Rabu, Ogos 12, 2015

Puncak Alam banjir, 20,000 penduduk terjejas?

Anggota Bomba dan Penyelamat membantu kanak-kanak apabila taska tempat mereka belajar dinaiki air.

PUNCAK ALAM - Hampir 20,000 penduduk Puncak Alam terkandas apabila laluan keluar masuk ditengelami air selepas hujan lebat melanda sejak petang tadi.

Lebih teruk, kawasan perumahan Shah Alam 2 @ Sinar Alam (SA2) ditenggelami air sehingga satu meter menyebabkan 20 kanak-kanak bersama lima guru terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas taska dinaiki air.

Salah sebuah taska yang terletak di Lorong Lautan Samudera itu dinaiki air dan anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat Bestari Jaya membantu memindahkan mangsa selepas menerima panggilan orang awam pada jam 5.25 petang.

Surau At Taufiqiah dijadikan penempatan sementara bagi 50 penduduk yang terjejas dalam musibah banjir manakala kesesakan teruk berlaku di Shah Alam-Puncak Alam, Meru-Puncak Alam dan Alam Perdana Puncak Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 07, Mohd Razib Mohd Talib, 42, berkata, musibah banjir yang melanda kawasan itu paling terburuk berlaku.

“Kedua laluan masuk Puncak Alam ditenggelami air dan hampir 20,000 penduduk terkandas manakala kawasan SA2 dinaiki air sehingga paras satu meter.

“Apa yang kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) buat? Sampaikan banjir teruk di kawasan ini... bukan sekali tapi dah banyak kali banjir tapi ini paling teruk.

“Penduduk mendesak PBT ambil tindakan drastik selesaikan isu banjir memandangkan longkang tersumbat dan melimpah ke jalan,” katanya kepada pemberita.

Kata Mohd Razib lagi, bukan sahaja laluan masuk terjejas tetapi beberapa perumahan turut dinaiki air seperti di SA2, Alam Suria dan laluan alternatif ke Kampung Bukit Hijau.

“Harapkan Pakatan Rakyat (PR) yang ambil alih boleh bantu isu banjir di Meru tapi realitinya masalah ini melarat sehingga ke Puncak Alam sehingga menyusahkan penduduk.

“Saya berharap PBT dan Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Puncak Alam peka dalam masalah ini dan membantu menangani masalah sebelum melarat lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin memaklumkan pihaknya maklum dengan musibah yang berlaku di Puncak Alam bagaimanapun punca banjir masih dalam siasatan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: