Ahad, Ogos 16, 2015

Ancaman Politik Terhadap UMNO?


“UMNO parti keramat, UMNO par­ti harapan orang Me­layu dan UM­NO tonggak pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).” Itulah fakta yang sekian lama melekat di hati orang Melayu dan rakyat negara ini.

Namun senario politik yang semakin berubah dan cabaran yang semakin getir dihadapi oleh parti itu memungkinkan fakta-fakta tersebut semakin luntur dalam kalangan orang Melayu. Pelbagai isu yang berlaku mahu tidak mahu harus diakui semakin melemahkan UMNO.

Awal bulan ini apabila mesyua­rat persidangan UMNO bahagian bermula di seluruh negara, pe­mimpin-pemimpin parti itu tidak mempunyai banyak pilihan, mereka hanya ada satu pilihan iaitu memperkukuh­kan UMNO dalam segenap segi bagi meraih sokongan rakyat jika tidak mahu terhumban ke lembah kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang.

UMNO sudah berusia 68 tahun dan sudah memerintah negara ini bersama-sama rakan dalam komponen BN sejak 58 tahun lalu.

Ketika berbual-bual dengan seorang Ketua UMNO Bahagian baru-baru ini, beliau menyenaraikan 19 perkara yang harus diberikan tumpuan oleh parti itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu.

Penulis tidak perlu menyatakan secara terperinci apakah 19 perkara itu tetapi yang pasti amat berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat setiap hari dan menjadi tumpuan atau keluhan termasuklah soal kos sara hidup, pengangguran dan hak Bumiputera serta orang Melayu.


Ketika ini sudah ada suara-suara yang mempersoalkan apa orang Melayu dapat setelah 58 tahun UMNO menjadi teraju pemerintahan negara? Walaupun hakikatnya, UMNO sememangnya banyak jasa kepada orang Melayu tetapi sekarang sudah semakin dilupakan.

Dalam grup sembang Whats­App yang disertai penulis, sudah ada kelompok yang selama ini menyokong perjuangan UMNO berta­nya, sampai bila orang Melayu perlu terikat dengan kata-kata bahawa hanya UMNO dapat memperjuangkan nasib mereka?

Pandangan seumpama ini tidak harus dibiarkan merebak atau terpahat dalam fikiran orang Melayu. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu sedar bahaya yang menanti dan bukannya terus mengabaikannya de­ngan tanggapan UMNO masih kuat dan orang Melayu tetap bergantung kepada parti berkenaan.

Fahamilah situasi sudah berbeza. Usaha untuk meyakinkan orang Melayu dan rakyat terus menyokong UMNO tidak boleh lagi melalui retorik dan ‘sandiwara politik’, sebaliknya melalui tindakan dan langkah dengan menjadikan kedudukan dalam kerajaan sebagai platform untuk membela nasib orang Melayu.

Agenda Bumiputera dan memperkasakan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi harus menjadi keutamaan. Orang Melayu tidak boleh dilihat sekadar pemerhati apatah lagi penumpang kepada kejayaan kaum lain.

Apa juga yang dirancang oleh kerajaan mestilah mengutamakan orang Melayu dan Bumiputera tanpa meminggirkan kaum lain.

Seperti mana ditegaskan oleh pemimpin Melayu daripada pelbagai bidang sebelum ini UMNO tidak harus apologetik dalam memperkasakan kedudukan orang Melayu kerana kelompok itulah yang menjadi penentu survival politik parti Melayu tersebut.

Pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘sudah terang lagi bersuluh’ apabila masih takut-takut untuk bercakap soal membela nasib orang Melayu kerana bimbang akan menyinggung pihak lain sedangkan selama ini UMNO terus bertahan dan mencapai kejayaan dalam pilihan raya kerana sokongan orang Melayu.

Itulah perkara yang perlu menjadi agenda UMNO sekarang selepas menempuh pelbagai kemelut dalaman dan ketika berada dalam situasi yang dikatakan semakin terhakis sokongan orang Melayu dan rakyat terhadap parti itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO khu­susnya mereka yang berada dalam Kabinet perlu memberi tumpuan penuh kepada usaha berkenaan bukannya sekadar berani mencerca atau mengkritik pe­mimpin-pemimpin yang tidak lagi berada dalam kerajaan.


Kalaulah merasakan diri cukup hebat kerana dilantik sebagai menteri maka laksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, bukannya membuat kenyataan-kenyataan yang hanya akan menyebabkan suasana dalam UMNO menjadi tidak harmoni.

UMNO memerlukan satu pasukan yang kukuh tidak kira mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan atau tidak. Yang akan menentukan hidup mati UMNO bukan sekadar tiga juta ahli parti itu tetapi orang Melayu secara keseluruhan termasuklah pengundi atas pagar.

Jangan biarkan kelompok ber­kenaan berasa muak dengan gelagat dan telatah sesetengah pe­mimpin UMNO yang merasakan dirinya lebih hebat kerana berada dalam kerajaan. Hebat atau tidak, bukan diukur dari segi kepetahan membuat kenyataan semata-mata tetapi bekerja untuk rakyat.

Musuh yang akan dihadapi oleh UMNO bukanlah rakan dalam parti sendiri tetapi pakatan pembangkang. Oleh itu seperti mana digesa oleh pemimpin-pemimpin pelbagai lapisan ketika persidangan UMNO peringkat bahagian di seluruh negara semalam, UMNO perlu merapatkan barisan dan bersatu.

Terlalu banyak isu yang perlu ditangani khususnya melibatkan persepsi rakyat terhadap parti itu. Ini memandangkan UMNO bukannya buntu untuk menyelesaikan masalah tetapi terlalu lemah me­merangi persepsi.

Persepsi wujud kerana ‘kebijaksanaan’ musuh-musuh politik UMNO mengambil kesempatan dan ditambah pula dengan kehadiran penulis blog atau portal berita yang kononnya pro-UMNO tetapi ibarat menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti itu kerana suka menyerang pemimpin UMNO lain atau membuat spekulasi berhubung rombakan sesuatu jawatan.

Itulah cabaran utama UMNO. Pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh leka dalam berhadapan situa­si tersebut kerana ramai yang sudah terpengaruh dengan persepsi berbanding mahu mengetahui fakta sebenar di dalam sesuatu isu.

Tetapi mereka tidak akan berupaya menangani persepsi, kalau ada dalam kalangan mereka sendiri yang menyebabkan persepsi wujud. Oleh itu dalam apa keadaan sekalipun utamakan perjuangan UMNO demi untuk memastikan parti itu terus kukuh dan kuat bagi membolehkan parti tersebut mendapat sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Kesimpulannya, apa yang diharapkan pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami kedudukan mereka kini dan sedar ancaman yang menanti. Jangan terus dibuai mimpi merasakan rakyat khusus­nya orang Melayu tetap bersama parti itu sedangkan realitinya di akar umbi ‘agak mengerikan’.

Oleh itu bergeraklah sebelum terlambat kerana masa berlari terlalu pantas.

Suara Politik
Belantan

4 ulasan:

Mak Bedah berkata...

Penulis blogger atau portal berita kononnya pro-Umno tetapi ibarat menjadi ‘duri dalam daging’ contoh yang sebenarnya ialah :
1. din turtle
2. kluang diomond :)
penulis blog yang tersebut di atas memang selalu bertujuan melemahkan Umno. Adakah K Penerangan Multimedia sedar?

Mak Bedah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Mak Bedah berkata...

Ketiga-tiga faktor iaitu:
1. soal kos sara hidup,
2. pengangguran
3. hak Bumiputera serta orang Melayu
Adalah sangat wajib di kekalkan oleh Umno. Tetapi kos sara hidup adalah masa’alah semua Negara diglobal, bukan sahaja Negara Malaysia. Memang benar DAP,GHB,PKR atau PAS pun tidak akan boleh mencapai visi nombor satu. Dari itu kita mesti realistic.
Fakta yang kedua dan ketiga lebih wajib, kerana hanya UMNO sahaja yang boleh mempertahankan kepentigan warganegara Melayu Malaysia.
Yang bagusnya tentera ATM dan PDRM dan kesatuan semua Sultan-sultan Melayu
bekerjasama mengambil alih pemerintahan dengan cara pemberontakan jika DAP, PKR dan GHB ambil alih pemerintahan mengalahkan BN atau UMNO.

IBU TIJA berkata...

Syukur alhamdulillah saya ucapkan kepada ALLAH karna atas kehendaknya melalui MBAH RAWA GUMPALA saya sekaran sudah bisa buka toko sendiri dan bahkan saya berencana ingin membangun hotel dan itu semua berkat bantuan MBAH RAWA GUMPALA,saya tidak pernah menyanka kalau saya sudah bisa sesukses ini,atas bantuan MBAH RAWA GUMPALA yang telah memberikan nomor selama 3x putaran dan alhamdulillah itu semuanya tembus bahkan beliau juga membantu saya dengan dana ghaib dan itu juga benar benar terbukti,MBAH RAWA GUMPALA juga menawarkan minyak penarik kepada saya dan katanya minyak ini bisa digunakan untuk berbagai jenis keperluan dan baru kali ini saya temukan paranormal yang bisa dipercaya,,bagi teman teman yang ingin dibantu untuk dikasi nomor yang benar benar terbukti tembus atau dana ghaib dan kepengen ingin membeli minyak penarik silahkan hubungi MBAH RAWA GUMPALA di 085316106111 ini benar benar terbukti nyata karna saya sendiri yang sudah membuktikannya. BUKA BLOG MBAH RAWA GUMPALA