Ahad, Januari 11, 2015

Ekor QZ8501 berjaya diapungkan?

Stesen televisyen tempatan KompasTV menyiarkan secara langsung proses pengangkatan ekor QZ8501.

PANGKALAN BUN - Pasukan penyelam gabungan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) serta Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) negara itu akhirnya berjaya mengangkat bahagian ekor bangkai pesawat AirAsia QZ8501 daripada dasar laut Selat Karimata, dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah hari ini.

Pencarian bahagian ekor pesawat jenis Airbus A320-200 itu menjadi misi penting kerana bahagian tersebut menyimpan kotak hitam yang merakamkan pelbagai data penerbangan yang diharap mampu membantu siasatan insiden nahas tersebut.

Laporan pemantauan Kompas.com dari Kapal Banda Aceh, yang turut menyiarkan secara langsung peristiwa itu menjelaskan bahawa belon yang digunakan untuk mengangkat ekor pesawat berhasil mengapungkan bangkai pesawat tersebut kira-kira jam 11.50 pagi waktu tempatan.

Kelibat ekor pesawat berkenaan juga sudah mula terlihat di permukaan laut yang berombak.

Kerja-kerja pengapungan ekor pesawat itu sudah bermula sejak Khamis lalu namun pasukan penyelam berdepan pelbagai rintangan seperti faktor cuaca, kekuatan arus dan juga jarak pandangan akibat keadaan berlumpur.

Pasukan gabungan TNI-AL dan BASARNAS akhirnya pada Sabtu berjaya mengangkat sebahagian daripada ekor QZ8501 daripada dasar Selatan Karimata menggunakan ‘lifting bag‘ atau belon pengangkatan yang diikatkan pasukan penyelam ke ekor pesawat sehingga terapung ke permukaan laut.

Berikut kronologi proses pengangkatan bermula jam 6 pagi tadi waktu Indonesia Barat (WIB):-

06.00 WIB: Penyelam mula turun tahap 1 hingga tahap 4.

10.12 WIB: Pengisian udara ke dalam enam biji belon pengangkatan.

11.14 WIB: Selaman tahap kelima, untuk mengapungkan ekor bermula.

11.31 WIB: Penyelam tiba di permukaan laut.

11.40 WIB: Selaman keenam mennimbulkan ekor pesawat bermula.

11.48 WIB: Penyelam timbul di permukaan.

11.50 WIB: “Lifting bag” atau belon pengangkatan muncul ke permukaan dan serpihan ekor QZ8501 berjaya.

12.20 WIB: Bangkai ekor QZ8501 muncul di permukaan dan dalam proses ditunda menghampiri kapal Crest Onyx.

Belum dapat dipastikan sama ada kotak hitam QZ berada bersama serpihan ekor yang berjaya diangkat kerana sebelum ini dilaporkan alat pengesan sonar dari kapal navigasi TNI-AL, Jadayat mendapati kotak hitam itu sudah terpisah daripada bahagian ekor pesawat dan dihanyutkan arus sejauh 1.7 batu nautika.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Januari 10, 2015

Tony Fernandes nafi AirAsia tidak dapat kebenaran penerbangan?


JAKARTA – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan syarikat penerbangan itu menerima kebenaran untuk beroperasi di laluan Surabaya-Singapura berdasarkan jadual pe­nerbangan yang dipersetujui oleh pihak ber­kuasa Indonesia dan Singapura.

Beliau berkata, pi­haknya menerima kebenaran untuk beroperasi di laluan tersebut sebanyak tujuh kali dalam seminggu.

“Apa yang berla­ku merupakan satu ma­sa­lah pentadbiran. Ka­mi menghargai langkah Kementerian Pengangkutan Indonesia untuk menilai penyelarasan antara pihak berkuasa lapangan terbang dan pihak berkuasa penerbangan bagi mengelak salah faham pada masa depan,” katanya dalam satu kenya­taan kepada agensi berita Antara.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataan Menteri Hal Ehwal Perhubungan Indonesia, Ignasius Jonan yang menyatakan Fernandes mengaku salah tidak mendapat kebenaran menggunakan laluan tersebut.

Fernandes kemudian mencadangkan pihak berkuasa penerbangan di Indonesia menggunakan sistem komputer komprehensif seperti yang digunakan di Si­ngapura.

Terdahulu, Pemang­ku Ketua Pengarah Pe­ngangkutan Udara, Ke­menterian Pengangkutan Indonesia, Djoko Murdjatmojo berkata, AirAsia melanggar jadual penerbangan Surabaya-Si­ngapura yang telah dipersetujui.

“Berdasarkan pemantauan ka­mi, AirAsia tidak mengikut jadual dipersetujui dengan kerajaan,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Januari 09, 2015

Jumpa ekor QZ8501
di dasar Laut Jawa?

Inilah bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 yang ditemukan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) di dasar Laut Jawa kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir pesawat tersebut.

JAKARTA - Pasukan mencari dan menyelamat hari ini berjaya me­nemukan ekor pesawat Air­Asia QZ8501 di dasar Laut Jawa kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir pesawat tersebut.

Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) berkata, penemuan tersebut merupakan kejayaan yang ditunggu oleh pasukan penyiasat dalam mencari alat perakam data penerbangan atau kotak hitam.

“Kami menemui ekor pesawat yang merupakan sasaran utama kami.

“Ekor pesawat itu ditemui oleh pasukan penyelam selepas dikesan oleh peralatan dasar laut yang mempunyai kelengkapan sistem sonar,” kata Ketua Basarnas, Bambang Soelistyo pada sidang media, di sini hari ini.


Beliau berkata, pasukan penyelam itu kini berusaha mencari kotak hitam, yang mampu membantu dalam mencari punca kejadian tersebut.

“Mencari ekor pesawat adalah penting kerana alat perakam perbualan kokpit dan perakam data ber­ada di bahagian belakang pesawat itu,” katanya.

Laman web detik.com melaporkan, ekor pesawat itu ditemukan dalam keada­an terbalik dan terbenam dalam lumpur.

Sehingga hari ini, hanya 40 daripada 162 mayat penumpang pesawat Airbus A320-200 itu berjaya ditemukan.

Angin kencang dan ombak besar pula menghalang usaha penyelam untuk ke loikasi objek-objek besar di dasar laut yang dikesan melalui sonar. – Reuters

Suara Politik
Belantan

Tiga tahun jual daging babi kepada muslim?


SWITZERLAND – Seorang penjual daging ‘halal’ dihadapkan ke mahkamah awal minggu lepas kerana menjual daging babi kepada pelanggan beragama Islam.

Pengusaha daging berbangsa Swiss itu dilaporkan telah menjual sebanyak 3.1 tan daging khinzir sepanjang tiga tahun.

Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati lelaki tersebut telah menipu pelanggan dengan menyatakan daging terlarang tersebut sebagai daging anak lembu.

“Jika para pelanggan mengetahui bahawa ia merupakan daging babi, mereka tidak akan membelinya kerana Islam melarang penganutnya dari makan daging berkenaan,” jelas pendakwaraya.

Pengusaha bahan mentah itu didakwa atas kesalahan penipuan dan salah nyataan, dan kini berdepan penjara selama enam bulan serta denda sebanyak 18,000 Swiss franc (RM63,000).

Suara Politik
Belantan

Rabu, Januari 07, 2015

QZ8501 Hari ke-10: 125 mayat terperangkap dalam bangkai pesawat?


SURABAYA - Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) mempercayai bahawa lebih banyak mayat nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 akan ditemui sekiranya bangkai pesawat dapat ditimbulkan semula.

Memetik laporan AFP, BASARNAS sedang menumpukan usaha untuk mengesan lima objek besar berukuran 18 meter panjang dan 5.4 meter lebar yang dipercayai adalah badan utama (fuselage) kapal terbang.

Seramai 37 mayat penumpang dan anak kapal sudah ditemui pasukan BARSANAS sehingga semalam, manakala bakinya dijangka masih terperangkap dalam pesawat itu.


Pasukan penyelam masih meneruskan percubaan bagi mengesan 'objek besar' di dasar laut yang dipercayai adalah bangkai pesawat QZ8501.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Januari 06, 2015

QZ8501 Hari ke-8 : Mangsa kanak-kanak memakai baju Minnie Mouse?


SURABAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Indonesia menemui tiga lagi mayat dalam tragedi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas pada Ahad minggu lepas.

Menurut portal berita Kompas, salah satu antara tiga jenazah berkenaan dikenal pasti sebagai kanak-kanak perempuan bernama Jie Stevie Gunawan.

Mayat kanak-kanak itu mendapat pengecaman melalui jaket berwarna merah yang dipakainya sewaktu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.

“Mangsa dikenal pasti menerusi rakaman televisyen litar tertutup di lapangan terbang. Mangsa dilihat memakai seluar jeans berwarna biru serta baju yang terpapar watak kartun Minnie Mouse,” ujar Ketua Pusat Dokkes Mabes Polri, Arthur Tampi.

Kanak-kanak malang berkenaan merupakan salah seorang penumpang bersama enam anggota keluarga yang lain dalam penerbangan ke Singapura untuk bercuti.

Sementara itu, hanya 13 daripada 37 mayat penumpang pesawat AirAsia QZ8501 yang berjaya ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat sejak pesawat itu terhempas 10 hari lalu, telah dikenal pasti.

Laman web Channel News Asia melaporkan, pihak berkuasa Indonesia menyatakan, 24 lagi mayat sukar dikenal pasti kerana keadaan mereka yang sudah reput selepas terdedah kepada keadaan cuaca.

Suara Politik
Belantan

MMU: Dua jam babi hutan dalam perpustakaan?


CYBERJAYA - Seekor babi hutan dilaporkan merempuh panel dinding kaca pintu belakang perpustakaan Universiti Multimedia (MMU), 1.30 petang, semalam.

Selepas kejadian itu, semua pelajar yang berada di dalam perpustakaan tersebut diminta keluar bagi membolehkan pihak bomba menangkap haiwan liar itu.

Menurut Ketua Pustakawan MMU Kamal Sujak, selepas dua jam, akhirnya mereka berjaya menangkap babi jantan itu.

Difahamkan, bahagian utama perpustakaan itu ditutup berikutan usaha menangkap haiwan tersebut.

"Binatang liar ini mungkin tersesat dari kawasan hutan berdekatan memandangkan pembangunan pesat sekitar Cyberjaya," kata Kamal kepada media.

Bagaimanapun, ruang bacaan utama perpustakaan tersebut yang berfungsi 24 jam dibuka seperti biasa.

Suara Politik
Belantan

QZ8501 Hari ke-9 : Lokasi pesawat AirAsia ditemui!


Agensi mencari dan menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia dilaporkan telah menemui lokasi pesawat AirAsia QZ8501.

Menurut Komandan Lanud Iskandar Pangkalan Bun, Leftenan Kolonel Penerbangan, Johnson Simatupang, semua pesawat yang melakukan operasi udara dalam misi pencarian tersebut akan terbang di bawah 5,000 kaki.

Dilaporkan, mereka sudah mendapat perintah operasi dari Basarnas dan semua penerbangan akan berada di bawah 5,000 kaki.

Difahamkan, pesawat Tentera Angkatan Udara Nasional Indonesia (TNI AU), Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat akan melakukan operasi di empat sektor.

Sebelum ini, Unit Kawalan Trafik Udara (ATC) dan pasukan SAR menfokuskan pencarian di titik koordinat di lokasi terakhir pesawat AirAsia QZ8501 jatuh.

Lokasi pencarian akan dilakukan sejauh 60 batu nautika dari titik terakhir.


Sementara itu, seorang imam yang berkhidmat di Masjid Istiqlal menyatakan bahawa jenazah mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 tidak perlu dicari dan dibawa keluar.

“Jenazah yang berada dalam keadaan rosak dan tidak dapat dikenal pasti sepatutnya dibiarkan sahaja tenggelam di dasar laut,” ujar imam besar, Ali Mustafa Yakub.

Memetik laporan portal Republika, Imam Ali menjelaskan, proses menyelamatkan jenazah akan mengambil masa yang panjang sebelum boleh dibawa ke darat.

Justeru, mangsa yang meninggal dunia di atas kapal komersil berkenaan boleh dibiar tenggelam sebagai pengganti kepada pengebumian.

“Misalnya jika ditunggu sehingga sampai ke daratan, mayat akan busuk. Tetapi sekarang ada ujian DNA, jadi sebaiknya dibawa ke daratan,” tambahnya.

Menurutnya kaedah tersebut sudah dibincangkan di dalam beberapa kitab Islam yang mana penenggelaman dilakukan dengan cara mengikat pemberat kepada jenazah.

“Namun dalam situasi ini, pengurusan jenazah lebih afdal dilakukan bersama teknologi yang canggih,” terang Imam Ali lagi.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Januari 05, 2015

QZ8701: Hari ke-8: Mangsa ditemui terikat dengan kerusi penumpang!


SURABAYA - Selepas hampir seminggu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih berdepan dengan keadaan cuaca yang buruk dalam misi mencari semua mayat mangsa yang terkorban di atas pesawat AirAsia QZ8501.

Setakat hari Jumaat, bilangan mayat yang ditemui di kawasan Kalimatan Tengah adalah 30. Menurut Komando Yayan Sofiyan dari Indonesia, beberapa daripada mereka ditemui dalam keadaan masih terikat dengan tempat duduk mereka. Empat mangsa kemalangan telah dikenalpasti dan dikembalikan kepada ahli keluarga mereka, termasuk seorang pramugari dan seorang budak lelaki yang berumur 11 tahun.

Bangkai pesawat tersebut pula telah dikesan oleh sonar pada hari Selasa dan dikatakan berada dalam keadaan songsang di dasar laut 100 meter.


AirAsia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal dalam perjalanannya dari Surabaya ke Singapura apabila telah hilang pada hari Ahad, 28 Disember 2014. Sebelum hilang daripada radar, juruterbang telah meminta izin untuk meningkatkan ketinggian tetapi tidak diberi izin oleh pusat kawalan trafik udara kerana keadaan trafik udara yang sesak pada masa itu.

Punca sebenar nahas masih belum diketahui tetapi dipercayai kerana cuaca yang buruk.

Pada hari Jumaat, lebih daripada 200 penduduk tempatan di Surabaya telah berkumpul di sebuah masjid dan berdoa untuk semua mangsa yang terkorban.

Suara Politik
Belantan

QZ8501 Hari ke-7: Tony Fernandes hantar sendiri jenazah Khairunisa?


Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini menyatakan hasrat untuk turut serta menghantar jenazah pramugari yang terkorban dalam nahas pesawat QZ8501 pada pagi Ahad minggu lalu.

CEO Kumpulan AirAsia itu menyuarakan kesanggupan tersebut yakni menghantar jenazah arwahyarhamah Khairunisa Haidar Fauzie ke kampung halamannya yang terletak di Palembang untuk disempurnakan.



Perkara berkenaan dinyatakan oleh Tony Fernandes sendiri menerusi akaun Twitter peribadinya pada 31 Disember lalu.

Berdasarkan status yand dimuat naik semalam, beliau turut serta bersama kumpulan yang mengiringi dan membawa jenazah Khairunisa dari Surabaya ke Palembang.

Jenazah Khairunisa melalui proses mengenal pasti identiti sebanyak dua kali walaupun ditemui bersama tanda nama pada baju seragam yang dipakainya.

Suara Politik
Belantan

AirAsia #QZ8521 : Banyak mayat dalam bangkai pesawat?


Gabungan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari pelbagai negara percaya banyak mayat penumpang serta anak kapal QZ8501 masih berada dalam bangkai pesawat AirAsia Indonesia tersebut.

Justeru, fokus utama gabungan pasukan penyelamat ketika ini ialah untuk mendapatkan segera lokasi tepat kedudukan sebenar bangkai QZ8501, yang dipercayai terbenam dalam keadaan terbalik di Laut Jawa.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, kepercayaan itu bersandarkan kepada beberapa faktor, terutama corak kemalangan pesawat hasil dari serpihan dan mayat yang ditemukan.

“Kita percaya banyak mayat berada dalam badan pesawat dan tertenggelam bersama-sama ke dasar laut. Fokus sekarang ialah mencari lokasi sebenar kedudukan QZ8501 bagi meleraikan segala persoalan tersebut.


“Selain mayat mangsa, kedudukan lokasi sebenar badan pesawat adalah penting kerana dari situ harapan untuk mendapatkan kotak hitam adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kemungkinan mayat terbenam bersama-sama bangkai pesawat itu menguatkan andaian bahawa QZ8501 sempat melakukan pendaratan cemas di laut, sebelum akhirnya tenggelam akibat keadaan laut bergelora.

Malah, bekas Ke­tua Staf Angkatan Udara Indonesia, Chapy Hakim berkata, buat masa ini andaian tersebut adalah paling munasabah berdasarkan petunjuk keadaan mayat serta serpihan pesawat berkenaan.

Pesawat QZ8501 membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal, tetapi selepas enam hari operasi SAR digerakkan, hanya 16 mayat berjaya ditemukan sehingga kini manakala bakinya belum dapat dikesan.


Dalam pada itu, Abdul Aziz mengesahkan bahawa tumpuan operasi pasukan SAR adalah di sektor IV dan V sekitar Pulau Belitung, kerana pesawat QZ8501 dipercayai terbenam di kawasan tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diminta memantau kawasan pencarian di sektor II dan III kerana pihak Indonesia sudah menghantar kapal khas, Baruna Jaya 1 ke lokasi terbabit.

“Sehingga kini, TLDM berjaya menemukan empat mayat tetapi hanya tiga dapat dinaikkan dan saya cukup berbangga dengan komitmen serta nilai profesionalisme mereka meskipun dalam keadaan cuaca mencabar,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Januari 04, 2015

Benarkah pesawat Air Asia QZ8501 terbang tanpa kebenaran..?


Pesawat Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang bersama 162 penumpang dan anak kapalnya Ahad lalu berkemungkinan terbang tanpa kebenaran. Ia susulan tindakan Kementerian Perhubungan Indonesia (KEMENHUB) untuk membekukan buat sementara kebenaran penerbangan AirAsia Indonesia bagi laluan Surabaya- Singapura, berkuatkuasa semalam.

Lapor Kompas.com, tindakan itu diambil kerana AirAsia dikatakan melanggar surat kebenaran Ketua Pengarah Perhubungan Udara republik itu, bertarikh 24 Oktober 2014, yang sebelum ini hanya mengizinkan penerbangan dilakukan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pusat Komunikasi Awam KEMENHUB, J.A Batara. AirAsia juga telah didapati melanggar kebenaran itu dengan membuat penerbangan pada Ahad, 28 Disember 2014. Pesawat QZ8501 miliknya telah melakukan penerbangan dengan membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal dengan bertolak dari Surabaya ke Singapura pada hari itu sebelum dipercayai terhempas di Teluk Karimata, Kalimantan Tengah.

"Jadi ini pembekuan sementara izin rute (laluan) AirAsia rute penerbangan Surabaya-Singapura," ujar J.A Batara dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.


KEMENHUB bagaimanapun akan menimbangkan semula larangan itu selepas siasatan ke atas insiden pesawat AirAsia QZ8501 dilakukan oleh Jawatan Kuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia.

Penumpang yang telah pun membeli tiket penerbangan laluan Surabaya-Singapura dinasihatkan mengubah jadual penerbangan mereka. Sementara itu Pengarah Keselamatan AirAsia Indonesia, Kapten Ahmad Sadikin berkata syarikat itu tidak pernah beroperasi di sebarang laluan tanpa mendapat kebenaran.

“Saya tidak boleh menjawab kerana belum membacanya (laporan). Tetapi kalau kami tiada kebenaran, kami tidak mungkin terbang,” kata Sadikin pada Jumaat.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 sehingga semalam telah menemui 30 mayat di kawasan Kalimantan Tengah, iaitu hari ke-enam operasi itu. Sehingga kini empat daripadanya telah dikenal-pasti identiti mereka.

Suara Politik
Belantan

Sekadar di pinggiran, Pas ikut telunjuk DAP?


Hudud dan siapa Perdana Menteri (PM) pakatan DAP-Pas-PKR (3P) jika memenangi pilihan raya umum (PRU) timbul lagi. Isu ini pernah dibangkitkan tidak lama dulu. Dua isu inilah yang menghantui pemikiran pemimpin pakatan – Hudud dan PM. Belum ada kata sepakat mengenainya. Baru-baru ini DAP mahu kedua-dua isu itu diputuskan sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu pakatan itu menjelaskan pendirian bahawa 3P tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang PRU.

Pendirian itu penting supaya pakatan 3P mempunyai dasar yang jelas, konsisten dan meyakinkan rakyat apabila menjadi pentadbir di Putrajaya. Bagi Guan Eng, itulah aspirasi pengundi-pengundi (berhaluan) sederhana, bukan (aspirasi) pengundi ekstrem. Begitu juga dengan calon PM dalam kalangan mereka yang juga memerlukan satu ketetapan.

Siapa mereka? Adakah PM itu Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang (atau Mat Sabu), Lim Kit Siang (atau Guan Eng). Anwar jadi pilihan DAP walaupun pemimpin itu di dalam penjara. Kenyataan Guan Eng berkaitan pendirian dasar pakatan itu senada dengan Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai yang mahu pakatan itu mengutamakan matlamat politiknya yang menyeluruh berbanding matlamat parti. Kegagalan untuk mengutamakan perjuangan bersama akan menggugat kesepakatan pakatan itu dan peluang pada PRU nanti.

Dalam erti kata lain, 3P tidak boleh ‘tidur sebantal’ tetapi mimpi lain-lain. Mereka boleh tidur di bantal sendiri tetapi harus mempunyai mimpi yang sama. Pada masa yang sama DAP akan terus konsisten dengan ideologi Sosial Demokrasi yang dakwa parti itu berjuang untuk semua rakyat Malaysia serta mempertahan Perlembagaan Persekutuan.


DAP tidak risau dengan pendirian atau ideologi PKR. DAP sudah tentu lega dengan ikrar Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini menegaskan tidak akan meneruskan konsep ‘ketuanan Melayu’ supaya golongan muda Melayu itu membesar dengan bermaruah. Apa yang menimbulkan kegelisahan DAP ialah ideologi Pas walaupun sudah ada tanda-tanda pendirian itu akan berubah.

PKR juga sudah tentu akan bergerak seiring dengan DAP. Jika sebelum ini, DAP senada dengan PKR dalam isu Menteri Besar (MB) Selangor, maka tidak timbul sokongan PKR kepada DAP dalam dua isu yang dibangkitkan oleh Guan Eng. DAP tidak akan menghadapi masalah besar dengan PKR asalkan Anwar mendapat jawatan PM.

Jika diselak kembali beberapa kenyataan terdahulu, Anwar yang disifatkan isteri-nya sebagai anugerah Tuhan sudah tentu menjadi pilihan pakatan 3P ini sebagai PM. Jawatan ini jugalah yang menjadi matlamat PKR. Anwar dalam satu wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily pada tahun 2010 ada menyebut bahawa beliau sebagai PM dan Kit Siang sebagai timbalannya apabila pakatan pembangkang berjaya memerintah. Itu kata Anwar. Pas pula bagaimana?

Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar sebagai PM jika pakatan menang pada PRU lalu. Mungkinkah isu PM akan berakhir sama seperti jawatan MB Selangor? Isu dasar perjuangan Pas dijangka berlarutan tetapi sejauh mana pendirian Pas dalam menghadapinya? Pakatan 3P sebelum ini bersetuju supaya semua parti tidak memberi komen mengenai hudud tetapi isu ini akan terus menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pakatan itu setiap kali menjelang PRU.


Kali ini DAP nampaknya mahu penegasan segera dibuat, bukan lagi menunggu saat menghadapi PRU. Mungkin juga isu ini sengaja ditimbulkan bagi menggambarkan kepada semua bahawa DAP tidak akan bertolak ansur dalam isu hudud?

Jika Pas masih kekal dengan matlamatnya menubuhkan negara Islam dan hudud, DAP mungkin boleh mencari alternatif lain bagi melayakkan parti itu bersama PKR memenangi lebih banyak kerusi. Dalam PRU lalu, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi yang dipertan-dingkan. Pakatan 3P menang 89 kerusi iaitu DAP (38), PKR (30) dan Pas (21). Di peringkat negeri, DAP menguasai 95 kerusi diikuti Pas 85 dan PKR 49.

Adakah DAP bersedia berjuang bersama PKR jika Pas tetap dengan pendiriannya? Apakah peluang Pas tanpa sokongan PKR dan DAP dalam menghadapi PRU akan datang? Pendirian sebenar Pas amat dinanti-nantikan. Anggota-anggota parti ingin tahu apakah tindakan Pas dalam menghadapi tuntutan DAP dan PKR supaya Pas tidak melaksanakan hudud. Selama ini dalam banyak tindakan termasuk demonstrasi, anggota Pas lebih ramai dan rajin ke hadapan.

Adakah Pas akan mengalah demi membantu sekutunya PKR dan DAP menguasai Putrajaya? Apa pula pendirian Pas berhubung kenyataan Guan Eng yang dikatakan memberi kebenaran kepada bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah? Guan Eng dilaporkan berkata, larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam, penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.



Pas sudah jelas pendirian tegas dan konsisten DAP dalam isu ini. Pas sedar ketegasan ini melalui kenyataan Karpal Singh (mendiang) bahawa Pas perlu melangkah mayatnya terlebih dahulu sebelum melaksanakan hudud. Kenyataan itu tidak berubah walaupun Karpal Singh sudah tiada.

ini pun Kit Siang menyatakan pendirian yang sama. ‘‘Kami berpegang teguh kepada prinsip fundamental kami bahawa negara Islam dan hukum hudud adalah tidak kena dan tidak sesuai bagi Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Kami tidak menyorok prinsip dan kepercayaan fundamental kami, sama ada daripada Pas atau parti-parti politik lain atau rakyat Malaysia,’’ kata Kit Siang pada September 2012. Ini bermakna jika pembangkang menawan Putrajaya dan membentuk Kerajaan Persekutuan, hudud tidak akan dilaksanakan.

Persidangan Parti DAP 2014 yang bertemakan ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ juga meluluskan sembilan resolusi merangkumi 32 perkara termasuk menolak cadangan melaksanakan hukum hudud. Resolusi yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan itu menolak pelaksanaan hukum hudud sebagai sistem perundangan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Begitulah sikap konsisten DAP berhubung hudud.

Jika Pas mementingkan kerusi atau kuasa politik untuk ke Putrajaya, maka tidak ada pilihan lain kecuali mengalih perhatian penyokong-penyokongnya supaya mereka bersedia melupakan matlamat penubuhan negara Islam dan melaksanakan hudud. Hala tuju Pas perlu beralih kepada negara berkebajikan sahaja dan pada masa yang sama menyedapkan hati dan meyakinkan anggotanya tentang ‘masa akan tiba’ juga hudud dilaksanakan.


Apa yang penting ketika ini, Pas boleh mengambil kesempatan kerjasama dengan DAP dan PKR untuk menambah kerusi membentuk kerajaan Persekutuan. Pas tidak boleh lagi berdolak dalih. Pas perlu membuat keputusan sama ada mahu meneruskan agendanya berkaitan hudud atau agenda menawan pusat pentadbiran Putrajaya.

Pas tidak boleh bersandiwara membohongi penyokong-penyo-kongnya mengenai ideologi atau prinsip perjuangan parti itu. Jangan di hadapan penyokong, parti itu menyatakan akan menegakkan hukum hudud tetapi di depan DAP akur dengan kehendak sekutunya itu. Mungkin juga Pas perlu mendapatkan mandat anggota parti sama ada mahu kekal dengan perjuangan atau berubah mengikut kehendak DAP.

Berdasarkan perkembangan semasa, tidak mustahil Pas akan ‘mengendurkan’ perjuangan hudud. Mungkin dalam kalangan pimpinannya akan ada suara-suara yang mahu Pas melupakan sementara soal hukum hudud dan memberi fokus kepada mendapatkan kuasa terlebih dahulu.

Peranan besar adalah untuk meyakinkan anggota parti terhadap sebarang perjuangan parti itu sama ada hudud atau kuasa. Tidak sukar rasanya bagi Pas untuk meyakinkan anggota parti jika kalangan pemimpin yang lebih terbuka merestui perubahan perjuangan parti manakala golongan ulama yang mahu mempertahankan hudud semakin berkurangan. Adakah Pas bersedia mengorbankan dasar dan ideologinya? Kita tunggu perkembangan hudud di Kelantan yang dikuasai Pas.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Januari 02, 2015

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina - Orang Cinalah peminta sedekah sebenar, malah lebih teruk daripada orang cacat?


Akhbar China Press bertarikh 25 Disember 2014 menyiarkan artikel yang mendakwa orang Cina ialah kaum yang paling susah di Malaysia.

Artikel bertajuk ‘Orang Cinalah peminta sedekah sebenar, malah lebih teruk daripada orang cacat’ ditulis oleh Lim Fang dan disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C21.

Ia memetik kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan orang Melayu telah menjadi peminta sedekah politik apabila mengharapkan undi bukan Melayu bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Dr. Mahathir memilih taktik menggelar Melayu sebagai peminta sedekah bagi membuatkan kaum itu merasa terancam dan seterusnya sedar mengenai perlunya kembali menyokong UMNO.

Kenyataan itu juga mungkin berpunca kerana bekas Perdana Menteri merasa marah dan berdendam kerana kaum Cina tidak mengundi Barisan Nasional (BN) walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kepada mereka.


Orang Cina boleh diibaratkan seperti pengemis yang bersikap sinis.

Realiti politik di Malaysia, menurut penulis, orang Cina­lah yang sebenarnya menjadi pengemis. Kaum itu juga boleh diibaratkan seperti orang cacat apabila banyak masalah kaum itu tidak diselesaikan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO.

Antaranya, permohonan tanah tapak sekolah dan pembinaan bangunan sekolah Cina, kekurangan guru, mendapat wang subsidi yang sedikit, kuota pendidikan di universiti yang terhad dan pengiktirafan sijil sekolah mene­ngah Cina yang tiada keputusan. Seperti pengemis kelaparan, orang Cina terus menerus meminta walaupun tidak dilayan.

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang `berat sebelah’ dilaksanakan, peluang perniagaan orang Cina semakin dikikis. Seperti individu yang kakinya telah dipatahkan, mereka menjadi cacat sehingga tidak mampu bergerak. Bagaimanapun, tongkat diberikan kepada kaum lain.


Walaupun setelah lebih 40 tahun diberikan tongkat, ada pihak mendakwa kuota 30 peratus bumiputera dalam ekonomi negara belum mencapai sasaran dan perlu diteruskan.

Ini menyebabkan orang Cina yang asalnya seorang pengemis dan kini bertukar menjadi orang cacat, memandang ke kiri dan ke kanan mengharapkan orang dalam UMNO sedar akan nasib mereka.

Jika tidak dapat diberikan nasi, bagilah air bekas kuah bubur pun tidak apa kepada orang Cina.

Sekiranya nasib mereka masih lagi tidak dibela, orang Cina terpaksa berkeras hati untuk menyerahkan undi kepada pembangkang bagi melepaskan geram dan memberi pengajaran kepada BN serta UMNO.

Suara Politik
Belantan

AirAsia: Juruterbang digantung tugas kerana positif dadah?


SURABAYA - Seorang juruterbang AirAsia Indonesia digantung tugas selepas didapati gagal ujian dadah.

Presiden AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko memberitahu, juruterbang berkenaan didapati positif dadah jenis morfin selepas satu penerbangan dari Jakarta ke Bali.

Penggantungan itu yang berkuatkuasa serta-merta, berlaku hanya selepas beberapa hari sebuah pesawat AirAsia Indonesia terhempas di Selat Karimata.

Kata Sunu, siasatan awal mendapati juruterbang berkenaan baru sahaja keluar hospital, namun siasatan lanjut masih berjalan.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Januari 01, 2015

QZ8501: Misi SAR hari kelima sukar?


Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia QZ8501 yang memasuki hari kelima hari ini disifatkan sukar kerana jarak penglihatan yang terhad ekoran keadaan cuaca yang kurang baik.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar melalui Twitternya, jarak penglihatan hanya pada lima batu nautika.

Beliau sebelum itu memaklumkan pencarian yang ditetapkan untuk KD Pahang adalah di sektor 2 sementara KD Lekir dan Lekiu di sektor 4.

Abdul Aziz turut memberitahu sebuah helikopter turut disediakan KD Lekiu bagi membantu misi menyelamat mangsa.

Dalam insiden malang itu, QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Penumpang pesawat terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia dan seorang warga United Kingdom.

Kru pesawat pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis.


Sementara itu, penemuan mangsa berjaket keselamatan cetus persoalan! Satu mayat pesawat AirAsia QZ8501 yang memakai jaket keselamatan ditemukan di Laut Jawa hari ini, menimbulkan persoalan mengenai bagaimana tragedi itu berlaku.

Pihak berkuasa menyatakan, mayat enam mayat yang ditemui di laut itu dengan beberapa masih berpakaian lengkap, menunjukkan pesawat Airbus A320-200 itu berada dalam keadaan baik selepas terhempas.

Penemuan mayat tersebut juga mungkin menunjukkan penumpang sekurang-kurangnya mempunyai masa sebelum pesawat terhempas ke dalam laut atau memakai jaket keselamatan berkenaan selepas pesawat itu terhempas dan tenggelam.

Hanya 1 daripada 3 mayat dapat dibawa naik

Hanya satu daripada tiga mayat yang ditemui KD Pahang yang dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia QZ8501 dapat dinaikkan hari ini.

Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, situasi itu berlaku ekoran keadaan laut yang bergelora menyukarkan operasi.

Melalui akaun Twitternya, beliau memaklumkan keadaan itu.

“Dimaklumkan, tiga daripada mayat yg dijumpai KD Pahang semalam, (hanya) satu berjaya dinaikkan ke kapal pagi ini, jam 8.15, kerana laut bergelora,” tulisnya.

Untuk rekod, hari ini, misi mencari dan menyelamat QZ8501 telah memasuki hari kelima.

Suara Politik
Belantan

QZ8501 dijumpai, perasaan Tony hancur luluh!


AirAsia Indonesia mengaku serpihan yang dijumpai semalam adalah daripada penerbangan QZ8501 yang hilang, seperti yang disahkan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Republik Indonesia (Basarnas).

Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan berkenaan berkata, serpihan pesawat Airbus A320-200 itu dijumpai di Selat Karimata, kira-kira 110 batu nautika ke barat daya Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perasaannya hancur luluh dengan perkembangan itu.

"Ini adalah detik yang amat getir bagi kami semua di Air Asia dalam menanti perkembangan selanjutnya tentang operasi mencari, tetapi perkara yang menjadi keutamaan kami sekarang ialah kebajikan anggota keluarga mereka yang menaiki QZ8501," katanya.


Kenyataan itu berkata, Air Asia Indonesia akan menjemput anggota keluarga terbabit ke Surabaya di mana sekumpulan penjaga kebajikan yang dedikasi akan ditugaskan membantu setiap keluarga bagi memastikan semua keperluan mereka dipenuhi.
"Kaunselor, ahli agama dan pakar kerohanian juga diundang ke pusat keluarga untuk memberi apa jua khidmat yang diperlukan," katanya.

Kenyataan itu berkata, operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan dan siasatan lanjut terhadap serpihan yang dijumpai juga sedang dijalankan.

Presiden Indonesia Joko Widodo memberitahu media bahawa semua aset udara dan maritim akan digunakan dalam gerakan mencari secara besar-besaran bagi mengesan pesawat itu, yang hilang daripada pengesanan radar pada Ahad ketika dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia.

Katanya, fokus sekarang ialah memungut mayat mangsa tragedi itu. Penerbangan QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia komited untuk memberi segala bantuan yang mungkin dan terus menyokong usaha mencari dan menyelamat yang sedang dilakukan dengan diterajui Indonesia.

"Malaysia sentiasa bersama-sama dengan keluarga dan orang tersayang mereka yang menaiki pesawat berkenaan dan kami mengutuskan ucapan takziah kepada mereka.

"Ini adalah detik-detik yang amat memedihkan bagi mereka yang berkenaan dan kami amat sedih dengan tragedi ini," katanya.

Pesawat Airbus itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad waktu tempatan dan dijadual mendarat di Singapura pada 8.20 pagi. Ia terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Indonesia sekitar 7.24 pagi waktu tempatan. - Bernama

Suara Politik
Belantan

Selasa, Disember 30, 2014

Terkini....!!! Tragedi nahas AirAsia #QZ8501 : Reda ketentuan takdir!



30 DIS : Beberapa mayat tragedi pesawat QZ8501 yang ditemui terapung di dalam air sudah dibawa menaiki kapal tentera laut Indonesia.

Suasana sedih menyelubungi Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda yang dipenuhi ratusan waris dan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia selepas pihak DCA negara itu mengesahkan penemuan serpihan pesawat sebentar tadi.

Suasana di pusat ini yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Surabaya yang pada awalnya terkawal, bertukar ratapan dan suasana sedih.

Ketua Badan Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto dilihat memberikan taklimat manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan para waris keluarga mangsa pesawat yang hilang itu.


Antara yang kedengaran ialah ‘sila bersabar’ dan sebahagian mereka dilihat berupaya mengawal emosi dengan ketenangan terpancar di riak wajah waris keluarga sekalipun menonton visual serpihan yang disiarkan stesen televisyen tempatan secara langsung dari kawasan pencarian.

Mereka melihat dan mendengar dakwaan Pembantu juruterbang Hercules C130 Indonesia yang mengaku melihat objek seperti mayat manusia terapung di Selat Karimata di mana objek lain seperti pelampung dan serpihan pesawat.


“Pada awalnya saya lihat seperti manusia melambai-lambai, mungkin dia menyedari kehadiran pesawat. Tetapi selepas kami dekati, nampak ia sudah membengkak. Ia kelihatan melambai-lambai mungkin kerana dipukul ombak,” kata Leftenan Satu Tri WibowoTri.

Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang dari Malaysia.

Suara Politik
Belantan

Terkini...!!! AirAsia #QZ8501 : Gelongsor kecemasan, pintu pesawat dikesan?

LAUT JAWA 30 DIS. 2014 - Gambar udara dari pesawat mencari dan menyelamat Indonesia menunjukkan objek terapung di kawasan pencarian pesawat AirAisa Indonesia yang hilang, QZ8501 di sini hari ini. Objek itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia sama ada ia berkaitan dengan pesawat QZ8501 itu ataupun tidak.

JAKARTA 30 Dis. – Sejumlah objek gelongsor kecemasan dan pintu dipercayai milik pesawat AirAsia QZ8501, dikesan ketika misi pencarian melalui udara dijalankan oleh pasukan penyelamat, lapor pihak berkuasa Indonesia hari ini.

Pegawai Tentera Udara Indonesia, Agus Dwi Putranto dalam sidang akhbar berkata, pihaknya mengesan kira-kira 10 objek besar dan banyak lagi objek kecil berwarna putih di kawasan pencarian, kira-kira 10 kilometer dari lokasi terakhir pesawat yang membawa 162 penumpang itu dikesan radar.

Beliau turut menunjukkan 10 objek yang merupakan pintu pesawat, gelongsor kecemasan dan objek berbentuk kotak.

Seorang jurugambar AFP yang menyertai misi pencarian berkata, dia turut melihat sejumlah objek yang menyerupai rakit getah, jaket keselamatan dan tiub panjang berwarna jingga. - AFP

Suara Politik
Belantan

Pesawat QZ8501 mungkin di dasar laut?


JAKARTA  - Pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang dalam penerba­ngan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura awal pagi semalam berkemungkinan berada di dasar laut selepas dikhuatiri terhempas di perairan Indonesia ketika beberapa negara sekitar Asia menghantar kapal dan pesawat untuk membantu operasi pencarian.

Pesawat Airbus A320-200 yang membawa seramai 162 orang itu dilaporkan hilang selepas juruterbang gagal mendapat kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta untuk menukar laluan bagi mengelakkan cuaca buruk.

Pesawat QZ8501 itu juga dimaklumkan tidak mengeluarkan isyarat kecemasan dan hilang di perairan Laut Jawa lima minit selepas gagal mendapat kebenaran pertukaran laluan berikutan kesesakan trafik udara.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Soelistyo berkata, berdasarkan koordinasi mereka, pesawat itu dijangka berada di dasar laut.


Sumber penerba­ngan awam Indonesia melaporkan kepada agensi Reuters, pihak berkuasa mempunyai data radar pesawat tersebut dan sedang menunggu pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan pesawat sebelum memulakan siasatan punca kemalangan.

Seramai 155 penumpang Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, dan seorang penum­pang dari Singapura, Malaysia dan Britain menaiki pesawat ber­kenaan.

Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Hadi Thahjanto berkata, dua pesawat C-130 digunakan untuk mencari pesawat QZ8501 di kawasan timur laut Pulau Bangka yang terletak di perairan Laut Jawa.

Negara jiran seperti Australia, Malaysia, Singapura dan China turut menghantar kapal dan pesawat bagi membantu operasi pencarian.

Sementara itu, Soelistyo berkata, Indonesia mungkin tidak memiliki teknologi canggih untuk mencari pesawat di dasar laut dan mereka menerima tawaran bantuan daripada Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis bagi melicinkan operasi. – REUTERS

Suara Politik
Belantan