Sabtu, Januari 08, 2011

OSK Research anggap tawaran air Selangor kurang menarik!

Tawaran itu lebih rendah dari tawaran Splash sebelum ini untuk menggabungkan aset air negeri itu dengan kos RM10.75 bilion - OSK

OSK Research menganggap tawaran terbaru melebihi RM9 bilion bagi membeli empat pemegang konsesi air negeri itu sebagai kurang menarik.

Laporan berita berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, telah membuat tawaran baharu untuk membeli keempat-empat pemegang konsesi itu.

Pemegang konsesi itu ialah Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (Abass).

Cadangan itu bertujuan membeli 100 peratus saham syarikat-syarikat ini pada harga RM64.62 bagi setiap saham PNSB, RM20.78 bagi saham Syabas, RM5.95 bagi saham Splash dan RM9.39 bagi saham Abass.

"Melihat daripada harga tawaran melebihi RM9 bilion itu, harga ini hampir menyamai, tetapi lebih rendah daripada tawaran Splash sebelum ini untuk menggabungkan aset air negeri itu dengan kos RM10.75 bilion.

"Ini menjadikan harga tawaran terbaru itu kurang menarik,” jelas OSK Research.

"Meskipun tawaran itu tidak memperincikan pendekatan nilaian kerajaan negeri itu, namun kami menganggap ia berkemungkinan didasarkan kepada nilai buku,” kata firma penyelidikan itu.

OSK Research berkata, bagaimanapun, tawaran itu merupakan petanda baik bagi sektor itu dalam erti kata tawaran baharu mencerminkan sedikit perkembangan berhubung penggabungan aset air negeri Selangor.

"Bagaimanapun, kami berpendapat tawaran ini ada sedikit kekurangan.

"Satu daripadanya, kami tidak pasti sama ada tawaran itu telah menjawab persoalan masa depan pemegang konsesi air yang terlibat dalam pengambilalihan itu,” kata firma itu lagi.

Suara Politik
Taminsari..

Tiada ulasan: