Pada 16 Februari lalu, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengumumkan penukaran nama Universiti Industri Selangor (Unisel) kepada Universiti Selangor berkuat kuasa serta merta.
Ia dilihat sebagai satu penjenamaan semula kepada institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu setelah kira-kira 12 tahun penubuhannya. Penubuhan universiti itu pada 1999 asalnya adalah idea bernas kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mungkin kerajaan negeri sekarang tidak mahu lagi rakyat mengenang bahawa pembinaan universiti itu adalah hasil kejayaan pembangunan yang dilaksanakan oleh BN sebelum ini.
Inilah hakikatnya seperti apa yang selalu diperkatakan iaitu " lembu punya susu, sapi dapat nama " dan amat malang sekali apabila " susu " tersebut telah dicemari oleh si sapi!
Timbul persoalan adakah penjenamaan semula itu benar-benar seiring dengan kedudukan semasa universiti itu atau ia sekadar perubahan kosmetik yang dilakukan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Atau ia sekadar satu propaganda atas nama imej baru bagi menutup pelbagai masalah yang melanda Unisel sejak pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada 2008.
Apa sebenarnya yang ingin ditonjolkan melalui penjenamaan semula yang dibuat ala 'mi segera' itu dalam keadaan pengurusan universiti dikatakan belum bersedia sepenuhnya. Adakah ia sekadar perubahan logo dan nama?
Kita boleh berkunjung ke kampus utama Unisel di Bestari Jaya dan kampus Shah Alam di Seksyen 7 untuk menyaksikan apakah perubahan yang hendak sangat ditonjolkan itu.
Ketempangan sudah kelihatan beberapa hari sebelum pengumuman penukaran nama Unisel apabila pengumuman pelantikan Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru dilakukan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali.
Sepatutnya pengumuman itu dilakukan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atau paling tidak Menteri Besar sendiri. Sumber dalaman menyebut baginda murka dengan tindakan tersebut.
Difahamkan penyerahan watikah pelantikan canselor itu dijadual disempurnakan oleh baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 1 Mac ini.
Apa guna penjenamaan semula sekiranya Unisel berada dalam keadaan tenat sejak diambil alih oleh kerajaan PKR. Universiti itu kini menderita akibat kerugian yang ditaksirkan hampir RM60 juta sejak hampir tiga tahun lalu sehingga membuatkan ia terpaksa menggunakan dana rezab universiti.
Difahamkan Unisel sekarang sudah berada di bawah pemantauan setiausaha syarikat yang diletakkan di Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang turut memantau perjalanan anak-anak syarikat kerajaan negeri yang bermasalah.
Pentadbiran Abdul Khalid sudah pasti tidak akan membiarkan Unisel muflis. Abdul Khalid akan menerima malu besar jika sebuah universiti di Selangor terpaksa ditutup kerana rugi. Lantas tiada jalan lain kecuali beliau terpaksa membelanjakan dana negeri untuk menyelamatkan universiti itu.
Jika ini berlaku, mungkin kerajaan negeri terpaksa menutup pusat pendidikan negeri lain bagi menampung perbelanjaan sebagaimana dilakukan ke atas Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Sabak Bernam.
Pada satu sisi, kerajaan negeri cuba memberikan gambaran pelantikan canselor yang baru bukan dari kalangan orang politik bagi menunjukkan mereka tidak mahu mempolitikkan sistem pendidikan di Selangor, selain menyahut saranan mahasiswa Unisel yang mahu universiti itu diterajui oleh tokoh yang tidak terbabit dalam politik.
Namun pada masa yang sama, sebenarnya Unisel kini diperkudakan untuk kepentingan politik PKR apabila ramai tenaga pentadbiran dilantik daripada kalangan kroni parti itu. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sendiri dengan bangga menyatakan Unisel adalah satu-satunya universiti yang membenarkan beliau masuk untuk berceramah.
Kegiatan politik PKR dalam Unisel merimaskan para kakitangan dan pengurusan universiti berkenaan serta ibu bapa pelajar. Ini termasuk apabila mereka turut dikerah untuk menyertai majlis pelancaran Buku Jingga di Selangor pada bulan depan.
" Apa kaitan kami sebagai kakitangan Unisel dengan program politik PKR. Tetapi apa boleh buat, kami terpaksa mengikut arahan," kata seorang kakitangan universiti itu dalam nada kesal.
Selain itu, banyak program universiti dilakukan tanpa perancangan teliti hingga mengakibatkan banyak usaha menaikkan prestasi Unisel terbantut. Sumber dalaman menyebut tentang kegagalan perancangan penubuhan Fakulti Biomedik apabila pada sesi pengambilan Julai ini, hanya terdapat seorang pelajar mendaftarkan diri setelah ratusan ribu ringgit dibelanjakan bagi membeli kelengkapan dan pengambilan pensyarah.
Kemalapan Unisel turut dikongsi oleh Setiausaha MIC Selangor, K. Parthiban yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok. Beliau pernah mengalahkan Abdul Khalid dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 2007 sebelum DUN itu dimenangi oleh Abdul Khalid dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Bagi beliau, penjenamaan semula Unisel tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada pelajar dan universiti kecuali kepada kroni-kroni Abdul Khalid yang akan diberi projek-projek percetakan, pemasangan papan tanda, landskap dan alat pejabat yang baru.
Beliau juga menyifatkan melalui penukaran nama Unisel, Abdul Khalid sebenarnya cuba menutup masalah-masalah yang melanda universiti itu dengan propaganda imej baru.
Parthiban mendakwa, Unisel sebenarnya menghadapi masalah besar apabila kadar kemasukan pelajar ke universiti itu merudum teruk dengan anggaran lebih 50 peratus bagi setiap kemasukan.
Data terkini menunjukkan Unisel mempunyai kira-kira 12,000 pelajar termasuk pelajar luar negara, sedangkan satu ketika dahulu, difahamkan kadar permintaan memasuki universiti itu mencecah 20,000 pelajar.
" Kekurangan pelajar yang serius ini dipercayai berpunca daripada hilangnya kredibiliti Unisel sebagai pusat pendidikan tinggi yang boleh diyakini masyarakat.
" Secara umumnya, ibu bapa tidak lagi mahu menghantar anak-anak ke Unisel kerana ia dilihat sebuah institusi pendidikan yang dipolitikkan," kata Parthiban.
Mengimbau kembali penubuhan Unisel di Bestari Jaya ketika zaman BN, beliau menjelaskan pembinaan universiti itu bertujuan menjadi pemangkin keseluruhan kawasan tersebut terutamanya DUN Ijok.
" Selepas pembukaannya, banyak rumah-rumah kosong dipenuhi pelajar dan tenaga pengajar yang menyewa. Kedai-kedai di pekan Bestari Jaya juga mulai merasa tempias pembangunan universiti ini.
" Boleh dikatakan sejak dibuka, Unisel di Bestari Jaya berjaya menjana ekonomi setempat seperti mana yang berlaku di Sintok, Kedah apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) dibuka beberapa dekad lalu," katanya.
Justeru katanya, apabila Abdul Khalid terpilih menjadi Menteri Besar, penduduk DUN Ijok berharap pembangunan dan perkembangan Unisel akan bertambah pesat.
" Namun... datang lihatlah sekarang, Bestari Jaya sudah tidak meriah dahulu. Menteri Besar bukan sahaja gagal membawa pembangunan lain di sini, Unisel pula kian malap dan dirundung masalah.
" Kekurangan pelajar menyebabkan kawasan tersebut tinggal sepi. Ramai orang tempatan yang dulu berpeluang mendapat kerja di Unisel kini semakin ramai terpaksa diberhentikan," katanya.
Beliau mendapati kerajaan negeri sudah tidak mempunyai idea tersendiri bagi meneruskan kecemerlangan Selangor dalam bidang pendidikan.
" Apa yang mereka mampu buat hanya membuat perubahan-perubahan kosmetik terhadap kejayaan BN. Lebih malang, perubahan-perubahan yang cuba dilakukan tidak lebih seperti tikus membaiki labu.
" Hakikatnya, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Demikian juga masalah-masalah Unisel tidak boleh diselesaikan dengan menukar nama," katanya.
Adakah Unisel bakal mengalami nasib yang sama seperti Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Sabak Bernam yang terpaksa ditutup! Sama-samalah kita tunggu dan lihat.-UM
Suara politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan