Jumaat, Julai 10, 2015

Budak Melayu dalam DAP hanya 'pemegang tombak'?


Sekarang ini wujud satu fenomena di mana anak muda Melayu diberi peluang memegang jawatan di peringkat cabang dalam parti Cina DAP. Semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan dulu, DAP mempertaruhkan Dyana Sofia sebagai calon. Walaupun tewas tetapi DAP berjaya membina persepsi bahawa parti itu terbuka kepada semua kaum. Ini berjaya memadamkan imej rasis DAP terhadap orang Melayu dan juga Islam.

Politik adalah persepsi. DAP menangani persepsi umum dengan membuka laluan kepada orang Melayu terutama anak-anak muda yang terpesona dengan janji "demokrasi". DAP telah berjaya dalam perang persepsi tanpa menjejaskan dasar dan ideologi parti ini menolak hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam.

Mereka tahu bahawa banyak anak muda Melayu telah dirasuk demokrasi yang dipergayakan pada era imperialisme media oleh Barat. Demokrasi menjadi kata kunci perjuangan kepada anak muda ini yang tanpa sedar mereka adalah mangsa penjajahan cara baharu. Mereka terpesona dengan perjuangan hak asasi manusia yang juga menjadi produk penting Barat untuk menjajah dunia pada era neokolonialisme.

Maka apabila melihat di negara ini ada tertulis "hak keistimewaan orang Melayu", bagi mereka ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Apabila ada tertulis "Islam sebagai Agama Persekutuan", mereka tanya kenapa menganaktirikan agama lain? Kalau penceramah Islam boleh mempromosikan Islam di media, kenapa agama lain tidak boleh? Ini tidak demokratik, kata mereka.


Kerana menggunakan neraca akal yang dipengaruhi oleh Barat, maka semua yang dilihat tidak kena kepada mereka. Maka DAP yang mempotretkan parti itu melangkaui batas kaum dan agama dilihat sebagai pilihan terbaik memperjuangkan demokrasi. Maka anak-anak muda Melayu ini juga bersetuju menentang undang-undang jenayah Islam kerana dianggap tidak bertamadun dan melanggar hak asasi manusia.

Inilah generasi yang paling malang kerana mereka membesar dalam lingkaran pendemokrasian maklumat dari pelbagai sumber dan sudut pandangan. Banyak etika hidup yang menekankan nilai-nilai agama dan budaya telah dihancurkan oleh gelombang liberalisme dan sekularisme, digantikan dengan kebebasan bersuara dan hak asasi yang mutlak. Kehancuran ini tidak dirasakan kerana sebahagian besar daripada mereka sendiri telah hancur peribadinya.

UMNO dianggap hanya memperjuangkan kepentingan Melayu sementara Pas pula hanya memperjuangkan Islam. Mereka mahukan parti yang memperjuangkan semua kaum dan agama. Dengan kompas idealisme yang herot dan kecetekan pengalaman politik, yang nampak hanya DAP yang berjaya menyembunyikan warnanya yang sebenar.

Kita tidak berminat untuk berkempen supaya mereka menyertai UMNO atau Pas. Malah UMNO atau Pas juga tidak memerlukan budak-budak Melayu seperti ini. Barangkali budak-budak Melayu yang terpelajar dan juga yang tidak cukup diajar menyertai DAP kerana menolak UMNO dan Pas. Kalau mereka memilih DAP kerana menolak UMNO, mereka kena bertanya beberapa perkara kepada diri sendiri apakah lebihnya DAP dan kurangnya UMNO?


Kalau faktor DAP kerana melampaui batas kaum dan agama, yang menonjol dan berkuasa dalam DAP hanya satu kaum sahaja. Beberapa pemimpin Melayu kanan satu demi satu keluar kerana tebalnya cauvinis Cina dalam DAP. Cakap sahaja untuk semua kaum tetapi Cina sahaja yang berkuasa. Maknanya kaum menjadi keutamaan DAP. Cuma budak-budak Melayu ini sahaja yang bengap untuk memahaminya.

Semua yang menyertai parti politik untuk berjuang ke aras perubahan. Untuk membuat perubahan kenalah ada kedudukan, lebih tinggi lebih besarlah pengaruhnya kepada orang bawahan. Kalau sekadar pak turut, lebih baik tidak masuk mana-mana parti politik.

Tetapi kalau sekadar diberi jawatan pemegang tombak dalam DAP kemudian menyerang pula bangsa sendiri, tidak usahlah masuk DAP. Tidak sepadan dengan "dosa" mengkhianati agama dan bangsa sendiri. Kalau bermimpikan jawatan kanan dalam parti samalah menunggu bulan berwarna biru. Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim, Melayu paling kanan dalam DAP pun tidak boleh memutihkan DAP yang sangat hitam politik perkauman. Jadi, kalau setakat menjadi pemegang tombak, faham-faham sajalah. Kalau saya menjadi kamu, saya tidak membiarkan diri dilembukan untuk kepentingan pihak lain.

Pasma ibarat "reject shop"

Apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serpihan Pas merancang untuk menjadi sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum, persoalan yang bermain di fikiran kita apakah yang hendak ditawarkan oleh Pasma? Apakah nilai tambah untuk memungkinkan rakyat memilih Pasma dan bukan Pas atau UMNO?

Adakah Pasma mensasarkan khalayak di luar parti Melayu yang sedia ada iaitu UMNO dan Pas apabila membuka penyertaan kepada semua kaum? Mampukah Pasma memikat khalayak penyokong Cina dari DAP dan MCA atau India dari MIC dan beberapa parti India yang lain?


Banyak yang melihat Pasma tidak keluar daripada lingkungan Melayu, yakni masih mengintai penyokong-penyokong Pas untuk beralih arah kepada parti baharu yang digerakkan oleh tokoh-tokoh tersingkir dalam muktamar yang lalu. Pasma lebih kepada parti reject shop yang mengumpulkan calon-calon yang ditolak oleh perwakilan.

Apabila berdiri sebagai parti politik, Pasma wajar realistik bahawa mereka tidak ada gagasan besar untuk dijual ke pasar politik. Tidak ada idealisme. Yang ada hanya dendam dan kecewa dengan Pas. Maka sekiranya Pasma ditolak sekali lagi jangan menyalahkan pihak lain. Mereka yang tidak menawarkan suatu yang tidak ada pada Pas dan UMNO.

Mungkin kita setuju dengan reaksi Presiden Pas, Hadi Awang bahawa Pasma akan hilang begitu sahaja. Pasma bukanlah Semangat 46 yang pengaruhnya jauh lebih besar, malah mampu memikat beberapa orang menteri bersama-samanya. Cuma yang mengaut keuntungan daripada kelahiran Pasma ialah DAP kerana parti ini "mesra DAP" dalam semua perkara.

Pasma akan menjadi jambatan DAP untuk mendekatkan diri dengan pengundi-pengundi Melayu yang sekarang dimulakan dengan membawa budak-budak Melayu dan diberi jawatan dalam parti. Pasma tidak mendapat apa-apa kerana tidak ada nilai tambah yang boleh menggugat kesetiaan penyokong UMNO atau Pas. Kesimpulannya Pasma akan diingati kerana memecahkan politik Melayu. Itu saja.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: