Sabtu, Januari 08, 2011

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!

Pembaziran kerajaan, swasta tanggung

Akhbar Nanyang Siang Pau terbitan 3 Januari lalu menyiarkan sebuah artikel mengenai majikan yang terpaksa menanggung kerugian ekoran kejayaan pasukan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada 29 Disember lalu.

Artikel bertajuk ‘Orang lain menang bola sepak majikan pula dihukum’ itu tersiar halaman A11 akhbar berkenaan.

Penulisnya yang juga seorang pengkritik isu-isu semasa, Wong Zi mempersoalkan rasionalnya kerajaan mengisytiharkan Jumaat lalu sebagai cuti umum bagi meraikan kemenangan pasukan bola sepak berkenaan.

Beliau berpendapat, luahan rasa gembira dengan kemenangan itu sama ada untuk tempoh semalaman, beberapa hari atau sebulan sudah memadai tanpa perlu adanya cuti umum. ‘‘Adakah kerana mahu bergembira sehinggakan seluruh negara tidak boleh bekerja?’’ soalnya.

Wong Zi berhujah, keputusan itu tidak wajar dibuat kerana ia bukannya menjadi amalan negara sebelum ini termasuk ketika pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei menduduki ranking tertinggi dunia dan ketika Datuk Nicol David diangkat sebagai pemain skuasy nombor satu dunia sebanyak beberapa kali.

‘‘Setiap kali mereka mencapai kejayaan ini, bukankah rakyat di negara kita turut sama bergembira? Bukankah kegembiraan ini sudah cukup memadai,’’ katanya.

Tegas beliau, rakyat di negara ini tidak langsung mengharapkan cuti umum kerana Malaysia memang sudah kaya dengan cuti-cuti bagi meraikan perayaan tiga kaum utama dan empat agama besar.

Beliau juga berpendapat cuti umum tambahan tidak diperlukan memandangkan produktiviti kakitangan kerajaan dan pekerja swasta sekarang yang rendah dan lembap serta daya saing mereka yang lemah.

‘‘Hanya kerana menang satu perlawanan bola sepak, produktiviti seluruh negara terhenti, pembaziran kerajaan ditanggung oleh rakyat, kos pihak swasta siapa yang bayar dan tanggung? Tidak dapat hantar barangan di hujung tahun, tidak dapat kemas kini akaun, rakyat kena mengadu dengan siapa?’’ soalnya.

Ujarnya, ada orang yang suka menyepak bola, ada orang yang suka menonton bola, ada orang suka berjudi perlawanan bola sepak. Ini semua kegemaran masing-masing, tetapi majikan yang menanggung kos dan dianggap menjadi pesalah jika tidak memberikan cuti umum kepada pekerja. ‘‘Adakah kita mentadbir negara ini hanya kerana untuk suka-suka sahaja?’’ soalnya lagi.

Masalah di Terminal Bersepadu Selatan

Masalah yang timbul ekoran pembukaan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan , Kuala Lumpur turut mendapat reaksi Nanyang Siang Pau. Artikel bertajuk ‘Infrastruktur kelas pertama pengurusan kelas ketiga’ disiarkan di ruangan editorial akhbar berkenaan bertarikh 4 Januari lalu.

Menurut akhbar berkenaan, TBS yang dibina dengan kos RM570 juta adalah bagi memudahkan perjalanan dan pengurusan 1,917 bas dari selatan tanah air. Bangunan berkenaan disifatkan sangat indah dengan pemandangan dan kemudahan disediakan seperti lapangan terbang antarabangsa. Pembukaan terminal itu juga disifatkan melambangkan satu era baru kepada industri pengangkutan di negara ini.

Ia mempunyai skrin televisyen besar bagi mempaparkan waktu perjalanan bas serta pondok polis serta kaunter-kaunter yang menempatkan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). TBS turut dilengkapi dengan ruang menunggu teksi dan tempat letak kereta.

Bagaimanapun, lapor akhbar itu, pada hari pertama TBS beroperasi pada 1 Januari berlaku pelbagai masalah termasuk pertelagahan antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan Maju Terminal Management and Services (Maju-Tmas) yang mengurus terminal berkenaan mengenai tarikh pembukaannya.

Masing-masing bertelagah, satu pihak menyatakan ia akan mula beroperasi pada 2 Februari tahun ini dan satu pihak lagi berkata ia akan beroperasi pada 1 Januari, sehingga menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang menguruskan terminal berkenaan.

Lapor akhbar itu, pada hari pertama ia dibuka, berlaku masalah besar apabila hanya lapan syarikat bas sahaja yang beroperasi sedangkan sepatutnya 51 syarikat. Ini menyebabkan pihak LPKP naik berang dan membuat tuduhan melulu dan membuta-tuli terhadap pihak pengurusan Maju-Tmas yang didakwa tidak membuat persediaan secukupnya. Sikap LPKP yang tidak mahu mendengar keluhan daripada syarikat bas hanya mengeruhkan suasana.

Menurutnya, kebanyakan syarikat bas tidak berpuas hati dengan kadar yuran yang dikenakan dan kaedah baru sistem pembelian tiket. Ini menyebabkan mereka tidak setuju berpindah ke terminal baru itu. Syarikat bas menyatakan kadar yuran yang dikenakan adalah enam kali ganda lebih tinggi daripada Stesen Bas Puduraya.

Mereka juga tidak berpuas hati kerana LPKP hanya mengeluarkan permit beroperasi di TBS pada 30 Disember tahun lalu dan tarikh berpindah pula pada 1 Januari. Masa yang terlalu singkat itu adalah salah satu punca syarikat berkenaan tidak dapat berpindah.

‘‘TBS adalah salah satu contoh dan lambang stesen bas serba canggih dan kelas pertama tetapi pengurusannya kelas ketiga. Apa yang rakyat nampak sekarang ini semua kementerian dan jabatan kerajaan boleh keluarkan arahan yang berlainan. Selain itu, apa sahaja polisi baru kerajaan yang dilaksanakan tidak terlebih dahulu dibincangkan dengan rakyat kerana kerajaan kini bersikap kami tuan dan kamu rakyat jelata,’’ lapor akhbar itu.

Menurutnya, pegawai-pegawai kerajaan mungkin semuanya mempunyai kenderaan rasmi ataupun kenderaan peribadi sehingga langsung tidak mahu memahami kesusahan rakyat jelata yang memerlukan pengangkutan bas awam.

‘‘Tiket sudah ditangan tetapi tidak tahu di mana mahu naik turun bas? Menghantar dan mengambil penumpang di mana pula? Kita masih bernasib baik lapangan terbang kita tidak diuruskan oleh jabatan atau agensi ini. Jika tidak, akan jadi huru hara satu dunia,’’ ujarnya

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang

Akhbar Sin Chew Daily bertarikh 30 Disember pada halaman 30 berkongsi pandangan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor. Penulis Tiong Yi Lerk dalam artikel bertajuk ‘Analisis PRK Tenang antara parti pemerintah dan pembangkang’ berpendapat Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa di sana berikutan negeri itu adalah kubu kuatnya.

‘‘Pilihan raya kecil ini akan diadakan empat hari sebelum menjelang Tahun Baru Cina. Ia sudah tentu akan menjadi latihan amali kepada petugas jentera kempen BN bagi membolehkan mereka menghadapi pilihan raya umum akan datang, ‘’ katanya.

Beliau berkata, jentera kempen sudah pasti akan diterajui oleh UMNO dan MCA berikutan komposisi pengundi di kawasan itu yang majoritinya kaum Melayu dan Cina. Katanya, strategi yang akan digunakan di PRK Tenang tidak boleh serupa dengan strategi pilihan raya kecil yang lepas iaitu untuk menjawab segala tuduhan yang dibuat pihak pembangkang. Beberapa siri pilihan raya kecil terdahulu membuktikan, parti pemerintah tidak boleh melakukan kempen keterlaluan, kerana ia hanya akan mengundang padah.

Menurut penulis , tarikh pilihan raya pada minggu terakhir bulan Januari dengan jarak masa sebulan lagi, sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN. Jentera kempen serta sumber-sumber yang dimiliki gabungan berkenaan dilihat sudah bersiap sedia dan BN nampaknya berada pada kedudukan kukuh untuk menangkis serangan daripada pakatan pembangkang.

‘‘BN nampaknya telah bangun semula, terutama sekali selepas PRK Manik Urai yang menyaksikan calon Pas hanya menang tipis. BN mempunyai kelebihan di PRK Tenang kerana sengketa dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menerajui pakatan pembangkang masih belum tamat dan ramai pemimpinnya dijangka tidak dapat turun ke Johor untuk berkempen.

‘‘Kerana masalah ini, dijangka pakatan pembangkang akan menggerakkan jentera kempen Pas dan DAP sebagai pasukan penyerang. Kedua-dua parti ini, masing-masing akan turun ke kawasan orang Melayu dan Cina yang kini merupakan penyokong UMNO dan MCA,’’ katanya.

Beliau berkata, langkah menyerahkan kepada Pas dan DAP adalah berikutan PKR kini memberikan tumpuan untuk mempertahankan Selangor yang kini sedang diasak oleh UMNO. PKR masih belum selesa untuk terus mengekalkan kuasa di Selangor kerana berlaku banyak masalah dalaman.

‘‘Mungkin PKR akan tumpukan kekuatannya di Selangor, manakala kawasan selatan, utara dan pantai timur diserahkan kepada Pas dan DAP, yang masih mempunyai sumber dan kekuatan serta organisasi yang kuat. PKR terpaksa akur dengan pemilihan strategi-strategi tersendiri yang akan dilakukan oleh kedua-dua parti ini,’’ ujarnya

Tambah beliau, ada sesetengah pihak yang mahu PKR menghantar calon Melayu bertanding di PRK Tenang kerana merasakan calon parti itu lebih berpeluang untuk menang. Tetapi apa yang dibimbangi oleh parti berkenaan adalah perpecahan yang berlaku sekarang termasuk keluarnya Datuk Zaid Ibrahim akan menyebabkan orang Melayu daripada kalangan kelas menengah memprotes dan tidak mengundi calon PKR dalam pilihan raya.

Suara Politik
Taminsari..

Tiada ulasan: