Rabu, Oktober 24, 2012

Isu Selangor : Regim MB Khalid hipokrit dalam isu IPP dan Tol?



Regim kerajaan Negeri Selangor disifatkan hipokrit kerana membangkitkan isu penjana tenaga bebas (IPP) dan tol lebuh raya, tetapi pada masa sama mereka mempunyai kepentingan dalam syarikat terlibat dalam kedua-dua aktiviti itu.

Walaupun kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sering mengkritik tindakan kerajaan Persekutuan dalam isu IPP dan tol, namun ia masih mempunyai kepentingan dalam IPP generasi pertama, syarikat Genting Sanyen (Malaysia) Sdn Bhd dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Mereka mengkritik, menentang tetapi pada masa sama menerima keuntungan dividen daripada pelaburan IPP tersebut! Ini menunjukkan mereka hipokrit, langsung tidak apologetik.


Walaupun pelaburan tersebut dilakukan sebelum pembangkang mengambil alih Selangor, tetapi sudah empat tahun mereka tadbir, tiada sebarang usaha diambil oleh pakatan pembangkang untuk melupuskan pegangan saham atau pelaburan dalam Genting Sanyen!

Jika secara prinsipnya mereka tidak setuju dengan pelaburan tersebut, sewajarnya mereka melupuskan saham berkenaan.

Worldwide Holdings Berhad iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), mempunyai 25 peratus kepentingan dalam syarikat Genting Sanyen.

Selain itu, pakatan pembangkang berjanji untuk memansuhkan tol di negara ini tetapi dalam masa sama kerajaan Selangor mempunyai kepentingan sebanyak 20 peratus dalam Lebuh Raya Kesas.


Sekiranya mengikut prinsip yang dinyatakan pembangkang dalam bajet alternatif dan Buku Jingga, mereka sepatutnya telah menjual pegangan saham berkenaan.

Mereka (pembangkang) tidak boleh kata apa yang terkandung dalam bajet serta buku tersebut hanyalah polisi dan pada masa sama mengekalkan pelaburan dalam kedua-dua sektor yang jelas menentang dasar mereka. Mereka hipokrit.

Ini membuktikan sikap tidak konsisten dan tidak jujur pembangkang dalam polisi mereka. Mereka boleh buat apa sahaja manifesto tetapi tidak mampu melaksanakan segala apa yang dijanjikan! Fikir-fikirkan lah!

Suara Politik
Taminsari

Isu Selangor : MBSA, PKNS digesa henti projek?


Penduduk di sekitar Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam mengadakan demonstrasi bagi membantah projek pembinaan jalan raya di belakang kawasan perumahan mereka, semalam.

Penduduk di sekitar Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam mendesak pihak terlibat agar memberhentikan projek pembinaan jalan raya yang sedang di laksanakan di zon penampan di belakang kawasan perumahan mereka sejak sebulan lalu.

Mereka mendesak pihak berkepentingan terhadap projek itu, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan i-City agar menghentikan serta mengkaji semula struktur pembinaan jalan sepanjang 20.12 meter itu yang mereka anggap boleh membahayakan penduduk.

Desakan itu dibuat menerusi demonstrasi aman selama sejam bagi membantah projek itu, bermula pukul 9.30 pagi di hadapan pos pengawal i-City yang disertai kira-kira 100 penduduk kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Plumbum, Mohd. Badrudin Othman, 56, berkata, pihaknya mahu kerja-kerja pembinaan di zon penampan itu dihentikan kerana kawasan itu diwujudkan bagi membezakan antara kawasan perumahan dan pusat komersial.

"Kami bukan menentang pembangunan, tetapi jika pembinaan jalan raya terlalu hampir dengan belakang rumah iaitu dengan jarak kurang sepuluh meter, zon penampan yang telah tertulis dalam pelan asal MBSA dan mendapat kelulusan pada Jun 2007 akan terhapus.

"Mereka harus mempertimbangkan semula dan perlu memikirkan keselamatan penduduk kerana pembinaan ini membahayakan nyawa penduduk serta pengguna jalan raya," jelasnya kepada pemberita selepas demonstrasi selesai.

Mohd. Badrudin juga memberitahu, pihaknya akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung pembinaan jalan raya itu.

Seorang penduduk, Richard How, 50, pula berkata, tindakan meluluskan pembinaan tersebut seolah-olah tidak menghormati 248 pembeli rumah di kawasan itu.

"Mereka seharusnya berbincang dan memaklumkan kepada penduduk terlebih dahulu mengenai perkara ini kerana jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini penduduk yang akan menghadapi ancaman keselamatan.

"Pernah suatu hari, ketika saya dan keluarga sedang menonton televisyen, kami berasa gegaran kesan daripada kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan," katanya.

Richard juga mendakwa pemaju melakukan kerja pembinaan sehingga lewat malam pada hari bekerja yang jelas mengganggu ketenteraman penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Ilmi Jasman pula meminta PKNS segera menangani isu tanah mendap di Jalan Plumbum yang tiada kesudahan sehingga ke hari ini.

Ini kerana, katanya, surat terakhir PKNS ada menjanjikan bahawa mereka akan memperbaiki semula rumah tersebut secara terperinci tetapi sehingga hari ini masih tidak ditunaikan walaupun telah memasuki minggu ke empat bulan Oktober.

"Saya minta PKNS segera tunaikan janji," kata beliau.

Pada 17 Februari lalu Utusan Malaysia pernah menyiarkan kejadian tanah mendap di Jalan Plumbum yang menyebabkan penduduk di situ cemas apabila bahagian hadapan dan belakang rumah mereka mendap sedalam kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat sehingga berlaku hakisan di kawasan sekitarnya.

Kejadian itu turut menjejaskan kira-kira 40 buah rumah teres dua tingkat di kawasan itu selain sistem saliran yang sempit dan tersumbat mengakibatkan air naik di bahagian hadapan rumah sehingga ke paras buku lali.

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Oktober 23, 2012

10 dalil mengapa Kelantan gagal uruskan AIR!



AIR Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), satu nama gah dalam industri perbekalan air terawat, dan merupakan GLC yang tidak asing lagi di bawah pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan.

Namun sejarah konflik dalaman telah bermula sejak 1995 lagi, apabila kerajaan negeri telah menswastakan bekalan air kepada Thames Water Pte. Ltd., dikenali sebagai Kelantan Water Sdn. Bhd. (KWSB), manakala hampir kesemua kakitangan Jabatan Bekalan Air pada masa itu diserap ke dalam pentadbiran baru KWSB.

Pada 1999, bermula episod baru. Kerajaan negeri dan KWSB telah membuat persetujuan bersama untuk penamatan Thames Water Pte Ltd. sebagai badan yang bertanggungjawab ke atas perbekalan air di Kelantan, dan ditukar kepada satu organisasi baru, dikenali sebagai Air Kelantan Sdn. Bhd. sehingga kini.

Kemudian, wujud ura-ura penyingkiran Pengarah Urusan pada akhir 2005, yang terkenal amat tegas dalam isu kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa. Usaha berterusan pihak yang tidak senang dengan beliau sampai ke kemuncaknya pada akhir 2007 apabila beliau telah diarah meninggalkan kerusi panas nombor satu AKSB tersebut.

Pada 2008, kerusi panas ini sekali lagi bertukar tempat, dan kerajaan negeri telah melantik anak watan dari PLUS sebagai Pengurus Besarnya. Kecetekan pengalaman dalam perbekalan air dan mengurus tadbir sebuah syarikat GLC seperti AKSB telah merencatkan usaha satu puak yang ingin terus berkuasa.

Maka pada akhir 2010, kerajaan negeri telah mengarahkan beliau mengosongkan kerusi tersebut.

Pertengahan 2011, kerajaan negeri sekali lagi membuat kesilapan dalam melantik Pengurus Besar AKSB yang baru. Pelantikan yang dibuat secara rambang telah menyebabkan AKSB terus bergolak dan terumbang-ambing.

Kecetekan pengalaman dan sifat 'yes man' kepada tangan-tangan ghaib di belakang AKSB antara faktor konflik dalaman ini semakin parah.

Natijah daripada pergolakan dalaman tersebut, dirumuskan 10 dalil kegagalan kerajaan negeri dan AKSB khususnya dalam mentadbir urus perbekalan air kepada seluruh rakyat negeri Kelantan:

1. Kerugian terkumpul AKSB bagi tahun berakhir 2011 dijangkakan mencecah RM11 juta. Untuk itu, pengguna bakal dibebankan dengan cadangan kenaikan harga tarif air yang baru pada 2012 bagi menampung kerugian tersebut.

2. Kegagalan Projek Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water/NRW) yang menelan kos RM130 juta. Projek yang bermula pada Julai 2008 dan berakhir pada Ogos 2011 gagal menterjemahkan sebarang kesan positif terhadap sistem bekalan air secara menyeluruh.

3. Kegagalan projek penukaran meter air kepada smart meter berjumlah 80,000 unit dalam Projek NRW, melibatkan kos hampir RM12 juta, namun penukaran hanya setakat 40,000 unit sahaja, setelah diakui kegagalan fungsi meter tersebut.

4. Kegagalan projek pembinaan Telaga Jejari di Jajahan Jeli, yang dicanangkan teknologi terkini, dan diuar-uarkan jajahan tersebut akan tiada lagi masalah bekalan air. Namun hasil sebaliknya berlaku, di mana masih terdapat kawasan di Jeli yang dicatu bekalan air.

5. Kegagalan mengatasi krisis kecemasan bekalan air secara menyeluruh dan bayangkan, AKSB hanya mempunyai enam lori tangki air untuk digerakkan dalam satu-satu masa kecemasan atau ketika berlakunya krisis bekalan air.

6. Kualiti dan tekanan air yang masih membelenggu rakyat secara amnya, malah di kawasan bandar juga masih terdapat kualiti dan tekanan air yang tidak memuaskan.

7. Kekerapan kerosakan pam di loji-loji air utama, seperti Loji Rawatan Air Bukit Remah di Tanah Merah, Loji Rawatan Air Pahi di Kuala Krai dan Loji Rawatan Air Merbau Chondong namun kegagalan tersebut diletakkan ke atas pihak lain untuk mengalih perhatian pengguna/rakyat.

8. Hutang tertunggak dianggarkan RM12 juta, namun tiada tindakan agresif untuk mendapatkan semula bayaran bil tertunggak ini. Mungkin pengurusan tertinggi AKSB sibuk dalam mencapai misi peribadi untuk terus berkuasa dan bertelagah sesama sendiri.

9. Kos tinggi menaik taraf Loji Rawatan Air Pintu Geng, yang menelan kos RM58 juta dan difahamkan kos sebenar hanyalah RM35 juta sahaja. Kenaikan mendadak kos ini telah pun dipersoalkan di peringkat tertinggi AKSB, namun terdapat tangan-tangan ghaib yang menidakkannya.

10. "Masalah Air Di Kelantan Selesai Pada 2027" itulah kenyataan yang dibuat oleh Exco Perumahan, Kerjaraya, Utiliti & Alam Sekitar Negeri pada April 2011. Untuk memaklumkan kepada seluruh rakyat Kelantan bahawa, rakyat terpaksa menunggu selama 16 tahun lagi untuk melihat 100 peratus liputan air bersih di seluruh negeri terlaksana oleh AKSB.

Jadi, fikir-fikirkanlah.

Suara Politik
Taminsari

Laporan Audit 2011 : Kantoi...!!! Kelantan pindah milik tanah 286 hektar?



Pas Kelantan didapati tidak melindungi kepentingan kerajaan negeri apabila memindah milik tanah tanpa sekatan seluas 286.72 hektar dengan nilai semasa sebanyak RM318.29 juta di tebing Sungai Kelantan kepada syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd.

Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Audit 2011 yang mendapati pindah milik tanah tersebut dilakukan antara tahun 2003 hingga 2009 setelah kebenaran dibuat dalam mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar pada 2002.

Laporan itu menyebut, bagi menjamin kepentingan kerajaan negeri, pindah milik tanah sepatutnya dibuat selepas syarikat itu menyelesaikan projek terutama dalam memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri.

Menurut laporan itu, mengikut perjanjian, projek kerajaan negeri akan menyerahkan tanah tidak melebihi 400 hektar secara pajakan selama 99 tahun kepada syarikat itu untuk melaksanakan Projek Pembangunan dan Pengindahan Tebing Sungai Kelantan bernilai RM2 bilion.

Sebagai pulangan, syarikat itu akan memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri bernilai lebih RM350 juta.

"Antara sumbangan itu termasuklah sebuah masjid bernilai RM20 juta, sebuah jambatan di Kampung Cina-Palekbang bernilai RM150 juta, stadium tertutup wanita bernilai RM25 juta dan tabungan untuk Skim Perumahan Kos Rendah (RM15 juta).

"Pemilikan tanah tanpa sekatan kepada syarikat itu merupakan risiko kepada kerajaan sekiranya projek tersebut tidak disiapkan sebagaimana perjanjian," jelas laporan tersebut.

Dedah laporan itu, syarikat pemaju telah mencagarkan tanah seluas 5.4 hektar kepada bank untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM75 juta bagi membiayai kos projek. Katanya, cagaran tanah untuk tujuan pinjaman itu mendatangkan risiko kepada kerajaan sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan.

Laporan itu turut menyebut, kerajaan Persekutuan telah membayar pampasan sebanyak RM4.07 juta kepada pihak syarikat itu berikutan pengambilan balik tanah bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kelantan.

Jelas laporan itu, pembayaran pampasan tersebut sepatutnya diterima kerajaan negeri sekiranya tanah tersebut tidak dipindah milik.

"Pihak Audit juga mendapati tiada kajian terperinci dibuat pakar untuk menilai kemampuan syarikat itu dari segi kewangan dan prestasi selain kemampuan melaksanakan projek serta keluasan sebenar tapak projek yang akan diberi," menurut laporan itu.

Sehubungan itu, laporan tersebut mengesyorkan kerajaan negeri meneliti setiap terma dalam perjanjian usaha sama dengan terperinci supaya kepentingan kerajaan dan rakyat terjamin.

Suara Politik
Taminsari

Isu Selangor : 15 penjaja lapor SPRM terhadap Manoharan?



Seramai 15 penjaja kecil India di daerah ini mendakwa kehilangan punca pendapatan akibat tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mengatur pemilihan penempatan semula tapak gerai di Jalan Tengku Kelana di sini.

Kumpulan penjaja yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Manoharan kira-kira pukul 10.45 pagi ini menyifatkan tindakannya menimbulkan pelbagai persoalan kerana pemilihan tapak gerai itu dibuat secara senyap tanpa pengetahuan mereka.

Mereka mendakwa, Manoharan hanya memberikan tapak gerai tersebut kepada Persatuan Penjaja Jalan Tengku Kelana dan bukannya secara terbuka termasuk penjaja yang bukan ahli persatuan tersebut melalui undi.

Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM), A. Prakash yang mewakili para penjaja tersebut berkata, tindakan Manoharan dilihat meragukan kerana sebagai wakil rakyat, dia sepatutnya berusaha membantu para penjaja lain.

''Kita dimaklumkan Manoharan turut memberi peruntukan sebanyak RM25,000 kepada persatuan itu. Kita tidak tahu apa tujuan sebenar dia memberikan peruntukan tersebut sama ada merupakan bantuan atau sebaliknya.

''Jika peruntukan yang diberikan Manoharan kepada persatuan tersebut untuk membantu golongan penjaja kecil, dia sepatutnya membantu juga penjaja lain yang bukan merupakan ahli persatuan sebagai satu daripada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Prakash berkata, perkara yang paling dikesalkan ialah tindakan Manoharan menghalang wakil penjaja kecil yang terlibat daripada menghadiri mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) Mei lalu selain wakil rakyat itu menuduh mereka sebagai pengacau.

Dalam soal pemilihan tapak gerai bagi bazar Deepavali pula, beliau turut mempersoalkan borang yang dikeluarkan oleh MPK dengan menyatakan syarat pemilihan tapak tersebut harus dibuat secara undian kecuali tapak di Jalan Yeo Guan Hup yang dikecualikan daripada syarat tersebut.

''Kenapa di Jalan Yeo Guan Hup dikecualikan daripada syarat pengundian. Keadaan itu memperlihatkan seolah-olah pemilihan tapak gerai telah pun ditetapkan," katanya.

Sementara itu, seorang penjaja, G. Rajendran, 52, mendakwa Manoharan pernah mengugut penjaja dengan menghantar sekumpulan gangster supaya mereka tidak membuat tuntutan tapak gerai terbabit termasuk keputusannya memberikan tapak itu kepada persatuan berkenaan.

''Ekoran tindakan Manoharan itu, kita tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyelewengan atau salah guna kuasa. Kita harap SPRM dapat melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud elemen-elemen seumpama itu,'' katanya.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Oktober 22, 2012

Cinta tiga segi PAS-PKR-DAP, siapa yang kena jual!



Sekiranya ditakdirkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adakah beliau akan menghalalkan protes jalanan? Adakah beliau akan membenarkan rakyat memberontak sehingga melumpuhkan ekonomi negara? Sudah pasti bila sahaja beliau meneraju negara ini beliau akan turut menggunakan pendekatan yang sama (seperti kerajaan sekarang) malah mungkin lebih teruk terhadap golongan-golongan pemprotes jalanan.

Anwar Ibrahim merupakan seorang yang cetek pemikirannya, bukan seorang pemimpin unggul bukan juga pejuang tulen. Sehingga kini apa yang jelas perjuangan beliau hanyalah bersifat peribadi. Anwar hanya ada satu cita-cita, iaitu untuk menjadi Perdana Menteri. Nafsu serakah menguasai pemikiran beliau, tiada yang lagi penting daripada cita-cita 'suci' tersebut walaupun terpaksa menggadai negara ini dan menjual kaum sendiri.

Pas, parti politik yang berjuang atas landasan Islam (kononnya) pun turut terperangkap dalam permainan jijik Anwar. Pas seolah-olah terpukau, terpana, terpaku dengan kehebatan Anwar menjual 'kelentong' beliau. Pas yang selama ini 'berperang' dengan DAP sanggup pula berganding menjadi satu, menggadai maruahnya untuk berjuang menentang saudara seIslam sendiri.

Ternyata dalam cinta tiga segi Pas-PKR-DAP, parti yang paling rugi ialah Pas. Semua tahu matlamat utama Pas adalah untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Dan, jika diizinkan Allah mereka ini menang dan dapat menubuhkan kerajaan, apa mungkin DAP akan menurut kemahuan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam?

Bak kata Karpal Singh, 'Langkah mayat saya dulu'. Betullah kata orang, bila 'bercinta' kentut pun bau wangi. Anwar dalam apa cara sekalipun akan pastikan 'kentut' DAP sentiasa wangi bagi Pas. Pakatan Rakyat bimbingan beliau tidak boleh berpecah, kerana bila berpecah maka berkecailah cita-cita 'suci' menjadi Perdana Menteri.

Namun dalam kisah cinta the three beast ini sudah pasti ada pihak yang paling beruntung. Tidak lain, tidak bukan sudah tentunya DAP. Dalam protes jalanan , 1 Ogos 2009 lepas, tanpa perlu mengerahkan jenteranya DAP telah berjaya menggerakkan hampir 10,000 macai untuk 'berjuang' bagi kepentingannya. Paling menarik macai-macai DAP ini semuanya orang Pas dan PKR. Sikap Yes Bos Pas inilah yang sebenarnya menjadi kesukaan DAP.

Namun sampai bila? Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang. DAP hanya menunggu masa untuk menghancurkan Pas. Setelah matlamat dan cita-citanya tercapai, Pas akan diludah, diterajang keluar daripada Pakatan Rakyat oleh cintanya DAP.

Tapi dalam semua ini, siapa yang benar-benar rugi?

Suara Politik
Taminsari

Isu Selangor : MB Khalid perlu minta maaf pada rakyat Selangor?



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Selangor. Menurutnya, Menteri Besar Selangor itu sering berbohong dan memberikan kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Noh berkata, sebelum ini beliau mendedahkan bahawa Universiti Selangor (Unisel) mengalami kerugian sejak kerajaan negeri pakatan pembangkang mengambil alih, namun dinafikan oleh Abdul Khalid.

"Ketika itu, beliau (Abdul Khalid) mendakwa laporan kewangan Unisel sedang diaudit oleh juruaudit dalaman dan akan diumumkan keputusan Ogos lalu.

"Namun, sampai sekarang beliau gagal melakukannya. Hari ini terbukti apabila Laporan Audit 2011 keluar, ternyata dakwaan saya (mengatakan Unisel rugi) sebelum ini adalah benar," katanya.

Noh berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan Taj Mahal Agro Industries di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang mendedahkan kewangan Unisel mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM37.63 juta pada 2010.


Noh turut membidas Exco Pertanian Selangor, Mohd. Yaakob Sapari yang mengeluarkan kenyataan tanpa kajian dan turun padang.

"Beliau menuduh projek pengairan sawah padi yang dilaksanakan kementerian tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.

"Namun, kenyataan Mohd. Yaakob itu dinafikan Pengarah Wilayah Barat Laut, Muhammad Nasir Khusairi yang mendapati projek tersebut sememangnya telah mendapat kelulusan," katanya.

Beliau berkata, sikap Mohd. Yaakob sama seperti Abdul Khalid yang hanya mahu mencari salah kerajaan BN terdahulu dan sengaja mempolitikkan isu.

"Kalau Mohd. Yaakob 'gentleman', dia juga kena minta maaf secara terbuka kerana menipu rakyat. Exco dan menteri besar sama sahaja," katanya.

Noh sebelum ini meminta kerajaan negeri tidak menghalang pelaksanaan projek pengairan di negeri ini dengan pelbagai kerenah birokrasi. Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hashim Abdullah dan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Anuar Kasman.

Perjanjian itu ditangani bagi menjalin kerjasama antara Nafas dengan Taj Mahal dalam meningkatkan bekalan makanan untuk haiwan ternakan. Beliau berkata, Abdul Khalid tidak layak menerajui Selangor kerana sering bercakap putar-belit dan tidak jujur kepada rakyat.

"Saya cabar Abdul Khalid membuat kenyataan bahawa laporan audit itu bohong. Bagaimana beliau mahu mentadbir Selangor kalau asyik menipu sahaja?," katanya dengan nada sinis.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Antara amanat Hadi dan kerjasama DAP


Mampukah Abdul Hadi Awang menyakinkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menerima undang-undang Islam yang diperjuangkan Pas?

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila DAP Kedah sekali lagi menegaskan akan menentang undang-undang berunsurkan Islam jika mahu dilaksanakan di negeri itu. Sebenarnya, penentangan DAP terhadap sebarang usaha sedemikian bukanlah perkara baru sejak mereka menjalani kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Di Selangor, sebelum ini kita juga menyaksikan bagaimana DAP menentang langkah Pas melalui Datuk Dr. Hasan Ali yang ketika itu Exco Kerajaan Negeri untuk melarang jualan arak di kedai-kedai serbaneka.

Malahan kita juga sudah mengetahui bagaimana kerasnya penentangan DAP melalui pemimpin-pemimpin kanannya terhadap perjuangan Pas untuk menegakkan negara Islam dan hukum hudud.

Tetapi malangnya Pas masih lagi mahu bekerjasama dengan DAP sehinggakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa parti itu akan meneruskan kerjasama dengan DAP bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Alasan Nik Abdul Aziz mudah iaitu Pas memerlukan sokongan undi bukan Islam dan kenyataan beliau disambut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang yakin kerjasama dengan DAP tidak akan merugikan parti itu pada masa depan malah strategi itu memberikan harapan ke arah kemenangan lebih besar.

Kedua-dua pemimpin itu sepakat bahawa Pas mahukan sokongan dan undi kaum Cina, justeru kerjasama dengan DAP perlu dipertahankan. Tambahan pula seperti mana kata Abdul Hadi, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP kerana beliau percaya kebangkitan Pas secara beransur-ansur adalah hasil usaha seumpama itu.

Berdasarkan kepada hujah Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz jelaslah, Pas kini berada dalam kedudukan yang terdesak untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

Oleh itu mahu tidak mahu mereka terpaksa menjalin kerjasama dengan DAP dan berpakat dengan PKR biarpun perjuangan Islam Pas menjadi taruhan. Jika benar Pas masih mahu memperjuangkan Islam dan menegakkan hukum hudud, sudah pasti mereka akan meninggalkan DAP yang sejak dulu, kini dan mungkin selamanya akan menghalang cita-cita Pas itu.

Bayangkanlah, kalau hendak memasang papan iklan yang menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung pun ditentang oleh DAP seperti mana berlaku di Kedah, bagaimana dengan soal-soal pelaksanaan hukum Islam yang lebih besar? Apakah Pas akan berupaya untuk berhadapan dengan penentangan DAP itu, jika pakatan pembangkang menenangi pilihan raya umum akan datang?

Sebab itu kita ingin bertanya, apakah Pas boleh memberi jaminan bahawa Pas itu tidak akan berada kategori dalam apa yang pernah dilafazkan oleh Abdul Hadi pada 7 April 1981 di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu.


Masih ingatkah amanat ini, ''Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.''

Persoalannya, apakah Pas begitu yakin bahawa DAP akan menyokong mereka untuk menghapuskan apa yang dianggap oleh Abdul Hadi Perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah itu?

Selain itu bagaimana pula dengan surah Ali Imran ayat 28 yang suatu ketika dulu 'diambil separuh-separuh' oleh pemimpin-pemimpin Pas untuk memburuk-burukkan kerjasama UMNO dengan parti-parti bukan Islam seperti MCA dan MIC.

Ketika itu, pemimpin Pas hanya mengambil ayat berkenaan separuh sahaja iaitu, ''Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun....,.

Sedangkan sambungan ayat itu seterusnya bermaksud, ''.... kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali".

Tetapi kini mungkin pemimpin-pemimpin Pas tidak akan mengulangi gelagat membaca surah berkenaan 'separuh-separuh' kerana mereka sudah 'berpeluk rapat ' dengan DAP dalam satu selimut, satu tilam dan berkongsi bantal biar pun mimpi-mimpi lain.

Pada masa ini, penulis percaya biar pun apa juga yang dilakukan oleh DAP terhadap Pas termasuk menentang keras perjuangan Islam, Pas tetap akan bertolak-ansur dan menerima dengan rela.

Pemimpin-pemimpin Pas yang membuat kenyataan kononnya mereka akan tetap melaksanakan hukum hudud dan meneruskan perjuangan Islam hanyalah retorik.

Sebenarnya, kenyataan bahawa Pas masih lagi dengan dasar dan perjuangan Islamnya adalah strategi politik parti itu untuk mengaut sokongan daripada umat Islam serta memastikan Pas tidak dilihat sudah tergelincir daripada hala tuju perjuangan asalnya.

Tetapi dalam masa yang sama, perjalanan politik Pas sejak bersahabat dengan DAP menunjukkan sejauh mana keberanian Pas untuk terus mempertahankan perjuangan Islamnya. Dan apa yang berlaku di Kedah sudah menjadi bukti bahawa DAP tidak akan berkompromi dalam soal Islam yang ingin diperjuangkan oleh Pas.

Walaupun dari satu segi, Pas jauh lebih berwibawa dan berkemampuan daripada DAP, tetapi Pas bersedia menjadi bak kata pepatah 'melukut di tepi gantang' dalam pakatan semata-mata untuk memburu kuasa.

Sebab itulah Ahli Pas seumur hidup, Datuk Shahnon Ahmad menegaskan, sepatutnya, DAP perlukan Pas dan bukan sebaliknya. Bagaimanapun pemimpin-pemimpin utama Pas sendiri tidak mahu menyebut perkara itu, sebaliknya lebih rela mempertegaskan bahawa Pas perlu DAP untuk meraih undi bukan Melayu khususnya orang Cina.

Pas ternyata sudah menunjukkan betapa mereka begitu kemaruk untuk berkuasa sehinggakan apa pun yang akan dilakukan oleh DAP, mereka akan terima dengan hati terbuka.

Dalam soal ini, penulis ingin menasihatkan kepada penyokong-penyokong Pas tidak usahlah mereka bermuram durja apatah lagi mahu memperotes terhadap kerjasama parti itu dengan DAP.

Semua itu hanya sia-sia, sebaliknya berikutan ketegasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dalam mempertahankan kerjasama dengan DAP, maka mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk berkempen habis-habisan untuk DAP meraih sokongan orang Melayu.

Maklumlah itu sebagai 'timbal balik' kepada harapan pemimpin Pas untuk melihat DAP berkempen bagi parti itu dalam meraih sokongan masyarakat Cina.

Justeru mereka perlu menjadi ahli atau penyokong setia yang berpegang kepada prinsip 'kami dengar kami patuh' bagi memastikan kemenangan DAP, biar pun perjuangan Islam Pas - satu perjuangan yang menjadi tarikan utama mereka menyokong parti itu - selepas ini entah ke mana.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Oktober 21, 2012

Isu Selangor : Pangsapuri Desa Ria diabaikan oleh kerajaan negeri Selangor?


Murid-murid tabika di Pangsapuri Desaria menerima kesan paling teruk kerana masalah paip kumbahan yang pecah berdekatan dengan kelas mereka.

Setiap hari, dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, kira-kira 20 orang murid tabika hanya berkurung di dalam kelas tanpa berpeluang melakukan aktiviti luar darjah. Saban hari juga, guru mereka tidak pernah membuka cermin dan pintu kelas sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.

Bukannya tiada kawasan lapang, tetapi murid-murid Tabika Pangsapuri Taman Desa Ria di PJS 5 itu terpaksa berbuat demikian kerana kawasan itu tidak sesuai untuk mereka bermain.

Ini kerana pihak pentadbiran sekolah itu bimbang untuk membenarkan mereka keluar kerana kawasan permainan itu tidak disenggara dengan sempurna. Yang paling merisaukan mereka ialah terdapat saluran paip pembentungan yang bocor di situ sehingga mengeluarkan bau busuk dan berisiko mendatangkan masalah kesihatan.

Masalah yang berlarutan sejak dua minggu lalu itu tidak menemui jalan penyelesaian malah keadaan bertambah teruk apabila limpahan air najis semakin bertambah. Selain mencemarkan bahagian hadapan tabika itu, limpahan tersebut turut memberi kesan kepada seluruh penghuni enam blok pangsapuri tersebut yang didiami lebih 2,000 penduduk.

Malah, bukan sahaja masalah itu yang menghantui mereka, sampah yang tidak diuruskan dengan sempurna, rumput dibiarkan panjang dan masalah longkang tersumbat juga seakan sudah sebati dengan mereka sejak empat tahun lalu.

Tambahan pula, keadaan longkang yang tersumbat itu memberi peluang kepada nyamuk Aedes membiak dan menyerang penghuni sehingga terkena jangkitan denggi.

Penduduk mendakwa, pihak-pihak berkaitan termasuk pemaju yang menguruskan pangsapuri itu serta pihak berkuasa tempatan tidak mengendahkan aduan yang dibuat mereka selama ini.

Menurut mereka, ahli majlis yang dilantik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memantau kawasan itu juga tidak pernah muncul sejak sekian lama.

Suara Politik
Taminsari

Zulfahmi Catat Sejarah Raih Podium Moto3!



Zulfahmi Khairuddin berjaya mencatat sejarah apabila kejayaannya hari ini merangkul tempat kedua kategori Moto3. Pelumba Jerman Sandro Cortese dari pasukan Red Bull KTM Ajo merangkul kejuaraan Moto3 selepas mencatatkan masa terpantas 40 minit 54.123 dalam perlumbaan 18 pusingan Grand Prix Motosikal Malaysia.

Zulfahmi Khairuddin dari pasukan AirAsia-SIC-Ajo dengan masa 40’54.151s, manakala penunggang Jerman Jonas Folger dari Mapfre Aspar Team Moto3 di tempat ketiga dengan masa 40’54.370s.


Semalam Zulfahmi mencatat masa terpantas pada kelayakan untuk menempah petak pertama dan dia berkeyakinan untuk mencipta kejayaan podium hari ini. Keputusan cemerlang itu juga sebagai hadiah hari lahir buat Zulfahmi yang genap usia 21 tahun, semalam dengan catatan masa dua minit, 13.885 saat meninggalkan Jonas Folger dari pasukan Mapre Aspar Team 2’14.151s.


Apapun kejayaan anak kelahiran Banting, Selangor itu yang mencatat sejarah menjadi pelumba Malaysia pertama melakar keputusan cemerlang itu turut disambut dengan sorakan gembira daripada para penonton yang menyaksikan kelayakan tersebut. Tahniah untuk Zulfahmi Khairuddin.

Sementara itu seorang lagi pelumba negara Hafizh Syahrin mendapat tempat keempat perlumbaan Moto2. Hafizh Syahrin Abdullah mencuri tumpuan apabila menduduki tempat keempat pada perlumbaan Moto2 di GP Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini.

Berlumba atas tiket wildcard, penunggang pasukan Petronas Raceline Malaysia berusia 18 tahun itu memulakan perlumbaan di petak ke-27 sebelum dengan penuh yakin memintas para pelumba berpengalaman lain.


Malahan di satu peringkat, dia berjaya mendahului perlumbaan beberapa pusingan sebelum menamatkan perlumbaan di belakang Alex De Angelis dari pasukan NGM Mobile Foward Racing, Anthony West (QMMF Racing Team) dan Gino Rea (Federal Oil Gresini Moto2 Suter). Tahniah Hafizh Syahrin.

Berikut adalah Keputusan Moto3

1.Sandro Cortese (GER) Red Bull KTM Ajo 40 minit 54.123 saat
2.ZULFAHMI KHAIRUDDIN(MAL) AirAsia-Sic-Ajo 40’54.151s
3.Jonas Folger (GER) Mapfre Aspar Team Moto3 40’54.370s
4.Luis Salom (SPA) RW Racing GP 41’02.626s
5.Miguel Oliveira (POR) Estrella Galicia 0,0 41’02.797s
6.Danny Kent (GBR) Red Bull KTM Ajo 41’03.458s
7.Alex Rins (SPA) Estrella Galicia 0,0 41’13.096s
8.Efren Vazquez (SPA) JHK t-shirt Laglisse 41’19.542s
9.Niklas Ajo (FIN) TT Motion Events Racing 41’24.837s
10.Adrian Martin (SPA) JHK t-shirt Laglisse 41’24.886s
11.Arthur Sissis (AUS) Red Bull KTM Ajo 41’25.009s
12.Brad Binder (RSA) RW Racing GP 41’25.142s
13.Jack Miller (AUS) Caretta Technology 41’25.348s
14.Alex Marquez (SPA) Ambrogio Next Racing 41’25.436s
15.Niccolo Antonelli (ITA) San Carlo Gresini Moto3 41’25.772s
16.Jakub Kornfeil (CZE) Redox-Ongetta-Centro Seta 41’25.838s
17.Alessandro Tonucci (ITA) Team Italia FMI 41’25.913s
18.Alberto Moncayo (SPA) Andalucia JHK t-shirt Laglisse 41’26.270s
19.Isaac Vinales (SPA) Ongetta-Centro Seta 41’33.487s
20.Romano Fenati (ITA) Team Italia FMI 41’39.947s
21.Alan Techer (FRA) Technomag-CIP-TSR 41’40.745s
22.John McPhee (GBR) Caretta Technology KRP 41’40.795s
23.Toni Finsterbusch (GER) Racing Team Germany 41’40.913s
24.Luca Amato (GER) Mapfre Aspar Team Moto3 42’03.209s
25.Josep Rodriguez (SPA) Moto FGR 42’09.857s
26.Giulian Pedone (SWI) Ambrogio Next Racing 42’27.840s
27.Kenta Fujii (JPN) Technomag-CIP-TSR 42’27.934s
28.Armando Pontone (ITA) Ioda Team Italia 42’48.237s
Danny Webb (GBR) Mahindra Racing 19’36.752s
Louis Rossi (FRA) Racing Team Germany FTR 11’24.542s
Riccardo Moretti (ITA) Mahindra Racing 2’30.073s


Keputusan Moto2

1.Alex De Angelis RSM (FTR) 36m 57.793s
2.Anthony West AUS (Speed Up) 36m 58.503s
3.Gino Rea GBR (Suter) 36m 59.156s
4.Hafizh Syahrin MAL (FTR) 37m 0.734s
5.Julian Simon SPA (Suter) 37m 5.376s
6.Andrea Iannone ITA (Speed Up) 37m 7.855s
7.Mika Kallio FIN (Kalex) 37m 20.871s
8.Bradley Smith GBR (Tech 3) 37m 24.750s
9.Dominique Aegerter SWI (Suter) 37m 27.856s
10.Esteve Rabat SPA (Kalex) 37m 29.307s
11.Pol Espargaro SPA (Kalex) 37m 29.539s
12.Scott Redding GBR (Kalex) 37m 34.901s
13.Toni Elias SPA (Kalex) 37m 36.420s
14.Axel Pons SPA (Kalex) 37m 36.888s
15.Ricard Cardus SPA (AJR) 37m 38.479s
16.Yuki Takahashi JPN (FTR) 37m 38.550s
17.Tomoyoshi Koyama JPN (Suter) 37m 39.652s
18.Marcel Schrotter GER (Bimota) 37m 44.553s
19.Jesko Raffin SWI (Kalex) 38m 8.505s
20.Elena Rosell SPA (Speed Up) 38m 15.600s
21.Marco Colandrea SWI (FTR) 38m 17.113s
22.Ratthapark Wilairot THA (Suter) 38m 25.074s
23.Simone Corsi ITA (FTR) 38m 39.658s

Pelumba Republik San Marino, Alex De Angelis dari pasukan NGM Mobile Forward Racing memenangi gelaran Moto2 selepas mencatatkan masa terpantas 36 minit 57.793 saat dalam Grand Prix Motosikal Malaysia. Tempat kedua menjadi milik pelumba Australia, Anthony West dari pasukan QMMF Racing Team dengan masa 36:58.503s manakala pelumba Great Britain, Gino Rea dari pasukan Federal Oil Gresini Moto2 di tempat ketiga dengan catatan masa 36:59.156s.

Suara Politik
Taminsari

Berapa kos bawa masuk William, Joseph dan apa hubungan Anwar dengan Suaram?



Pakatan pembangkang digesa menyatakan jumlah keseluruhan kos yang perlu ditanggung bagi membawa masuk dua peguam Perancis yang ditugaskan untuk memberi taklimat kepada ahli Parlimen mengenai isu pembelian kapal selam Scorpene.

Perkara itu merupakan isu utama untuk diketengahkan dan bukannya mengenai pembelian kapal selam yang telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rakyat mempunyai hak untuk tahu siapa yang membiayai kos-kos seperti perjalanan, penginapan serta yuran guaman kedua-dua peguam tersebut, William Bourdon dan Joseph Breham dan apa hubungan Anwar dengan Suaram?

Persoalannya mengapa Anwar tergesa-gesa meninggalkan perbahasan bajet di Parlimen semata-mata hendak menjemput kedua-dua peguam tersebut! Siapa pula yang membiayai Anwar ke Perancis?

Dilihat pihak pembangkang memang suka mengelirukan rakyat dan tidak memberikan gambaran serta maklumat yang betul. Banyak perkara yang tidak berasas!

Isu pembelian kapal selam seharusnya tidak timbul lagi memandangkan segalanya telah diselesaikan malah Mahkamah Perancis turut menolak permohonan pembangkang mengenai isu pembelian Scorpene.

Pembelian yang dibuat daripada segi perundangan dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Dalam penjelasan Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa rancangan membeli kapal selam itu dibuat sejak 1991 lagi dan pada 1995 Kementerian Kewangan memberi kelulusan dengan mengikut harga yang ditetapkan Kerajaan Perancis.

Dan pada ketika itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan dan beliau yang menandatangani dokumen kelulusan pembelian kapal Scorpene itu! Sila baca di sini.

Tindakan pihak pembangkang menjemput peguam asing untuk memberikan taklimat mengenai isu rasuah dalam pembelian Scorpene menunjukkan mereka mahu pihak luar campur tangan dalam hal ehwal politik dan undang-undang negara.

Suara Politik
Taminsari

Isu selangor : Nilai hartanah Talam melambung empat kali ganda?



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung penilaian tanah milik Talam Corporation Berhad (Talam) yang melonjak empat kali ganda daripada RM90.875 juta kepada RM391.986 juta.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta itu adalah satu situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, SPRM perlu memainkan peranan mereka setelah mendapat maklumat berhubung perkara tersebut dengan melakukan siasatan terhadap kerajaan Selangor.

"SPRM juga perlu cepat bertindak ke atas maklumat atau laporan yang membabitkan pakatan pembangkang, sebelum ini SPRM dilihat hanya bertindak tegas berhubung kes-kes melibatkan kerajaan sahaja, sehubungan itu mereka perlu berlaku adil dalam situasi ini.

"Abdul Khalid digesa supaya menjelaskan bagaimana harga penilaian tanah-tanah milik Talam dibuat sehinggakan melonjak empat kali ganda dan mengapa beliau menandatangani surat pengambilan hutang Talam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai harga hartanah milik Talam yang dipersoal oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini.

Selain itu, Hamidzun turut mendesak supaya Abdul Khalid membeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) daripada pemiliknya dengan harga empat kali ganda seperti mana pengambilalihan hutang talam.

"Jika mampu, belilah rumah PKNS daripada pemilik sekarang yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan pinjaman dengan harga empat kali ganda seperti mana pengambilalihan hutang Talam tersebut.

"Jika mempunyai sumber kewangan yang kukuh gunalah ia untuk kesejahteraan rakyat, bantulah golongan yang memerlukan dan bukannya membantu pemilik Talam yang umum tahu sudah kaya-raya," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, Oktober 20, 2012

Sejarah 1977 mengapa PAS disingkirkan dari BN?



Penulis mendapati di pihak kerajaan dan BN, tiada usaha yang begitu serius dan meluas dalam menceritakan 'kisah benar' di sebalik tuduhan dan cerita dongeng yang didendangkan PAS.

Ada dalam kalangan rakyat yang menjumpai dan menginsafi fakta sebenar PAS dikeluarkan dari BN. Fakta ini merupakan kebenaran yang tidak seharusnya disenyapkan pihak BN demi merungkai rasa benci dan menyampah rakyat yang bersifat melulu lantaran dengan naifnya tertelan gula-gula penipuan juak PAS ini.

Kini banyak suara di peringkat akar umbi, di seluruh pelosok negara mahukan agar kisah ini disebarluaskan. Gunakan media cetak, media massa dan media baharu sebaik-baiknya dalam menterjemahkan suratan sejarah yang sebenar-benarnya. Kongsikan dengan rakyat mengapa pada tahun tersebut pimpinan PAS melucutkan jawatan Datuk Haji Mohammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Disini diceritakan juga mengapa kerajaan BN pimpinan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, terpaksa 'menceraikan' PAS atas sebab musabab keselamatan dan keamanan di negeri Kelantan. Dihuraikan juga intipati ucapan Hussein Onn pada tahun tersebut yang berkait secara langsung dengan tindakan biadab PAS yang tidak memegang aspirasi kerjasama apabila berada dalam kerajaan BN.

Ikutilah ucapan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Terlebih dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.

Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti.

Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi.

Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.

Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan.

Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja.

Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu.

Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik.

Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri.

Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO.

Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain?

Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini?

Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.

Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah."

Komen tambahan dari penulis :

Antara punca sebenar krisis kelantan 1977 adalah berpunca dari pihak PAS itu sendiri. Malah didalam portal PAS pusat itu sendiri menyatakan bahawa ianya bermula apabila timbulnya ketidakpuasan hati PAS terhadap Menteri Besar ketika itu, Dato' Muhammad bin Nasir.

Yang tidak diceritakan oleh PAS:

1 - Ada diantara pemimpin PAS Kelantan memfitnah dan menuduh Dato' Muhammad bin Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN. Hakikatnya pada ketika itu UMNO-BN tidak pernah campurtangan dalam mencorak pemerintahan PAS (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan PAS Kelantan masih ditangan kuasa majoriti Dewan Undangan Negeri.

2 - Malah pada ketika itu juga terdapat usaha dalam PAS untuk menjatuhkan Presiden PAS (ketika itu) Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda. Usaha menjatuhkan Datuk Mohd Asri hanya kerana beliau adalah tokoh PAS yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1973.

3 - Asas yang digunakan oleh sebahagian pemimpin PAS Kelantan (ketika itu) untuk menolak Datuk Mohd Asri dan Dato' Muhammad Nasir, hanya kerana selepas PRU 1973, PAS mempunyai kuasa majoriti dgn 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara PAS dan UMNO.

4 - Dalam tempoh (1973-1978) Datuk Mohd Asri selaku Presiden PAS dan Dato' Muhammad Nasir telah dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan PAS di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli-ahli PAS yang tidak berpuashati dengan perpaduan PAS-UMNO.

5 - Krisis Kepimipinan PAS Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar, Dato'Haji Muhammad Nasir. Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan itu sendiri.

6 - Sementara Datuk Mohd Asri mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung PAS, desakan yang datang dari beberapa pimpinan PAS antaranya Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' Pas Pusat Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau akhirnya mengumumkan perletakan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982.

7 - Krisis Kepimpinan PAS Kelantan 1977 ini yang membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978. Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yang dibuat oleh PAS Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dengan alasan yang diberi oleh PAS Kelantan itu dengan mendakwa perkara itu merupakan soal rumah-tangga PAS.

8 - Tumbangnya Dato' Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam PAS, telah menyebabkan berlakunya rusuhan yang dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu. Rusuhan ini telah mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

9 - Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein Onn didalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku Perdana Menteri ketika itu, belau harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan diKelantan mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain dan menggekang rusuhan seperti peristiwa 13 Mei berulang.

10 - Pada November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

11 - Rang undang-undang Darurat Kelantan dirangka bersama menteri-menteri PAS yang ketika itu masih lagi bersama-sama UMNO dalam jemaah Menteri. Dan ianya diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dari kalangan menteri PAS sendiri.

12 - Setelah Kelantan dibawah Darurat, Datuk Mohd Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan PAS terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat yang dari awal begitu lantang menentang gabungan PAS-BN.

13 - Hasil dari desakan itu, Haji Hassan Adli Arshad selaku Timbalan Yang DiPertua Agung PAS dijadikan 'kambing hitam PAS' apabila beliau dipecat oleh Datuk Mohd Asri yang kononnya beliau menjadi ketua menteri-menteri PAS yang menyokong rang undang-undang Darurat.

14 - Malah beberapa pimpinan PAS yang menentang gabungan PAS-UMNO ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan PAS-UMNO, menentang setiap arahan dan perlaksanaan kemajuan yang dilakukan BN di Kelantan.

15 - Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin PAS ini, telah menyebabkan UMNO terpaksa membuka tali yang mengabungkan PAS-UMNO.

16 - Rentetan dari itu juga menyebabkan 'Krisis dalaman PAS' yang kepada perpecahan PAS pada beberapa parti serpihan seperti BERJASA dan HAMIM.

17 - Keluarnya PAS dari gabungan BN-UMNO, telah menyaksikan satu PRK Kelantan diadakan pada Mac 1978.

18 - Pada PRK Mac 1978, rakyat menjadi gempar setelah pekong yg selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan PAS diantaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan bahawa PAS cuba menggadaikan Negeri Kelantan.

Dengan apa yang dihuraikan diatas, maka terserlahlah apa yang diceritakan selama ini bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) 'angkat kaki' dari kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1977 dahulu disebabkan oleh 'sifat kejam' dan 'tikam belakang' kerajaan terhadap PAS pada masa itu adalah pembohongan semata-mata.

Kerana itulah jika kita lihat apabila ada sahaja usaha untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan antara parti politik UMNO dan BN bersama PAS tidak lama dulu, akan ada suara sumbang daripada juak PAS mendendangkan lagu dan ceritera dongeng yang sama, bahawa kerajaan BN telah 'menganaktirikan' PAS suatu ketika dulu.

Impaknya, rakyat marhain yang tidak berusaha untuk mengkaji dan menelusuri sejarah silam dan mengorek cerita sebenar akan menelan bulat-bulat cerita dongeng juak PAS ini. Hakikatnya, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan BN tidaklah bersifat kejam sebagaimana yang disandiwarakan oleh pihak PAS sekarang.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Punca Pas disingkir dari BN perlu didedahkan!















Rakyat acap kali dimomokkan dengan cerita bahawa Parti Islam SeMalaysia (Pas) 'angkat kaki' dari kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1977 dahulu disebabkan oleh 'sifat kejam' dan 'tikam belakang' kerajaan terhadap Pas pada masa itu.

Kerana itulah, apabila ada sahaja usaha untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan antara parti politik UMNO dan BN bersama Pas tidak lama dulu, akan ada suara sumbang daripada juak Pas mendendangkan lagu dan ceritera dongeng yang sama, bahawa kerajaan BN telah 'menganaktirikan' Pas suatu ketika dulu.

Impaknya, rakyat marhain yang tidak berusaha untuk mengkaji dan menelusuri sejarah silam dan mengorek cerita sebenar akan menelan bulat-bulat cerita dongeng juak Pas ini. Hakikatnya, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan BN tidaklah bersifat kejam sebagaimana yang disandiwarakan oleh pihak Pas sekarang.

Tetapi kelihatannya di pihak kerajaan dan BN, tiada usaha yang begitu serius dan meluas dalam menceritakan 'kisah benar' di sebalik tuduhan dan cerita dongeng yang didendangkan Pas.

Ada dalam kalangan rakyat yang menjumpai dan menginsafi fakta sebenar Pas dikeluarkan dari BN. Fakta ini merupakan kebenaran yang tidak seharusnya disenyapkan pihak BN demi merungkai rasa benci dan menyampah rakyat yang bersifat melulu lantaran dengan naifnya tertelan gula-gula penipuan juak Pas ini.

Kini banyak suara di peringkat akar umbi, di seluruh pelosok negara mahukan agar kisah ini disebarluaskan. Gunakan media cetak, media massa dan media baharu sebaik-baiknya dalam menterjemahkan suratan sejarah yang sebenar-benarnya. Kongsikan dengan rakyat mengapa pada tahun tersebut pimpinan Pas melucutkan jawatan Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Ceritakan juga mengapa kerajaan BN pimpinan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, terpaksa 'menceraikan' Pas atas sebab musabab keselamatan dan keamanan di negeri Kelantan. Lebih elok lagi, huraikan juga intipati ucapan Hussein Onn pada tahun tersebut yang berkait secara langsung dengan tindakan biadab Pas yang tidak memegang aspirasi kerjasama apabila berada dalam kerajaan BN.

Ini secara langsung diyakini dapat membuka mata hati dan pemikiran rakyat untuk menyedari bahawa mereka selama ini tertipu dengan cerekarama dan dongeng klasik yang seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan BN 'dulu, kini dan selamanya' adalah kejam terhadap parti Pas dan juga terhadap rakyat.

Setidak-tidaknya juga usaha 'membuka pekung di dada' Pas ini juga akan menutup mulut busuk mereka yang sewenang-wenangnya menyebarkan penipuan terhadap kerajaan BN dalam kalangan penyokong mereka dan rakyat amnya. Semoga Tuhan akan terus merahmati negara Malaysia ini dan melindungi rakyatnya daripada pertelagahan, penindasan dan perpecahan.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Membongkar perangai Pok Nik @ Nik Aziz!


Pada suatu ketika dulu, semasa menjelang dan selepas PRU-10 (tahun 1999), Nik Aziz Nik Mat mencabar Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad supaya meletakkan jawatan Perdana Menteri kerana didakwanya Mahathir sudah tua dan nyanyuk, sentiasa uzur.

Nik Aziz kata lagi, jika Mahathir letak jawatan pada hari ini, esok ambo (saya) pula letak jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Sila baca di sini.

Mahathir telah letak jawatan pada tahun 2003. Hingga ke hari ini pun, sudah lebih 9 tahun Mahathir letak jawatan, Nik Aziz masih belum letak jawatan lagi walaupun sudah tua dan nyanyuk seperti apa yang dia pernah kata kepada Mahathir dahulu.

Ada ulama-ulama berpendapat, di antara orang-orang fasik ialah orang- orang yang suka berjanji tetapi tidak suka menunaikannya, atau sanggup memegang amanah tetapi tidak berpegang kepada amanah itu.

Sebenarnya ajaran agama yang boleh dikategorikan sebagai sesat yang dibawa oleh penceramah dan penyokong Pas ialah dikatakan jika orang-orang itu mati dalam UMNO maka dia akan dimasukkan ke neraka. Jika orang-orang kita mati dalam Pas akan dimasukkan ke syurga.

Bab mati ini, harap-harap kita akan mati dalam Islam sahajalah, dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah SWT.

Sesetengah Mat Rempit pun ada berkata bahawa mereka juga akan dimasukkan ke syurga jika mati kemalangan semasa merempit kerana 'mati di jalan yang lurus'.

Dalam al-Quran ada ayat menyuruh kita berbuat baik, jangan berbuat jahat dan terus beribadat kepada Allah. Dalam al-Quran juga ada ayat menyuruh kita berlumba-lumbalah membuat kebaikan.

Setelah berakhirnya PRU DUN Sarawak Ke-10 pada 16 April 2011 yang lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan sombong bahawa BN kehilangan banyak kerusi DUN di Sarawak.

Kenapa pula beliau tidak sebut yang Pas langsung tidak menang apa-apa kerusi DUN? Sebelum itu ada seorang pemimpin Pas Sarawak berkata, penyertaan Pas dalam PRU DUN Sarawak adalah untuk berdakwah.

Pelik bunyinya! Namun orang Islam Sarawak menolak Pas secara baik. Tetapi Nik Aziz sakit hati dan mengeluarkan kenyataan "orang Sarawak bodoh pakai cawat". Dulu Nik Aziz ada berkata kepada orang di Tenang, Johor yang menolak Pas dalam PRK DUN N5 Tenang sebagai "orang Arab Jahiliah".

Nik Aziz sudah tua, sebaik-baiknya bercakaplah elok-elok sikit melambangkan kita ini ulama, berimej Islam yang tinggi melalui pakaian serban, berjubah dan berjanggut. Ini tidak, tua-tua pun mulut masih jahat dan sewajarnya malulah kepada generasi muda. Harap Nik Aziz boleh faham suara daripada tulisan orang muda ini.

Pada tahun 1990 selepas Nik Aziz mengangkat sumpah sebagai MB Kelantan, kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Nik Aziz ialah perempuan tidak boleh bekerja malam di Kelantan. Semua pemimpin Pas sokong. Sila baca di sini.

Persoalannya, bagaimana pihak hospital kerajaan atau klinik swasta yang semua doktor wanita atau jururawat wanita tidak bekerja malam untuk menghadapi ibu hendak beranak?

Adakah doktor lelaki atau pembantu hospital lelaki yang perlu ditugaskan menyambut kelahiran itu? Atau adakah kita meminta dan menyuruh ibu tersebut tunda beranak hingga ke pagi esok?

Selepas itu Nik Aziz kata perempuan cantik tak perlu kerja kerana perempuan cantik akan dilamar segera dan boleh berkahwin. Tetapi di pejabat MB, TMB, Exco-Exco semuanya terdiri daripada wanita-wanita cantik belaka.

Nik Aziz juga ada berkata bahawa orang perempuan tidak boleh jadi pemimpin tetapi hari ini dibolehkan pula. Ramai wanita di kalangan Muslimah Pas menjadi calon PRU atau PRK dan ada yang dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Dulu semasa mula-mula memerintah Kelantan, suara wanita adalah aurat! Maka mereka tidak dibenarkan menyertai Tilawah Al-Quran. Sekarang selepas 20 tahun dibenarkan pula dengan alasan mengatakan mereka mengambil masa yang lama untuk mendidik muslimah di Kelantan?

Hukum Islam atau Fatwa yang keluar daripada mulut Nik Aziz itu sentiasa berubah-ubah mengikut seleranya dan dengan itulah maka ramai orang berkata, Pas itu adalah sebuah parti politik yang membawa ajaran yang berubah-ubah.

Orang bukan Islam yang makan daging 'kz' 3 kali sehari dinobatkan sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Tak logik langsung. Orang-orang UMNO punya satu kiblat dengannya dikatakan kafir kerana tidak menyokong partinya dan bermacam- macam lagi. Kita tidak boleh berpecah-belah dalam agama kerana ini memang ada larangan daripada Allah. Rujuk al-Quran Surah Al-An'Aam Ayat 159 dan ikrar kita di ayat seterusnya, Ayat 160 hingga 163.

Nik Aziz juga pernah berkata bahawa beliau tidak minta pun dilahirkan sebagai orang Melayu. Nik Aziz juga ada berkata bahawa Islam tolak kebangsaan. Kata-kata Nik Aziz itu seolah-olah dia menentang penciptaan Allah kepadanya. Dalam al-Quran ada satu surah bernama 'Pencipta' iaitu Surah Faatir. Surah Faatir Ayat 1 ada menerangkan penciptaan Allah. Adakah Nik Aziz tidak membaca al-Quran?

Adalah menjadi hak Allah untuk mencipta sesuatu. Allah cipta kita sebagai orang berbangsa Melayu, Jepun, Bugis dan bangsa-bangsa lain. Sila baca di sini.

Di Kelantan Nik Aziz sebagai MB, ada sebuah jabatan kerajaan negeri bernama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, adakah itu bukan kebangsaan. Di negeri sendiri pun ada unsur-unsur Kebangsaan. Seorang Exco baru Selangor daripada Pas pun memegang Exco yang ada kaitan dengan Kebangsaan.

Fikir-fikirkan lah...Wallahuallam!

Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Oktober 19, 2012

Isu Selangor : Khalid didesak jelaskan hubungan 'istimewa' dengan Ah Chye?



Menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak memberi penjelasan tentang hubungan istimewa beliau dengan Talam Corporation Bhd. (Talam) dan Pengerusinya, Tan Sri Chan Ah Chye.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Mohamad Johari Yasin berkata, penjelasan tersebut perlu dibuat kerana beberapa tindak tanduk Abdul Khalid mustahil dapat dilakukan tanpa pertimbangan istimewa.

Transaksi pembelian tanah-tanah itu cukup menimbulkan keraguan munasabah. Bagaimana hartanah yang dinilai sebanyak RM95 juta dibayar pada harga RM391.986 juta?

Apa istimewanya Ah Chye kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kalau tiada hubungan istimewa, perkara itu tidak akan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas hartanah Talam yang didakwa dibeli lebih empat kali ganda berbanding harga pasaran RM90 juta.

Berikutan itu, Mohamad Johari mencabar Abdul Khalid supaya memperinci transaksi tersebut seperti yang didakwa oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Mohamad Johari yang turut mempersoalkan kewibawaan Abdul Khalid dalam meluluskan transaksi tersebut tidak menolak Menteri Besar itu mahupun PKR mungkin mendapat sesuatu.

Perkara ini bukan mustahil bagi Abdul Khalid dan PKR demi politik mereka," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamad Johari berkata, jika Abdul Khalid boleh memberi bantuan istimewa kepada Talam, Menteri Besar Selangor itu juga didesak membantu golongan miskin dan pembeli yang tidak mampu melunaskan hutang rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor seperti bantuan yang dinikmati Ah Chye.

Tetapi, untuk memastikan golongan berkenaan mendapat bantuan yang adil seperti Ah Chye yang kaya-raya itu, saya cabar Khalid membantu membeli hartanah itu dengan nilai empat kali ganda berbanding harga pasaran, sama pengambilalihan tanah-tanah Talam.

Itu baru adil kerana rakyat miskin memang berhak dan layak untuk dibantu oleh Kerajaan Selangor dan Khalid," tegas beliau.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Riak dan ego seorang Tok Guru, 'Tiada yang layak sebagai Mursyidul Am Pas'?



Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan dalam satu majlis bahawa tiada siapa dalam Pas yang layak menggantikan beliau untuk memegang jawatan Mursyidul Am.

Sumber dalaman Pas berkata, walaupun Nik Abdul Aziz yakin bahawa terdapat beberapa calon yang layak menggantikannya bagi menjawat jawatan Menteri Besar, namun beliau melihat sebaliknya bagi jawatan Mursyidul Am.

Menurut sumber itu, Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika berucap di hadapan barisan pimpinan Pas Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan sebelum beliau berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

"Dalam ucapan dalam satu majlis di Putik di hadapan pimpinan Pas Kelantan selepas PRU-12 dan sebelum beliau menunaikan umrah, Nik Abdul Aziz berkata, beliau melihat tidak ada siapa dalam Pas yang layak untuk menggantikan beliau sebagai Mursyidul Am Pas," kata sumber tersebut ketika dihubungi, di sini.

Beberapa pihak sebelum ini menggesa supaya Nik Abdul Aziz berundur dari kedudukannya selaku pemimpin tertinggi parti itu kerana dilihat sering mengeluarkan kenyataan memenangkan DAP walaupun sekutunya itu jelas menentang dasar perjuangan Pas.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad antara individu yang lantang menggesa Nik Abdul Aziz berundur dari jawatan tersebut.

Ini kerana, menurut Ismail, Nik Abdul Aziz gagal bertindak secara mursyid sehingga terikut-terikut dengan rentak dan percaturan politik golongan 'Anwarinas'.

Terbaru, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali turut menggesa supaya Nik Abdul Aziz menyerahkan jawatannya itu kepada Timbalannya, Datuk Haron Din.

Kenyataan itu dibuat Hasan yang juga Presiden jati ekoran Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa Pas tetap akan bekerjasama dengan DAP demi mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun mendapat tentangan daripada ahli Pas di peringkat akar umbi.

Suara Politik
Taminsari