Rabu, Julai 08, 2015

Kos pengeluaran tidak efisien buatkan syarikat JVC berpindah ke Thailand?

Pekerja JVC bertepuk tangan sebagai tanda selamat tinggal dan terima kasih kepada kilang itu.

SHAH ALAM - Baru-baru ini viral di media sosial Facebook menyatakan sebuah kilang elektronik terkenal di Shah Alam ditutup. Tinjauan ke kilang tersebut di Seksyen 22 Shah Alam mendapati premis berkenaan lengang.

Hanya kelihatan beberapa pengawal keselamatan, selain pekerja di bahagian pejabat yang masih bertugas sebelum kilang berkenaan ditutup sepenuhnya September depan.

Usaha wartawan menemui pihak pengurusan di kilang itu kelmarin, tidak berjaya kerana difahamkan mereka sedang bermesyuarat.

Bagaimanapun, hasil perbualan telefon wartawan di pondok pengawal bersama salah seorang pegawai dari Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, kami diminta untuk menulis satu surat rasmi bersama soalan yang akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan tertinggi sebelum pihak syarikat memberikan sebarang jawapan.

Sementara itu, hasil temu bual bersama beberapa pekerja dan bekas pekerja yang ditamatkan perkhidmatan, rata-rata mereka menjelaskan berpuas hati dengan layanan syarikat serta tidak kecewa dan berputus asa walaupun khidmat mereka selama puluhan tahun di syarikat berkenaan terpaksa dihentikan.

Difahamkan, kira-kira 300 pekerja dari JVC Shah Alam terlibat dengan penamatan tugas diberikan pampasan sewajarnya dan dimaklumkan mengenai penutupan operasi sejak lebih enam bulan lalu.

Menurut sumber, JVC yang bekerjasama dengan Kenwood Malaysia berpindah sepenuhnya ke Thailand atas beberapa faktor, termasuk disebabkan oleh kos pengeluaran yang tinggi.

Sementara itu, bagi Md Halim Ali, 47, yang telah berkhidmat lebih 11 tahun sebagai pengawal keselamatan di kilang berkenaan, meskipun agak sedih perkhidmatannya di kilang berkenaan bakal tamat, namun kesedihan terubat apabila pihak syarikat bertanggungjawab sepenuhnya dengan menyerap beliau bertugas di sebuah kilang lain di Shah Alam.

Md Halim berkata, pihak syarikat memberikan memo penutupan operasi kilang sejak lebih enam bulan lalu, dan berjanji bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerjanya.

“Sebelum operasi kilang dihentikan sepenuhnya, beberapa syarikat lain dijemput oleh pihak pengurusan untuk mengadakan sesi temuduga bagi mengambil pekerja dari JVC ke kilang baharu berlokasi di sekitar Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.

"Saya sendiri bakal menyambung tugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di sekitar Shah Alam tidak lama lagi,” katanya.

Jelasnya, apa yang dihebahkan di media sosial mengenai penutupan kilang dan nasib pekerja tidak terbela adalah tidak benar sebaliknya mengaggap ia hanya salah faham.

Sentiasa dilayan baik

Sementara itu, bagi Che Atun Abdullah, 44, yang bekerja lebih 24 tahun di kilang berkenaan, beliau menganggap penutupan operasi kilang itu sebagai peluang untuk lebih fokus dalam perniagaan yang sudah diusahakan selama ini.

Menurutnya, sehingga hari ini beliau masih menanti tawaran kerja dari kilang lain, namun jika tiada tawaran, beliau berhasrat meneruskan perniagaan Pisang Goreng Cheese yang telah diusahakan sebelum ini dengan lebih serius.


Menurut Che Atun, suaminya yang juga bekas penyelia di kilang tersebut berhasrat meneruskan perniagaan bagi meneruskan mata pencarian menyara tiga orang anak mereka.

“Apa yang membimbangkan cuma kami masih belum mempunyai tapak perniagaan yang tetap sebaliknya hanya berniaga di gerai tepi jalan. Insya-ALLAH rezeki ada di mana-mana.

"Kami bersyukur kerana syarikat tidak lepas tangan sebaliknya bertanggungjawab sewajarnya kepada para pekerja,” katanya.

Bagi Taiban Ahmad Juri, 53, beliau menganggap pengalaman selama 18 tahun berkhidmat sebagai pegawai keselamatan di kilang tersebut sebagai kenangan manis dalam kerjayanya.

Taiban yang sebelum ini pesara tentera berkata, apa yang diviralkan di media sosial mengenai kesedihan pekerja terpaksa ditamatkan perkhidmatan berbeza situasi sebenar.

“Pihak syarikat sentiasa melayan kami dengan baik. Tiada isu penindasan bahkan kebajikan para pekerja sentiasa diutamakan," katanya.

Menurut Taiban, mereka diberikan pampasan sewajar melebihi kadar ditetapkan tenaga buruh, selain diberikan bonus dua bulan gaji serta bayaran gaji bulanan.

“Kesedihan dan air mata yang dilihat di media sosial adalah air mata gembira dan sebak apabila pekerja berpisah dengan rakan-rakan yang sudah lama dikenali sepanjang bekerja di kilang ini,” katanya.

Permintaan menurun punca berpindah

Sementara itu, berdasarkan salah satu komen bekas pekerja dari bahagian kejuruteraan kilang berkenaan yang dikenali dengan profil Rohana Ramli, menyatakan kilang tersebut berpindah ke Thailand atas faktor permintaan produk yang agak menurun.

“Saya pekerja JVC. Eng Dept 22 tahun berkhidmat. Baru semalam meninggalkan JVC. JVC Malaysia mengeluarkan produk video cam (kamera video). Disebabkan smartphone (telefon pintar) mendominasi pasaran, jadi produk video cam merundum. Pasaran masih ada cuma produk perlu dikecilkan. Transfer (pindah) ke Thailand terbaik.

"JVC Jepun ada membuat RnD (penyelidikan dan pembangunan) tetapi masih gagal menandingi smartphone. Kos tinggi di sini tetapi kami masih positif. (Kami) mendapat pampasan lebih dari Akta Buruh diwartakan.

"Sampai akhirnya, syarikat cuba mencarikan kami pekerjaan. Betapa bertanggungjawab majikan kami,” katanya di Facebook.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: