Selasa, Ogos 18, 2009

Melayu mesti bangkit bersatu !

SELEPAS kekalahan Umno di lima negeri pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, banyak kenyataan diluahkan pelbagai pihak. Seorang penganalisis politik dalam tulisannya di sebuah akhbar tempatan beberapa hari selepas pilihan raya itu menyatakan orang Melayu sibuk mengumpul pengikut berarak di jalan raya, tetapi orang Cina sibuk mengumpul ahli untuk menguatkan parti.

Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 itu juga, senario politik negara berubah kerana pelbagai pertikaian dilakukan oleh pihak tertentu ke atas orang Melayu, termasuk dari segi bahasa, hak keistimewaan dan status bangsa Melayu di negara ini.

Di Pulau Pinang umpamanya, Gerakan berusaha meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di negeri berkenaan konon untuk memudahkan pelancong, terutama dari luar negara.

Di sekitar kawasan tapak Warisan Dunia di Georgetown juga dicadangkan supaya papan tanda pelbagai bahasa dinaikkan. Berbeza pula dengan tapak warisan itu di Melaka yang tidak cuba dipelbagaikan bahasanya sedangkan di situ juga bukan hanya pelancong tempatan yang akan datang dan mengerumuninya.

Tindakan dan kenyataan berbau politik terus melanda negara, termasuk isu menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB), pendidikan dan sebagainya. Semua ini mencabar kedudukan Melayu dan jika tidak ditangani dengan bijak, kekuatan Melayu akan hilang dan identiti Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit di tanah air sendiri.

Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak lama dulu yang meminta orang Melayu memperkukuh kedudukan adalah sebagai satu peringatan kepada bangsa Melayu agar memperkuat semula kedudukan selepas dirasakan berada dalam keadaan tidak menentu, dicabar dan diperlekehkan dalam pelbagai aspek.

Baginda juga menegaskan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja dan bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi bidang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dulu.

Kemelut politik melanda negara pada masa ini dikaitkan dengan wujudnya tidak sefahaman di kalangan orang Melayu dalam menentukan kedudukan mereka dalam politik. Perebutan kuasa, amalan politik wang dan tiadanya kerjasama di kalangan orang Melayu dalam menjaga maruah bangsa, terutama rakyat akan menjejaskan kestabilan negara kerana wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat atas sesuatu tindakan dan pelaksanaan.

Maka, pemimpin dan orang Melayu sendiri tidak kira atas apa fahaman politik sekalipun mesti duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian supaya kestabilan politik serta ekonomi dapat dibentuk dan dapat dinikmati bersama. Di samping itu, Umno mestilah memainkan peranan dalam memperkasa semula bangsa dan kedudukan Melayu agar tidak mudah dicabar dan diperlekeh. Jentera parti sepatutnya menumpukan ke arah usaha menaikkan semula imej parti, mencari dan menilai kelemahan kemudian memperbaikinya supaya keyakinan rakyat terhadap parti menjadi semakin kuat.

Di pihak rakyat pula, Melayu mestilah bersatu dan memikirkan kaedah terbaik untuk menjayakan semua kempen dan program kerajaan supaya negara dapat terus dibangunkan dan yang pentingnya keluhuran agama dapat dipelihara. Orang tua-tua ada mengatakan, 'lidi sebatang mudah dipatahkan, jika banyak, hendak dilentur pun susah.'

Percakaran dan perbalahan dalam politik yang membawa kepada ketaksuban sehingga di kalangan orang Melayu sendiri memulau bangsa sendiri dan mementingkan pula bangsa lain akan memburukkan keadaan. Kesimpulannya, jika orang kita masih lena dengan 'serangan' halus pihak yang mahu memecahbelahkan kita, maka makin bertambahlah di kalangan orang kita yang terpaksa turun longkang, mengaut sampah untuk menyambung hidup di tanah air sendiri.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Anak Lenggong berkata...

Memang hasrat kita untuk melihat melayu bersatu tetapi punca segala permasalahan ini terlebih dahulu hendaklah dihapuskan..disebabkan sikap beberapa pemimpin melayu yang tamakkan kuasa demi kepentingan politik mereka ..mereka ini sanggup melakukan dan menghalalkan perbagai cara untuk diri mereka...mereka tidak mempedulikan apakan akibat yang bakal ditanggong oleh melayu dimasa hadapan.

Golongan melayu ini sanggup menjual maruah bangsa..agama dan negara bagi membalas dendam kesumat dihati ..mereka cuma binatang bertopengkan manusia..dan yang sedih nya terdapat dikalangan bangsa melayu yang tidak sedar diri terikut-ikut akan permainan manusia-manusia tersebut. walaupun mereka sedar akan kesilapan diri kerena mengikut perjuangan pemimpin tersebut tetapi perasaan ego dan malu pada diri sendiri disebabkan telah terlajak ..mereka sanggup terus tenggelam.

Ingatlah wahai bangsa ku tentang sejarah kejatuhan bangsa melayu dahulu..ianya disebabkan terdapatnya melayu yang sanggup memperhambakan diri dan menjual maruah bangsa untuk kepentingan diri mereka...jangan lah diulangi perkara tersebut..dan jadikan kalian sebagai mangsa kutukan daripada cucu cicit kita dengan meninggalkan negara ini diperintah oleh bangsa asing seperti singapura...

Arif Omar berkata...

inilah kejayaan pengkhianat bangsa dsai dalam membutakan mata hati orang melayu. tetapi melayu masih belum sedar. bangkitlah bangsa ku. sedarlah, kita semua dalam keduddukan tergugat.