Selasa, Julai 24, 2012

Mohon pada PM agar golongan ‘middle income’ juga jangan dilupakan!


















Alhamdulillah janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu acara di Sabak Bernam, Selangor, tidak lama dahulu untuk memberi pembelaan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk kelompok berpendapatan sederhana atau middle income group yang diakui beliau kadang-kala terlepas pandang, cukup menggembirakan.

Walaupun program membela rakyat ini memang sudah dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, kelompok yang selalunya diberi tumpuan ialah golongan miskin atau bawah dan golongan perniagaan atau korporat yang biasanya kumpulan berpendapatan tinggi, selain kakitangan kerajaan.

Seperti yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, kelompok pertengahan iaitu yang berpendapatan sederhana ini kadang-kala terlepas pandang. Mungkin tidak terlebih rasanya mengatakan kelompok ini yang tidak layak menerima bantuan kebajikan atau segala macam kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah tetapi tidak pula terlalu kaya sehingga mampu menikmati segala insentif pelepasan cukai yang dinikmati masyarakat perniagaan, tersepit dan terhimpit di tengah-tengah.

Mereka ini yang rata-ratanya kakitangan swasta bergaji RM3,000 ke atas tetapi tidak mencecah RM10,000 menjadi kumpulan yang dilupakan. Mereka ini tidak layak menerima BR1M RM500, tidak layak membeli rumah kos rendah atau sederhana rendah tetapi tidak mampu membeli rumah kos sederhana yang harganya kini tidak kurang RM200,000.

Malangnya, mereka ini ialah kelompok pembayar cukai. Rata-ratanya menjadi penyumbang setia pendapatan cukai kerajaan melalui potongan cukai berjadual (PCB) setiap bulan. Setelah ditolak PCB, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Socso dan Perkeso, hutang kereta serta rumah, baki gaji mereka yang tinggal tidak sebanyak mana.

Kenaikan harga barang sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menyumbang kepada kesempitan hidup mereka. Memandangkan kelompok ini kebanyakannya sudah berkeluarga, perbelanjaan dapur, duit sekolah dan susu anak, yuran tuisyen, tambang bas juga perlu diambil kira. Itu belum ditambah duit minyak dan tol ke tempat kerja.

Nilai wang untuk mereka berbelanja semakin menyusut. Jika dulu dengan RM100, mereka boleh membeli-belah barangan dapur sehingga penuh satu troli, kini mungkin hanya dapat menjinjing beg plastik sebelah tangan sahaja.

Justeru janji Perdana Menteri untuk membela nasib mereka memang cukup lunak di telinga kelompok ini mendengarnya. Walaupun belum cukup melegakan, sedikit-sebanyak ia memberi harapan kepada golongan berpendapatan sederhana ini untuk mengimpikan insentif-insentif yang bakal menyusul mereka tidak lama lagi.

Sebenarnya banyak cara kerajaan boleh membantu golongan ini. Selain mengawal harga barang keperluan agar tidak dinaikkan oleh peniaga sesuka hati sehingga membebankan mereka, kerajaan boleh menimbang meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan individu untuk golongan ini.

Bagi menghargai pembayar cukai yang setia, kerajaan boleh memberikan baucer minyak dan barangan, yang pastinya akan dapat digunakan mereka sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara. Sebenarnya banyak cara yang boleh difikirkan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana ini.

Mungkin pihak yang bertanggungjawab menyampaikan keluhan kelompok ini kepada Perdana Menteri mampu memikirkan sekali apa caranya untuk menunaikan janji tersebut. Apa-apapun terima kasih diucapkan kepada pihak yang bertanggungjawab yang membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri. Ini adalah kerana mereka benar-benar bekerja, benar-benar mendengar keluhan rakyat marhaen yang terlepas pandang ini dan menyampaikan apa yang benar ke telinga Perdana Menteri.

Sudah sekian lama kelompok ini mengeluh dan menaruh harapan, akhirnya keluhan itu didengari juga! Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang disebut-sebut sebagai ibu pilihan raya dan adanya pihak yang berani bercakap benar amat dihargai!

Kita semua percaya Perdana Menteri sendiri tidak mahu mendengar khabar yang muluk-muluk. Hakikat sebenar walaupun pahit perlu disampaikan agar yang kelabu tidak dikatakan putih sehingga membawa kealpaan seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu. Wallahuallam.

Coretan Marhaen

Suara Politik
Taminsari

Mitos negara berkebajikan PAS?



Seperti Dokumen Negara Islam terbitan PAS sedekad lalu dan dikecam kerana terlalu ringkas dan kabur untuk menerangkan konsep dan pelaksanaan sebuah sistem pemerintahan negara, buku PAS mengenai negara berkebajikan juga bagaikan melepas batuk di tangga.

Buku ini tidak komprehensif, tiada kajian mendalam dan tidak praktikal. Banyak kenyataan bersifat umum dan abstrak. Ada bab hanya tiga atau empat perenggan sahaja. Tiada contoh spesifik atau data sokong hujah berhubung dasar ekonomi dalam negara berkebajikannya. Malah, banyak bahagian dalam buku ini adalah pernyataan dasar dan langkah yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN, seolah-olah PAS tidak nampak apa yang berlaku di negara ini sejak 56 tahun lalu.

Sebahagian besar buku adalah himpunan ayat-ayat Quran dan penjelasan cetek mengenai istilah asas. Diketengahkan usul al-Fiqh seperti maqasid al-syariah dan siyasah al-shar’iyyah tetapi tidak digariskan apakah cabaran strategik yang akan dihadapi negara, atau kaedah penjanaan sumber pendapatan negara untuk berbuat kebajikan kepada rakyat.

PAS membezakan konsep negara berkebajikan mereka daripada welfare state seperti yang wujud di Barat dan kebajikan dilaksanakan kerajaan BN. Bezanya ialah pada penambahan imbuhan ‘ber’ merujuk pemimpin yang baik dan amalan kebajikan. Antara ciri pemimpin baik disebut dalam buku ini ialah alim, bertaqwa dan berintegriti, menegakkan amal makruf dan nahi mungkar.

Tapi malangnya, seperti juga kes-kes lain ‘ikut saya cakap, jangan ikut saya buat’, ramai pemimpin PAS sendiri tidak memiliki ciri-ciri yang mereka gariskan.

Dalam bukunya, PAS menyatakan untuk menjadikan orang Melayu teras dalam pembangunan negara. Kenyataan ini mengelirukan kerana pendirian PAS sebelum ini ialah tidak bangga menjadi Melayu, mahu menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berjaya membangunkan kelas menengah Melayu dan membantu membasmi kemiskinan tegar.


Jika kedudukan sosioekonomi orang Melayu-Islam di Kelantan hendak dijadikan ukuran, konsep berkebajikan seperti yang disebut boleh dikatakan tidak wujud. Masalah asas seperti bekalan air bersih, kemiskinan, kurang kemasukan pelaburan asing serta protes rakyat mengenai hal tanah masih berlarutan walaupun PAS memerintah 22 tahun. Inilah juga negeri yang mencatat kes cerai yang tinggi dan pengidap HIV paling ramai di Malaysia. Sepatutnya, konsep berkebajikan ini dipraktikkan di Kelantan dahulu. Namun, bilangan orang Kelantan yang meninggalkan negeri itu untuk mencari rezeki di negeri-negeri lain melebihi 700,000. Ini hakikat.

PAS juga lahirkan hasrat ganti Umno. Ini mustahil berlaku selagi PAS tidak mampu letak bilangan calon yang lebih ramai daripada PKR atau DAP dalam pilihan raya umum. Manakala Umno memimpin BN, PAS menjadi pengikut dalam Pakatan Rakyat. Manakala Umno adalah parti terbesar dalam BN, PAS adalah parti terkecil dalam pakatan pembangkang.

PAS hanya kuat di Kelantan, tidak di negeri lain. Kerana itulah, kebajikan orang Melayu-Islam di Pulau Pinang tidak dapat dibela oleh PAS. Kerajaan negeri pimpinan DAP telah hentikan sambutan Maulidur Rasul, menghalau peniaga Melayu, mengeluarkan kenyataan hina umat Islam, malah mahu menjual tapak masjid namun pemimpin PAS bersikap diam. Di Selangor, pemimpin PAS yang mahu menegakkan kedaulatan agama, menentang Exco DAP dalam urusan penjualan arak dan mempertikai pengeluaran lesen rumah urut dipecat oleh parti itu. Jika begini, bolehkah PAS diharap memerintah negara yang menjaga kebajikan orang Melayu-Islam?

Rakan politik PAS ialah DAP yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia berorientasi sosialis-demokrat, bukan negara berkebajikan. Konsep DAP menolak hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika konsep DAP dilaksanakan, jurang sosial dan kekayaan antara kaum akan melebar dan menjejaskan perpaduan nasional. Adakah negara berkebajikan PAS menerima pakai konsep Malaysian Malaysia anjuran DAP ini? Jika tidak, beranikah PAS mengisytiharkan pendirian ini.

Satu lagi rakan kongsi politik PAS ialah PKR, yang memperjuangkan faham liberal dan pluralis. PKR mahu jadi parti pelbagai kaum, dan tidak bertunjang kepada Melayu-Islam sebagai teras. PKR dan DAP anggap perjuangan PAS adalah rigid, sempit dan tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam realiti politik Malaysia lalu mengembangkan fahaman liberalisme dan pluralisme ke dalam PAS sehingga meminggirkan pengaruh ulama. Dalam konteks negara berkebajikan PAS, adakah fahaman liberalisme dan pluralisme juga diterima pakai?

Nampaknya, konsep negara berkebajikan PAS satu lagi janji pembangkang. Umum tafsir ia strategi PAS sesuaikan diri dengan pakatan menjelang PRU13.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Julai 23, 2012

Dokumen Negara Islam PAS?



Sandiwara PAS dalam matlamat mewujudkan negara Islam telah bermula sejak sekian lama. Pada satu masa, PAS melaung-laungkan bahawa penubuhan negara Islam merupakan matlamat perjuangan PAS. Namun, pada masa yang lain pula, PAS menafikan hasrat tersebut.

Hakikatnya, PAS hanya menggunakan isu penubuhan negara Islam sebagai modal untuk menarik sokongan umat Islam di negara ini. Namun, apabila berhadapan dengan masyarakat bukan Islam, hasrat penubuhan Negara Islam bukan hanya disembunyikan malah dinafikan untuk memikat hati golongan tersebut.

Sebagai contoh, demi untuk mendapatkan kerjasama parti-parti pembangkang lain khususnya DAP dalam pilihan raya umum yang lalu, PAS tidak menggunakan modal penubuhan negara Islam secara terbuka sehinggakan manifesto bersama Barisan Alternatif 1999 tidak langsung menyebut perkara berkaitan negara Islam.

Dolak-Dalik Pemimpin PAS

Sejak sekian lama PAS tidak pernah konsisten dalam isu penubuhan negara Islam yang menjadi mainan politik parti itu selama ini. Pendirian PAS berhubung isu ini terpaksa disesuaikan dengan keadaan, masa dan tempat.

Menjelang pilihan raya umum 1999, sandiwara PAS begitu terserlah dengan kepelbagaian pendirian yang dikemukakan oleh para pemimpin tertinggi PAS sendiri. Kecelaruan ini lahir daripada tentangan terbuka rakan sekutunya dalam pilihan raya itu, DAP.

Antara kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat dalam tempoh tersebut sahaja adalah seperti berikut:

a. "Ya, memang matlamat kami mewujudkan negara Islam", bekas Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor (Harakah, 16 April 1999).

b. "PAS sedia menggugurkan slogan mewujudkan negara Islam sebagai bukti tolak ansurnya dengan mana-mana parti politik yang ingin bekerjasama dengannya", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Berita Harian, 25 Jun 1999).

c. "Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS asalkan tidak mendirikan negara Islam", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Berita Harian 12 Mei 1999).

d. "Negara Islam mesti menguatkuasakan hukum Islam tapi ia belum dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan pusat dan PAS akan terus memperjuangkan", YAB. Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Berita Minggu, 12 Ogos 2001).

e. "BN terlambat dan tiada matlamat dalam menjadikan Malaysia negara Islam kerana dasar dan undang-undang tubuhnya tidak mempunyai tujuan dan matlamat ke arah itu", Dato' Seri Abdul Hadi Awang (Berita Harian, 28 Jun 2001).

f. "PAS tetap akan menubuhkan negara Islam sekalipun ditentang oleh DAP jika pakatan pembangkang berpeluang memenangi pilihan raya umum akan datang", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Utusan Malaysia, 30 Julai 2001).

g. Apabila ditanya adakah hasrat menubuhkan negara Islam terkandung dalam manifesto BA 1999, BEKAS Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor berkata, "Tidak ada, memang tidak ada. Dalam manifesto kita menghormati pendirian parti masing-masing". (Berita Minggu, 5 Ogos 2001).

Kenyataan-kenyataan di atas jelas membuktikan lakonan Pas selama ini. Para pemimpinnya berdolak-dalik dalam isu penubuhan negara Islam sehinggalah Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) mencabar Pas untuk mengemukakan secara bertulis perincian konsep negara Islam yang mereka perjuangkan. Cabaran ini dikemukakan oleh Dr. Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO, 21 Jun 2001.

PAS jelas dilihat terperangkap dengan cabaran itu kerana khuatir sandiwara mereka selama ini akan terbongkar. Kerisauan ini tergambar dengan ulasan-ulasan para pemimpin PAS terhadap cabaran tersebut, antaranya:

a. "Kalau UMNO ikhlas untuk mengetahui konsep ini, ia boleh dapatkan maklumat-maklumat ini dari institusi yang mereka bentuk seperti IKIM. PAS akan kemukakan kepada rakyat dan bukan kepada Dr Mahathir tentang konsep negara Islam tidak lama lagi", bekas Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor (Harakah, 1-15 Ogos 2001).

b. "Tafsiran negara Islam yang dikehendaki oleh PAS sebenarnya sudah terkandung dalam manifesto Barisan Alternatif (BA) yang dikemukakan pada pilihan raya umum yang lalu. Tidak perlu lagi huraian secara bertulis dalam pelbagai bahasa mengenai konsep negara Islam yang dikehendaki Pas seperti yang dicabar oleh Perdana Menteri", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Harakah, 1-15 Ogos 2001)

Selain cabaran Dr Mahathir, PAS juga merasa tamparan yang begitu kuat apabila unit dalam parti itu sendiri iaitu Dewan Pemuda melalui salah seorang wakilnya mengkritik kepimpinan parti kerana gagal menyediakan pelan induk berhubung konsep negara Islam. Kritikan itu dilemparkan ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS 2003.

Penerbitan Dokumen Negara Islam PAS

PAS akhirnya menerbitkan Dokumen Negara Islam PAS yang dilancarkan oleh Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada 12 November 2003. Dokumen ini memperincikan konsep negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Tidak berapa lama sebelum pelancaran itu, dalam program BBC's HARDtalk yang dihoskan oleh Tim Sebastian, Dato' Mustafa Ali (Naib Presiden Pas) , bersusah-payah menafikan bahawa perjuangan PAS mempunyai kaitan dengan matlamat penubuhan negara Islam.

Beliau cuba meyakinkan pengacara itu bahawa isu negara Islam adalah ciptaan media untuk melemahkan PAS. Menurut Mustafa, Perlembagaan PAS sendiri tidak sama sekali menyebut tentang konsep negara Islam.

Peristiwa ini membawa maksud sama ada Datuk Mustafa Ali cuba untuk menipu orang ramai atau beliau tidak yakin dan tidak berupaya untuk mempertahankan perjuangan itu dalam satu wawancara terbuka yang boleh disaksikan oleh semua pihak sama ada orang Melayu, rakyat bukan beragama Islam di negara ini dan masyarakat dunia secara keseluruhannya, ataupun mungkin keadaan ini menzahirkan realiti bahawa pemimpin bukan 'ulama' di dalam PAS tidak mempunyai suara dan pengaruh dalam penentuan polisi dan dasar parti itu sehinggakan perkara penting seperti agenda perjuangan sendiri mereka tidak ketahui.

Kepincangan Dokumen Negara Islam PAS

Sebelum memperincikan beberapa contoh kepincangan Dokumen Negara Islam PAS, perlu ditegaskan bahawa persoalan berkaitan konsep negara Islam ini adalah perbincangan yang dikategorikan menyentuh perkara-perkara ijtihad (Amrun Ijtihadiah).

Ia bukannya perkara atau persoalan yang mengandungi ketetapan atau penjelasan terperinci dalam nas-nas al-Quran mahupun hadis, contohnya isu berkaitan bilangan rakaat sembahyang, persoalan zakat, ketetapan berpuasa, cara mengerjakan ibadat haji dan persoalan-persoalan lain yang mempunyai rujukan nas-nas yang bersifat terperinci, jelas dan muktamad (Qat'iah).

Empat kesimpulan utama yang dapat digariskan tentang buku ini seperti berikut:

a. Dokumen Ini Tidak Perlu

Dokumen ini tidak sepatutnya diterbitkan oleh PAS kerana masyarakat khususnya umat Islam di negara ini tidak memerlukan satu definisi atau konsep negara Islam yang baru. Pelbagai konsep telah dikemukakan oleh ulama muktabar sebelum ini.

Telah diputuskan melalui ijma' para ulama bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan fatwa ini telah pun diwartakan pada tahun 1986. Sebarang konsep alternatif tidak lagi diperlukan.

b. Dokumen Ini Mengelirukan

Dokumen ini boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat sekiranya dibaca. Antaranya ialah ayat-ayat al-Quran yang diketengahkan diambil melalui Kitab Tafsir tanpa sebarang penjelasan. Ketiadaan penjelasan akan menyebabkan orang ramai membuat kesimpulan masing-masing.

Intipati dokumen ini juga mengelirukan kerana pendekatan berhati-hati yang digunakan oleh PAS dalam menerbitkan dokumen ini. Banyak perkara yang disebutkan tidak jelas dan muktamad.

Sekadar menyebut satu contoh, PAS menyatakan akan terima Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada dengan sedikit pengubahsuaian. Namun, tidak dijelaskan perkara atau peruntukan yang mana satukah yang akan diubahsuai.

Dalam dokumen ini PAS juga menyatakan bahawa Syariat Islam menjadi pegangan utama pemerintah dalam menjalankan segala aktiviti pembangunan negara.

Perkataan Syariat Islam sekiranya digunakan oleh Pas boleh mengelirukan. Dalam pentadbiran kerajaan yang sedia ada, amat jelas bahawa syariat kita ialah Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Tetapi kalau Pas bila disebut syariat besar kemungkinan ia akan pergi kepada Syiah. Contohnya, apabila Pas menyebut tentang negara perlu dipimpin oleh ketua negara yang bertaqwa.

Pendirian Pas ini sama dengan Syiah dengan konsep Kepimpinan Ulama (Wilayahtul Faqih). Masalah yang timbul ialah Pas sendiri yang menentukan siapa dia ulama dan siapa tidak.

Sudah pasti hanya pemimpin Pas sahaja yang bertaraf ulama dan seterusnya boleh menjadi ketua negara kerana takrifan dan penilaian ulama itu menjadi hak mereka sahaja.

Ia juga mengelirukan apabila Pas menggariskan negara Islam akan dipimpin oleh seorang ketua negara yang bertaqwa dan yang terbaik di kalangan ummah.

Beberapa persoalan boleh ditimbulkan, pertama, perkara ini hakikatnya bertentangan dengan apa yang pernah diikrarkan oleh Saidina Abu Bakar ketika menjadi khalifah. "sekarang aku telah memegang pekerjaan kamu ini, tetapi bukanlah aku orang yang lebih baik daripada kamu. Jika aku berlaku adil dalam urusanku sokonglah aku, tetapi jika aku berlaku salah betulkan kembali".

Adakah Pas menganggap Saidina Abu Bakar sebagai tidak Islam kerana kenyataan beliau berbeza dengan Tasawwur negara Islam Pas.

Sekalipun kita menerima tasawwur Pas ini, dalam realiti hari ini siapakah yang akan menentukan pemimpin yang layak dan terbaik di kalangan ummah? Para pengundi?

Dewan ulamak Pas? Ahli Dewan Rakyat? Perwakilan Muktamar Pas? Dan adakah saudara Mahfuz, Mat Sabu, Nik Aziz yang menghalalkan carut boleh disifatkan sebagai pemimpin yang terbaik di kalangan ummah.

c. Dokumen Ini Menyesatkan

Dokumen ini menyesatkan apabila disebut di dalam ceramah-ceramah anjuran Pas dan kenyataan-kenyataan akhbar para pemimpinnya yang menyamakan dokumen ini dengan wahyu.

Ditambah pula apabila pemimpin Pas menyebut bahawa sesiapa yang menentang atau tidak mahu menerima dokumen ini bermakna mereka menentang Islam. (Sumber: Harakah 16-31/01/2004, muka surat 13, 30 dan 31 )

Inilah propaganda songsang yang sering diguna pakai oleh Pas. Kalau dahulu mereka menyamakan parti Pas itu dengan agama Islam, kini apa yang mereka canang-canangkan jauh lebih menyesatkan iaitu menyamakan dokumen ciptaan manusia dengan wahyu tuhan.

Tindakan Dato' Nik Aziz Nik Mat menyamakan orang Melayu yang tidak menerima dokumen ini dengan bangsa Yahudi juga merupakan satu tindakan yang boleh membawa kesesatan.
Keadaan ini menjadi lebih serius apabila diambil kira mentaliti dan ketaksuban sebahagian ahli-ahli Pas kepada pemimpin mereka sehingga menganggap apa yang disampaikan oleh pemimpin mereka adalah benar belaka.

Kenyataan Nik Aziz ini boleh menyesatkan pengikut Pas sendiri.

d. Dokumen Ini Membahayakan

Dokumen ini membahayakan apabila ia mensyaratkan negara menjalankan hukum Hudud sahaja boleh dikategorikan sebagai negara Islam. Ini adalah sama dengan tindakan Pas memperlekeh-lekehkan kerajaan sedia ada sebagai tidak Islam.

Keadaan seperti inilah yang telah menyebabkan lahirnya kumpulan-kumpulan pengganas di kalangan umat Islam.

Kumpulan seumpamanya telah wujud di Malaysia seperti gerakan Ibrahim Libya dan pengikutnya, Kumpulan Al-Maunah, KMM dan lain-lain. Disebabkan propaganda songsang mereka yang berkenaan bertindak ganas, berjuang atas nama menegakkan negara Islam.

Kini, propaganda Pas ini telahpun tercatat dengan jelas di dalam dokumen ini yang pasti akan mengundang bahaya yang lebih besar.

Kesimpulan

Selain daripada beberapa kepincangan dan kelemahan yang dikenal pasti dalam dokumen terbitan Pas ini, sebahagian besar perkara-perkara yang dinyatakan adalah cedokan dan peniruan daripada pendekatan dan perjuangan yang selama ini dilaksanakan oleh Kerajaan BN/UMNO.

Apa yang dilakukan oleh Pas hanyalah menyusun semula apa yang sedia ada dalam sistem pada hari ini, menyadurkannya dengan perkataan-perkataan berbahasa Arab dan kemudian menamakannya sistem Islam.

Pas hanya melakukan perubahan rupa bentuk tanpa menyentuh isi kandungannya. Perubahan kosmetik ini hakikatnya satu percubaan Pas untuk menipu dan mengelirukan rakyat khususnya umat Islam buat kesekian kalinya.

Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pas adalah suatu pengiktirafan terhadap inisiatif dan perjuangan Kerajaan BN/UMNO selama ini dalam mengangkat maruah dan martabat Islam dan keseluruhan umatnya.

Realitinya, Pas hanya mendokumenkan negara Islam yang diperjuang dan ditegakkan oleh Kerajaan BN/UMNO. Sebenarnya Pas tidak mengiktiraf dan mengakui Malaysia sebagai negara Islam hanya kerana UMNO dan BN yang memerintah.

Bagi Pas, fahaman atau ajaran yang disemai sejak dari sekolah pondok lagi ialah hanya pemimpin dan pengikut Pas sahaja merupakan ahli jemaah Islam (hizbullah). Berlandaskan konsep ini, mereka percaya orang yang tidak menyertai parti Pas adalah kafir dan layak ditentang.

Oleh itu, doktrin yang menjurus kepada keganasan ini disembunyikan supaya tidak semua ahli Pas mengetahui dan dikaburi dengan gimik politik seperti UMNO tidak menetapkan penubuhan negara Islam dalam perlembagaan parti dan akhir-akhir ini isu hudud.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Awas Jerat Hotel kembali : Bufet Ramadan!




Seperti biasa setiap kali datang bulan Ramadan, Pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Ini adalah kerana bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan mereka yang menyalahgunakan terma ini boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sebenarnya umat Islam juga digalakkan supaya hanya berbuka puasa atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri. Sehingga kini masih belum lagi diketahui sebanyak mana hotel dan dapur hotel di sekitar Wilayah Persekutuan yang telah diberikan pensijilan halal oleh Jakim kerana belum ada statistik yang tepat.

Untuk senarai terkini, sila lawati laman Portal Halal Malaysia. Klik di sini.

Kepada yang suka berbuka diluar tu diharap dapat menyemak dahulu samada restoran hotel yang anda pergi itu ada mendapat sijil HALAL dari pihak JAKIM. Jakim juga diminta meningkatkan pemantauan bagi memastikan istilah itu ( bufet Ramadan ) tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak hotel.

Sebagai umat Islam, kita harus memastikan makanan yang dimakan itu halal lagi bersih kerana ia akan menjadi darah daging dan seterusnya penentu kepada kehidupan seseorang itu. Alangkah ruginya, setelah menahan lapar dan dahaga sepanjang hari dan apabila tiba waktu berbuka mengambil makanan yang tidak diketahui status halal.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Julai 22, 2012

Lagi masalah sampah - Penghuni Pangsapuri tuntut bayaran penyenggaraan?


Penduduk menunjukkan sampah yang tidak diangkut oleh kontraktor pengutip sampah di Pangsapuri Permai, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Badan Pengurusan Bersama (JMB) Blok B, Pangsapuri Permai di sini merayu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) agar segera menyelesaikan masalah yang membelenggu penghuni sejak dua tahun lalu.

Dakwa penduduk ini termasuklah melunaskan bayaran kerja-kerja penyenggaraan yang dituntut sebanyak RM128,640.

Pengerusi JMB pangsapuri itu, Damiri Majidah berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang bayaran sejak JMB mengambil alih pengurusan pangsapuri berkenaan pada September 2010.

"Apabila kami mengemukakan tuntutan, alasan yang diberikan langsung tidak munasabah antaranya akaun belum diaudit, sistem komputer bermasalah dan sebagainya.

"Lebih mengecewakan apabila dijemput untuk menghadiri mesyuarat agung JMB, pihak berkenaan sering mengelak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain bayaran penyenggaraan, pihaknya turut menuntut agar PKNS segera menyelesaikan permohonan migrasi meter air dari meter pukal ke meter individu.

"Sebelum ini PKNS pernah berjanji untuk melaksanakan migrasi (meter air) di pangsapuri ini, namun janji tinggal janji," katanya.

Tambah Damiri, apa yang dikesalkan ialah penghuni telah membayar deposit bil air sebanyak RM30 kepada kontraktor yang dilantik PKNS namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak bertanggungjawab.

Turut dibangkitkan, tindakan PKNS yang menghentikan kerja-kerja mengecat bangunan pangsapuri berkenaan pada Mac lalu.

Dia mendakwa, disebabkan kerja-kerja tersebut dihentikan, pangsapuri di situ kelihatan seperti seluar koyak yang bertampal di sana sini.


Selain itu, turut membimbangkan penghuni di pangsapuri berkenaan ialah masalah sampah yang tidak dikutip oleh kontraktor dilantik oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengikut jadual ditetapkan.

"Kegagalan pihak yang dipertanggungjawab melaksanakan tugas mengutip dan membersihkan sampah di kawasan ini bukan sahaja menimbulkan bau busuk, tetapi turut menjejaskan kesihatan penghuni," katanya.

Sebelum ini Ronnie Liu mengatakan bahawa masalah sampah di MPPJ sudahpun selesai dengan penambahan kemasukkan 50 buah lagi lori kompaktor baru untuk melakukan kerja-kerja mengutip sampah, namun apa yang berlaku adalah disebaliknya? Cakap tak serupa bikin..!!!

Suara Politik
Taminsari

Skandal Talam - Selangor terlebih bayar RM100 juta beli tanah bawah air?


Chua Tee Yong (tujuh dari kiri) melihat pelan tanah lombong yang dibeli oleh kerajaan negeri dengan harga yang tinggi dari harga pasaran di Bestari Jaya, Kuala Selangor, semalam.

Bayaran terlebih bayar yang dibuat kerajaan negeri untuk membeli tanah daripada Talam Corporation Bhd. (Talam) di Bestari Jaya di sini, bukan sebanyak RM42 juta seperti yang didakwa sebelum ini sebaliknya RM100 juta lebih mahal.

Perkara itu didedahkan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong hari ini sewaktu membawa sekumpulan media melihat sendiri tanah seluas 916 hektar berkenaan di Bestari Jaya, di sini.

Tee Yong mendakwa, maklumat itu diperoleh berdasarkan laporan kewangan Kumpulan Hartanah Sdn. Bhd. (KHSB) pada 2009 yang juga memiliki tanah di kawasan sama.

"Pada 2010, kerajaan negeri telah membeli tanah tersebut dengan harga RM181 juta atau bersamaan dengan RM80,000 seekar (0.4 hektar) sementara laporan kewangan KHSB yang juga memiliki tanah di kawasan sama pula menilai tanah tersebut pada 2009 dengan harga RM36,000 seekar.

"Sekiranya penilaian KHSB itu boleh dianggap tepat ia bermakna jumlah keseluruhan tanah tersebut adalah RM81 juta dan ini menunjukkan kerajaan negeri terlebih bayar sebanyak RM100 juta daripada harga pasaran," dakwanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun dan Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi.

Pada 5 Julai lalu, Tee Yong mendakwa, kerajaan PKR Selangor membeli tanah sama dengan harga RM42 juta lebih tinggi berbanding harga pasaran dan dakwaan itu dibuat berdasarkan penilaian Talam sendiri.


Dua hari selepas itu, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua pula mengakui perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, apa yang lebih memeranjatkan jumlah keseluruhan tanah berkenaan sebanyak 438 ekar (177 hektar) daripadanya merupakan lombong yang dipenuhi dengan air dan 575 ekar (232.7 hektar) lagi didapati terletak dalam kawasan hutan simpan.

Sehubungan itu, katanya, tanah tersebut langsung tidak memberi pulangan menguntungkan sebaliknya lebih banyak kerugian kepada kerajaan negeri.

"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, kawasan tanah tersebut langsung tidak ada pembangunan atau infrastruktur asas," jelasnya.

Pada masa sama, Tee Yong mempersoalkan tindakan kerajaan PKR Selangor itu kerana ia merupakan pembaziran wang rakyat.

"Bagaimana kerajaan negeri membuat penilaian terhadap harga tanah terbabit dan mengapa mereka sanggup membuat pembayaran yang begitu mahal kepada Talam meskipun mengetahui tanah itu tidak memberi pulangan," soalnya.

Tee Yong berkata, pihaknya bersedia mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diminta untuk membantu siasatan.

Selanjutnya sila baca di sini.

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, Julai 21, 2012

Negara Terlepas Ancaman APPC!


Anwar disambut oleh Kolonel Gregory Gardner, Komender Ketiga Angkatan Bersenjata (tengah) dan William Cohen, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat semasa lawatan Anwar ke Pentagon Pentagon pada 16 April 1998. Cohen bertanggungjawab menyerang Iraq kali pertama pada tahun 1998.

Peristiwa yang perlu dijadikan iktibar. Kepada seluruh rakyat fikirkan sejenak hakikat ini.

Amerika Syarikat terus mengamalkan sikap biadabnya dengan mencampuri urusan negara lain. Sebelum ini mereka mengakui Indonesia adalah antara negara yang termasuk dalam senarai itu. Kuasa besar itu seolah-olah tidak senang duduk jika membiarkan negara lain mengurus diri sendiri.

Umum tahu Amerika Syarikat jugalah yang memainkan peranan mempengaruhi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melantik Australia mengetuai pasukan antarabangsa di Timur Timor dengan menuduh Indonesia gagal menangani masalah di wilayah itu. Mereka memberi tekanan kepada bekas Presiden BJ Habibie yang akhirnya bersetuju membenarkan tentera Australia menjejaki bumi Timor Timur hingga memaksa tentera Indonesia berundur.

Red Carpet : Perhatikan layanan Amerika Syarikat terhadap Anwar. Anwar diberi penghormatan tertinggi dengan tembakan meriam dan red carpet. Bukan calang calang orang yang boleh mendapat penghormatan sedimikian rupa. Apakah Anwar itu begitu hebat dan penting kepada Amerika sehingga memberikan penghormatan sedimikian?

Sikap keterlaluan Duta Besar Amerika Syarikat ketika itu, Robert Gelbard, campur tangan dalam urusan dalaman Indonesia adalah episod memalukan lakonan kuasa besar dunia itu. Menteri Pertahanan negara itu, William Cohen pernah datang ke Jakarta memberi amaran kepada Indonesia supaya tidak mencampuri urusan Timor Timur. Katanya, jika Indonesia berdegil, Amerika Syarikat akan memberi tekanan kepada negara itu. Lihat betapa hina rakyat Indonesia diperlakukan sedemikian rupa.

Belum pun isu itu reda, Gelbard memaksa pula Menteri Kewangan, Bambang Sudibyo supaya tidak menggantikan Ketua Badan Penyehatan Perbankan Nasional (BPPN), Glenn Yusuf. Mereka mengancam jika Glenn digantikan, kepentingan ekonomi Amerika Syarikat di Indonesia akan tergugat, bermaksud segala bantuan kewangan yang terjalin dengan institusi kewangan antarabangsa, akan dibekukan.

Gus Dur dalam pidato sulungnya selepas menjadi presiden menegaskan mahu merenggangkan dirinya dengan kuasa besar. Seperti negara Asean lain, Indonesia melihat campurtangan asing akan memporak-perandakan negara yang dibina rakyat atas landasan demokrasi.

Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia bermesyuarat empat mata dengan William Cohen, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Pentagon pada 16 April 1998

Kuasa asing ini akan memainkan jarum beracunnya secara perlahan-lahan untuk menjadikan pemimpin sesebuah negara itu bonekanya sebelum mengaut kekayaan yang ada. Kebiasaannya, semua ini dilakukan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA), badan yang mempunyai agenda besar untuk menjatuhkan pemimpin yang tidak mengikut kata Amerika Syarikat.

Mungkin pada sesetengah pihak, semua ini dianggap sebagai cerita lama. Malah ada yang berpendapat apabila ada masalah politik domestik negara membangun, kerap kali CIA dijadikan sebagai alasan untuk dipersalahkan.

Namun yang jelas, walaupun pada dasarnya CIA sebagai agensi untuk mengumpul maklumat bagi pihak Amerika Syarikat, semuanya itu dilakukan bagi menjayakan agenda yang tersembunyi. Dengan menguasai politik dan pemimpin domestik sesebuah negara, kuasa besar itu akan mudah menentukan dasar luar negara lain berkiblat kepadanya.

Seperti di Indonesia, perkara yang sama juga boleh berlaku di Malaysia. Amerika Syarikat tidak akan senang hati selagi banyak negara di rantau ini tidak patuh mengikut telunjuknya. Beberapa percubaan mereka di Malaysia untuk menjatuhkan pemimpin sedia ada semakin dapat dihidu. Mereka tahu tanpa pemimpin dan kerajaan yang kuat, Malaysia tidak mungkin stabil.

Anwar Ibrahim (tengah) diapit oleh dua tokoh zionis yang terlibat sebagai arkitek perang di Amerika Syarikat dalam makan malam anjuran The Cohen Group pada 24 Februari 2005, di Hotel Washinton DC. Dari kiri: Sir William S Cohen(dari parti Demokrat) seorang bangsa Yahudi yang pernah dilantik menjadi Setiausaha Pertahannan Amerika Syarikat. Manakala di sebelah kanan adalah Paul Wolfowitz, dari parti Republikan, seorang Yahudi yang pernah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat.

Justeru, Amerika Syarikat akan menyokong apa juga tindakan oleh sesiapa dan mereka akan berusaha melemahkan kerajaan. Dan inilah yang sebenarnya cuba dilakukan olah Anwar Ibrahim selama ini.

Dia membina politik hasil pijakan ke atas maruah bangsa. Bagi mencapai maksud politiknya Anwar sanggup menyimpan dan memelihara anjing kepada agen Barat Douglas H. Paal melalui agensi Asia Pacific Policy Centre (APPC) yang diwujudkannya dengan pelaburan jutaan ringgit.

Keringat bangsa dan wang rakyat digunakan bagi menjahamkan negara untuk duduk di bawah belenggu kuasa asing. Mujur Tuhan menyelamatkan negara ini dari malapetaka yang menakutkan itu. Anwar sememang pengkhianat dan layak mendapat kutukan seumur hidupnya.

Suara Politik
Taminsari


Krisis Air - Kerajaan Selangor ( Pemegang Saham Hanya 30% ) Bagi Tempoh 2 Minggu Pada Kerajaan Pusat!



Kerajaan negeri Selangor yang hanya memegang saham Syabas sebanyak 30% hari ini memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memberi jawapan berhubung niatnya mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih pengurusan Syabas serta memastikan peralihan pengurusan berjalan lancar.

Xavier bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci apabila ditanya tindakan susulan Kerajaan Selangor sekiranya pengambilalihan Syabas tidak disetujui.


"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi, tindakan susulan hanya akan diumum selepas kita sampai ke situasi itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat berhubung niat kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan Syabas di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini menyalahkan Syabas atas masalah kekurangan bekalan air yang berlaku dan menyatakan hasrat untuk mengambil alih pengurusan syarikat pembekal air itu.

Persoalannya adalah, layak kah pemegang saham sebanyak 30% mengambil alih pengurusan Syabas? Adakah pemegang saham majoriti akan berdiam diri! Mengapa tidak di ambil dari awal lagi jika merasakan mereka layak menguasai Syabas! Sampai bila kerajaan Selangor mahu mempolitikkan isu air ini?

Sampai bila kerajaan Selangor mahu 'bermain tarik tali' dengan kerajaan pusat! Nak tunggu sehingga semua loji rawatan kering kontang, baru rasa menyesal ketika itu?

Sementara itu : Jawatankuasa Khas ditubuh

Satu Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan bagi menangani isu air yang semakin kritikal di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas mesyuarat Kabinet kelmarin dan ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


"Antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah berhubung cadangan yang diutarakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk catuan air dan pengumuman kerajaan negeri Selangor yang berhasrat mengambil alih Syabas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pemeliharaan dan Kecekapan Tenaga 2012 anjuran Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan negeri yang mahu merombak barisan pegawai pengurusan kanan Syabas melalui tindakan campur tangan ke atas pentadbiran syarikat tersebut.

Menurut Fah Kui, terlalu banyak kenyataan yang mengelirukan dikeluarkan berhubung isu air sehingga menimbulkan rasa panik dalam kalangan penduduk.

"Isu ini semakin hangat diperkatakan oleh semua orang, terutamanya di Selangor sehingga timbul banyak kekeliruan. Dengan mewujudkan jawatankuasa khas ini, kita dapat meneliti serta membuat keputusan daripada semua aspek," ujarnya.


Katanya, selepas bermesyuarat, jawatankuasa tersebut akan memaklumkan cadangan serta keputusan kepada kerajaan negeri Selangor.

"Ini jawatankuasa Kabinet, selepas mengadakan perbincangan serta penelitian yang penuh, kami akan umumkan kepada kerajaan negeri pendirian kita. Andainya perlu khidmat nasihat atau pandangan, kita akan tanya mereka," katanya.

Mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu di Putrajaya dijangka diadakan Isnin ini yang turut dianggotai oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan bekas menteri yang juga Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Suara Politik
Taminsari


Jumaat, Julai 20, 2012

Mempersiapkan diri menghayati Ramadhan !


RAMADHAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma esok Sabtu,21-7-2012. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadhan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadhan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadhan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengajakan , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, Insyaallah. 'Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak'.

Ikhlas dari,
Blogger Belantan

Siri 3/3 - ISU SKANDAL HUTANG TALAM CORPORATION!


sambungan dari Siri 2/3..

Pengambialihan hutang Talam Corporation kaedah roundtripping mendedahkan kerajaan negeri dengan risiko dan implikasi kewangan

Pertama : Menteri Besar Diperbadankan (MBI) menanggung beban mengutip hutang kerana ia diberikan geran RM 392 juta oleh kerajaan negeri. Jika dahulu anak syarikat yang menanggung risiko hutang, kini kerajaan negeri kerana memberikan geran kepada MBI.

Kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini tidak mengambil alih hutang-hutang Talam daripada anak syarikat kerajaan negeri kerana mahukan CEO-CEO yang dibayar gaji bertanggungjawab terhadap setiap perjanjian yang mereka buat dengan pemaju termasuk Talam.

Kedua : Kerajaan negeri dan SIC dijangkakan membelanjakan sekitar RM 1 juta untuk melaksanakan round-tripping ini. RM 1 juta digunakan untuk membiayai khidmat guaman dan konsultan yang tidak perlu. Ini hanya merugikan wang. Apakah mekanisme round-tripping ini boleh dilakukan secara percuma apabila ia melibatkan dokumen dan perjanjian tertentu?
Apakah mungkin institusi seperti CIMB Bank tidak akan mengenakan sebarang caj?

Ketiga : SIC juga menanggung beban faedah sekitar RM 70 ribu sehari untuk jangka masa antara 3 hari sehingga seminggu dari proses pembelian hutang Talam kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri oleh SIC, sehinggalah kepada SIC membayar semula hutang tersebut kepada bank.

Keempat : Kerajaan negeri akan mempunyai kecenderungan untuk membelanjakan lebih daripada sumber yang ada. Roundtripping ini bertujuan untuk menunjukkan peningkatan untung dalam akaun biar pun tiada untung sebenar.

Proses pembayaran balik hutang syarikat Talam Corporation oleh kerajaan Selangor juga tidak telus diselubungi dan tersasar daripada segi tempoh dan jumlah.

Jumlah hutang Talam Corporation kepada anak-anak syarikat negeri yang dibeli oleh SIC, jumlah geran yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada MBI dan pembiayaan SIC daripada CIMB Bank berjumlah RM 392 juta. Maknanya RM 392 juta inilah jumlah yang terlibat dalam permainan round-tripping.

Dinyatakan kerajaan negeri juga berjanji untuk mengutip hutang Talam dalam masa 3 bulan.

Pertama : pada Mac 2010, menurut the malaysianinsider YB Menteri Besar mengumumkan hanya lebih RM 50 juta sahaja dikutip dalam bentuk tunai dan aset. Kutipan ini juga menimbulkan banyak pertanyaan kerana ia diumumkan oleh Menteri Besar tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada Talam Corporation. Amat mustahil bagi sebuah syarikat senaraian awam yang berada dalam kedudukan kewangan yang kurang baik seperti Talam membayar hutang sebesar itu tanpa sebarang pengumuman rasmi.

Timbul juga pertanyaan, jika RM 50 juta tersebut tunai ok, tetapi jika dalam bentuk pengambilalihan aset siapa yang menilai? Bukankah sepatutnya pembayaran hutang ini juga dalam bentuk tunai kerana jumlah RM 392 juta dalam permainan round-tripping ini adalah tunai. Janjinya ialah untuk mendapatkan wang tunai.

Pada hal kerajaan negeri cukup sinis dengan usaha kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini yang didakwa tidak cekap kerana menjalankan usaha mengambil alih aset Talam bukannya wang tunai.

Kedua : pada 16 Mac akhbar The Star melaporkan Talam Corp telah membuat perjanjian dengan MBI untuk melunaskan hutang sebanyak RM241.4 juta melalui penyerahan aset dan sebanyak RM12.7 juta melalui tunai.

Maka timbul persoalan berikut:

1. Berapakah nilai sebenar hutang Talam Corporation kepada anak syarikat negeri adakah RM 392 juta atau hanya RM241.4 juta? Jika jumlah awal RM 50 juta dicampurkan dengan RM241.4 juta maka menjadi RM 291.4, maka masih kurang RM 100.6 juta.

2. Atau adakah jumlah RM241.4 juta ini termasuk jumlah RM 50 juta yang telah diumumkan pada awalnya. Maka itu jumlah yang masih terhutang lebih tinggi iaitu RM 150 juta.

3. Apakah Talam Corporation sebagai syarikat senaraian awam telah membuat pengisytiharan dan penjumlahan hutang yang silap atau kerajaan negeri yang tersilap?

4. Jika hanya RM12.7 juta melalui tunai, maka meninggalkan baki RM 228.7 dalam bentuk aset hartanah. Maka timbul kembali persoalan sebelum ini, siapakah yang menilai asset ini? Apakah jaminan bahawa aset ini mempunyai nilai yang setara atau mungkin lebih baik melebihi daripada nilai hutang?

Kesimpulan

Rakyat bukanlah terlalu bodoh kerana tidak tahu menilai dan Kerajaan Negeri tidaklah begitu bijaksana. YAB Menteri Besar telah menggunakan wang rakyat untuk membeli hutang syarikat korporat dalam proses pengurusan hutang Talam namun tidak telus dan tidak berterus-terang dalam soal ini.

Untuk itu digesa supaya Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Dewan Undangan negeri melakukan siasatan terhadap keseluruhan proses pengambilalihan hutang. Talam Corporation dengan bantuan kerajaan negeri ini.

Suara Politik
Taminsari

Siri 2/3 - ISU SKANDAL HUTANG TALAM CORPORATION!


...sambungan dari Siri 1/3..

Pengambilalihan hutang ini menunjukkan kerajaan negeri prihatin dengan syarikat korporat swasta tetapi menindas dan organisasi yang bermotifkan pembangunan sosial untuk rakyat Selangor.

Tujuan, keikhlasan dan justifikasi kerajaan negeri untuk menyelamatkan syarikat Talam adalah pelik, tidak munasabah dan zalim kepada rakyat.

Kerajaan negeri sanggup menggunakan wang rakyat semata-mata untuk menyelamatkan sebuah syarikat korporat swasta. Yang pelik dan memelikkan, pada masa yang sama kerajaan menekan Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK) sehingga mahu merampas tanah milik YBK.

Kenapa kerajaan negeri begitu lunak dan sanggup bersusah payah membantu Talam Corporation sehingga mempertaruhkan wang rakyat? Pada yang sama kerajaan negeri menindas hak golongan miskin di negeri Selangor.

Apakah ada udang di sebalik batu? Apakah kerana dendam tidak dapat habuan maka YBK ditindas. Ingatlah pemimpin suka berdendam membawa negeri ke arah jahanam.

Inovasi pengambialihan hutang Talam Corporation hanyalah publisiti murahan untuk memperbodohkan ADUN dan rakyat yang tidak faham perakaunan.

Di fahamkan pula Menteri Besar Diperbadankan (MBI) yang menguruskan kutipan hutang Talam Corporation sebanyak RM 392juta. Lebih mengelirukan, sungguhpun ia diletak di bawah pentadbiran MBI, Menteri Besar, mengikut laporan Malaysiakini.com, kerajaan negeri masih mengarahkan anak syarikat kerajaan negeri seperti KDEB dan PNSB mengutip hutang tersebut dalam masa tiga bulan.

Justeru, di manakah letaknya releven kaedah yang diguna pakai ini jika hutang masih dikutip oleh anak-anak syarikat negeri seperti keadaan asal? Adalah pelik aksi silap mata ini dipertontonkan jika akhirnya hutang tetap dikutip oleh anak syarikat.

Jika itu yang berlaku, sebenarnya kerajaan masih boleh mengutip hutang cara biasa iaitu anak-anak syarikat mengutip terus dari Talam Corporation seperti keadaan asal.

Sedangkan sewaktu Barisan Nasional dahulu kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas pada 2007 yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua anak syarikat terbabit bagi mengutip hutang Talam kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Antara tindakan yang dalam proses ketika itu ialah rundingan pengambil alihan aset-aset dan hartanah Talam seperti Kelab Golf Bukit Beruntung dan beberapa hartanah lain. Selain itu tekanan juga dibuat dengan membekukan projek-projek "akan datang" yang membabitkan syarikat tersebut sehingga hutang mereka kepada kerajaan negeri dilangsaikan.

Persoalannya bagaimanakah usaha pengambilalihan hutang ini dapat memaksa atau melunturkan syarikat Talam Corporation agar membayar hutang? Justeru, tiada apa-apa inovasi, yang ada hanyalah permainan silap mata untuk memperbodoh, mengelirukan dan menghiburkan para ADUN dan rakyat Selangor yang tidak faham perakaunan.

bersambung ke Siri 3/3..

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Julai 19, 2012

Siri 1/3 - ISU SKANDAL HUTANG TALAM CORPORATION!


Kerajaan Selangor tidak bermoral dan tidak beretika kerana membeli" hutang daripada syarikat korporat Talam Corporation menggunakan wang kerajaan / duit rakyat.

Pada 9 November tahun 2009, Sidang Dewan Undangan Negeri telah meluluskan bajet tambahan berjumlah RM391.7 juta untuk sayap pelaburan Kerajaan Negeri, iaitu Perbadanan Menteri Besar (MBI) membeli hutang yang ditanggung Talam Corp kepada beberapa agensi kerajaan negeri.

Secara prinsipnya adalah tidak bermoral dan tidak beretika menggunakan duit kerajaan / “duit rakyat” untuk membeli mengambil alih hutang sebuah syarikat swasta.

Pada hal kaedah “menyelamatkan syarikat swasta dan korporat” ini telah ditentang habis-habisan oleh pakatan pembangkang ketika era krisis ekonomi tahun 1998. Justifikasi kaedah kerajaan membantu syarikat bermasalah ketika itu adalah untuk menyelamatkan ekonomi negara secara keseluruhannya akibat ketidakupayaan mantan Menteri Kewangan ketika itu dan kini Penasihat Ekonomi Selangor mengeluarkan negara dari kemelut ekonomi akibat serangan spekulator mata wang.

Tetapi mengapa kini kaedah tersebut digunakan kerana masalah hutang Talam Corporation ini tidak akan menjejaskan ekonomi Selangor keseluruhannya. Ya ia satu masalah tetapi kenapa tidak digunakan cara kutipan yang biasa sahaja.

Adakah pakatan pembangkang kini Pakatan Rakyat sudah berubah dan menggadai prinsip ATAU YB Menteri Besar terlalu cerdik sehingga semua EXCO, Adun Pakatan dan rakyat seluruhnya diperbodohkan.

Kerajaan Selangor mengaburi mata rakyat kerana "membeli" hutang daripada syarikat Talam Corporation untuk meningkatkan pendapatan negeri itu sebanyak RM392 juta lagi. Ia membuatkan rakyat keliru tetapi seronok mendengar kerajaan dapat tambah kewangan.

Pengambialihan hutang Talam Corporation oleh kerajaan negeri adalah satu pengumuman acara silap mata kewangan dalam sektor korporat yang dikenali sebagai round-tripping. Antara strategi round-tripping ialah “syarikat menjual aset yang tidak digunakan kepada syarikat lain, dan pada masa yang sama setuju untuk membeli kembali aset yang sama atau yang bersamaan nilainya pada harga yang sama” (dengan izin “a company selling an unused asset to another company while at the same time agreeing to buy back tke same or similar assets at about the same price”).

Apakah tujuan round-tripping ini? Ia bertujuan untuk menunjukkan peningkatan untung dalam akaun biar pun tiada untung sebenar. Ia banyak dilakukan oleh syarikat-syarikat di Bursa Saham untuk memberi keyakinan kepada pelabur.

Kaedah round-tripping ini biasa digunakan oleh “penyangak korporat”. Memetik kata-kata Mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim yang turut mengkritik pembelian hutang Talam Corporation ini sebagai berkata “Ini adalah muslihat lama yang digunakan oleh penyangak-penyangak di dalam sektor korporat” (dengan izin - "This is an old trick used by the crooks in the corporate sector." )

Persoalannya siapakah penyangak-penyangak ini - “tepuk dada tanya selera”, “sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula ".

Kaedah round-tripping yang digunakan oleh Kerajaan Negeri ini dianggap penyelewengan kerana ia bertujuan untuk menunjukkan tambahan pendapatan besar dalam akaun kerajaan negeri walhal keuntungan ini tidak tulen.

Walaupun aset-aset hutang Talam ini merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri namun ia dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri sebagai bayaran hutang mereka kepada kerajaan negeri.

Mengapa ia dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri? Ini untuk menunjukkan akaun kerajaan negeri mempunyai pendapatan yang lebih baik berbanding tahun lalu dan juga lebih baik dari anggaran pendapatan dalam Bajet 2008.

Pengumuman Menteri Besar berkenaan dengan pengambil alihan hutang-hutang Talam merupakan satu strategi bagi memanipulasi rekod keuntungan organisasi tanpa mencerminkan nilai sebenar.

Maka benarlah anggapan bahawa tindakan ini tidak bermoral dan tidak beretika kerana turut memanipulasikan kaedah perakaunan untuk memperlihatkan seolah-olah kerajaan negeri cukup cerdik, cukup pandai mengurus wang dan hutang negeri di mata mereka yang tidak faham dan rakyat kebanyakan yang tidak arif hal-ehwal kewangan dan perakaunan.

Pengambilalihan hutang syarikat Talam Corporation oleh kerajaan Selangor tidak telus, pelik dan diselubungi pelbagai pertanyaan dan persoalan

Pertama: kerajaan negeri menggunakan mekanisme yang tidak ada semak dan imbang (dengan izin check and balance) dalam pengambilalihan hutang tersebut. Ini kerana aset hutang yang berjumlah RM 392 juta ini dijual kepada sebuah syarikat milik PKNS, Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd (SIC) yang tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan untuk membuat pinjaman berbanding PKNS, KDEB dan PNSB.

Pada hal SIC tidak disebutkan pun sebagai salah satu anak syarikat negeri di mana Talam Corporation berhutang dengannya. Malah SIC terpaksa pula membuat membuat hutang melalui pembiayaan dari CIMB Bank.

Apakah kerajaan negeri cuba melindungi kepentingan seseorang, syarikat atau apa sehingga memilih kaedah ini yang bebas daripada padangan pihak lain (dengan izin second opinion)?

Kedua: bagi kaedah perlaksanaan round-tripping ini adalah perlu kerajaan menggunakan khidmat konsultan kerana melibatkan perbagai entiti, dokumen tertentu, perjanjian dan ketepatan transaksi.

Tetapi adalah pelik YAB Menteri Besar mengakui bahawa tiada khidmat konsultan kerana beliau sendiri adalah konsultannya. Katanya pada media “Konsultan itu adalah Khalid Ibrahim kerana saya orangnya yang membuat cadangan tersebut dan saya akan memastikan proses pelaksanaannya nanti."... “kos untuk konsultansi dalaman itu adalah percuma melainkan saudara-saudari semua nak saya caj kerajaan negeri”.

Sedangkan kita difahamkan bahawa SIC juga menanggung kos guaman dan konsultasi sebanyak RM 700 ribu. Siapakah peguam dan konsultan yang menguruskannya. Apakah kretaria pemilihan mereka?

bersambung ke siri 2/3..

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Julai 18, 2012

SWAn : Krisis air lebih teruk banding situasi 1998?



Penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal berhadapan dengan krisis air jauh lebih teruk daripada apa yang pernah dialami pada 1998 jika kekurangan bekalan air terawat tidak diselesaikan segera.

Timbalan Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya (SWAn) Aldric Loong Kim Yew berkata, ini berdasarkan data mingguan yang dikeluarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, operator agihan dan pengendalian pengeluaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bahawa permintaan air telah meningkat.

"Permintaan air secara puratanya telah meningkat ke tahap 4,329 juta liter sehari berbanding dengan kapasiti pengeluaran maksimum semua Loji Rawatan Air (LRA) sebanyak 4,371 juta liter sehari.


"Ini jelas menunjukkan bahawa kini hampir tiada rizab lagi untuk menampung sebarang peningkatan permintaan bekalan air terutama sewaktu permintaan puncak, dengan permintaan meningkat setinggi lebih 7 peratus daripada purata permintaan air harian," katanya ketika ditemui pemberita semasa kempen derma darah SWAn di Pusat Darah Negara, di sini hari ini.

Loong berkata sesetengah penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur sudah mula mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah akibat kekurangan bekalan air terawat.

Loong berkata, kerajaan Selangor dilihat langsung tidak memahami keadaan bekalan air yang melanda pada masa ini dan asyik mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan paras air di empangan Selangor penuh dan mencukupi.

"Apa yang dipertikaikan sekarang adalah mengenai kekurangan bekalan air terawat dan keperluan meningkatkan sumber air serta membina LRA tambahan untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat," katanya.


Beliau berkata empangan yang penuh tidak semestinya mempunyai bekalan air yang mencukupi malah ia bergantung kepada reka bentuk hidrologikal empangan dan air mentah di empangan itu mesti dirawat dahulu sebelum ia dapat disalurkan kepada pengguna.

Loong berkata berkata masalah ini boleh diselesaikan sekiranya pihak-pihak yang berkaitan berkumpul dan berbincang cara mengatasi masalah ini bersama.

"Pihak SWAn mendesak kerajaan Persekutuan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberikan perhatian penuh dan mengambil langkah-langkah jitu untuk menyelesaikan isu penting ini secepat mungkin," katanya. - Bernama

Suara Politik
Taminsari

Meru Kawasan Terpilih, Tetapi Masih Kotor - Apa Dr.Rani Buat?


Papan tanda Zon Bersih berdiri megah di Taman Meru 1, pekan Meru, Klang, namun ia tidak menggambarkan persekitaran tempat itu yang dicemari sampah.

Kriteria sesebuah kawasan yang dijadikan Zon Bersih adalah ia mempunyai persekitaran yang bersih dan disenggarakan dengan baik. Namun, perkara sebaliknya yang dirasai oleh penduduk Taman Meru 1 dan Jalan Teratai di sini apabila ia hanya gah pada papan tanda sahaja.

Seorang peniaga, Saharil Mohd. Aini, 31, mendakwa bukan sahaja kawasan perumahan mereka tidak disenggara dengan baik malah papan tanda zon bersih yang diletakkan di kawasan berkenaan hampir setahun lalu tidak dijaga dengan baik oleh pihak berwajib.

"Mereka ada menghantar kontraktor dan tukang sapu sampah bagi kerja pembersihan tetapi kerja yang dilakukan hanya ala kadar sahaja dan sekarang sudah seminggu tukang sapu sampah tidak kelihatan.

"Pihak berkuasa seharusnya membuat pemantauan terhadap kawasan yang telah diiktiraf sebagai Zon Bersih dan bukan hanya meletakkan papan tanda Zon Bersih dan membiarkan kawasan tersebut begitu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Seorang pekerja swasta, Tan Knye Sin, 44, berkata, dia telah membuat laporan sebanyak tiga kali kepada seorang ahli majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) di kawasan tersebut tetapi jawapan yang diberikan mengecewakannya.

"Pihak tersebut mengatakan bahawa tiada peruntukan yang disediakan bagi kerja pembersihan. Bukan itu sahaja, keadaan longkang yang berdekatan dengan papan tanda Zon Bersih juga tersumbat sehingga mengakibatkan nyamuk membiak dan akan masuk ke premis pada waktu petang," katanya.


Beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat membersihkan kawasan yang telah dinaik taraf sebagai Zon Bersih dan mengindahkan kawasan tersebut yang semakin membangun.

Peniaga restoran, Syed Hassan Syed Ahamed Kabeer, 40, pula berkata, keadaan longkang yang tersumbat dan daun-daun kering tersangkut pada kabel elektrik telah mencacatkan pandangan di persekitaran kawasan tersebut.

"Kadang-kadang ada juga dahan pokok yang jatuh kerana tidak dipangkas lebih awal. Ini boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada para penunggang motosikal," katanya.

Persoalannya disini adalah apa peranan ADUN Kawasan Meru iaitu Dr.Rani? Beliau seolah-olah tidak mengambil tahu langsung apa yang berlaku di Pekan Meru. Lihat sahaja didalam longkang-longkang besar di sepanjang Pekan Meru, sampah sarap dapat dilihat dimerata-rata!

Tambahan pula dengan kehadiran ramai pekerja-pekerja asing di Pekan Meru dengan sikap mereka yang suka membuang sampah dimerata-rata tempat, menambahkan lagi sakit mata memandang!

Apakah selama 4 tahun memerintah, tiada apa-apa tindakan yang diambil? Adakah jika ada aduan, baru hendak bertindak! Perlukah MPK, Pejabat Daerah dan JPS dipersalahkan? Atau adakah wakil masyarakat kepada rakyat ( wakil rakyat ) tidak prihatin!

Salah UMNO ke! UMNO tak salah..BN pun tak salah..? Habis nak salahkan siapa? Wakil rakyat yang salah kerana tak peka masalah rakyat! Mana perginya perancangan strategik jangka masa panjang atau pendek pembangunan Pekan Meru?

Dengan kata lain, mana pelan tindakan DUN Meru setelah 4 tahun ditampuk pemerintahan! Adakah masyarakat Meru diberitahu tentang perkara tersebut? Pernah kah..!!! Fikir-fikirkanlah?

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Julai 17, 2012

Jangan salahkan kami, Syabas beritahu MB?



Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menafikan dakwaan kononnya pihaknya tidak menjalankan tanggungjawab mengikut perjanjian konsesi.

Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikalnya, Ir V Subramaniam berkata, tuduhan dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam tidak berasas kerana mendakwa Kerajaan Selangor menjadi punca berlakunya krisis bekalan air di sebahagian kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Krisis itu berlaku disebabkan kekurangan bekalan air terawat untuk diagihkan Syabas akibat daripada keengganan Kerajaan Selangor melulus dan melaksanakan projek untuk menambah bekalan air terawat di negeri ini.

“Keengganan Kerajaan Selangor mengeluarkan arahan pembangunan kepada projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan kegagalan mereka menggazetkan pelarasan tarif yang telah ditetapkan dalam perjanjian konsesi juga menyumbang kepada faktor ini,” kata beliau pada sidang media di sini, tengah hari tadi.


Dalam pada itu Subramaniam juga berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, yang mengatakan keadaan bekalan air mentah di empangan sedia ada mencukupi sehingga melimpah, adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Sebenarnya isu kekurangan bekalan air merujuk kepada air terawat untuk memenuhi keperluan pengguna," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan pimpinan Khalid itu mengarahkan pembekuan perbelanjaan modal Syabas, dan ini turut membantutkan usaha syarikat itu untuk mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil.

Subaramaniam berkata perkara itu telah dimaklumkan melalui sembilan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah sejak dua tahun lepas.

"Setiap kali mesyuarat Lembaga Pengarah, kerajaan negeri yang menguasai 30 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan, turut dimaklumkan menerusi wakilnya mengenai kedudukan bekalan air yang kritikal, tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan Selangor sehingga kini," tambahnya.

Pada masa yang sama, Subramaniam menjelaskan kegagalan kerajaan Selangor untuk mewartakan perlarasan tarif, telah menyebabkan tanggungan tertunggak Syabas kepada operator loji rawatan air.

Suara Politik
Taminsari

Desak Selangor benarkan bina loji Langat 2!



Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini hari ini mendesak kerajaan negeri supaya bersikap lebih bertanggungjawab kepada nasib rakyat dengan membenarkan pembinaan Lori Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Desakan tersebut dibuat oleh Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) dan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

Ketiga-tiga NGO itu ketika dihubungi di sini mahu kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang mengenepikan sikap ego serta tidak bermain politik dalam isu berkenaan kerana ia hanya menyusahkan rakyat selain merencatkan pembangunan ekonomi Selangor.

Ketua GPRS, Zubir Zainudin berkata, sikap degil kerajaan negeri tidak meluluskan projek Langat 2 menyebabkan rakyat menderita apabila mereka akan berdepan catuan bekalan air bersih ekoran krisis air mula melanda Lembah Klang.


"Namun, kerajaan negeri masih lagi bermain politik dengan meminta Kerajaan Pusat mengiktiraf aset seperti paip dan loji sebagai milik mereka. GPRS yang mewakili rakyat Selangor kesal dengan sikap kerajaan negeri dan menuntut agar projek ini diluluskan segera," katanya.

Menurut Zubir, pihaknya memberikan tempoh seminggu kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan mengenai pembinaan Langat 2 atau akan mengadakan bantahan secara besar-besaran di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sekiranya tiada sebarang jawapan diberikan mengenai perkara itu.

Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bercadang melaksanakan catuan bekalan bagi mengatasi krisis kekurangan air yang melanda kawasan Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sejak April lalu.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan memaklumkan catuan bekalan air itu akan dilaksanakan jika ia sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut Ruslan, catuan bekalan air tersebut perlu dilakukan berikutan penurunan paras air yang mendadak sejak bulan lalu di beberapa kolam takungan sehingga ada yang mencapai tahap negatif berbanding jumlah simpanan yang sepatutnya iaitu minimum sebanyak 20 peratus.

Pada masa sama, Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin pula menyokong cadangan Syabas mengenakan catuan kerana langkah itu adalah pilihan terakhir bagi memastikan krisis air tidak berlaku sebelum jangkaan awal iaitu menjelang 2014.

Dalam hubungan ini katanya, kerajaan negeri tiada pilihan selain meluluskan projek Langat 2 dengan segera bagi menangani masalah berkenaan.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Julai 16, 2012

Gempar...!!! MB Khalid sudah terdesak, nak 'rampas' Syabas dalam masa 14 hari?



Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh 14 hari selepas didakwa tidak mampu memberi perkhidmatan air yang baik kepada pengguna.

Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan itu diambil menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan menghantar surat memohon persetujuan daripada kerajaan pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Kerajaan negeri Selangor sepatutnya menjelaskan kepada rakyat mengenai catuan air yang mungkin dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ke atas pengguna di beberapa kawasan tidak lama lagi dan bukannya mengeruhkan lagi kedaaan!

Ini adalah kerana kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini menegaskan bahawa simpanan air adalah mencukupi. Masalah itu telah menjadi isu yang dibahaskan antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Selangor, tetapi akibat kedegilan kerajaan Pakatan Pembangkang mengakibatkan rakyat yang menjadi mangsa.

Benarkah Syabas tidak mampu memberikan perkhidmatan air yang baik atau pun kerajaan negeri melalui Menteri Besarnya, Khalid Ibrahim tidak mampu membayar semula hutang kepada Syabas kerana janji pilihanraya air percuma 20m/padu?

Atau adakah MB Khalid masih lagi mahu mempolitikkan isu air ini sehingga rakyat Selangor terpaksa meminum air lombong sepertimana yang dicadangkan Khalid sebelum ini! Fikir-fikirkan lah..!!!

Suara Politik
Taminsari

Hutang Talam : Ah Chai didesak perjelas cara yakinkan PKNS?



Pengerusi Talam Corporation Bhd. (Talam), Tan Sri Chan Ah Chai didesak menjelaskan cara yang digunakannya untuk meyakinkan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar agar perbadanan itu mengambil alih hutang syarikat tersebut berjumlah RM392 juta.

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Ah Chai juga perlu menjawab sama ada benar hutang Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Universiti Selangor (Unisel) dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) diambil alih dengan harga RM10 setiap satu.

"Kita mahu pengesahan daripada beliau. JMM juga meminta Othman menjelaskan mengapa PKNS hanya mengambil alih hutang Talam.

"Rakyat seluruh Selangor ingin tahu mengapa hanya Ah Chai dan Talam yang mendapat kemudahan, manfaat dan keistimewaan yang amat besar daripada PKNS.

"Apakah rakyat Selangor yang lain tidak layak untuk mendapat hak dan keistimewaan yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas pendedahan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong yang mendakwa sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor terpaksa menanggung beban hutang berjumlah RM316 juta untuk membayar balik hutang hasil pembelian aset Talam.

Katanya, PNSB iaitu anak syarikat milik penuh kerajaan negeri yang sebelum ini bebas hutang dan mempunyai simpanan kira-kira RM76 juta, terpaksa membuat pinjaman itu bagi membayar balik kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang telah menjual aset berkenaan.

Sebelum itu, Tee Yong juga mendakwa, kerajaan PKR Selangor terbabit dalam penyelewengan hampir RM1 bilion yang dilakukan dengan berselindung di sebalik pelan 'menyelamat' Talam dua tahun lalu.

Azwanddin menambah, rakyat juga mahu mengetahui dari mulut Ah Chai sendiri sama ada urusan mengambil alih hutang RM392 juta itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ataupun tidak.


Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula mencabar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan Menteri Besar sebagai jalan keluar beliau dalam menjamin ketelusan pentadbiran negeri.

Katanya, GAPS mencabar Abdul Khalid berbuat demikian atas pelbagai tindakannya yang merugikan kewangan negeri termasuk cadangan melantik lima firma audit antarabangsa bagi menyiasat salah guna kuasa pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu.

"Apa relevan cadangannya itu sedangkan di peringkat negeri sememangnya sudah wujud Jabatan Audit Negeri yang melaksanakan tugas audit dengan penuh integriti serta berpengalaman luas, tambahan perkhidmatan mereka adalah percuma.

"Abdul Khalid perlu percaya kebolehan kakitangan awam, jangan pula mahu menjadikan mereka kambing hitam sahaja. Pendedahan itu akan terus dilakukan selagi beliau tidak meletakkan jawatannya," ujar beliau.

Suara Politik
Taminsari