Nama Pulau Pisang mungkin tidak sepopular Pulau Batu Puteh yang pernah mendapat tumpuan dunia di mana rebutan ke atas pulau itu dibawa sehingga ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) beberapa tahun lalu.
Namun nasib Pulau Pisang dikhuatiri serupa dengan Pulau Batu Puteh yang akhirnya diputuskan jatuh ke tangan Singapura pada 23 Mei 2008.
Walaupun Pulau Pisang ini terletak dalam wilayah Malaysia, namun terdapat sebuah rumah api setinggi 53 meter dibina pada tahun 1914 yang dikendalikan oleh Singapura menerusi perjanjian antara Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim dengan British pada tahun 1900.
Pulau Pisang yang berkeluasan 178.4 hektar dan terletak lima kilometer dari bandar Benut itu sudah tidak berpenghuni lagi namun terdapat dusun-dusun buah-buahan yang masih dijaga dan dikunjungi sekali-sekala oleh pemiliknya.
Di situ juga terdapat sebuah jeti yang dibina untuk kemudahan Pihak Berkuasa Maritim Singapura menguruskan rumah api tersebut.
Bimbang Pulau Pisang dituntut
Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat melahirkan kebimbangannya terhadap nasib pulau itu pada masa akan datang.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan Pulau Pisang akan turut dituntut Singapura seperti republik itu menuntut Pulau Batu Puteh.
"Setakat ini pihak di sana bersangka baik, tidak ada apa-apa tuntutan tapi kita tak tahu pada masa akan datang.
"Saya bimbang dengan adanya resit-resit, rekod gaji pekerja, dokumen penyelenggaraan yang semuanya dibayar oleh Singapura, mereka akan jadikan bukti untuk tuntut pulau itu di mahkamah antarabangsa (ICJ) kerana mereka kata mereka yang jaga rumah api itu.
"Sama juga berlaku dengan Pulau Batu Puteh. Perkara itu boleh berulang," katanya kepada pemberita ketika diminta pandangan dari sudut perundangan terhadap segala kemungkinan yang boleh berlaku terhadap Pulau Pisang yang terletak di Pontian itu.
Beliau juga turut memberi senario mudah yang paling hampir dengan masyarakat umum.
"Apabila rumah kita, setiap tahun orang lain bayarkan bil api, bil air, upah orang datang bersihkan, bayar cukai tanah...lama-lama daripada generasi ke generasi, sudah lupa siapa pemilik asal.
"Pihak yang menjaga hanya menunjukkan bukti bahawa selama berpuluh tahun yang menjaga rumah kita itu adalah pekerja yang dibayar oleh dia, jiran tetangga sekeliling pun tengok bukti betul, akhirnya mereka akan tuntut rumah kita itu.
"Jadi, sama juga. Ini yang mungkin akan berlaku kepada pulau itu," katanya.
Malaysia perlu isytihar Pulau Pisang
Tegasnya, pemerintah wajar mengambil langkah perundangan bagi mengisytiharkan siapa pemilik mutlak pulau tersebut.
Beliau juga menyarankan agar pihak berkuasa mengkaji semula sistem kawalan keselamatan di kawasan perairan tersebut.
"Sudah sampai masanya pihak berkuasa kita kaji semula sistem kawalan keselamatan dan jika perlu, ambil alih sepenuhnya.
"Biarlah kita yang mengawal sepenuhnya kerana saya bimbang pulau itu akan dituntut oleh generasi-generasi selepas ini.
"Sekarang mungkin kita ada kesefahaman tapi akan datang kita tak tahu mungkin apa yang berlaku kepada Pulau Batu Puteh akan berulang," katanya.
Buat pembangunan di Pulau Pisang
Sementara itu, Pemuda Umno Pontian menyarankan agar Pulau Pisang yang terletak di luar perairan daerah itu dibangunkan menjadi salah satu tarikan pelancong di negeri Johor.
Ketuanya, Mohd Helmi Buang berkata, pembangunan itu perlu bagi memastikan hak mutlak ke atas pulau itu dilihat jelas oleh republik Singapura.
“Ada isu berbangkit sebelum ini yang mahukan agar Pulau Pisang itu dibangunkan. Tapi sejak tiga tahun lepas, saya dimaklumkan pulau ini telah menjadi milik kesultanan Johor.
“Tapi rumah api dan jeti masih beroperasi. Ia masih milik Singapura. Pulau itu hak Kesultanan Johor, cuma kita harap pulau itu dibangunkan dan tidak ada lagi pertikaian pulau itu milik siapa,” katanya.
Menurutnya, pulau yang tidak berpenghuni itu menjadi persinggahan nelayan dan kaki pancing sejak dulu lagi.
“Di sana, cuma ada rumah-rumah nelayan singgah dan pemilik-pemilik dusun tapi tiada penghuni. Tapi di situ, masih ada tiga orang askar Singapura yang menjaga rumah api tersebut.
“Contohnya, bangunkan menjadi kawasan peranginan, rumah rehat atau pusat-pusat memancing. Jadi, bila orang datang ke Pontian, ada tempat untuk pelancong melawat dan tinggal beberapa hari. Komersilkan tempat itu,” katanya.
Singapura hanya dibenarkan bina rumah api, jeti
Pada tahun 2008, menurut laporan sebuah akhbar tempatan, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Pulau Pisang itu berada di dalam daftar kerajaan dan ia adalah milik kerajaan negeri Johor.
Jelas Abdul Ghani, keperluan rumah api itu adalah sekadar untuk laluan perkapalan dan syarat itu hendaklah dipatuhi.
“Rumah api berkeluasan 178.4 hektar itu dibina menerusi perjanjian antara (Almarhum) Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dengan kerajaan Inggeris.
“Singapura turut dibenarkan membina jeti serta laluan darat ke rumah api bagi kemudahan warganya,” katanya.
Abdul Ghani menjelaskan, negara jiran itu hanya dibenarkan mendirikan rumah api dan laluan hingga ke jeti yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar.
Berdasarkan perjanjian antara Sultan Johor dan Inggeris, rumah api itu kekal di situ selagi terdapat kapal-kapal menggunakan perairan tersebut.
Difahamkan pulau yang mula diteroka sejak tahun 1806 oleh penduduk sekitar Benut itu pernah didiami kira-kira 500 keluarga Melayu.
Namun, pulau itu sudah lama tidak berpenghuni selepas semuanya berhijrah.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan