Selasa, Mac 17, 2009

Sudah lebih Setengah Abad PAS Memusuhi UMNO!

Dalam menuju alaf baru ini, banyak perkara yang patut diambil kira oleh masyarakat Malaysia. Di samping berusaha berusaha menjadi sebuah negara yang serba membangun dalam bidang ekonomi, teknologi maklumat, sains dan teknologi, soal-soal dasar survival negara patut menjadi suatu hal penting dalam agenda kita.

Dalam hal ini, orang Melayu perlu berbuat sesuatu untuk menguatkan perpaduan mereka, walaupun dalam masa yang sama perbezaan pendapat politik di antara mereka tetap ada. Perpecahan mutlak di antara mereka akan membawa kehancuran kepada kedudukan dan kuasa politik yang dimiliki. Perpecahan di antara golongan kanan dan kiri Melayu antara 1946-1948 dan perpecahan ulama UMNO daripada badan induknya untuk membentuk Parti Islam Se-Malaya pada 1951, patut menjadi teladan.

Soal mementingkan pendapat sendiri ataupun menegakkan kepentingan sekumpulan kecil pemimpin Melayu sehingga perpecahan politik Melayu menjadi begitu ketara, patut dielakkan.Tanpa parti yang mengutamakan kepentingan Melayu sebagai modus operandinya, seperti di Singapura, nasib orang Melayu pada masa depan akan terancam. Tanpa ada parti yang kuat untuk menjadi wakil orang Melayu dalam setiap pilihanraya kebangsaan,kuasa politik yang tinggal sedikit ini akan musnah. Atas kesedaran ini UMNO dapat terus bertapak selama 62 tahun dalam politik negara ini.

Pergelutan politik Melayu secara tegas bermula dengan perebutan kuasa sebagai wakil politik Melayu kepada British, apabila Malayan Union diperkenalkan pada Januari 1946. Golongan kiri dan kanan cuba sedaya upaya bekerjasama dengan British supaya penjajah itu menerima mereka sebagai wakil orang Melayu. Malah, ada pihak telah bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya demi untuk mengalahkan lawannya walaupun kepentingan bangsa Melayu menjadi taruhannya.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada Oktober 1945 di Ipoh , Perak atas anjuran Parti Komunis Malaya, cuba menyatukan orang Melayu dalam politik. Dalam dasar Malayan United Front, Parti Komunis Malaya cuba menyatukan semua bangsa di Tanah Melayu untuk menyokong ideologi komunisme sebagai satu alternatif kepada sistem politik beraja yang dimiliki oleh masyarakat dan kerajaan negeri-negeri Melayu.

British pula cuba memperkenalkan sistem kerajaan republik dan unitary state kepada Tanah Melayu melalui Malayan Union. Segala sistem politik Melayu yang diterima oleh British sebelum Perang Dunia Kedua dihapuskan dengan meletakkan seorang Gabenor yang bertanggungjawab terus kepada Raja England.Tekanan dua kuasa besar ini menyedarkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu terhadap perlunya mereka bersatu tenaga dalam sebuah gerakan politik yang bersifat kebangsaan.

Soal parokialisme atau kenegerian yang menguasai politik orang Melayu selama ini cuba dilupakan. Seruan untuk bersatu itu mengatasi sempadan politik yang menguasai orang Melayu Semenanjung sejak awal kurun ke 20. Kongres Melayu 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 1-4 Mac 1946 di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar, menjadi benteng perpaduan Melayu yang memeranjatkan British dan pemerhati politik masa itu.

Perhimpunan bangsa Melayu yang paling bersejarah itu bersetuju menubuhkan UMNO, yang dirasmikan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946. UMNO dengan itu menjadi suara padu orang Melayu menentang Malayan Union. Parti radikal Melayu iaitu PKMM turut sama hadir untuk menubuhkan UMNO di Johor Bahru. Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PKMM sama-sama menandatangani Piagam UMNO 1946, Perlembagaan UMNO yang pertama. Inilah perpaduan yang pertama dan terakhir bangsa Melayu yang pernah dicatat oleh sejarah.

Namun , perpaduan ini tidak disenanagi oleh Parti Komunis Malaya. Berbagai-bagai helah dilakukan untuk memecahkan perikatan UMNO-PKMM ini. Melalui beberapa pemimpin kedua PKMM, Parti Komunis Malaya menjalankan jarumnya untuk menjadikan PKMM sebuah parti yang sentiasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan UMNO.

Hal pertama yang dibangkitkan ialah soal pendekatan politik UMNO. Pendekatan politik UMNO yang sederhana dan suka berunding itu dianggapnya kolot. Keduanya, UMNO dibidas kerana tidak menuntut kemerdekaan penuh daripada British; matlamat UMNO yang hanya mahu status quo tradisional Melayu ( kedudukan peribumi dan pengembalian takhta Raja-Raja Melayu ) dihidupkan semula sebelum menuntut kemerdekaan, dianggap terlalu remeh.

PKMM lebih suka sebuah republik dan kerakyatan sama rata kepada semua penduduk Tanah Melayu. UMNO dituduh tidak progresif. PKMM juga membangkitkan soal ketidakadilan UMNO dalam memberi undi/suara kepada parti besar dalam pengundian UMNO, ini tercetus dalam dalam soal pemilihan bendera UMNO. PKMM juga mempersoalkan kepimpinan UMNO yang terus dikuasai oleh golongan feudalis dan bukan rakyat biasa. Kesemua sungutan PKMM disebarkan dalam akhbar rasminya Pelita Malaya, yang berpusat di Kuala Lumpur. Musuh utamanya ialah Majlis yang menjadi jurucakap UMNO.

Parti Komunis Malaya secara terbuka menyokong PKMM dengan menuduh UMNO memanjangkan penjajahan British, tidak progresif dan feudalistic. Melalui desakannya, PKMM menarik diri dari UMNO pada Jun 1946, setelah hanya tiga bulan bekerjasama. Selepas penarikan itu, kerjasama di antara keduanya dipertingkatkan. UMNO dibidas bukan sahaja oleh Pelita Malaya, tetapi juga oleh Malaya Tribune yang memang bersimpati dengan gerakan radikal dan komunisme.

Pengaruh Parti Komunis Malaya terus mencengkam PKMM apabila kepimpinan Dr. Burhanuddin yang sederhana tidak disenanginya. Melalui dua kumpulan berbeza, iaitu kumpulan komunis PKMM dan golongan radikal Melayu PKMM, Parti Komunis Malaya berjaya meletakkan Ishak Mohamad sebagai Presiden PKMM manakala Dr. Burhanuddin hanya menjadi penasihat. Dengan kepimpinan lebih radikal, PKMM lebih cergas menentang UMNO.

Keupayaan UMNO bersama Raja-Raja Melayu meminta British membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu merancakkan permusuhan PKMM dengan UMNO. Dengan sokongan AMCJA ( All Council of Joint Action ) yang berpusat di Singapura yang diketuai oleh Tan Cheng Lock dan Parti Komunis Malaya, PKMM mengubah nama kepada PUTERA. Dengan nama dan kerjasama itu, golongan anti UMNO menegakkan prinsip demokrasi dan kerajaan republik serta membidas Perjanjian Persekutuan tidak demokratik dan progresif.

Kerakyatan jus soli kepada orang Melayu dianggap satu diskriminasi kepada bangsa lain. Kedudukan istimewa Melayu dipersoalkan. Pemulangan takhta dan negeri kepada Raja-Raja Melayu juga dibantah. Perjanjian Persekutuan 1948 dianggap pro-Melayu. Ia juga dianggap tidak progresif kerana kerana suara rakyat dan pilihanraya tidak diperkenalkan.

Konsep Malayan Malaya menjadi pegangan PUTERA dan sekutunya. Mereka mengemukakan perlembagaan 10 perkara untuk menentang UMNO, Raja-Raja Melayu dan British yang dinamakan Perlembagaan Rakyat. Ternyata prinsip utama sistem politik Melayu sebagai dasar politik Tanah Melayu ditolak oleh PUTERA-AMCJA-Parti Komunis Malaya, dan mendesak sistem politik sama rata diwujudkan. Kegagalan mendapatkan kedudukan politik sama rata itu telah menyebabkan pemulauan perniagaan diadakan diseluruh Tanah Melayu dan Singapura. Bagaimanapun, ini gagal mengubah pendirian British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.

Perjanjian Persekutuan 1948 yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu pada 21 Januari 1948 itu mengesahkan kejayaan UMNO dan mengetepikan PKMM/PUTERA sebagai wakil politik orang Melayu dalam kerajaan British. Parti Komunis Malaya yang gagal mendapatkan kuasa melalui cara perlembagaan, mengadakan pemberontakan bersenjata. British dan orang Melayu menentangnya sehingga 1960. Kekuatan perpaduan orang Melayu sederhana secara langsung mengalahkan golongan radikal kiri.

Parti Komunis Malaya juga menggunakan ulama yang bekerjasama dengan PKMM untuk menentang kekuatan perpaduan orang Melayu dalam UMNO. Berpusat di Gunung Semanggol, Padang Rengas, Perak, kumpulan radikal agama dan PKMM menubuhkan beberapa organisasi ekonomi, pelajaran dan agama untuk memberi alternatif kepada UMNO. Kepada golongan ulama radikal ini, UMNO hanya memperjuangkan kepentingan pembesar dan Raja-Raja Melayu tanpa membela nasib rakyat bawahan yang masih miskin, kurang pendidikan dan terbiar.

Walaupun ini tidaklah begitu tepat kerana UMNO juga mempunyai program-program untuk membaiki pendidikan, ekonomi, perniagaan dan soal kebajikan yang lain, tetapi bagi golongan radikal ini adalah pentas politik alternatif untuk menentang UMNO. Penubuhan Hizbul Muslimin sebagai sebuah parti politik Islam pada Mac 1948, memang merupakan tandingan terbuka kepada UMNO. Perpecahan Melayu kepada fahaman kanan, kiri/ radikal serta ulama menguntungkan Parti Komunis Malaya. Dengan begitu yakin ia melancarkan pemberontakan kerana kelemahan perpaduan orang Melayu.

Pengharaman parti-parti radikal Melayu dan Parti Komunis Malaya pada Julai 1948 dibawah Undang-Undang Darurat, telah meninggalkan parti UMNO sebagai parti tunggal dan penting untuk orang Melayu. UMNO cuba menyatukan semula orang Melayu dengan membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli API, PKMM, AWAS, BATAS, sebagai ahli UMNO. Kemasukan mereka menyebabkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada awal 1951 sebagai tanda perubahan matlamat perjuangan UMNO.

Keduanya, UMNO menubuhkan Perikatan Pemuda UMNO pada 1949 dengan tujuan menyatukan semua tenaga pemuda Melayu ke dalam UMNO. Ini juga melahirkan satu arena politik baru bagi bekas-bekas penyokong golongan radikal/kiri.Ketiganya, menyerap semua tenaga ulama, terutama yang beraliran radikal ke dalam UMNO. Persidangan ulama pertama dan kedua diadakan di kuala Lumpur dan Muar pada tahun 1950 dan 1951. Dalam persidangan di Kuala Lumpur, Persatuan Ulama Malaya ditubuhkan bagi memberi cadangan untuk kemajuan masyarakat Melayu.

Ini termasuklah soal penyelarasan pentadbiran Islam, penubuhan Universiti Islam dan lain-lain lagi.UMNO dengan itu telah menjadi parti yang sempurna sebagai tonggak politik Melayu. Namun, perbezaan idea dan permainan politik British, bukan Melayu dan rebutan kuasa pemimpin memecahkan UMNO kepada tiga parti besar. Datuk Onn meninggalkan UMNO untuk menubuhkan IMP. Persatuan Ulama Malaya pimpinan Ahmad Fuad membawa diri sebagai sebuah organisasi politik ulama dan dalam Mesyuarat September 1951 di Seberang Perai, persatuan itu menjadi Parti Islam Se-Malaya (Pas).

IMP kemudian menjadi Parti Negara, yang menjadi lemah dengan kematian Dato Onn pada 1962. Namun, Pas kekal sebagai parti saingan UMNO hingga kini.Perpecahan memang tidak akan menguntungkan survival bangsa Melayu terutama dalam masyarakat majmuk yang menggunakan sistem demokrasi dan Parlimen sebagai alat pentadbiran dan politiknya.

Keterbukaan yang tidak bertempat, perebutan kuasa dan kelalaian kepada perjuangan utama, tanpa mengambil kira kehidupan generasi Melayu akan datang dan perpecahan yang berlarutan akan menjadi senjata makan tuan kepada orang Melayu. Semangat bulan Mac 1946 patut menjadi indeks politik masyarakat Melayu Malaysia. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”

Suara Politik
Taminsari

7 ulasan:

Anon 00 berkata...

satu catatan yang sangat menarik dan wajar direnung semula tentang sejarah penubuhan parti-parti politik di negara ini...

biarpun akan ada suara-suara sumbang yang mengatakan punca dokumentasi sejarah ini berpihak, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan panduan.

begitu juga dengan kebangkitan Hizbul Muslimin yang dikatakan 'Bahaya Dari Gunung'. Pastinya ada penjelasan yang lebih neutral bagi ungkapan yang dibuat oleh Dato' Onn terhadap parti Islam pertama di Tanah Melayu ini.

PasMuda berkata...

Artikel yg bagus...

Kita satu agama, satu bangsa, satu negara. Tak elok bermusuh. Ideologi yg berbeza tak patut dijadikan alasan utk kita bergaduh sesama sendiri.

kembara putih berkata...

Bila UMNO lemah je, maka berbunyilah bersatu la, demi kaum Melayu la. Bila UMNO kuat apa benda jahat & zalim yang tak dikenakan kepada PAS & kerajaan negeri dibawah tadbirnya. UMNO kena berubah dulu baru lah ada titik pertemuan. Langkah pertama mampuskan rasuah dalam UMNO terlebih dulu, hindarkan penyalahgunaan kuasa, memperkudakan badan2 kerajaan dsbnya.

Lord Garam berkata...

Salam Perjuangan,

Artikel yang sangat bagus. terima kasih saudara kerana mengingatkan rakyat malaysia yang telah lupa sejarah.

Kuasa politik boleh menjadi pemusnah sesuatu bangsa dan menyatukan sesebuah tamadun.

Lin berkata...

Salam

Satu kupasan dan penulisan yang berfakta dan bernas untuk mereka yang tidak tahu sejarah perjuangan parti melayu di malaysia.

harus menjadi renungan para generasi muda untuk menilai dimana kita duduk dan apakah cabaran sebenar yang kita sedang hadapi

semoga kita bersatu tanpa mengira perbezaan politik dan maju terus maju

salam

Unknown berkata...

Salam sahabat...

Ingatkan sape td, dah tukar gambar profile rupanya...

Tamin memang hebatlah... Tahniah kerana membukakan minda pembaca laman maya ini...

Maafkanlah jika sudah lama x menjenguk-jenguk blog tamin, Bg BJ Tamin mmg sahabat sejati...

Salam Perjuangan

BJ

Tai berkata...

Suatu catatan yang hebat.

Taminsari, gambar kucing tu hilanglah. Boleh letak balik tak?