MEMBICARAKAN SOAL DASAR DAN MASALAH DALAMAN PARTI, BAGAIMANA PULA DENGAN PAS? ADAKAH MAHFUZ SINGA TIDAK BERGIGI ITU SANGGUP DENGAN LANTANG BERSUARA TERHADAP PEMIMPIN TERTINGGI PAS BERTANYAKAN BILA HUDUD BOLEH DILAKSANAKAN DAN KE MANAKAH HILANGNYA DANA YANG DIPERUNTUKKAN ITU!!!!!!!!!! JAWAB MAHFUZ... JAWAB!!!

Salam perjuangan..

Tai berkata...

ha encik, depa kata punca hudud gagal ialah dari BN. Cuba pi kat sebuah blog orang buta http://www.bprihatin.blogspot.com/

torashah berkata...

Kenyataan "U-Turn" Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkenaan pelaksanaan hukum hudud tidak sampai 24 jam selepas memberi jaminan di depan penyokong tegar parti itu membuktikan perjuangan "flip-flop" Pas berhubung negara Islam.

Keadaan ini cukup menjelaskan lagi wajah sebenar Pas yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim kenyataan terbaru Husam itu sebenarnya membenarkan dakwaan selama ini bahawa Pas menggunakan agama untuk tujuan politik.

"Ini dapat dilihat bagaimana masa pilihan raya umum lalu, isu hudud tidak kedengaran, tetapi untuk Kuala Terengganu ia dibuka semula kerana mereka tahu orang Islam amat sensitif dengan soal agama", katanya.

Justeru beliau menyifatkan tindakan itu sebagai cara berpolitik yang tidak bertanggungjawab.

"Politik Pas ikut musim. Sebab itu, saya amat dukacita dengan cara ini yang menggunakan agama sebagai alat bagi mencapai kemenangan.

''Dari dulu lagi orang bercakap pasal ini, tetapi sekarang nampak lebih jelas kerana tiba-tiba sahaja ia dibangkitkan, tetapi lepas berakhir pilihan raya kecil ini, saya yakin hudud akan kembali senyap,'' ujarnya.

Dalam program Wacana Transformasi Politik Negara di Balai Islam Lundang Ahad lalu, Pas memberi jaminan untuk melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyatakan demikian ketika diasak beberapa kali oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang bertanyakan pendirian sebenar Pas berkenaan hukum hudud.

Kenyataan Husam itu telah mengundang perasaan kurang senang rakan pakatannya DAP yang membidas Pas sehingga memaksa Husam mengakui pelaksanaan hudud dan qisas yang menjadi asas perjuangan Pas terpaksa ditangguhkan walaupun jika menguasai Malaysia kerana ia memerlukan persetujuan PKR dan DAP.

Taminsari berkata...

Pas: Laksana hudud bukan utama

KOTA BHARU 26 Dis. - Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.

"Apa yang penting kita hendak mencari keamanan dan keadilan dahulu, selepas itu kita akan memberikan penerangan kepada semua pihak agar mereka dapat menerimanya. Ini hukum Allah bukan hukum yang direka oleh Pas.

"Pun begitu ia tidak lari daripada dasar perjuangan Pas sendiri. Apabila pakatan memerintah tidak jadi masalah untuk dilaksanakan cuma perlu sedikit masa saja lagi supaya semua dapat memahaminya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian parti itu dalam melaksanakan hudud dan qisas di negara jika pakatan pembangkang memerintah.

Sebelum ini, ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah.

Bagaimanapun pendirian beliau mula goyah apabila mendapat tentangan daripada rakan pakatannya, DAP yang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.

Mohamed merupakan salah seorang daripada panel yang merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan sewaktu parti itu mengambil alih pemerintahan negeri ini pada tahun 1990.

Bekas Exco Kerajaan Pas Kelantan itu berkata, dasar parti itu tetap diperjuangkan cuma ia memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.

"Kita pernah memberikan penerangan kepada DAP berhubung isu ini, tetapi yang faham hanya mereka yang datang, yang tidak datang tetap tidak faham.

"Insya-Allah selepas ini Dewan Ulama akan mengadakan kempen besar-besaran untuk memberikan penerangan mengenai hudud dan ia tambah mudah sebab kita menguasai lima negeri," katanya.

Katanya, parti itu akan terus memberikan penerangan tentang kebaikan hukum hudud dan qisas sehingga semua pihak dapat menerimanya walaupun ia terpaksa mengambil sedikit masa.

"Kita akui memang hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan serta merta sekiranya dapat memerintah negara ini," katanya.

Utusan Malaysia

Taminsari berkata...

Pengajaran di sebalik isu hudud, hak milik tanah pegangan kekal

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)

DUA isu mutakhir ini - pelaksanaan hukum hudud dan pemberian hak milik tanah kekal - membuka mata rakyat berbilang kaum di negara ini tentang apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang di negara ini.

Di sinilah dan ketika inilah rakyat sepatutnya bertindak sebagai 'hakim' untuk mengadili sama ada nasib serta masa depan mereka akan lebih terjamin jika pakatan pembangkang diberi peluang serta ruang untuk menjadi pemerintah.

Atau jika gabungan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diberi mandat untuk membentuk kerajaan, siapakah yang paling mendapat manfaat daripada dasar-dasar yang akan dilaksanakan kelak?

Isu hudud yang muncul semula ketika berlangsungnya dialog antara Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden Pas, Husam Musa umpama imbasan otak rakyat Malaysia tentang isu yang agak lama tidak diperkatakan itu.

Bantahan segera orang kuat DAP seperti Lim Guan Eng dan Karpal Singh sebaik Husam melontarkan ketegasan Pas untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang memerintah kelak juga bukan perkembangan yang memeranjatkan.

Hakikatnya, setiap kali berbangkitnya isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas, DAP akan tampil dengan paras ketegasan yang sama dan tidak pernah beranjak sedikit pun.

Namun di sebalik ketegasan barisan pimpinan DAP, Husam menongkah arus mengendurkan nadanya apabila membuat kenyataan bahawa hukum hudud hanya dilaksanakan selepas mendapat persetujuan PKR dan DAP.

Dan dunia amat mengetahui bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan hasrat Pas manakala PKR tidak diketahui pendiriannya.

Ini kerana pemimpin PKR tentunya enggan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kemahuan ahli-ahlinya yang terdiri daripada pelbagai bangsa walaupun penasihat parti itu sering menggunakan al-Quran dan hadis untuk menyokong kata-katanya.

Persoalannya, mengapa DAP boleh mempertahankan pendirian tidak akan membenarkan hukum hudud dilaksanakan pada bila-bila masa sekali pun manakala Husam pula mengambil langkah kebelakang dan menunjukkan keakuran Pas kepada DAP?

Bukankah sebagai wakil parti yang memperjuangkan pemerintahan Islam Husam sepatutnya mesti bertegas sekurang-kurangnya menyamai tahap ketegasan Guan Eng dan Karpal.

Mengapa Husam mesti merujuk kepada persetujuan rakan-rakan pakatan pembangkang sedangkan beliau amat arif bahawa tiada restu jauh sekali persetujuan di pihak DAP dalam hal pelaksanaan hukum hudud dan qisas.

Apakah kedudukan Pas yang sebenarnya dalam pakatan pembangkang sehingga parti itu perlu merujuk kepada DAP dan PKR untuk melaksanakan hukum Islam jika memerintah kelak.

Dan adakah Pas akan membatalkan hasratnya untuk melaksanakan hudud dan qisas jika terus mendapat tentangan rakan-rakannya atau parti itu sanggup berjuang bersendirian meninggalkan peluang untuk menerajui negara?

Adakah kenyataan pertama Husam tidak disengajakan atau Naib Presiden Pas itu ingin menguji 'rakan-rakannya' - dengan harapan mungkin DAP dan PKR akan mengendurkan suara terutama menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Hakikatnya, ketegasan Pas amat ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini terutama bangsa Melayu yang satu ketika dulu menyanjung perjuangan serta ketegasan parti itu dalam hal ehwal pelaksanaan hukum Islam.

Begitu juga dalam hal pemberian hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun yang majoriti berbangsa Cina oleh kerajaan negeri Perak.

Keputusan kerajaan negeri yang Menteri Besarnya juga mewakili parti Pas dilihat terburu-buru dan ada agenda di sebaliknya yang bertentangan dengan dasar Pas itu sendiri.

Banyak kerja yang perlu dibuat sebelum keputusan tersebut diluluskan oleh kerajaan negeri kerana biar pun tanah tersebut telah dihuni oleh penduduk di situ sejak lebih 50 tahun lalu, namun itu bukan bermakna mereka layak menjadi pemilik selama-lamanya.

Siapa pemilik sebenar tanah tersebut dan apakah syarat-syarat pembukaan kampung baru dan kampung tersusun di situ perlu diselongkar dan diberi perhatian. Adakah klausa yang membenarkan mereka menjadi pemilik kekal tanah tersebut?

Pasti ada fakta-fakta tersembunyi di sebalik keputusan kerajaan memperuntukkan tanah tersebut untuk diduduki oleh majoriti kaum tertentu ketika itu bagi mengelak ancaman komunis.

Selain apa yang terbentang di dalam Kanun Tanah Negara, banyak perkara yang perlu dibuktikan sebelum kerajaan negeri Perak membuat keputusan sedemikian.

Kaitannya dengan isu pelaksanaan hukum hudud ialah apa dan siapa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri yang diterajui oleh pakatan pembangkang.

Jika dalam isu hudud yang kumpulan sasarnya ialah rakyat beragama Islam, DAP menunjukkan bantahan keras, lain pula dalam isu pemberian hak milik tanah kekal.

Maka tidak keterlaluan jika dirumuskan keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini akan menjadi kayu ukur pertama sejauh mana rakyat 'menghadam' kedua-dua isu tersebut.

Dan kaum Melayu tidak perlu menunggu lama untuk memahami maksud tersurat di sebalik kedua-dua episod itu.

Taminsari berkata...

Sikap Pas mengecewakan

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Tindakan Pas mempolitikkan isu hudud bagi mendapat sokongan masyarakat Islam terhadap parti itu sangat mengecewakan kerana ia seharusnya dibincangkan di luar konteks politik.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, tanggungjawab melaksanakan hukum hudud bukan terletak kepada parti politik semata-mata tetapi setiap individu Islam.

''Saya percaya Pas mempunyai agenda mereka sendiri ketika mengambil peluang untuk mempolitikkan dan membangkitkan isu hudud dari semasa ke semasa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shamrahayu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang membidas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berhubung pendirian yang tidak konsisten dalam melaksanakan hudud dan qisas.

Tambah beliau, tindakan Pas mempolitikkan isu hudud menjadi lebih mengecewakan apabila parti-parti politik bukan Islam turut memberikan komen mengenai hudud.

Shamrahayu menjelaskan, bagi mendapatkan jalan tengah berhubung isu hudud, masyarakat Islam perlu membincangkannya secara terbuka demi kepentingan agama dan bukannya pegangan politik masing-masing.

Ditanya mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, beliau berkata, ia sukar dilaksanakan di negeri itu pada masa ini walaupun ia ditadbir oleh Pas.

''Ini kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah pada masa ini hanya terhad kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan tidak melebihi enam sebatan.

''Justeru pelaksanaan hukuman hudud walaupun di negeri Kelantan sekalipun, memerlukan pindaan bidang kuasa syariah supaya hukuman yang diguna pakai di Mahkamah Syariah pada masa ini dapat digantikan dengan hukuman hudud,'' katanya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan negeri Kelantan yang diperintah oleh Pas boleh melaksanakan hukum hudud dan qisas.

"Jika Pas mahu melaksanakannya di negeri Kelantan, silakan. Tidak perlu mendengar cakap orang lain ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Haniff menjelaskan, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang boleh membantu kerajaan Negeri melaksanakan hudud sebagai perkara yang boleh tetapi tidak dinyatakan secara khusus.

"Namun begitu, perkara-perkara yang tidak dinyatakan secara khusus itu perlu dihubungkait dalam hujah sekiranya ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang kemudian akan menentukan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak,'' katanya.

Beliau menambah, isu tersebut menjadi pertikaian kerana fahaman bercanggah dalam mentafsir bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

"Ada pihak yang mentafsir menyatakan kerajaan negeri boleh melaksanakannya dan ada yang menyatakan sebaliknya," kata beliau.

Taminsari berkata...

Patut keluar pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Pas sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam dan mahu melaksanakan hukum hudud.

Beberapa pemimpin UMNO berpendapat hanya dengan bertindak sedemikian, rakyat dapat menganggap Pas sebagai pejuang Islam sejati yang bukan menjadikan agama suci itu sebagai modal untuk berpolitik.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sekiranya Pas sanggup berkorban demi Islam, ia tidak wajar bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terang-terangan menolak idea perjuangan parti itu.

''Saya cabar Pas, kalau betul hendak perjuangkan hudud, mereka mesti berani menentang DAP serta keluar daripada pakatan pembangkang,'' katanya kepadai Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berhubung pendirian yang tidak konsisten dalam melaksanakan hudud dan qisas.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee pula menyifatkan Pas ibarat 'bermimpi di siang hari' apabila mengatakan akan melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara.

Katanya, perkara itu mustahil dilaksanakan kerana ketiga-tiga parti dalam pakatan itu jelas tidak mempunyai ideologi yang sama.

''Perbezaan ideologi ini akan menyebabkan perjuangan Pas hanya sia-sia dan jika Pas berani ambil risiko mereka perlu keluar dari pakatan tersebut,'' tegasnya.

Baginya, untuk membincangkan soal agama Islam serta hudud, UMNO merupakan satu-satunya parti yang paling sesuai duduk berbincang dengan Pas dan bukannya bersama PKR atau pun DAP.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hukum hudud merupakan isu lama yang pernah dimainkan Pas sebelum ini.

''Hakikatnya, perjuangan mereka itu tidak dapat diteruskan terutamanya apabila parti tersebut menerima DAP di dalam pakatan yang mereka wujudkan,'' ujarnya.

Taminsari berkata...

Modal lama - Hudud

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas bukan permainan politik UMNO seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, sebaliknya ia telah menjadi modal politik Pas sejak sekian lama.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Pas sudah lama bercakap tentang pelaksanaan hukum hudud dan qisas tersebut di Kelantan dan Terengganu tetapi sehingga kini ia belum dapat dilaksanakan lagi.

"Saya rasa yang bersungguh- sungguh cakap pasal hudud ini adalah Pas. Mereka telah meminda undang-undang syariah di kedua-dua negeri itu cuma ia tidak dapat dilaksanakan sebab tidak diluluskan di peringkat pusat.

"Pas juga sudah isytihar bahawa itu perkara pertama yang akan dilaksanakan apabila mereka menguasai Kerajaan Pusat. Kita mahu tengok apa pandangan pakatan pembangkang dalam isu ini. Jadi tidak timbul ini permainan politik UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Pengiklanan Zoom! Malaysia di Kementerian Penerangan di sini hari ini.

Turut melancarkan kempen tersebut ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahmad Shabery diminta mengulas isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas yang didakwa oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab, adalah permainan politik UMNO.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sebelum ini menegaskan bahawa parti itu tetap konsisten dalam melaksanakan hukum tersebut jika pakatan pembangkang memerintah.

Bagaimanapun Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas Husam yang didakwanya tidak konsisten dalam isu tersebut kerana rakannya dalam pakatan pembangkang tidak senang dengan cadangan berkenaan.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari tahun depan, Ahmad Shabery berkata, Barisan Nasional (BN) diyakini akan mencapai kejayaan lebih baik.

Taminsari berkata...

Apa kata Ustaz Abdul Hadi tentang HUDUD...

Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata, golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

"Pas tak perlu terangkan (tentang hukum hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan memberi penerangan kepada pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat yang masih kurang senang dengan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa akan datang.

Ditanya sama ada Pas akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

Abdul Hadi mengakui sukar untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya.

Taminsari berkata...

Amaran pada Umno, Usah permain Hudud, Qisas ....

Tindakan menentang Hudud dan Qisas bukan sahaja melibatkan akidah seseorang tetapi dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, sekiranya Umno-Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas

Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan menimbulkan polimik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

"Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihan raya Kecil tidak lama lagi,"katanya yang dipetik dari laman web Buletin Online melalui wartawannya, SM Noor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh Umno kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.

Katanya, ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

"Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002.

"Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan Umno-BN yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, di mana dalam kerajaan Umno-Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,"jelas Fariz.

Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, sebenarnya Umno sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

"Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi liabiliti kepada Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

"Beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin,"tegasnya.

Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional.

"Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah Umno yang sudah 'bankrup'dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh Umno-BN dan media arus perdana,"tambahnya.- azm/mks. _ HD

Taminsari berkata...

Rembau -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mempersoalkan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah cuba bermain politik secara selamat tanpa memberi sebarang ulasan berkenaan pelaksaan hukum hudud.

Jelas beliau pihaknya percaya tindakan itu dibuat dengan harapan isu berkenaan tenggelam begitu sahaja.

"PKR bisu kerana saya fikir dia hanya mahu selamat dengan harapan isu ini akan tenggelam begitu sahaja.

''Jadi, mereka fikir apabila tidak bercakap dalam soal ini, nanti isu ini pun akan mati begitu sahaja, jadi tidak perlulah mereka membuat pendirian,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2008 Parlimen Rembau di sini, Rabu.

Setakat ini hanya DAP sahaja yang dilihat begitu lantang membidas kenyataan Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud sementara PKR khususnya Penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum lagi mampu membuat sebarang kenyataan.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau seterusnya berkata hasrat Pas dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten memandangkan rakan mereka dalam pakatan pembangkang itu tidak senang dengan cadangan berkenaan.

"Malah hasrat Pas itu hanya akan mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat yang sebelum ini menaruh harapan terhadap kepimpinan pakatan tersebut.

"Kalau ingin mentadbir Kerajaan Pusat, mereka sepatutnya perlu mempunyai dasar yang konsisten dan tidak boleh diubah-ubah kerana perkara ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat," ujarnya.

Justeru beliau seterusnya percaya hubungan pakatan pembangkang hanya ibarat retak menanti belah berlandaskan senario yang berlaku setelah Pas mahu meneruskan agendanya itu walaupun ditentang keras oleh DAP.

Taminsari berkata...

Pelaksanaan hukum hudud lalui proses panjang – Hadi

Marang 6-3-2000 :

Kerajaan pas Terengganu hari ini mengakui pelaksanaan hukum hudud di negeri ini akan melalui proses masa yang panjang.

Menteri Besar, Abdul Hadi Awang berkata bagaimanapun pihaknya akan tetap meneruskan pelaksanaannya walaupun ia perlu melalui beberapa proses tertentu dalam perundangan negara . Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat selepas ia siap menggubal Undang-undang Syariah bagi melaksanakan hokum Hudud di negeri itu.

“ Berdasarkan syarat untuk melaksanakan Undang-Undang Syariah disini , kita cukup segala-galanya tetapi sebagai salah sebuah negeri di bawah kerajaan Persekutuan kita perlu mematuhi umdang-undang yang ada.

Sebab itu apabila kita siap mengubal undang-undang hudud kita akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat dan berharap mereka akan menerima cadangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berdailog dengan kakitangan kerajaan daerah Marang di Sekolah Menengah Ugama Marang, disini hari ini. Tambah beliau, process menggubal undang-undang tersebut sedang dilakukan oleh Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan syariah yang dipengerusi oleh Harun Taib.

Beliau menjelaskan hukum hudud adalah merupakan sebahagian kecil daripada hukum syariah tetapi kerajaan negeri tetap bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

“ Hukum Hudud adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam tetapi menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakannya,” katanya.