Sabtu, Januari 22, 2011

Usul pindaan perlembagaan Selangor : Cubaan MB Khalid untuk menghadkan kuasa Sultan!

Pentadbiran MB Khalid Ibrahim sejak dari awal menganggap pelantikan SUK baru Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai satu 'serangan' politik kepada mereka. Alasannya pelantikan itu membelakangkan Menteri Besar. Dilihat isu SUK ini telah dieksploitasi dengan sebegitu jauh sehingga meresahkan rakyat negeri Selangor.

Isu Khalid tidak “mengiktiraf” SUK baru ini sebenarnya adalah dendam kepada bekas Pengarah JAIS itu. Khalid memberikan alasan, dia mempunyai tiga calon SUK yang semuanya mempunyai rekod mutu kerja yang lebih tinggi daripada Mohamad Khursin. Siapa mereka itu? Sampai hari ini Khalid tidak mendedahkannya.

Maka kita tertanya-tanya apakah calon-calon itu datangnya dari Selangor tetapi tidak pernah memegang jawatan lebih tinggi daripada Mohamad Khusrin. Bagaimana Khalid boleh menilai rekod mutu kerja calon-calon ini kalau beban jawatannya lebih rendah daripada Khusrin? Malah apabila dipilih oleh Khalid, sudah tentu calon-calon itu terdiri daripada orang politik atau proksi politik sealiran dengannya.

Pelantikan SUK adalah sah dari segi undang-undang dan ia telah diperkenankan oleh baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Abdul Khalid juga mengakui pelantikan itu sah tetapi beliau masih berkeras enggan menerima Khusrin. Dengan khabarnya, beliau amat kecil hati kerana tidak dimaklumkan pelantikan tersebut.

Akibat marahkan nyamuk, kelambu hendak dibakarnya. Maka pentabdiran Khalid tiada jalan lain kecuali membuat tindakan paling sukar dengan mencadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri 1959. Sedangkan beliau menyedari pakatan PKR, DAP dan Pas tidak memiliki majoriti dua pertiga untuk membolehkan pindaan itu diluluskan.

Mereka berhujah pindaan itu penting bagi mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar untuk membuat pelantikan jawatan SUK, Penasihat Undang-Undang negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Di sini jelas pakatan pembangkang cuba menukar rentak permainan dengan menyatakan mereka memperjuangkan kuasa sultan agar dikembalikan.

Pindaan berkenaan hakikatnya bagi membolehkan Menteri Besar mempunyai kuasa melantik SUK termasuklah kuasa menasihati Sultan Selangor. Pindaan ini dibuat kerana Menteri Besar tidak ada kuasa dalam melantik SUK. Sebenarnya Menteri Besar bukan mahu memberikan kuasa kepada Sultan Selangor, tetapi dia mahukan kuasa dalam keputusan yang dibuat oleh baginda melalui ‘nasihat daripada Menteri Besar’. Disinilah dilihat bagaimana MB Khalid cuba menghadkan kuasa Sultan sebenarnya dan bukan " mengembalikan " kuasa Sultan!

Pindaan satu perenggan itu membabitkan peruntukan agar cadangan pelantikan SUK dan tiga jawatan tertinggi negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memerlukan pertimbangan daripada Menteri Besar. Disini kita nampak tiada bezanya peruntukan undang-undang yang sedia ada kecuali peruntukan Sultan perlu mendapatkan nasihat daripada Menteri Besar? Bermakna peruntukan yang sedia ada sudah baik dan selama ini tidak pernah membelakangkan Sultan dan baginda sendiri telah memilih Mohammed Khusrin menjadi SUK.

Jadi disini tidak timbul soal UMNO atau BN menolak atau tidak menghormati sultan sebaliknya yang 'menderhaka' adalah kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid kerana sampai sekarang enggan menerima pelantikan SUK yang telah direstui oleh baginda!

Khusrin mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menjalankan tugasnya sebagai SUK termasuk untuk turut serta dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri. Bagaimanapun, beliau perlu mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar. Beliau perlu diberikan hak untuk berbuat demikian.

Dalam undang-undang yang sedia ada, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperuntukkan kuasa melantik SUK tetap menghormati kedudukan Sultan Selangor apabila mempersembahkan senarai calon SUK untuk diperkenankan oleh baginda. Amalan yang dilakukan oleh SPA itu jelas menunjukkan suruhanjaya itu menghormati kedudukan Sultan Selangor yang mempunyai kuasa eksekutif. Jadi apa gunakan pindaan tersebut kerana amalan sekarang kedudukan baginda terus dihormati.

Berdasarkan prosedur sebenarnya pelantikan SUK sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah faktor tidak puas, bahawa Khusrin dianggap bukan 'orang' Abdul Khalid.?

Apa yang menghairankan adalah bagaimana timbul soal 'kembalikan' kuasa Sultan kerana dengan perkataan kembalikan sudah pasti ada tindakan menarik balik sebelum itu. Soalnya bilakah berlaku penarikan balik kuasa sultan?

Apa yang terjadi semasa pindaan 1993 ketika di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah soal mengurangkan kekebalan raja-raja dari segi kesalahan jenayah manakala bagi kes sivil tiada undang-undang boleh diambil ke atas raja-raja.

Sebaliknya, bagi pelantikan SUK di Negeri Negeri Melayu Bersekutu termasuk Selangor, sejak dari dulu ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Ini berbeza dengan kedudukan di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, pelantikan pegawai kerajaan divisyen tertinggi terletak kepada kuasa negeri.

Khalid telah mengelirukan rakyat bahawa meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor seolah-olah sama dengan meminda perlembagaan “pakatan kenduri kahwin.” Sekalipun sekiranya Khalid mendapat sokongan dua pertiga ADUN, pindaan itu mesti mendapat perkenan Sultan Selangor. Adakah sekali lagi Khalid tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor? Satu lagi, kalau pelantikan SUK memang memerlukan persetujuan Menteri Besar, untuk apa dibuat pindaan pada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor?

Maknanya dalam amalan sebelum ini, Menteri Besar tidak perlu dirujuk bagi pelantikan SUK selepas Sultan Selangor memberi perkenan. Sebelum ini tidak menjadi isu pun siapa yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjadi SUK. Bukan di Selangor malah di negeri-negeri lain juga berjalan dengan licin. SPA bukan sebuah parti atau badan politik. Hanya kebetulan SPA berada bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Khalid telah memperbodohkan rakyat terutama pembangkang bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa menentukan siapa menjadi SUK. Padahal jawatan ini tidak ada kena mengena dengan politik. Ini adalah jawatan kerajaan Persekutuan di negeri-negeri. Tetapi pembangkang yang sebahagian besar tidak berfikir di luar kotak terpengaruh dengan rentak politik cara begini.

Rakyat Selangor mesti segera sedar. Tanpa hubungan kerja yang licin antara SUK dengan Menteri Besar, segala perancangan pentadbiran tidak akan bergerak. Khalid tetap menolak SUK sekalipun telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebelum ini. Khalid yang turut hadir ke majlis mengangkat sumpah tetap tidak “merestui” Mohamad Khusrin sedangkan Sultan Selangor telah “merentui”. Kebiadapan begini bukanlah ciri-ciri pemimpin yang diperlukan oleh rakyat Selangor.

MB Khalid seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak cuba mempolitikkan isu perlantikan SUK yang baru ketahap ini. Dikuatiri ianya akan menjadi tindakan sia-sia yang akan menjejaskan urusan kerajaan dan ini tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Selangor amnya. Sebaliknya ia hanya menjaga EGO seorang Menteri Besar. Yang ketara tujuan Khalid ialah hanya untuk memperkasakan diri beliau sebagai Menteri Besar dan bukan untuk tujuan lain.

Timbul pula persoalan disini apabila terdengar desas-desus yang mengatakan ada dalang disebalik kekecohan dalam isu perlantikan SUK yang baru ini.

Difahamkan oleh orang Istana, sebenarnya Sultan Sharafuddin telah pun meminta MB Khalid berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan JPA mengenai calon SUK, sebelum nama Khusrin disebut lagi. Tapi Menteri Besar tidak buat apa yang dititah. Namun selepas nama Khusrin disebut, dan mungkin kerana kemarahan konco-konco dalam DAP dan PKR yang terkejut Khusrin dilantik, maka barulah Khalid melatah.

Penulis ingin bertanya kepada MB Khalid, Exco DAP, PKR dan Pas mengapa anda semua amat bencikan Khusrin? Soalan ini belum dijawab lagi sampai sekarang.

Yang kita tahu semasa Khusrin merajui JAIS, beliau banyak membantah perkara-perkara ‘gila’ yang diminta oleh Exco-Exco Selangor. Ia termasuklah soal wang zakat yang mahu diagihkan kepada penganut agama lain, saiz rumah ibadat agama lain yang tiada had, isu azan, selain isu ceramah politik di masjid dan surau.

Kebencian terhadap Khusrin ini sehinggakan Khalid sanggup mahu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi memberi kuasa kepada mereka untuk menentukan siapa yang mahu mereka lantik.

Tapi kita bimbang, jika Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dipinda kelak maka, Sultan akan terus dipermainkan. Pada masa itu Sultan akan diminta mempersetujui saja apa yang dikehendaki oleh orang seperti Khalid yang di belakangnya juak-juak DAP dan PKR yang mempunyai kepentingan.

Apa yang penulis nampak, DAP lah sebenarnya dalang disebalik kekusutan isu SUK yang berlaku sekarang sehingga menyebabkan Khalid bakal mengadakan sidang DUN tergempar pada hari Isnin, 24 Jan nanti. Khalid sebenarnya telah dijadikan kuda tunggangan oleh DAP untuk terus mencengkam kuasa di Selangor tanpa disedari oleh rakyat!

Khalid menolak nama Khusrin kerana Khusrin tegas dalam mengimplementasi enakmen syariah negeri dan titah DYMM Sultan Selangor. Khusrin adalah pilihan DYMM tetapi tidak kepada DAP. Segala apa yang dilakukan oleh Khusrin selama ini adalah bertentangan dengan kehendak DAP!

Yang nyata DAP melalui Teresa Kok kini sudah mula bersuara! Ini menunjukkan siapa sebenarnya dibelakang Khalid dalam isu pelantikan SUK yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Tegas Teresa dalam kenyataannya baru-baru ini, " DAP Selangor akan mengambil langkah meminda semua perlembagaan negeri untuk memberi kuasa kepada mereka untuk melantik sesiapa sahaja yang mereka suka termasuk jawatan setiausaha kerajaan negeri".

Teresa telah mendedahkan butiran tersebut yang akan dibentangkan dalam sidang DUN pada 24 Januari ini, di sebuah forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH) di ibunegara baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri akan meminda Perkara 52 (1) perlembagaan negeri supaya tiga jawatan terpenting - setiausaha negeri, pegawai kewangan negeri dan penasihat undang-undang negeri - dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan awam Selangor.

Kerajaan negeri juga akan membentangkan satu lagi usul untuk membolehkan suruhanjaya perkhidmatan awam negeri, memilih dan menaikkan pangkat pegawai kanan perkhidmatan awam, seperti ditetapkan dalam Perkara 97 (1).

Yang peliknya Teresa Kok tidak pula menyatakan pindaan perlembagaan itu bagi memberi kuasa kepada Sultan Selangor! Inilah mainan DAP di Selangor membuktikan Khalid hanyalah boneka kepada DAP!

Sebenarnya helah Khalid untuk mengembalikan kuasa Sultan tidak ada sama sekali. Dengan meminda supaya Sultan dan MB yang memilih tiga jawatan tersebut, ia bermakna pemilihan jawatan kerajaan bukan melalui proses perkhidmatan awam tetapi melalui proses politik.

Khalid akan menggunakan pindaan 1993 Perlembagaan Persekutuan yang mana Sultan perlu terima cadangan dan pilihan Menteri Besar. Jika tidak terima selepas 30 hari, maka ia akan dikira diterima.

Jadi yang sebenar berkuasa ialah Khalid atau Menteri Besar dan bukan sebenarnya tuanku Sultan seperti dalam aturan sekarang. Bilamana MB Khalid yang dicucuk hidung ini berkuasa, ianya secara tidak langsung bermakna DAPlah yang sebenarnya berkuasa. Sama-samalah kita fikirkan. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam...

Blog sahabat telah saya linkkan di laman blog www.politikharian.blogspot.com , pohon jasabaik sahabat linkkan laman portal www.politikharian.com ke laman blog sahabat untuk mendapatkan informasi berita politik terkini. Terima kasih.

Salam Perjuangan.

p.s: lama menyepi sahabat...