Pergerakan Pemuda UMNO negeri dan Gagasan Antipenyelewengan Selangor (GAPS) hari ini menyerahkan bukti penyelewengan terbaru yang didakwa dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM80,500 yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri bagi membiayai 100 bilik hotel untuk para perwakilan Kongres PKR di Petaling Jaya pada 26 hingga 28 November tahun lalu.
Dua pertubuhan tersebut juga menyerahkan beberapa dokumen berkaitan sebagai bukti antara lainnya dokumen yang menggunakan kepala surat Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepada sebuah hotel, bil, invois dan resit rasmi pembayaran bilik hotel itu.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Engku Salleh Engku Jamal berkata, ini bukan kali pertama penyalahgunaan wang rakyat dilakukan oleh kerajaan negeri bagi tujuan kepentingan parti.
"Kini sekali lagi mereka menggunakan wang rakyat untuk membiayai penginapan perwakilan PKR menerusi MBI yang jelas sebagai satu bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
"Jadi hari ini kami membuat laporan dan menyerahkan bukti yang ada kepada SPRM agar ia dapat disiasat bagi membolehkan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan kepada SPRM di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini hari ini.
Engku Salleh mendakwa penyelewengan itu dilakukan tanpa rasa bersalah oleh pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Sebelum ini harta rakyat telah difaraidkan kepada penyamun-penyamun pasir dalam isu skandal pasir negeri dan kemudian ratusan ribu ringgit lagi dibelanjakan untuk membela Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang kini berdepan dengan dakwaan menghasut," katanya.
Menurutnya, Pemuda UMNO dan GAPS kesal dengan tindakan Abdul Khalid yang membenarkan wang rakyat digunakan untuk kepentingan parti.
Sehubungan itu beliau menggesa, Abdul Khalid dan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan segera atas kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.
Tambah beliau, Pemuda UMNO dan GAPS akan terus mendedahkan penyelewengan yang dilakukan kerajaan PKR negeri agar rakyat boleh menilai dan tidak tertipu dengan janji manis mereka sebelum ini.
Ditanya bagaimana Pemuda UMNO dan GAPS memperoleh bukti-bukti tersebut, Engku Salleh berkata, dokumen-dokumen tersebut dihantar oleh orang tidak dikenali ke pejabat mereka.
Selepas sidang akhbar, Engku Salleh dan Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin serta beberapa anggota pertubuhan tersebut kemudian menaiki lif menuju pejabat SPRM yang terletak di tingkat 7 wisma berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.- UM.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan