Selasa, September 08, 2009

Kenapa umat Islam berpecah kerana politik!

CUBA bayangkan senario ini, sempena Ramadan, pada malam terakhir kempen Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir, solat tarawih perdana diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.

Majlis tersebut dihadiri bukan sahaja oleh semua pemimpin-pemimpin kanan UMNO dan Pas yang terlibat dalam kempen pilihan raya itu tetapi juga kedua-dua calon yang bertanding.

Mereka bersolat bersama-sama dan kemudian bermaaf-maafan. Mereka meninggalkan majlis itu dengan fikiran yang lapang dan tali persaudaraan Islam sesama mereka semakin erat, biarpun mereka berbeza parti dan akan bertarung dalam pilihan raya.

Mungkin senario ini, jika dibayangkan nampak indah dan menarik, siapa yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu padu dan meningkatkan ukhuwah Islamiah sesama mereka. Tetapi buat masa ini, kita hanya mampu membayangkan sahaja, apa yang dicatatkan tidak mungkin akan menjadi kenyataan, biarpun itulah sikap terbaik bagi melambangkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Sebenarnya, kita sudah bosan untuk menyebut soal penyatuan Melayu, malah kita juga sudah malas untuk membincangkan soal perpaduan umat Islam di negara ini. Ia berlaku kerana setakat ini apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, umat Islam terus berpecah belah dan lebih buruk dari semasa ke semasa semakin banyak pula kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin politik tertentu yang mengecam sesama Islam.

Soal syurga, neraka, Islam plastik, Islam palsu, menyerang peribadi ketika berkempen dan memburukkan-burukkan antara satu sama lain telah menyukarkan kita untuk melihat umat Islam di negara ini bersatu.

Penyatuan ini bukanlah mustahil dan bukanlah sesuatu yang sukar tetapi ia terhalang kerana ada pihak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Bagi mereka, kalau ada unsur-unsur untuk bekerjasama dengan UMNO demi perpaduan orang Melayu dan Islam maka ia boleh menjejaskan kedudukan politik mereka.

Pemimpin-pemimpin dalam kelompok berkenaan sanggup mengatakan UMNO mengamalkan Islam palsu dan Islam plastik tetapi yang anehnya mereka tidak pula mempertikaikan apa pula bentuk Islam yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bagaimana pula dengan pendirian DAP, jika ada pihak hendak melaksanakan pemerintahan Islam?

Adalah sesuatu yang malang jika perhitungan politik mengatasi segala-galanya. Demi kuasa politik, demi secebis kedudukan, kita lebih rela bermusuh sesama Islam. Kita keluarkan pelbagai hujah bagi 'menghalalkan' tindakan kita mengecam saudara kita sendiri.

Sesungguhnya perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam sekarang terutamanya dari segi politik tidak menguntungkan mereka. Sepatutnya sebagai pemimpin beragama Islam, tata susila, etika dan tingkah laku kita adalah lebih baik daripada pemimpin-pemimpin bukan Islam.

Apatah lagi kalau ada di kalangan kita sering bercakap soal-soal agama di dalam blog-blog atau memberikan tazkirah serta membaca khutbah Jumaat. Namun apa yang kita saksikan, ketika pemimpin-pemimpin bukan Islam tidak mencaci sesama sendiri biarpun mereka berbeza parti dan bertarung dalam pilihan raya, di kalangan pemimpin Islam pula adalah sebaliknya.

Antara mereka bukan sahaja dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang mengguris perasaan umat Islam yang lain, malah sanggup bergerak siang dan malam untuk memperolehi rahsia peribadi seseorang pemimpin yang kemudiannya akan didedahkan kepada umum. Mereka lakukan itu sebagai modal politik, soal moral berpolitik dalam Islam sudah tidak ada lagi, biarpun mereka melaung-laungkan memperjuangkan Islam dan ingin menegakkan kebenaran tetapi apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya.

Kesudahannya orang bukan Islam akan melihat begitulah cara orang Islam berpolitik. Akan ada kelompok yang akan bergembira dengan tingkah laku sedemikian kerana ia akan memecah belahkan umat Islam. Apabila umat Islam berpecah, maka mereka menjadi lemah dan apabila mereka menjadi lemah maka mereka hanya akan menjadi 'pak turut' sahaja kerana tiada kuasa politik yang kuat.

Kita sudah lihat contoh di beberapa negeri, apabila ada sesetengah parti tidak mampu bersuara langsung, biarpun ada tindakan oleh rakan-rakan pakatan mereka melanggar prinsip perjuangan namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana suara politik mereka 'tidak laku'. Kalau mereka hendak bersuara sedikit, semangat yang mereka ditunjukkan itu hanya menjadi `hangat-hangat tahi ayam' sahaja, mereka akan diam apabila ditegur oleh rakan dalam pakatan.

Tetapi bahana ini masih belum mahu dipelajari oleh sesetengah umat Islam. Bagi mereka, apa yang penting berebut kerusi dalam pilihan raya dan kuasa politik. Soal sama ada perebutan yang berlaku akan melemahkan umat Islam ia adalah soal kedua.

Kita tidak perlu membuang masa untuk bercakap soal kejatuhan empayar Islam dan mengimbas kembali bagaimana orang Melayu dijajah suatu ketika dahulu, semua itu tidak akan menginsafkan puak-puak berkenaan. Apa yang boleh kita peringatkan ialah mereka harus bersedia bertanggungjawab seandainya suatu hari kelak orang Melayu dan umat Islam menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ketika ini keluarkanlah apa juga kenyataan bagi menyakiti hati sesama Islam demi mencari keuntungan politik dan lodehkanlah apa juga keburukannya musuh politik kita. Mungkin mereka akan berjaya mendapat sokongan politik yang diinginkan, apatah lagi di kalangan penyokong tegar yang taksub tetapi tanpa mereka sedari dalam masa yang sama mereka juga sedang menghakis sedikit demi sedikit tembok kekuatan umat Islam di negara ini.

Sehebat manapun kuasa politik yang kita miliki, ia tidak akan mampu menggantikan tali persaudaraan Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT. Jangan terlalu sombong menolak salam perpaduan yang dihulurkan.

Lagipun apalah gunanya kita bersikap seperti 'harimau' kepada saudara seagama tetapi menjadi 'kucing' kepada rakan yang bukan seagama dengan kita.

AKIBAT TAKSUB

Tersedia maklum bagaimana di kalangan masyarakat Cina, ada pertubuhan gabungan sekolah-sekolah Cina yang menjadi tonggak kepada perjuangan pendidikan bahasa Cina.

Dalam memperjuangkan pendidikan Cina, masyarakat Cina bersatu dan bersepakat bahawa sekolah berpengantar bahasa Cina adalah wajib dipertahankan. Tanpa mengira apa pun parti mereka, sama ada MCA, Gerakan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang Cina muafakat bahawa pendidikan pengantar bahasa Cina mesti disokong.

Tetapi lihat umat Islam di negara ini pula. Pernahkah kedengaran adanya pertubuhan gabungan sekolah-sekolah agama Islam yang memperjuangkan pendidikan agama?

Sistem pendidikan agama di negara ini berpecah-pecah menurut negeri. Ada negeri yang mempunyai sistem pendidikan agama yang kemas, sementara yang lain pula tidak tersusun.

Sistem pendidikan agama rakyat pula tidak benar-benar merangkumi seluruh penduduk Islam. Sedangkan sekolah-sekolah agama baik yang berbentuk penuh atau pun secara rakyat yang menggunakan masjid dan surau setempat tidak mendapat perhatian yang padu daripada umat Islam.

Seharusnya gerakan pendidikan agama ini mempunyai pertubuhan gabungan sendiri seperti yang ada pada masyarakat Cina. Soal dana juga wajar dapat diuruskan dengan baik jika terdapat gerakan dan perpaduan yang menyeluruh ini. Sedangkan pendidikan agama ini merupakan tonggak jati diri umat Islam di negara ini.

Dalam hal ini, tanpa mengira apa pun parti politik, sama ada UMNO, Pas mahupun PKR patut menyokong pendidikan agama ini. Ia sebagai salah satu contoh di mana orang Islam wajar bersatu dalam isu bersama tanpa mengira parti sokongan mereka.

Satu lagi contoh ialah tentang kepenggunaan Islam. Maksud di sini, soal-soal kepenggunaan yang berkaitan Islam umpamanya seperti soal halal, dan pembangunan perniagaan Islam seperti yang diperjuangkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Tetapi kejayaan perjuangan kepenggunaan Islam hanya benar-benar dapat berkesan jika umat Islam bersatu. Maka dalam hal ini juga umat Islam wajar bersatu tanpa mengira aliran politik mereka, sama ada UMNO, Pas ataupun PKR.

Banyak lagi isu-isu Islam yang menuntut perpaduan di kalangan umat Islam bagi menjayakannya. Tetapi tentunya isu paling besar yang menuntut perpaduan umat Islam bagi menjayakannya ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ini kerana kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam ini menurut perlembagaan negara mesti tegas dipertahankan oleh umat Islam di negara ini tanpa mengira parti politik mereka. Sama ada dari UMNO, Pas atau PKR, orang Islam mesti mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama negara.

Sehubungan itu orang Islam secara umumnya mesti memahami perlembagaan dan kepentingan mempertahankannya demi agama Islam itu sendiri.

Sehubungan itu wajar adanya gerakan di kalangan orang Islam yang menumpukan perhatian bagi mempertahankan perlembagaan.

Seperti juga perjuangan pendidikan agama Islam, kepenggunaan Islam, bagi usaha mempertahankan perlembagaan ini, ia memerlukan perpaduan umat Islam.

Sememangnya untuk memaksa semua orang Islam berada dalam satu parti adalah tidak mungkin. Ini kerana dalam sebuah demokrasi dan terbuka seperti Malaysia, orang Islam tentunya mempunyai fahaman dan fikiran berbeza. Maka tidak hairanlah wujud parti-parti yang berbeza bagi orang Melayu - UMNO, Pas dan PKR.

Tetapi perbezaan fahaman ini tidak wajar meminggirkan perjuangan untuk agama dan ummah. Mereka mungkin bertembung dalam pilihan raya, bersaing untuk memenangi kerusi, berkempen menentang calon di antara satu sama lain, tetapi apabila soal kepentingan agama dan ummah, semua umat Islam mesti bersatu.

Kesetiaan semua orang Islam termasuk parti-parti mereka mesti kepada agama Islam. dan bukannya sekutu-sekutu politik masing-masing.

Maksudnya, ketika bersaing dalam politik, tentunya parti-parti itu menemui satu landasan bersama dengan sekutu-sekutu mereka dari kalangan parti-parti yang dianggotai oleh bukan Islam. Umpamanya dalam Barisan Nasional, UMNO mempunyai sekutu dari MCA, gerakan dan MIC. Sementara dalam Pakatan Rakyat, Pas dan PKR mempunyai sekutu dari kalangan DAP.

Masing-masing mempunyai fahaman dan aliran politik tersendiri yang memungkinkan mereka muafakat dengan sekutu masing-masing untuk bertembung dengan pihak yang lagi satu.

Namun begitu, jika isu Islam timbul, UMNO, Pas dan PKR wajar bekerjasama bagi menjayakannya. Seperti mana apabila isu Cina yang membawa kepada sokongan bersama MCA, Gerakan, DAP dan PKR. Begitu juga apabila timbul isu India yang memungkinkan kerjasama antara MIC, DAP dan PKR.

Kedudukan agama Islam dalam perlembagaan menuntut keadaan perpaduan yang mencakupi hal-hail lain tetapi berkaitan.

Tentunya kedudukan agama Islam dalam perlembagaan berkait pula dengan kedaulatan negeri-negeri di Malaysia yang meletakkan Raja-raja Melayu sebagai bukan saja ketua agama Islam tetapi pemerintah sebenar negeri-negeri itu.

Jadi apabila umat Islam di negara ini secara keseluruhannya mendokong kedudukan agama Islam sebagai agama negara, maka mereka juga perlu mendokong kedaulatan Raja-raja Melayu.

Dalam hal ini, tentunya UMNO, Pas dan PKR sekata hendak mendokong perlembagaan. Tetapi dalam persaingan politik, timbul tanda-tanda ada pihak mahu mempertikaikan semangat perlembagaan yang ada. Adalah dipercayai perkara ini berlaku kerana kurang kefahaman tentang perlembagaan akibat rasa kebencian kepada parti politik yang memerintah.

Sedangkan pihak yang patut bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan bukannya UMNO semata-mata tetapi juga semua umat islam di seluruh negara. Ummah wajar diutamakan daripada parti politik.

MENGKHIANATI ISLAM

ADA tanggapan sebahagian orang bahawa janganlah ditegur Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat walaupun beliau mengeluarkan kenyataan salah dan liar. Diamkan sahaja.

Kononnya jika ditegur juga maka lagi kuat penyokong Pas bertindak balas kerana imejnya yang menonjol sebagai Tok Guru. Dengan kata lain, Nik Aziz tidak boleh disentuh sama sekali.

Apakah perlu sama terikat dengan tanggapan itu sedangkan Nik Aziz makin banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar? Sudah tentu tidak, tidak boleh berdiam. Yang salah mesti disanggah apatah lagi melibatkan soal kepentingan Islam.

Berdasarkan maklumat yang diterima, sebahagian ahli dan penyokong Pas juga tidak senang dengan satu demi satu kenyataan liar Nik Aziz yang hanya memburukkan imej parti itu. Kata kesat beliau ''pergi jahanam sama UMNO" dan kenyataannya bahawa tidak salah DAP menghina Islam, cukup membingungkan.

Belum reda isu itu beliau menyatakan pula penyokong UMNO tidak akan masuk syurga, yang kemudian mengundang bantahan umat Islam termasuk Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Malah ada pemimpin Pas antaranya Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib secara terbuka tidak bersetuju dengan Nik Aziz. Menurut Harun, peluang masuk syurga adalah urusan Allah dan ia tidak bergantung kepada parti yang disertai.

Sesungguhnya sudah tercatat dalam sejarah Islam tentang beberapa kisah tok guru dan ulama yang sama ada sedar atau tidak sedar, telah mengkhianati agamanya sendiri. Dari semasa ke semasa, Islam bukan sahaja menghadapi serangan dan ujian daripada kalangan musuh Islam malah daripada segelintir ulama yang mempergunakan agama untuk kepentingan tertentu sehingga mengakibatkan kekeliruan dan perpecahan ummah. Golongan inilah yang memudaratkan Islam. Jadi mengapa kita harus gusar untuk menyanggah golongan begini?

Dalam kes Nik Aziz, rakyat percaya beliau tidak berniat untuk menghina dan memudaratkan Islam tetapi tindak-tanduknya sudah dilihat begitu. Pada pengamatan rakyat, masalah dengan Nik Aziz adalah ego dan riaknya sebagai seorang ulama. Itulah juga masalah dengan segelintir ulama, kerana ego mereka sanggup memperjudikan Islam.

Untuk berlaku adil, buatlah kajian tentang Nik Aziz sejak beliau menjadi Menteri Besar. Berapa banyak kenyataannya yang meragukan dan tidak berasaskan ajaran Islam sebenar?

Dalam pada itu, rakyat ingin bertanya Nik Aziz tentang peranan yang UMNO mainkan selama ini dalam menegakkan Islam bermula dengan menulis perlembagaan negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi sehinggalah kepada pembangunan syiar Islam. Masyarakat Islam dunia turut mengakui dan mengiktiraf Malaysia sebagai model negara Islam. Kelahiran Tabung Haji, Universiti Islam, Bank Islam, instrumen kewangan Islam, insurans Islam, sekolah-sekolah agama dan banyak lagi yang kerajaan BN pimpinan UMNO telah lakukan atas nama pembangunan Islam.

Itu belum bercakap tentang pembinaan puluhan ribu masjid dan surau. Di Kelantan sendiri, lebih 500 masjid dibina oleh kerajaan UMNO. Menurut maklumat hanya sebuah masjid yang kerajaan Pas bina. Apa maknanya ini semua sedangkan Nik Aziz sudah memerintah Kelantan lebih tiga penggal? Apakah usaha UMNO ini tidak Islamik dan penyokong UMNO dinafikan ke syurga berdasarkan tafsiran beliau?

Rakyat bimbang pendekatan Nik Aziz bukan sahaja akan melemahkan Islam malah menakutkan orang bukan Islam yang mahu berjinak-jinak untuk memahami dan menerima Islam. Islam mesti dipromosikan dengan pendekatan sederhana, bijaksana dan toleransi sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi Muhamad SAW.

Lebih ramai bukan Islam memeluk agama Islam di negara ini bukannya kerana peranan Pas apatah lagi Nik Aziz sebaliknya kerana UMNO. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, itulah hakikatnya

Lebih ramai bukan Islam tertarik menyertai Islam di bawah teraju kepimpinan UMNO terutama ketika zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir Mohamad yang melaksanakan pendekatan sederhana dan progresif.

Dalam kaitan ini, UMNO yang lebih dominan tentu ada kelemahan yang boleh diperbaiki dan Pas yang jauh tercicir dalam sumbangan kepada pembangunan Islam, boleh dilonjakkan pencapaiannya. Carilah titik penyatuan terutama dalam isu-isu kepentingan umat Islam. Tetapi menghina, memburukkan dan memperlekehkan sesama orang Islam bukan caranya. Apa pun pintu taubat dan memohon kemaafan masih terbuka luas untuk kita semua lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Itu pun jika kita tidak dicengkam ego dan riak. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, September 06, 2009

Artikel Pilihan : Kerapuhan pakatan pembangkang!






















Siapa akan dominan?

SEBENARNYA mana-mana pihak tidak perlu mencemburui seandainya pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti atas satu simbol iaitu Pakatan Rakyat (PR).

Ia bererti pakatan itu akan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti komponen seperti Barisan Nasional (BN). Kita tidak kisah kerana itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Tetapi persoalan siapakah yang akan dominan? PKR, DAP atau Pas? Berdasarkan kepada senario sejak pilihan raya tahun lalu, PKR dan DAP menguasai pakatan berkenaan manakala Pas hanyalah menjadi pak turut.

Oleh itu, jika pakatan tersebut ditubuhkan secara rasmi, Pas tidak akan menjadi seperti mana UMNO dalam BN yang terus menjadi tonggak utama, sebaliknya Pas hanya akan menjadi pengikut. Pas sudah pasti tidak akan diberikan kerusi yang melebihi PKR apatah lagi DAP. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana Pas tidak berupaya melakukan apa-apa.

Justeru tidak mungkin, Pas akan menjadi tonggak kepada pakatan pembangkang. Sebaliknya Pas hanya akan terus dianggap sebagai pelengkap supaya di dalam pilihan raya tidak ada mana-mana parti-parti pembangkang yang bertanding berasingan menentang BN.

Persoalannya, kalau itulah kedudukan dan layanan yang bakal diterima oleh Pas, apakah yang akan berlaku kepada perjuangan Islamnya dan mampukah Pas memastikan kedudukan Islam serta orang Melayu tidak terjejas? Sama ada hendak diakui atau tidak, mana-mana pemimpin Pas tidak perlu hipokrit untuk menyatakan bahawa Pas akan memberikan kefahaman secara perlahan-lahan kepada rakan-rakannya dalam pakatan untuk memahami Islam.

Percayalah, kenyataan seumpama itu boleh dianggap kenyataan untuk ‘menyedapkan hati’ sahaja bagi mengelakkan penyokong parti tersebut tidak beralih sokongan mereka.
Sebenarnya Pas memahami kalau pakatan pembangkang didaftar secara rasmi dan bertanding atas satu panji-panji, ia bererti Pas harus melupakan sebarang hasrat untuk melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini.

Ia kerana apa juga keputusan yang bakal dibuat berhubung corak pemerintahan atau kepimpinan pakatan berkenaan harus berasaskan kepada suara ramai - ertinya Pas tiada kuasa mutlak untuk menentukan apa yang mereka mahukan.

Berdasarkan hakikat itu, Pas tidaklah perlu bersandiwara lagi. Mereka harus mengakui perjuangan mereka kini hanyalah semata-mata untuk berkongsi kuasa politik bersama-sama dengan PKR dan DAP. Pas tiada tujuan dan matlamat politik lain, kalau pun ada mereka tidak akan berupaya berbuat apa-apa kerana mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang. Pas hanya akan mengikut telunjuk DAP dan akan patuh kepada arahan PKR.

Bagi Pas, soal meneruskan apa yang mereka hendak perjuangkan sudah tidak menjadi persoalannya. Bagi terlalu dahaga untuk berada di puncak kekuasaan termasuklah menguasai negara. Mereka melihat berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, peluang mereka berkuasa bersama-sama PKR dan DAP semakin cerah. Oleh itu Pas cuba menjadi rakan pakatan yang baik.

Kejayaan demi kejayaan dalam pilihan raya kecil yang berlangsung semakin menyakinkan Pas bahawa pakatan pembangkang semakin diterima oleh rakyat. Tetapi Pas terlupa bahawa gelagat mereka yang dilihat sanggup mengorbankan segalanya untuk berkuasa sedang diperhatikan oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Bagaimanapun kita tidak boleh menghalang hasrat Pas untuk bersama pakatan, apa yang kita harapkan ialah Pas tidak hanya menjadi pak turut.

Kita mahu Pas dominan dan menjadi parti penentu kepada pakatan pembangkang. Melalui kedudukan itu, barulah kita yakin bahawa kita tidak perlu khuatir apa-apa lagi terhadap masa depan orang Melayu dan Islam, tetapi persoalannya mampukah Pas melaksanakan misi berkenaan? Sukar untuk dipastikan, ketika ini harapan orang Melayu tetapi bergantung kepada UMNO bagi memastikan survival dan kuasa politik mereka di tanah air sendiri tidak berakhir dalam pilihan raya umum akan datang.

Ragam jadi halangan

DAP memperjuangkan sebuah negara demokratik dan sekular. Pas memperjuangkan sebuah negara Islam. Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan sebuah negara demokratik. Tentu ia tidak dapat menyatakan sama ada untuk mendokong negara sekular atau negara Islam.

Menjelang pilihan raya umum tahun 2008, Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada PKR dan Pas. DAP enggan menyertainya kerana menolak fahaman Pas. Ia hanya mahu bekerjasama dengan PKR.

Tetapi hakikatnya kerjasama berlaku antara DAP dan Pas. Penyokong mereka mengundi di antara satu sama lain. begitu juga aktivis mereka membantu di antara satu sama lain.

Melihat perkara ini dari awal pun sudah kelihatan kerapuhan parti-parti pembangkang. Masalah pasti timbul apabila mereka menang di negeri-negeri tertentu untuk menubuhkan kerajaan.

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang adalah mudah. Ini kerana satu parti yang mendominasi. Kelantan dan Kedah dimenangi oleh Pas sementara Pulau Pinang oleh DAP.

Namun begitu, hakikatnya kemenangan Pas di Kedah adalah kerana sokongan pengundi DAP dan PKR. Tetapi Pas hanya ada kerjasama dengan PKR. maka tertubuhlah kerajaan campuran Pas dan PKR, atau BA. Dengan semangat ini juga Kelantan dianggap kerajaan campuran Pas dan PKR.

Begitu juga dengan Pulau Pinang. DAP tidak boleh menolak sumbangan penyokong Pas dan PKR. Tetapi ia tidak ada kerjasama dengan Pas. Maka kerajaan yang ditubuhkan ialah kerajaan campuran DAP-PKR.

Tetapi di Perak dan Selangor, ketiga-tiga parti itu kena berkerjasama untuk menubuhkan kerajaan negeri. Justeru, walaupun DAP dan Pas bertentangan dari segi fahaman, mereka terpaksa menerima satu asas bersama untuk berfungsi. Demokrasi dan urus tadbir baik menjadi asas, tetapi sekali gus menafikan perjuangan mereka iaitu sekularisme bagi DAP dan negara Islam bagi Pas.

Penyelarasan ini dibuat dengan pengisytiharan penubuhan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada ketiga-tiga parti. Ini bermakna kelima-lima negeri itu bukan lagi diterajui kerajaan Pas atau DAP tetapi Pakatan Rakyat. Maka bermulalah masalah fahaman.

Tetapi hakikatnya fahaman hanyalah satu lapis bagi berlakunya kerapuhan ini. Lapis kedua yang lebih penting menjadikan pakatan ini rapuh ialah soal perkauman dan agama. Walaupun ketiga-tiga parti ini menolak perkauman dan perbezaan keagamaan, tetapi mereka tidak dapat melepaskan diri daripada soal kedua-dua ini. Ia bukan saja mereka sendiri mempunyai sentimen kaum dan agama, tetapi mereka mesti menuruti rentak pengundi yang rata-rata masih mempunyai semangat kaum dan agama, satu realiti dalam masyarakat Malaysia.

Itulah yang terjadi sejak Mac 2008.

Dalam mesyuarat-mesyuarat Exco Selangor, Perak semasa di bawah mereka, Pulau Pinang dan Kedah, banyak isu timbul yang berkaitan dengan hubungan kaum dan agama. Di satu pihak ialah DAP dan PKR bukan Melayu, berdepan dengan Pas dan PKR Melayu.

Tetapi di kalangan ahli-ahli politik ketiga-tiga parti itu juga beragam. Ada yang kelihatan ekstrem, sementara ada pula yang begitu toleran. Dalam DAP juga pelbagai perwatakan yang berbeza di antara satu sama lain walaupun sama parti. Begitu juga dengan Pas. Ada Erdogan, ada UG (unity government - kerajaan perpaduan).

Dalam PKR lagi pelbagai ragam. Paling rapuh ialah PKR yang sepatutnya menjadi tonggak Pakatan Rakyat. Gara-gara dua ahli politik PKR merintis kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Kejatuhan kerajaan negeri itu menjadi kenyataan dengan tindakan ahli politik DAP.

Dalam hal ini, ia bukan soal fahaman atau perkauman. Tetapi akhirnya pertimbangan ialah kepentingan diri dan kelemahan kepimpinan parti-parti itu, baik PKR dan DAP.
Kelemahan ini juga jelas berlaku di Pulau Pinang apabila pilihan raya kecil Penanti terpaksa diadakan. Selepas kejatuhan kerajaan negeri Perak, kini gelora sedang berlaku di Selangor. Pelbagai isu timbul yang kebanyakannya berkaitan perkauman dan keagamaan.

Tiada tawaran lebih baik

APAKAH yang pakatan pembangkang boleh tawarkan sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara yang tidak boleh diberikan oleh kerajaan hari ini? Soalan ini sebenarnya sangat mudah kerana sebagai rakyat mereka memerlukan sesuatu yang terbaik dari semua aspek kehidupan. Untuk memberi mandat kepada pakatan pembangkang, sudah tentulah yang ditawarkan jauh lebih baik daripada yang dinikmati sekarang ini.

Nah, apa yang pembangkang boleh berikan kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan? Manifesto pembangkang hanya memberikan solekan untuk menarik perhatian rakyat.

Kalau tidak ada tawaran yang lebih hebat daripada kerajaan, untuk apa kita menggadai masa depan seperti kata pepatah, yang dikendung keciciran yang dikejar tidak dapat. Ini kerana tidak ada perkara baru yang ditawarkan oleh pembangkang selain retorik tentang kebebasan bersuara, mewujudkan negara Islam sejati, memperjuangkan keadilan untuk semua dan membanteras rasuah.

Sekiranya ini yang ditawarkan, lebih baik kita memilih kerajaan yang ada sekarang kerana perkara-

perkara yang mahu diperjuangkan sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Semua ini membuktikan pembangkang tidak menawarkan apa-apa sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara. Sebaliknya mereka mengecil atau menghakiskan yang telah ada atas alasan berkompromi dengan parti komponen dalam pembangkang.

Apakah sekarang tidak ada kebebasan bersuara maka ini menjadi alasan untuk pembangkang melakukan sekiranya diberi kuasa? Apakah bukan kebebasan bersuara dengan wujudnya beribu blog yang menghentam kerajaan dan pembangkang juga mempunyai buletin untuk memaparkan idealisme parti mereka? Berapa banyak pula pemimpin pembangkang yang ditangkap kerana mencerca pemimpin kerajaan?

Pembangkang yang memperjuangkan kebebasan media sebenarnya yang banyak mengambil tindakan undang- undang kepada media arus perdana. Di mana kebebasan yang diperjuangkan? Ini ternyata bahawa pembangkang tidak melaksanakan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat bahawa mereka lebih baik daripada kerajaan sekarang.

Mengenai gagasan negara Islam, pembangkang mendepani masalah kerana dalam pakatan pembangkang sendiri ada parti yang membantah gagasan tersebut. Jadi, apakah Pas misalnya mampu memberikan definisi “negara Islam” yang lebih Islamik daripada yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat?

Kelantan dan Kedah secara total dikuasai oleh Pas tetapi Pulau Pinang oleh DAP. Ternyata Pas tidak mempunyai suara yang besar untuk menjadikan kerajaan negeri Pulau Pinang lebih Islamik daripada semasa dalam Barisan Nasional dulu. Insiden penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Selangor juga memperlihatkan gagasan Islam cara Pas semasa pilihan raya tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana Pas hanya menumpang PKR dan DAP di Selangor.

Maka, kita sendiri boleh melihat pakatan pembangkang tidak boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding Barisan Nasional. Malah gagasan keadilan yang dibawa oleh pembangkang bukanlah suatu yang baru kerana kerajaan Barisan Nasional juga secara konsisten memperjuangkan keadilan kepada semua pihak. Kalau pakatan pembangkang mendakwa sebagai wira pejuang keadilan, tolong beritahu idealisme parti politik manakah yang tidak memperjuangkan keadilan? Bezanya Barisan Nasional sudah melaksanakan dan terus diberi penambahbaikan dalam perkara ini.

Pakatan pembangkang menjadikan isu rasuah sebagai modal politik. Maka agenda membanteras rasuah menjadi “keutamaan” kepada pakatan pembangkang sekiranya menjadi pentadbir negara ini. Kalau begitu apakah kerajaan sekarang tidak membanteras rasuah sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinaiktaraf daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini?

Kesimpulannya pakatan pembangkang tidak ada tawaran yang lebih baik daripada kerajaan untuk menyakinkan mereka boleh menjadi kerajaan yang lebih baik. Semua yang ditawarkan kepada rakyat sudah diberikan oleh kerajaan.

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, September 05, 2009

Kepala Lembu, Lutfi Othman Dan Islam Plastik Pas!












Sudah lama tidak menelaah tulisan-tulisan Ahmad Lutfi Othman selepas beliau jatuh sakit ciptaan sendiri beberapa tahun lalu. Namun semalam penulis berkesempatan membaca tulisan terbaru beliau di Harakahdaily.net. Nyatalah sikap hipokrit, kepura-puraan dan islam plastik masih melingkari jiwa Lutfi Othman.

Dalam tulisan terbaru beliau, "Umno kian terbelit dengan lingkaran sentimen perkauman" Lutfi membuat beberapa komen yang jelas bersifat bersangka buruk dan berniat jahat. Hairannya, beliau memulakan catatan tersebut dengan menyebut kebesaran ramadhan, bercakap soal keampunan dan kemaafan serta taubat. Namun penamat tulisannya penuh dengan fitnah, adu domba dan kenyataan palsu.

Dalam catatan dua beliau menulis bahawa demontrasi kepala lembu di Shah Alam minggu merupakan sebahagian agenda UMNO dengan restu Datuk Seri Najib untuk merampas kembali Selangor. Soalnya apakah bukti beliau mengatakan ia mendapat restu Najib? Memanglah sebagai penulis politik beliau bebas membuat tafsiran dan andaian untuk kepentingan politik Pas yang semakin kalut dan melucukan di Selangor.

Namun janganlah tulisan-tulisan memfitnah dan mengadu-domba ini didahului dengan kebaikan dan kerahmatan Islam. Ia seolah-olah melatak Islam bersama dengan tangki najis sahaja. Bodohlah Datuk Seri Najib dan UMNO untuk menggunakan kepala lembu bagi menghina penganut agama Hindu di Shah Alam kerana UMNO sendiri tidak boleh memerintah negara tanpa sokongan bukan Melayu.

Jika kita mahu membuat andaian politik tentulah kita juga boleh bertanya siapakah yang melompat sakan dalam isu kepala lembu ini dan siapa pula yang akan mendapat laba politik? Jawapan kedua-dua soalan ini nyata sekali mempunyai satu jawapan sahaja iaitu pemimpin Pakatan di Selangor. Sebab itu mereka melompat sakan melebihi kaum India sendiri.

Apakah tidak mustahil kepala lembu tersebut muncul dalam demontrasi hasil perancangan Khalid Samad untuk mensabotaj demontrasi tersebut? Lebih menguntungkan ada pula penyokong UMNO yang memegang kepala lembu yang dicampakkan tersebut dan menjadi kambing hitam.

Jika dilihat dari sudut ini maka tidak mustahil kepala lembu ini ciptaan Khalid Samad sendiri yang buntu menyelesaikan isu kuil di Seksyen 19. Berbalik kepada Lutfi sendiri, jika mahu mengutuk, memfitnah atau berprasangka buruk buatlah tapi jangan pula didahului dengan nama agama.

Namun ia bukanlah perkara asing kepada Pas sendiri. Sesiapa yang mendengar ceramah Pas pasti hairan kerana pendahuluan yang begitu hebat dengan doa dan ayat al-Quran diikuti dengan ucapan yang penuh dengan tuduhan dan fitnah yang jauh sekali dengan tuntutan Islam.

Catatan ketiga juga Lutfi membuat tuduhan bahawa kerajaan menaikkan harga petrol. Hakikatnya harga petrol tetap kekal kepada RM 1.80 seliter. Cuma kualitinya sahaja yang sedikit kurang iaitu RON 97 ke RON 95. Kereta masih bergerak lancar, kesan negatif juga tiada seperti yang diakui oleh pakar pemotoran.

Memang benar kenaikan harga RON 95 dari RM 1.75 ke 1.80 seliter. Harga RM 1.75 hanyalah harga promosi ketika itu bagi membolehkan orang ramai mencuba petrol ini. Justeru apabila semua stesen telah dilengkapi dengan petrol ini kerajaan menaikkan RON 97 kepada RM 2 lebih seliter.

Manakala RON 95 yang digunakan oleh kebanyakan kenderaan hari ini diletakkan pada RM 1.80 juga. Ini bermakna tiada perubahan atau kenaikan harga petrol utama negara seperti yang didakwa oleh Lutfi. Justeru bagaimana Lutfi boleh menyatakan akan berlaku kenaikan harga barang akibat kenaikan harga petrol sedangkan harga petrol sebenar yang digunakan oleh sebahagian besar kenderaan masih seperti enam bulan lalu.

Bukankah ini satu lagi pembohongan oleh Lutfi Othman?

Usahlah bercakap soal lailatul qadar jika masih menulis pembohongan dan hasutan agar rakyat membenci pemerintah atas perkara yang tidak benar. Inilah golongan munafik yang diperingatkan rasulullah suatu ketika dahulu iaitu kumpulan yang menjual agama untuk kesenangan dunia.


malaysiaInstinct
Suara Politik
Taminsari

Jumaat, September 04, 2009

PEMBANGKANG POLITIKKAN AGAMA, SESATKAN UMAT!















Apa yang berlaku sekarang amatlah mendukacitakan. Terdapat pemimpin yang sanggup memparmainkan bangsa dan agama demi kepentingan politik. Yang lebih menyedihkan pemimpin yang sering mendabik dada kononnya memparjuangkan Islam tetapi ungkapan itu hanyalah pemanis mulut tetapi hati penuh dengan hasad dengki, laknat dan segala niat yang menjijikkan.

Hakikatnya umat Melayu sayang kepada agama, bangsa dan negara. Umat Melayu juga sayang kepada pemimpin. Umat Melayu tidak akan biarkan negara jatuh ke tangan musuh. Musuh memang suka kalau umat Melayu bergaduh sesama sendiri. Apatah lagi musuh yang dinamakan iblis. Untuk mengatasi supaya umat Melayu tidak berada di dalam kerugian marilah mengingati kembali pesan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ‘Apabila ada pergaduhan di antara kamu, maka hendaklah ada yang bangun untuk menyelesaikannya. Hendaklah kamu rujuk kepada Al Quran dan Sunnahku’.

Apabila semua merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Rasullullah SAW perkara yang rosak menjadi elok. Semua akan selamat di dunia dan akhirat. Beriman dengan ucapan, beriman dengan perbuatan dan beriman dengan hati. Semua orang Islam hendak kembali kepada Allah SWT. Bagaimana hendak kembali KepadaNYA jikalau sesama sendiri bermusuhan.

Allah SWT berfirman di dalam Kitab Suci Al Quran, Surah Al’ Imran ayat 103 yang bermaksud ‘ Berpegang-peganglah kamu ke tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai’. Untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT di atas ayat tersebut, hendaklah meredhakan diri menuju kepada maksud ayat tersebut dengan lafaz serta mempraktikkan zahir dan batin dengan ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Kalau apa sahaja dibuat dengan niat di hati kerana Allah SWT dengan mengikut perintah Allah SWT buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang nescaya umat Islam menjadi satu. Satu dengan ertikata “Menyatu”. Contohnya seperti kopi, gula, susu dan air dating dari tempat yang berlainan dan keturunan jenis yang berlainan, kerana Allah SWT menjadikan kopi kerana Allah SWT menjadikan gula, kerana Allah SWT menjadikan susu kerana Allah SWT menjadikan air dan kerana Allah SWTlah ia menyatu menjadi satu di dalam satu bekas. Ianya tidak akan dapat dipisahkan lagi walaupun di mana sahaja ia berada.

Sebagai umat Islam hendaklah selalu beriman kepada Allah SWT dan berjanji setiap kali menunaikan solat. Sesungguhnya Solat, ibadah, hidup dan matiku hanya kerana Allah SWT. Tiap-tiap apa yang dikerjakan dengan menyebut di hati kerana Allah SWT sudah tentu kita akan menyatu dan bersatu menjadi satu.

Hakikatnya dalam soal agama seseorang itu tidak seharusnya hipokrit, ekstrim hingga menghancurkan agama itu dan umatnya. Agama Islam tidak meminta umatnya berpecah belah, mengeluarkan kata-kata nista, memfitnah apatah lagi bagi tujuan politik. Seluruh umat Islam haruslah menolak fahaman sebegini kerana ia bakal menghancurkan keindahan agama dan membinasakan umat. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Selasa, September 01, 2009

PAS BERSEKONGKOL DENGAN DAP MENGHAPUSKAN KEKUASAAN MELAYU!

Memang PAS boleh merelakan dirinya bersekongkol dengan DAP dan sebaliknya memusuhi UMNO dengan begitu ekstrim sekali. Apakah sebenarnya ini berdasarkan minda yang rasional dan budiman atau sebaliknya berdasarkan emosional dan minda yang masih kurang matang dalam sepak teranjang politik Malaysia?

Jika UMNO yang ahlinya adalah terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam sama seperti ahli PAS (langsung tidak berbeda), tidak langsung diberikan ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan PAS, kenapa pula DAP yang ahlinya terdiri daripada orang Tionghua serta berbeda penganutan agama, PAS sanggup bekerjasama?. Di sinilah ada sesuatu yang tersirat dan tersurat merasa pelik dan tertanya-tanya, apakah ini mengambarkan kebijaksanaan dan kebudimanan dalam membuat sebarang keputusan penting demi umat Melayu dan Islam dalam negara ini?

PAS seharusnya dapat melihat akan sikap chauvinist dan perkauman yang sebenar yang diperjuangkan oleh DAP sejak ianya tertubuh suatu ketika dulu. Sekarang sikap itu masih berterusan terutamanya di Pulau Pinang dan di Perak, walaupun sebelum ini di Perak Menteri Besarnya dari PAS. Namun kekuatan PR yang ditunjangi oleh DAP secara majoriti itu, menyebabkan PAS hanya kenampakan seperti boneka sahaja.

Dalam hal ini lebih efektif jika di Perak, PAS bekerjasama dengan UMNO untuk menubuhkan kerajaan negeri. Kerusi yang dimiliki oleh kedua parti tersebut sudah mencukupi bagi menubuhkan satu pemerintahan dinegeri tersebut. Kenapa mesti bekerjasama dengan DAP yang ternyata memusuhi Islam dan tidak rela pelaksanaan hukum hudud dalam negara ini? Yang berusaha untuk menghapuskan DEB dalam negara ini? Yang merendah-rendahkan mertabat bangsa Melayu di Pulau Pinang? Yang langsung tidak berusaha untuk mengangkat taraf ekonomi kaum bumiputera dinegeri dimana mereka memerintah?

Atau mungkinkah ini kerana sikap "berpatah arang" diantara UMNO dengan PAS? Sikap bermusuhan ini tidak baik dan amat tidak matang dalam politik abad yang ke 21 ini. Bukankah dikalangan penganut Islam, sangat tidak digalakkan sikap bermusuhan dikalangan saudara seagama? Secara teori/ideanya PAS pintar melontarkan kata-kata tentang betapa PAS memusuhi sikap yang buruk, tetapi secara praktiknya PAS adalah manusia yang selalu mengamalkan perbuatan buruk tersebut. Bermusuhan sesama kita adalah satu sikap buruk yang sepatutnya dibendung sedari dulu kerana ia boleh menghancurkan tamadun bangsa yang telah lama terbina.

PAS sekarang sangat berbangga kerana mendapat sokongan kuat dari kaum India dan Cina dalam kancah politik negara. Tapi dalam masa yang sama mereka lupa, kaum India dan Cina juga telah menggunakan kesempatan ini untuk kepentingan kaum mereka dan berusaha dengan keras dengan kesempatan yang ada untuk memenuhi kepentingan tersebut.

Dimana budiman dan bijaksananya kepimpinan PAS dalam hal seperti ini? Kerana kemenangan itu sesuatu yang menyeronokan, mereka tidak kisah akan kesan buruk yang bakal menimpa bangsa mereka. Samalah ertinya seperti dalam peribahasa kita, "menang sorak kampong tergadai".

Tok Guru Nik Aziz dikatakan telah melakukan sembahyang sunat kesyukuran diatas kembalinya semula jawatan MB Perak ditangan Nizar buat seketika. Ini menggambarkan bahawa beliau benar-benar tidak sedar akan apa yang dimaksudkan diatas dan merelakan demi kepentingan kuasa politik yang dinikmati bertahun-tahun. Beliau benar-benar menganggap DAP adalah rakan baik di Perak tanpa menyedari bahawa Perak bakal jatuh ketangan DAP jika DUN dibubarkan dan diadakan Pilihanraya semula.

Adakah PAS sedar, DAP telah berjaya mempunyai wakil Melayu? Jika pilihanraya diadakan semula dan andaikata majoriti kerusi DAP memenangi lebih daripada PRU12 yang berpihak kepada DAP, adakah Nizar diperlukan lagi dengan adanya wakil Melayu yang berpaksikan DAP? Wallahuallam..

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Ogos 31, 2009

Nilai Kemerdekaan Bagi Orang Melayu!

Sejak dari selesai PRU ke-12 yang lepas dan sepertimana yang kita ketahui akan keputusannya dimana lima negeri telah jatuh ketangan pembangkang, kian dilihat setiap hari bagaimana kaum bukan Melayu semakin berani mempertikaikan akan Ketuanan Melayu. Tidak kira kaum bukan Melayu dari parti pembangkang, begitu juga dengan rakan-rakan UMNO didalam Barisan Nasional. Ibarat menikam kawan dari belakang, inilah yang berlaku didalam senario politik negara.

Penulis tertanya-tanya apabila UMNO diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang, dimanakah rakan-rakan utama UMNO dalam BN? Sepatutnya rakan-rakan utama BN inilah yang akan berdiri teguh dibelakang UMNO untuk menangkis segala serangan dari pihak pembangkang. Ini tidak, bukan sokongan seperti yang diharap-harapkan malah UMNO sendiri menerima tekanan dari dalam BN. Seolah-olah UMNO dibelasah dari luar dan dalam. Malah ada rakan-rakan utama UMNO mula bertindak dengan berani mengugut untuk meninggalkan Barisan Nasional jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Dimanakah semangat setiakawan dan persefahaman yang telah sekian lama dipupuk selama ini sejak dari merdeka lagi diantara semua parti-parti komponen Barisan Nasional. Apa lagi yang kaum bukan Melayu mahukan dari orang Melayu? Tidak cukupkah apa yang mereka telah perolehi dan kecapi setelah keturunan datuk moyang mereka diterima sebagai warganegara tanah air tercinta ini. Tidak cukupkah lagi dengan penguasaan ekonomi yang mereka dominasi sehingga mampu mengurangkan tahap kemiskinan kaum-kaum mereka jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu?

Ingatlah kaum bukan Melayu,orang Melayu juga berhak menikmati hidup yang sempurna di tanah air mereka sendiri. Orang Melayu tidak mahu hidup merempat ditanah air mereka. Orang Melayu tidak meminta apa-apa dari bukan Melayu. BN yang ditunjangi oleh UMNO telah berusaha merangka berbagai polisi untuk menaikan taraf hidup orang Melayu sejak merdeka disamping tidak mengabaikan hak-hak kaum lain. Adakah orang Melayu meminta kaum bukan Melayu supaya mengabaikan atau memansuhkan bahasa, adat resam dan sekolah-sekolah bukan Melayu? Malah kebanyakan sekolah-sekolah mereka telah turut dibantu oleh kerajaan.

Ingatlah kaum bukan Melayu, tidak ada didalam dunia ini manusia yang begitu baik bernama “ Melayu “ yang sanggup menerima kaum-kaum pendatang ini sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan. Tanah Melayu tidak meletakkan apa-apa syarat kepada kaum bukan Melayu untuk menerima mereka sebagai warganegara Tanah Melayu. Malah mereka bebas mengamalkan adat resam mereka selepas merdeka.

Jangan cepat lupa sejarah pembentukan Malaysia. Untuk apa kita merayai hari ulang tahun kemerdekaan pada saban tahun jika semua rakyat Malaysia tidak mahu menghayatilah sejarah pembentukan Tanah Melayu. Inilah gunanya hari kemerdekaan disambut supaya rakyat dapat menghayati apa ertinya kemerdekaan dan bagaimana untuk terus mempertahankannya. Bagaimana pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang rata-ratanya orang Melayu berjuang menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah.

Pejuang-pejuang Melayu terdahulu sanggup bermandikan darah mempertahan bumi tercinta ini dari terus dijajah untuk menjadikan Malaysia sepertimana yang ada pada masa ini. Adakah kaum bukan Melayu pernah berterima kasih pada orang Melayu diatas pengorbanan pejuang-pejuang Melayu terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara? Adakah kaum bukan Melayu tahu akan kehadiran Pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela dan lain-lain pejuang Melayu. Adakah kita pernah mendengar Kapitan Yap Ah Loy atau ceti-ceti sanggup mengangkat senjata berjuang bersama-sama dengan orang Melayu melawan penjajah? Tidak pernah.

Mengapa pejuang-pejuang Melayu sanggup bermandikan darah berjuang melawan penjajah? Kerana apa, kerana niat mereka cuma satu. Tanah air ini adalah tanah Melayu. Bermakna Melayu adalah tuan kepada tanah air bumi tercinta ini. Siapakah akan mempertahankannya kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Sama juga dengan Singapura. Siapakah tuan tanah kepada negara Singapura sekarang walaupun ia sebenarnya pernah menjadi sebahagian dari tanah Melayu. Bolehkah orang Melayu Singapura mengatakan mereka adalah tuan kepada tanah Singapura. Tentu tidak boleh kerana sudah bertukar “ tuan “.

Maka tidak perlulah bukan Melayu terus mempersoalkan akan Ketuanan Melayu kerana semuanya sudah termaktub didalam perlembagaan. Boleh dikira dengan jari berapa ramai perajurit yang berpangkat rendah dari kalangan bukan Melayu kecuali bumiputra dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat didalam pasukan angkatan tentera Malaysia. Kalau mereka benar-benar sayangkan negara mengapa mereka tidak mahu menyertai angkatan tentera Malaysia bermula dari pangkat paling bawah. Kalau adapun yang mahu menyertai ,mengapa mereka cuma memilih untuk pangkat-pangkat atasan sahaja. Apakah jijik sangat pangkat bawahan itu?

Mengapa orang Melayu sahaja yang sanggup menggalas tangungjawab ini meninggalkan anak dan isteri serta keluarga berada didalam hutan atau disempadan untuk menjaga keselamatan negara sedangkan kaum bukan Melayu yang mendabik dada mengatakan yang mereka juga adalah “ tuan” kepada tanah air ini duduk bersenang lenang dengan rumah besar, kereta mewah dan segala kemewahan yang lain. Sanggupkah mereka yang bongkak dan lupa daratan ini berada bersama-sama perajurit Melayu didalam hutan demi menjaga keselamatan negara? Dimanakah bukan Melayu bila setiap tahun Tabung Rayuan hari Pahlawan dilancarkan? Berapa ramai yang sanggup menderma bagi membantu ahli-ahli keluarga perajurit yang daif ataupun yang terkorban semasa menjalankan tugas?

Begitu juga dengan tugas-tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Berapa ramaikah bukan Melayu yang mahu menjadi konstabel Polis? Mengapa jika ada cuma memilih pangkat atasan sahaja. Adakah pangkat bawahan ini untuk orang Melayu sahaja? Bukankah soal keamanan adalah tanggungjawab bersama. Malah ada ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kredibiliti anggota polis dalam menjaga keamanan negara. Sepatutnya sebagai rakyat dan pembangkang, beliau menyeru kepada bukan Melayu untuk menganggotai pasukan polis bagi sama-sama menjaga keamanan. Ini tidak, malah mempersalahkan pasukan polis dengan kadar jenayah yang tinggi sekarang.

Bagi penulis tanggungjawab pasukan Polis adalah seperti berat mata memandang, tetapi lebih berat bahu yang memikul . Cuma yang faham sahaja yang akan menghormati kerja-kerja yang ditanggung oleh pasukan Polis. Adakah tugas-tugas menjaga keselamatan dan keamanan terletak dibahu orang Melayu sahaja sedangkan kaum bukan Melayu sibuk menghimpun harta kekayaan. Adakah bukan Melayu pernah bersyukur dengan kenikmatan dan hidup senang lenang mereka sekarang adalah hasil dari susah payah orang Melayu yang menjadi pewaris kepada bumi tercinta ini.

Jika bukan Melayu masih lagi mempersoalkan tentang Ketuanan Melayu, adalah lebih baik mereka cermin dulu diri masing-masing tentang asal-usul mereka. Hayati apa itu kontrak sosial, apa itu rukun negara dan apa yang termaktub dan terkandung didalam perlembagaan. Ingatlah yang orang Melayu sudah banyak berkorban untuk bukan Melayu. Orang Melayu tidak meminta banyak kepada bukan Melayu, cuma diharap bukan Melayu menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr,Nazrin tidak lama dahulu:

Masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘ Dimana bumi berpijak, di situ langit dijunjung ‘.

Sama-samalah kita renungkan.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-52...Salam Merdeka.

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Ogos 26, 2009

Haluan politik Pas kini semakin liberal !

TAHUN 1970-an dan 1980-an, dunia Islam disemarakkan dengan kemunculan fundamentalisme radikal yang berjuang menegakkan daulah Islamiah. Kejayaan revolusi Islam Iran pada 1979 meningkatkan lagi semangat golongan terbabit.

Namun, apabila runtuhnya Soviet Union pada akhir 1980-an, gerakan terbabit mula menukar pendekatan kepada yang lebih lunak dan liberal. Di Republik Islam Iran dasar lunak mula diperkenalkan apabila pada 1988, Khomeini mengeluarkan fatwa menggantung peruntukan syariah atas alasan maslaha atau kepentingan awam.

Liberalisasi politik ini memperlihatkan kesediaan golongan terbabit untuk bergerak masuk dalam aliran perdana, iaitu sistem demokrasi dengan mempromosikan apa yang dinamakan demokrasi Islam. Pelbagai istilah mula diperkenalkan seperti mujtama’al-madani (masyarakat sivil), huqud al-insan (hak asasi manusia), hurriyah (kebebasan) dan al-ta’addudiyah (kemajmukan) yang semuanya dikaitkan dengan demokrasi.

Slogan mengenai negara Islam tidak begitu ditonjolkan lagi. Liberalisasi politik dapat dikesan di Mesir, Maghribi, Tunisia, Algeria, Yaman dan beberapa negara Arab lain. Di Indonesia dan Malaysia, golongan fundamentalis yang berjuang melalui politik turut mengubah haluan dan pendekatan mereka.

Di penghujung era 1990-an, tuntutan terhadap reformasi demokratik berkumandang di Indonesia yang akhirnya menyaksikan kejatuhan rejim Suharto pada 1998. Pada 1998 itu juga berlaku reformasi jalanan di negara kita.

Ia digerakkan oleh Anwar Ibrahim selepas beliau disingkir daripada kerajaan dan parti atas dakwaan liwat dan rasuah. Reformasi jalanan terbabit melaungkan anti-Mahathir yang dianggap zalim dan bersifat diktator. Gerakan itu akhirnya melahirkan parti politik yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam kes di Indonesia, dua kumpulan Islam iaitu Muhammadiah dan Nahdatul Ulama turut memainkan peranan dalam tuntutan reformasi demokrasi. Mereka cuba mengekang kuasa rejim Suharto yang dituduh bersifat authoritarian. Di negara kita, Pas turut memberikan sokongan terhadap perjuangan reformasi jalanan atas alasan kononnya menentang kezaliman Mahathir dan Umno terhadap Anwar.

Ketika itu Pas dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadhil Noor, seorang tokoh politik yang dihormati dan disegani. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002. Bertolak daripada sinilah, Pas terus sedikit demi sedikit berubah dari sebuah parti bersifat fundamental kepada yang lebih liberal.

Perlu difahami bahawa pengertian fundamental atau al-ushuliyyah merujuk kepada fahaman pelaksanaan agama yang berasaskan kepada tafsiran literal sesuatu teks. Maksud al-Ushuliyyah dalam pengertian Islam adalah daripada akar kata ‘al-Ashl’ bererti bahagian paling dasar daripada sesuatu.

Bentuk jamak (plural) ashl adalah Ushul. Kata ashl (fundamental) juga memberi pengertian dasar atau pangkal (Dr Muhamad Imrah, Perang Terminologi Islam versus Barat, 1998).

Justeru, tidak hairanlah apabila Pas mula dikuasai kelompok muda radikal pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, maka suara dan prinsip perjuangan parti itu sangat berpegang kepada pemahaman tekstual ayat-ayat al-Quran sehinggakan beliau menghukum sesiapa yang berbaik-baik dan bekerjasama dengan orang kafir dalam urusan politik adalah haram, malah ‘kafir’.

Beliau menyerang Umno dengan keras sehingga timbul kontroversi isu ‘Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang’ yang mengkafirkan Umno. Ketika itu, Hadi dengan semangat revolusi Iran begitu tegas memperjuangkan Daulah Islamiah (negara Islam) dan hukum hudud.

Namun, sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004), Pas tidak lagi menonjolkan isu negara Islam dan hudud. Dalam pilihan raya itu, Pas mula menggunakan beberapa slogan seperti ‘negara kebajikan’ dan ‘masyarakat sivil’. Pas sudah bersedia untuk bekerjasama dengan DAP.

Jelas bahawa Pas mula lari daripada prinsip perjuangannya yang tidak mengizinkan bersekutu atau bersama dengan golongan bukan Islam. Selain itu, Pas turut menerima perjuangan PKR yang memperjuangkan hak-hak sivil rakyat secara yang lebih liberal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, suara Pas semakin liberal dan lunak sehingga bersedia membentuk satu pakatan politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat merangkumi PKR, Pas dan DAP. Kini, semakin terbukti bahawa demi kuasa, Pas bersedia mempertahankan DAP walaupun beberapa pemimpin muda parti itu cuba menghina dan memperlekehkan Islam.

Penulis kira soal mereka jahil bukan alasan untuk membiarkan mereka menghentam Islam sesuka hati. Pemimpin muda DAP seperti Ronnie Liu, Jeff Ooi dan Loke Siew Fook sekurang-kurangnya tidak jahil mengenai Islam sebagai agama rasmi negara dan wujudnya larangan hasutan berhubung isu-isu sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika mereka jahil mengenai fasal penting dalam Perlembagaan, sewajarnya mereka tidak layak menjadi wakil rakyat kerana ia boleh merosakkan negara. Justeru, amat mendukacitakan apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membela mereka semata-mata atas kepentingan politik menyebabkan DAP berlagak seperti ‘kaduk naik junjung’.

Sebenarnya, ketika era kepemimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi, Pas bersifat reformis dan nasionalis. Ketika itu tidak berbangkit idea mengenai Daulah Islamiah. Gagasan yang dibawa adalah ‘nasionalisme Melayu dengan cita-cita Islam’. Buktinya, cadangan pembentukan sebuah negara Islam ditolak pada kongres Pas 1954.

Satu lagi bukti ialah pada pertengahan 1970-an Pas di bawah Datuk Asri Muda bersedia menjadi komponen dalam Barisan Nasional (BN). Ketika Pas bersama BN, Anwar yang mengasaskan dan memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengkritik kepemimpinan Tun Abdul Razak Hussein yang dikatakan bersifat autokratik dan tidak Islamik.

Pada 1981, Hadi mula mewarnai dan mencorak pendekatan Pas ke arah yang bersifat radikal dan tidak berkompromi sama sekali dengan Umno, apatah lagi dengan DAP. Namun, hari ini semuanya sudah berubah dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai perjuangan parti itu.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Ogos 24, 2009

Artikel Pilihan : Doktrin Khawarij, Pas ada persamaan !




















IMAM Abu Muzaffar al-Asfirayni (meninggal dunia 471 Hijrah) ada menulis mengenai Khawarij dalam kitabnya berjudul, al-Tabsir fi al-din wa-tamyiz al-firqah al-najiyah an al-firaq al-halikin (Pemerhatian pada agama dan perbezaan puak yang selamat daripada puak yang binasa).

Mengikut al-Asfirayni, kumpulan Khawarij berjumlah 20 puak. Mereka mempunyai tiga doktrin yang sama. Pertama, semua puak Khawarij menyangka bahawa Khalifah Ali bin Abi Talib, Khalifah Uthman al-Affan, mereka yang terbabit dalam Peperangan Unta, dua wakil dalam Majlis Tahkim dan sesiapa yang meredai dengan kedua-dua wakil itu adalah kafir.

Kedua, semua puak Khawarij menyangka bahawa setiap orang yang melakukan dosa daripada umat Nabi Muhammad SAW adalah kafir dan pelaku dosa itu kekal dalam neraka.

Ketiga, semua puak Khawarij mengharuskan atau membolehkan menentang imam yang zalim dengan senjata. (al-Asfirayni 1940: 26)

Muhammad Abu Zahrah menulis bahawa Khawarij sepakat atas prinsip atau doktrin berikut: Pertama, Khalifah mestilah dipilih secara bebas dan sahih oleh semua umat Islam dan khalifah itu kekal menjadi Khalifah selama mana dia menegakkan keadilan dan menegakkan syariah, menjauhi kesilapan dan penyelewengan. Jika khalifah menyeleweng, maka wajib dipecat, dijatuhkan atau dibunuh.

Kedua, khalifah tidak dikhususkan kepada Arab Quraisy dan terbuka kepada bukan Arab. Bahkan Arab bukan Quraisy lebih senang dipecat, dijatuhkan atau dibunuh jika dia menyeleweng kerana tiada suku yang mempertahankannya.

Ketiga, mentakfirkan (mengkafirkan) pelaku dosa dan tiada beza di antara dosa besar dan dosa kecil. Malah, silap dalam pemikiran dan tindakan adalah berdosa. Oleh itu Khawarij menghukum kafir kepada Khalifah Ali kerana membabitkan diri dalam Majlis Tahkim dengan mengirimkan wakilnya untuk berunding dengan wakil Muawiyah. Khawarij berpendirian silap atau salah dalam ijtihad membawa kepada keluar daripada agama Islam. Oleh itu mereka mengkafirkan Talhah dan Zubayr kerana bersama Aisyah dalam Peperangan Unta, tidak bersama Khalifah Ali. Beberapa ayat al-Quran dijadikan dalil oleh Khawarij untuk menyokong fahaman mereka dan tindakan mereka terhadap orang Islam dan sahabat Nabi yang ulung yang mereka kafirkan. (Abu Zahrah 1996: 63-64).

DOKTRIN KHAWARIJ




















Dokrin Khawarij yang menyamakan semua jenis dosa berbeza daripada ulama Islam lain. Khawarij tidak membahagikan dosa kepada dosa besar dan dosa kecil. Dosa besar ada yang membawa kepada kafir iaitu syirik yang jelas dengan perkataan dan perbuatan. Tidak semua dosa besar membawa pelakunya kepada hukum kafir.

Doktrin Khawarij menghukum beberapa sahabat utama Nabi Muhammad SAW sebagai kafir berbeza dan bertentangan dengan Hadis Nabi Muhammad SAW yang menjanjikan sahabat itu akan memasuki syurga tanpa hisab seperti Uthman dan Ali.

Dengan mengkafirkan kedua-dua sahabat ini, apakah hukum kafir Khawarij itu membatalkan hadis Nabi mengenai taraf dan status dua sahabat berkenaan? Hukuman kafir Khawarij kepada dua sahabat Nabi itu tidak benar atau tidak sah kerana bertentangan dengan hadis Nabi mengenai dua sahabat itu.

Khawarij berasakan mereka lebih alim, lebih warak dan takwa berbanding dengan Khalifah Ali dan Khalifah Uthman, sedangkan dua khalifah itu diterima sebagai menantu oleh Nabi Muhammad SAW. Kalau baginda menerima mereka berdua sebagai menantu, tidakkah itu menandakan kealiman, kewarakan, ketakwaan dan perjuangan mereka yang sangat tinggi kepada Nabi Muhammad dan Islam yang baginda sebarkan?

Khawarij menuduh Khalifah Ali dan Khalifah Uthman menyeleweng dan pemerintah yang menyeleweng mesti ditentang dengan memecat atau membunuhnya. Khawarij telah membunuh Khalifah Ali atas tuduhan bahawa Khalifah Ali menyeleweng dalam berdepan dengan Muawiyah yang menentangnya dalam Peperangan Siffin.

Khawarij juga menuduh Khalifah Ali menyeleweng dalam Peperangan Unta kerana beliau tidak membenarkan tenteranya menangkap dan menawan tawanan perang Aisyah, janda Nabi Muhammad SAW. Ini diketahui Khalifah Ali dalam perdebatan dengan Khawarij di Harura. Antara isunya, Khawarij menuduh Khalifah Ali gagal menghukum Aisyah yang menentang beliau dengan hukum Islam iaitu membunuh Aisyah atau menawannya menjadi tawanan perang kerana menentang Khalifah Ali dalam Peperangan Unta. Khalifah Ali memberikan penjelasan bahawa hadis Nabi Muhammad SAW melarang lelaki Muslim mengahwini janda Rasulullah SAW yang masih hidup selepas kewafatan baginda kerana isteri Rasulullah adalah ibu kepada lelaki dan perempuan Muslim. Khalifah Ali berhujah, untuk mengahwini janda Nabi Muhammad SAW diharamkan, apakah layak atau sesuai janda Nabi Muhammad ditawan dan dijadikan tawanan perang? Apakah wanita yang dilarang dikahwini sesuai ditawan atau dihukum mati?

Khalifah Ali memahami Hadis Nabi Muhammad supaya menghormati isteri-isterinya sekalipun selepas kewafatan baginda. Dengan fahaman sedemikian, Khalifah Ali mengarahkan tenteranya dalam Peperangan Unta tidak menawan Aisyah dan menghantar Aisyah pulang dengan selamat untuk tinggal dan hidup di Makkah sehingga ke akhir hayat Aisyah. Khawarij berkeras menyalahkan Khalifah Ali dalam kes membebaskan Aisyah, janda Nabi Muhammad yang menentangnya dalam Peperangan Unta.

Khawarij sentiasa menuduh pemerintah atau pemimpin umat Islam zaman mereka sebagai pemerintah yang zalim dan menyeleweng daripada hukum Islam dan keadilan Islam dan Khawarij menentang pemerintah umat Islam dengan melakukan peperangan, pemberontakan atau secara tindakan pasukan pembunuh sejak zaman Khalifah Ali hingga ke zaman pemerintahan Bani Umaiyah.

Dalam konteks Malaysia pada zaman ini (dari 1963 hingga 2009), Pas mungkin boleh disamakan dengan Khawarij kerana pemimpin parti itu kerap menuduh pemerintah Malaysia berlaku zalim, menyeleweng, pecah amanah dan pelbagai lagi dalam ceramah, penerbitan mereka dalam bentuk buku, kaset dan dalam penerbitannya, Harakah.

Pada setiap pilihan raya negeri atau Parlimen yang mana calon Pas menang, maka Pas menegaskan kemenangannya kerana rakyat menyokong Pas. Tetapi jika calonnya kalah, Pas tidak dapat menerima kekalahan itu sebagai tiada sokongan rakyat kepadanya. Malah, kerap kali Pas memberikan sebab penyelewengan dalam pilihan raya yang dilakukan oleh Umno, Barisan Nasional (BN) dan agensi kerajaan yang lain, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan calon Pas kalah.

Persamaan Pas dan Khawarij ialah ketika Pas menyertai BN ketika di bawah kepemimpinan Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia dan Pas dipimpin Datuk Mohd Asri Muda. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu menjadi Ketua Dewan Ulama Pas. Apakah hukum atau dalil daripada hadis dan al-Quran yang Pas gunakan untuk melegitimasikan Pas menyertai BN pada waktu itu? Sekarang ini apabila isu kerajaan perpaduan dihebahkan sebagai jalan menyelesai masalah Muslim di Malaysia, Pas sangat kuat menentang dan Nik Aziz mengepalai kumpulan penentang dalam Pas terhadap idea kerajaan perpaduan berkenaan. Malah, ada laporan dalam media massa yang melaporkan Nik Aziz meminta Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meletak jawatan dan masuk Umno kalau mahu memperjuangkan isu kerajaan perpaduan.

Kes Pas menyertai BN pada awal 1970-an dan kemudian pemimpin Pas hari ini bermusuh dengan Umno dan BN tetapi berbaik dengan DAP dan PKR. Apakah hukum atau dalil daripada hadis dan al-Quran yang Pas gunakan untuk melegitimasikan parti itu bersama DAP dan PKR, tetapi tidak boleh bersama Umno dan BN?

Politik tetap politik dan kepentingan serta strategi politik Pas menentukan tindakan parti itu sama ada untuk bersama Umno dan BN pada awal 1970-an dan bersama DAP dan PKR pada awal 2000.

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, Ogos 22, 2009

Hormati teguran Nik Aziz, jangan serang batang tubuh !

























ADALAH suatu yang malang apabila pentas kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir yang seharusnya dijadikan platform untuk mengetengahkan visi parti-parti yang bertanding lebih banyak dihiasi dengan serangan peribadi ke atas calon.

Ketika ini Pas yang kelihatan terdesak untuk mempertahankan kerusi tersebut dilihat terpaksa melakukan apa sahaja bagi mencipta kemenangan.Pas sememangnya memahami bahawa pertembungan di pilihan raya kecil itu melibatkan antara orang Melayu iaitu calon mereka dan calon UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman.

Seharusnya sebagai parti yang melaungkan perjuangan Islam dan sering memulakan ucapan dengan ayat-ayat suci al-Quran, Pas sepatutnya bersikap lebih beretika ketika berkempen.Tetapi apa yang dilakukan oleh Pas adalah bertentangan dengan tata susila dan etika berpolitik dalam Islam itu sendiri.

Satu demi satu serangan peribadi dilancarkan walaupun hakikatnya bukan itu yang seharusnya dilakukan kerana pilihan raya adalah bertujuan mencari calon terbaik bagi membela nasib rakyat.Keghairahan Pas melakukan tindakan berkenaan sudah tentulah bertentangan dengan pendirian Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau baru-baru ini membidas UMNO kerana menyerang peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.Kata Nik Abdul Aziz, sepatutnya yang dikritik adalah "parti dan bukannya batang tubuh Anwar". Tetapi nampaknya di Permatang Pasir, pemimpin-pemimpin Pas yang berkempen sudah melupakan teguran Nik Abdul Aziz itu.

Mereka terlalu ghairah untuk mencapai kemenangan sehinggakan kalau boleh apa sahaja isu peribadi yang berkaitan dengan calon BN akan 'ditelanjangkan'.Pas sedar mereka tidak ada modal lain, mereka tidak mampu memimpin kerana di Pulau Pinang, Pas bagaikan melukut di tepi gantang manakala di Selangor, Pas hanya menjadi 'pengikut' sahaja.

Begitu juga untuk menjanjikan pembangunan, Pas tidak berdaya. Jadi bagi meraih undi, Pas berharap dengan memburuk-burukkan calon BN, ia akan memberi kejayaan kepada mereka.Pas mungkin bimbang jika mereka menyentuh isu-isu lain, sudah pasti mereka akan diserang habis-habisan oleh BN. Apa yang berlaku di Perak dan Selangor sudah menjadi bukti bahawa kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang hanyalah sekadar pelengkap.

Oleh itu, ia mengalih isu terhadap kepincangan dan kelemahan mereka dengan melakukan serangan peribadi ke atas calon BN.Lagipun kalau Pas hendak berceramah soal pentadbiran dan pembangunan, siapa yang mahu dengar? Tetapi kalau Pas bercakap soal peribadi, ramai yang mahu mengikuti kerana sudah menjadi sikap orang kita yang sukakan perkara seperti itu.

Tetapi persoalannya apakah ini cara orang Melayu berpolitik? Kita memaki hamun saudara seagama, kita melondehkan segala keburukan lawan seperti dialah manusia paling buruk dan kita ungkit segala kesalahan masa lalu seolah-olah kita sendiri insan paling sempurna.

Persoalannya di manakah alim ulama dalam Pas yang sebelum ini begitu bijak 'menjatuhkan hukum' kepada pemimpin-pemimpin UMNO? Kenapakah mereka tidak menegur pendekatan kempen yang dilakukan oleh Pas? Apakah hanya kerana satu kerusi DUN maka kita boleh melakukan tindakan "matlamat menghalalkan cara"?

Kita percaya kalau UMNO yang melakukan serangan peribadi ke atas calon Pas, sudah pasti alim ulama dalam Pas akan mengeluarkan hadis dan ayat al-Quran bagi mengkritik tindakan UMNO.Tetapi apabila Pas sendiri yang melakukannya, maka dia menyepi.

Mungkin Pas boleh bersorak kalau mereka menang tetapi realitinya Pas akan terus kekal sebagai parti yang tidak berdaya sama ada daripada segi politik dalam pakatan pembangkang atau menjadi pentadbir demi kesejahteraan rakyat.Tetapi Pas juga harus memahami dalam apa juga tindakan, janganlah melampaui batas kerana tidak mustahil "senjata akan makan tuan".

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Ogos 20, 2009

Mempersiapkan diri menghayati Ramadhan !






















RAMADHAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadhan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadhan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadhan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, Insyaallah. 'Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak'.

Ikhlas dari,
Taminsari

Kecelaruan Nik Aziz dan syurga PAS !

ISU "syurga, neraka serta mengkafirkan UMNO" berlaku seawal 1986. Namun ia tidak bererti ia terhenti begitu sahaja. 'Rekod lama' itu kini dimainkan semula. Lebih-lebih lagi dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir ketika ini.

Pada 1990, bekas Ahli Jawatankuasa Lujnah Undang-Undang Pas Pusat, Suhaimi Said pernah meminta ulama Pas supaya berhenti daripada membuat pelbagai hukum dan fatwa yang boleh mengelirukan ahli sedangkan hukum-hukum itu berubah-ubah tanpa menentu.

"Sekejap halal, sekejap haram, sekejap kafir dan sekejap tidak kafir," tegasnya.

Fatwa yang tidak menentu seperti itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi ahli Pas berkecamuk sesama sendiri. Akhirnya timbullah pelbagai kumpulan dengan dasar serta pemikiran tersendiri sehingga tidak boleh dikawal lagi.

Bagaimanapun, persoalan paling besar hari ini ialah di manakah kedudukan orang bukan Islam di kaca mata Pas? Bagaimanakah kedudukan orang kafir sekiranya mereka turut sama menyokong dan mengundi Pas?

Adakah bagi Pas, hendak masuk syurga begitu mudah, hanya perlu menyokong atau mengundi Pas sahaja?

Hakikatnya, bukan hanya ahli Pas yang keliru dengan fatwa politik sebegini. Malah para pemimpin Pas sendiri sudah berkecamuk kerana terlalu banyak fatwa politik dipersoalkan semula, baik oleh ahli sendiri mahupun umat Islam.

Begitupun dalam konteks hari ini dan demi menyelamatkan akidah orang Islam khususnya para pengikut Pas yang barangkali bersikap "apa yang dikatakan oleh tok guru semuanya betul", maka Pas khususnya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu menjawab soalan yang mahukan penjelasan mengenai kedudukan parti itu berhubung tuduhan yang menganggap UMNO yang bekerjasama dengan rakan-rakan komponennya, MCA dan MIC sebagai kafir.

Pernah pada 1995, terdapat seorang pemimpin Pas yang berkata, orang beragama Islam tidak boleh mengundi calon daripada kalangan bukan Islam dalam pilihan raya kerana ia bertentangan dengan kehendak Islam.

"Usahkan orang bukan Islam, orang Islam pun kalau tidak turut Islam tidak boleh undi, malah orang Islam pun kalau dia bawa dasar yang bukan Islam, rakyat tidak boleh mengundinya," kata laporan itu.

Maka timbul tanda tanya yang tidak pernah Pas jawab: "Bagaimana pula kerjasama yang terjalin antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP?

Adakah hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC sahaja termasuk dalam kategori tuduhan Pas iaitu kafir tetapi Pas yang bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang dikecualikan? Bagaimana pula kerjasama Pas dan DAP yang diketuai Lim Kit Siang? Beliau secara terbuka menentang penubuhan negara Islam Pas.

Adalah malang bagi pengikut Pas yang mempercayai bahawa hanya menjadi ahli parti itu, baru boleh masuk syurga.

Ironinya, terdapat terlalu banyak kecelaruan dalam Pas. Selain fatwa politik yang dibawa, pemimpin parti itu telah banyak lupa apa yang telah dikata dan dilakukan mereka.

Ketika berbaik-baik dengan DAP, Pas tanpa segan silu sengaja melupakan tentang isu kafir yang dilemparkan kepada UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC. Dan apabila suatu ketika tidak lagi bersekongkol dengan DAP, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula lupa yang dia pernah berpelukan dengan Kit Siang hingga sanggup menyifatkan pemimpin tertinggi DAP sebagai "sudah luput masa" dan tidak lagi sesuai untuk menonjolkan diri bertanding pada pilihan raya umum 2004. Kini kedua-duanya 'bersatu' kembali.

Bukan sahaja Nik Abdul Aziz, gelagat pemimpin Pas lain juga menampakkan mereka seolah-olah 'memegang syurga dan neraka'.

Ketika calon Pas, Abu Bakar Sakak menarik diri daripada bertanding menentang Datuk Seri Syed Hamid Albar di Parlimen Kota Tinggi pada 2004, Abdul Hadi mencela bahawa Abu Bakar akan mengalami hidup yang tidak berkat di dunia dan akhirat.

Sedangkan, menang kalah, sokong atau tidak sokong, tidak ada kena mengena dengan akidah seseorang. Memanglah sesiapa yang buat jahat akan terjerumus di dalam neraka tetapi itupun ditentukan oleh Allah dan bukannya manusia.

Jika disenaraikan fitnah-fitnah yang pernah dilontarkan di tengah-tengah masyarakat maka tidak terhitung banyaknya.

Ketika menjelang pilihan raya umum pertama pada 1955, isu besar pada waktu itu ialah perjuangan mahu merdeka. Tetapi sebilangan penceramah Pas ada yang berkata: "Apa guna merdeka untuk waktu ini, kerana sebatang jarum pun orang Melayu tidak tahu membuatnya".

Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan konsep Pandang Ke Timur, mereka jaja konsep tersebut kononnya Dr. Mahathir mahu memindahkan Kaabah dari kota Mekah ke Tokyo.

Ketika mempercepatkan setengah jam masa di Semenanjung untuk menyamakan waktu dengan Sabah dan Sarawak dituduh pula sebagai hendak mengubah perjalanan matahari. Apabila memperkenalkan Wawasan 2020, dimomokkan kerajaan akan mengenepikan wawasan akhirat dan sebagainya. Bahkan penubuhan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa dikatakan sebagai "Islam kulit dan kosmetik" sahaja.

Apabila pihak kerajaan mengisytiharkan negara ini negara Islam, dilabelkan pula sebagai Islam klon. Bahkan, semua program agama dijadikan bahan ketawa mereka di majlis-majlis ceramah bersama rakyat.

Apa pun mereka kata, Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang termaju di dunia hari ini manakala pemimpin negara turut menjadi tumpuan umat Islam antarabangsa. Putrajaya telah membuktikan kewujudannya dan telah menyambut ribuan tetamu dengan penuh selesa ketika sidang pemimpin negara-negara Islam.

Selagi ketua-ketua parti politik tidak bersikap lebih terbuka dan toleran, atau tidak mementingkan kepentingan umum yang lebih utama untuk kebaikan masyarakat kita, maka dibimbangi selama itulah sikap dan cara berfikir rakyat, khususnya umat Islam akan berkecamuk dan keliru. Malah persepsi mereka akan menjadi samar-samar termasuk isu syurga dan neraka, dosa pahala, Islam dan tidak Islam.

Mereka akan terus-menerus menjadi orang yang taksub, termasuk menjadi pak turut yang membuta tuli tanpa ilmu dan kesedaran terhadap realiti hidup yang sebenarnya. Dan terus menerus menjadi orang yang emosional tanpa dapat menggunakan akal fikiran yang rasional lagi.

Ahli sufi yang menempuh peringkat nafsu mulhammah hingga ke peringkat yang paling agak tinggi iaitu nafsu mardiyyah pun berasa diri mereka belum layak lagi menjadi ahli syurga.Dan sehingga kini tidak ditemui sebarang firman atau hadis menyebut "undi Pas boleh ke syurga".

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Ogos 18, 2009

Bersatulah bangsa Melayu !

Di saat ini, perbalahan sesama bangsa Melayu berada di tahap kritikal. Punca utama adalah perbezaan fahaman politik. Budaya berpuak-puak semakin berleluasa sama ada di bandar mahupun di kampung. Pergolakan ini dilihat oleh orang lain dan mereka gembira melihat kita bersengketa sesama sendiri.

Perpecahan ini amat bahaya yang akan membinasakan bangsa kita sendiri. Pepatah mengatakan 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Bangsa kita sekarang sedang ditertawakan orang lain kerana kita lemah sebab tidak bersatu. Kita seolah-olah sudah hilang kekuatan kerana ikatan kita amat longgar dan akan roboh bila-bila masa sahaja. Raja-Raja Melayu diperlekehkan oleh bangsa kita sendiri. Orang lain tersenyum gembira melihat kebodohan yang dijelmakan oleh bangsa kita sendiri.

Masa telah sampai. Semboyan telah berbunyi. Gendang telah dipalu. Orang Melayu perlu bertindak untuk menyatukan semula bangsa kita yang kita cintai dan agama Islam yang kita anuti. Kesemua peringkat usia, sama ada golongan terpelajar, golongan ahli agama, pemimpin-pemimpin politik, pelajar, pendidik, golongan petani dan apa-apa sahaja golongan dari kelompok Melayu perlu mulakan gerakan ke akar umbi menyatukan semula puak-puak yang bertelagah ini demi agama dan bangsa.

Janganlah hanya mempunyai sikap membisu dan melihat sahaja tanpa melakukan tindakan demi penyatuan bangsa. Kita kena bertindak. Bukan masanya untuk kita menuding jari menyalahkan puak lain.

Tempat berkumpul bagi menyusun program penyatuan hendaklah kita mulakan di masjid atau pun surau. Kita tinggalkan fahaman politik masing-masing apabila berada di masjid atau surau. Kita hidupkan jemaah dan kita bina semula kekuatan. Peranan masjid atau surau kita kembalikan seperti di zaman Rasulullah s.a.w.

Sejarah para pahlawan Melayu dahulu perlu diceritakan kepada generasi muda. Usaha ini mesti berterusan dan tiada penghujung. Pastinya perjuangan kita akan disanjung oleh generasi akan datang. Kitalah yang bertanggungjawab memastikan agama Allah terpelihara dan bangsa kita bersatu, kuat dan tidak boleh diperlekehkan orang lain. Kita kembalikan kedudukan raja kita yang kita sayangi di tempat yang sepatutnya.

Satu semangat juang yang tinggi perlu ada pada setiap orang Melayu. Kita kumpulkan rakan-rakan berlainan fahaman politik untuk membentuk satu jemaah demi agama dan bangsa Melayu. Ibu bapa juga memainkan peranan sebagai penasihat terbaik kepada anak-anak. Ceritakanlah kepada mereka sejarah zaman dahulu dan pupukkan semangat cintakan agama dan bangsa.

Kepada para pemimpin politik, berdamailah. Semua orang Melayu melihat anda. Adakah cukup sekadar ungkapan atau slogan tanpa diterjemahkan dalam bentuk kenyataan? Ingatlah sejarah di zaman Rasulullah s.a.w. yang mana dua puak bersengketa bersatu, iaitu kaum Ansar dan Muhajirin. Setiap orang Islam adalah saudara kita. Fikirkanlah. Jangan terlalu taksub dengan fahaman politik masing-masing. Berfikir dan bertindaklah secara waras.

Kepada golongan ahli agama, berilah teladan yang baik kepada kami. Bimbinglah, nasihatilah. Kepada YB atau wakil rakyat, tidak kira apa parti anda, dampingilah orang Melayu, bantulah mereka jika mereka perlukan bantuan tanpa mengira parti. Parti hanyalah sebagai wadah perjuangan.

Saya menyeru kepada semua umat Melayu yang beragama Islam yang amat saya sayangi, kita buka lembaran baru yang pastinya akan menjadi satu sejarah yang paling indah. Jadikan isu "bagaimana untuk menyatukan semula orang-orang Melayu" sebagai topik perbualan kita walau di mana kita berada.

ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya. Itu janji Allah. Kita tunaikan tanggungjawab kita. Kita jadikan bangsa kita bangsa yang bermaruah, kuat pegangan agamanya, kuat dari segi fizikal juga mental, bersatu serta mempunyai semangat juang yang tinggi.

Salam Suara Politik
Taminsari

Melayu mesti bangkit bersatu !

SELEPAS kekalahan Umno di lima negeri pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, banyak kenyataan diluahkan pelbagai pihak. Seorang penganalisis politik dalam tulisannya di sebuah akhbar tempatan beberapa hari selepas pilihan raya itu menyatakan orang Melayu sibuk mengumpul pengikut berarak di jalan raya, tetapi orang Cina sibuk mengumpul ahli untuk menguatkan parti.

Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 itu juga, senario politik negara berubah kerana pelbagai pertikaian dilakukan oleh pihak tertentu ke atas orang Melayu, termasuk dari segi bahasa, hak keistimewaan dan status bangsa Melayu di negara ini.

Di Pulau Pinang umpamanya, Gerakan berusaha meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di negeri berkenaan konon untuk memudahkan pelancong, terutama dari luar negara.

Di sekitar kawasan tapak Warisan Dunia di Georgetown juga dicadangkan supaya papan tanda pelbagai bahasa dinaikkan. Berbeza pula dengan tapak warisan itu di Melaka yang tidak cuba dipelbagaikan bahasanya sedangkan di situ juga bukan hanya pelancong tempatan yang akan datang dan mengerumuninya.

Tindakan dan kenyataan berbau politik terus melanda negara, termasuk isu menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB), pendidikan dan sebagainya. Semua ini mencabar kedudukan Melayu dan jika tidak ditangani dengan bijak, kekuatan Melayu akan hilang dan identiti Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit di tanah air sendiri.

Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak lama dulu yang meminta orang Melayu memperkukuh kedudukan adalah sebagai satu peringatan kepada bangsa Melayu agar memperkuat semula kedudukan selepas dirasakan berada dalam keadaan tidak menentu, dicabar dan diperlekehkan dalam pelbagai aspek.

Baginda juga menegaskan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja dan bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi bidang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dulu.

Kemelut politik melanda negara pada masa ini dikaitkan dengan wujudnya tidak sefahaman di kalangan orang Melayu dalam menentukan kedudukan mereka dalam politik. Perebutan kuasa, amalan politik wang dan tiadanya kerjasama di kalangan orang Melayu dalam menjaga maruah bangsa, terutama rakyat akan menjejaskan kestabilan negara kerana wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat atas sesuatu tindakan dan pelaksanaan.

Maka, pemimpin dan orang Melayu sendiri tidak kira atas apa fahaman politik sekalipun mesti duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian supaya kestabilan politik serta ekonomi dapat dibentuk dan dapat dinikmati bersama. Di samping itu, Umno mestilah memainkan peranan dalam memperkasa semula bangsa dan kedudukan Melayu agar tidak mudah dicabar dan diperlekeh. Jentera parti sepatutnya menumpukan ke arah usaha menaikkan semula imej parti, mencari dan menilai kelemahan kemudian memperbaikinya supaya keyakinan rakyat terhadap parti menjadi semakin kuat.

Di pihak rakyat pula, Melayu mestilah bersatu dan memikirkan kaedah terbaik untuk menjayakan semua kempen dan program kerajaan supaya negara dapat terus dibangunkan dan yang pentingnya keluhuran agama dapat dipelihara. Orang tua-tua ada mengatakan, 'lidi sebatang mudah dipatahkan, jika banyak, hendak dilentur pun susah.'

Percakaran dan perbalahan dalam politik yang membawa kepada ketaksuban sehingga di kalangan orang Melayu sendiri memulau bangsa sendiri dan mementingkan pula bangsa lain akan memburukkan keadaan. Kesimpulannya, jika orang kita masih lena dengan 'serangan' halus pihak yang mahu memecahbelahkan kita, maka makin bertambahlah di kalangan orang kita yang terpaksa turun longkang, mengaut sampah untuk menyambung hidup di tanah air sendiri.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Ogos 17, 2009

Kemerdekaan menuntut keinsafan anak bangsa !


Mulai 1 Ogos lalu, negara memasuki bulan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Ini adalah kali ke-52 negara menyambut ulang tahun kemerdekaan untuk memperingati tarikh keramat negara bebas daripada belenggu penjajah.

Walaupun bulan kemerdekaan sudah memasuki minggu kedua, suasana kemerdekaan tidak pun dirasai, berbeza dengan suasana Ramadan, apatah lagi Aidilfitri. Ini mungkin kerana sudah terlalu banyak pesta di negara ini.

Sungguh malang kerana hari pertama bulan kemerdekaan pada 1 Ogos lalu diwarnai dengan kekecohan perhimpunan haram Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) di bandar raya Kuala Lumpur. Ia menjadi bahan perbualan hingga ke hari ini.


Sehari demi sehari berlalu tanpa sedikit pun rakyat merasai kemeriahan suasana bulan kemerdekaan. Pada malam 31 Ogos nanti, walaupun sambutan meriah akan diadakan di tempat terpilih, belum pasti roh kemerdekaan dapat menyerap ke dalam jiwa bangsa Malaysia. Ramai yang datang untuk menyambut detik-detik kemerdekaan pada malam berkenaan, adalah semata-mata untuk menyaksikan persembahan pentas, menyanyi dan menari. Pada malam itu nanti ramai anak-anak remaja mendapat pasport daripada ibu bapa untuk keluar rumah dan balik hingga lewat malam dengan alasan untuk menyambut hari kemerdekaan.

Meskipun turut melaungkan seruan “Merdeka, Merdeka, Merdeka” apabila jam tepat menunjukkan pukul 12 malam pada 31 Ogos nanti, ia hanyalah laungan bergemuruh yang tidak ada bezanya dengan laungan pada sambutan tahun baru setiap tahun di hotel-hotel dan pusat-pusat hiburan. Bagi kumpulan bersemangat kebangsaan yang tebal, keadaan ini sangat membimbangkan mereka kerana menganggap terhakisnya semangat nasionalisme bangsa. Kumpulan ini menganggap masyarakat hari ini gagal mengagumi, apatah lagi menghayati sejarah. Sekiranya mereka dipilih sebagai pemimpin akan datang, ia akan mempercepatkan proses negara tergadai dan berlaku penjajahan baru oleh kuasa-kuasa besar.

Sikap kumpulan nasionalis ini berbeza dengan golongan berfikiran liberal. Mereka tidak bimbang kepada sikap generasi hari ini kerana menganggap ia adalah perkara biasa dalam tamadun manusia. Bagi golongan ini, apa yang mereka tahu ialah kebebasan bermakna rakyat sewajar diberi hak mutlak dalam segala bidang. Kumpulan ini memandang ke depan dan mahu rakyat menguasai ilmu tanpa perlu menoleh ke belakang. Bagi mereka, jika masyarakat tidak menguasai ilmu, mereka akan ketinggalan.

Pengertian kemerdekaan mempunyai semangat dan rohnya tersendiri. Penghayatannya juga berbeza daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Bagi seseorang yang berusia 70-an ke atas hari ini, mereka adalah kumpulan yang pernah hidup pada zaman Perang Dunia Kedua yang merasai pahit getirnya kehidupan pada zaman penjajahan British. Sebelum itu, mereka juga melalui pengalaman ketika pemerintahan Jepun, makan ubi kayu bakar dan bersembunyi di bawah tanah apabila diburu pengganas Komunis. Pengalaman mereka bersekolah, jauh beza daripada anak-anak zaman moden hari ini. Berkaki ayam hingga kaki keras berkematu, adalah perkara biasa.

Bagi golongan ini, sewaktu Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, ia adalah seruan paling beremosi dan ramai yang mengalirkan air mata kerana mereka faham erti kebebasan.

Bagi mereka yang berusia 40 dan 50-an hari ini, kisah kehidupan zaman perang, pemerintahan Jepun dan penyeksaan hidup pada zaman Komunis, sudah mula menjadi cerita penglipur lara bila ayah atau datuk nenek menceritakan kisah lampau mereka sebelum ini. Kumpulan ini tidak dapat menggambarkan keadaan kehidupan zaman sebelum mereka, apatah lagi menyelami pengalaman yang dilalui datuk nenek mereka. Ketika ayah bercerita kisahnya menelaah buku di bawah lampu minyak tanah atau membeli nasi lemak dengan harga lima sen sebungkus, mereka hanya mendengarnya tanpa emosi dan simpati. Sukar bagi mereka mendalami keadaan itu yang menyebabkan perbualan ibarat percakapan antara itik dengan ayam.

Ketika tiba 31 Ogos setiap tahun, anak-anak muda hari ini juga tidak ketinggalan melaungkan ungkapan “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, tetapi tidak siapa yang dapat membaca emosi mereka. Apakah mereka benar-benar faham erti kebebasan atau sekadar terikut-ikut dengan laungan untuk menggemakan suasana.

Anak-anak hari ini mempunyai cita-cita yang jauh berbeza daripada cita-cita dan pemikiran masyarakat pra dan pasca kemerdekaan. Keadaan ini berlaku kerana mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh luar melalui pelbagai saluran dan media. Dengan kemajuan teknologi komunikasi dan telekomunikasi, anak-anak yang berusia belasan tahun, seterusnya mereka dalam lingkungan 30-an dan 40-an, mewarisi pemikiran moden. Mereka mungkin faham bahawa sambutan Hari Kemerdekaan adalah detik memperingati kejayaan negara yang berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Disebabkan tidak pernah mengenal erti penjajahan, sama ada secara fizikal dan pemikiran, mereka tidak pernah menganggap mereka pernah dijajah. Pengalaman tidak pernah mengajar mereka penyeksaan hidup dijajah. Anak-anak hari ini tidak pernah merasa tidur dalam kerlipan pelita minyak tanah kerana setiap masa mereka membesar di dalam bilik berhawa dingin. Bagaimana mereka boleh memahami erti mandi di perigi, sedangkan mereka tidak pernah melihat perigi. Mereka hidup dalam zaman moden yang lama kelamaan menghakis semangat nasionalisme bangsa.

Realitinya, golongan muda hari ini mula tidak memahami erti sejarah kerana mereka belajar sejarah semata-mata untuk tujuan peperiksaan. Bagi semua bangsa Malaysia, mereka hanya akan memahami erti kemerdekaan sekiranya mereka menghayati erti keperitan hidup. Tidak salah meniupkan pemikiran serta jiwa merdeka kepada anak-anak bangsa kerana merekalah yang akan menyelamatkan negara daripada sebarang ancaman pada masa akan datang. Kemerdekaan negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah belah.

Dalam suasana kemerdekaan yang sedang disambut hari ini, orang Melayu yang berpecah belah, masih belum dapat ditautkan semula. Ini adalah suasana yang amat malang bagi bangsa Melayu kerana kedudukan mereka sebagai tulang belakang bangsa Malaysia. Bolehkan kita mengatakan bahawa orang Melayu sebagai masyarakat berwawasan sedangkan mereka sendiri terus berpecah belah. Orang Melayu mempunyai sikap prejudis sesama sendiri. Daripada kata-kata, mereka dilihat tidak jujur sesama sendiri hanya disebabkan fahaman politik yang berbeza walaupun seagama. Di depan cakap lain, di belakang cakap lain. Hari ini puji, esok dikeji. Bila mereka bercakap di khalayak ramai orang mula melemparkan kata-kata mereka bercakap lain di mulut, lain pula di hati. Jika orang yang dihormati bercakap berbelit-belit, bagaimana ia boleh menjadi teladan kepada bangsa dan seagama. Inilah dilema orang Melayu hari ini.

Usaha mengisi kemerdekaan, tidak ada hadnya. Ia perlu diteruskan hingga kepada generasi akan datang walaupun ketika itu sejarah negara zaman silam sudah ditinggalkan jauh. Jika sejarah hari ini yang dijadikan sandaran, bermakna bangsa Malaysia hanya melihat kepada pergolakan bangsa Malaysia yang berlaku di depan mata kita hari ini. Itulah sebabnya dalam apa keadaan sekali pun, apabila tiba bulan kemerdekaan nama-nama pemimpin negara bermula daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disebut kerana setiap mereka mempunyai peranan membina bangsa dan negara.

Begitu juga dengan pemimpin hari ini dan mereka yang akan mewarisi pimpinan negara pada masa akan datang, tetap disanjung. Setakat ini, semua pemimpin yang menerajui negara mempunyai jasa kepada negara berasaskan kepada waktu dan ketika pentadbiran mereka. Semua mereka menyambung tugas menyedarkan rakyat supaya memahami erti kemerdekaan. Bagaimana keadaan negara pada 50 tahun akan datang. Dari segi fizikalnya, kita yakin Malaysia akan lengkap serba serbi. Isunya ialah bagaimana pemikiran rakyat Malaysia pada 2057 nanti, apabila negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 tahun nanti.

Setakat ini, sejarah menyaksikan betapa kepemimpinan Umno masih berjaya menerajui perjuangan mencapai kemerdekaan dan mengurus cabaran kemerdekaan. Untuk 50 tahun akan datang, pastinya ia bermula hari ini.

Suara politik
Taminsari

Ahad, Ogos 16, 2009

Resolusi BPN 7 / 2009 : Anwar Pengkhianat Agama, Bangsa dan Negara kita !!






















Resolusi kita ialah :

1. BPN bersepakat mengutuk Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat agama.

2. BPN sedar segala kecaman yang melampau batas terhadap institusi Raja dan agama Islam sejak kebelakangan ini adalah berpunca dari tindakan beliau yang membuka pintu kepada penghinaan tersebut samada nyata atau rahsia.

3. BPN mendesak agar si pengkhianat ini yang terus mengajak ke arah ketidakstabilan dan mengancam keselamatan awam agar ditahan dengan segera atau diusir dari Malaysia jika kita tidak ingin melihat negara kita akan terjerumus ke kancah peperangan saudara atau berlainan etnik agama dan fahaman politik mereka.

4. BPN juga meminta kerajaan turut mengusir sesiapa sahaja yang berkeras ingin menyentuh perkara sensitif seperti Raja dan Agama Islam agar turut diusir keluar dari negara kita tidak kira dari apa jua bangsa atau agama mereka.

5. BPN akan terus berkempen agar rakyat menolak si pengkhianat ini dan juga sesiapa sahaja yang menyokong idealisme perjuangan songsang beliau dari terus diberikan ruang di tanah Malaysia.

6. BPN menyeru rakyat Malaysia membantu usaha menolak tokoh pengkhianat moden ini yang terang terangan telah banyak melanggar undang-undang negara kita dan sibuk mencari idea untuk menjatuhkan pemimpin negara walaupun telah menyebabkan urusan kebajikan rakyat sudah tidak lagi terbela di negeri yang mereka telah diberi kuasa.

Yang benar,

Panglima Perang Cyber,
Ydp Blogger Pembela Negara