Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Sabtu, April 11, 2015
Sultan tidak berkenan slogan ‘Kita Lawan’ Azmin!
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan langkah Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang menggunakan slogan ‘Kita Lawan’ bagi Kontinjen Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016.
Titah baginda, slogan itu telah digunapakai dan diadaptasi oleh sebuah parti politik dan ternyata bertentangan dengan peranan sukan sebagai platform perpaduan.
Baginda turut membuat peringatan supaya badan-badan sukan, atlet dan para penyokong mengetepikan fahaman politik dan tidak membawanya ke dalam pentadbiran sukan.
“Beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa Kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik dalam sukan.
“Beta berpendapat adalah lebih baik Kontinjen Selangor untuk Sukma 2016 mencari slogan lain yang lebih bersemangat dan dapat berbangga mewakili negeri Selangor serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh membawa nama baik kepada para atlet, pasukan dan negeri Selangor yang kita kasihi ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2014 yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari, di sini malam ini.
Sultan Sharafuddin memulakan titahnya malam ini dengan menjelaskan bahawa baginda jarang memberikan titah ucapan di majlis-majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor sebelum ini namun berbuat demikian kerana ingin memberikan amanat dan pesanan demi pembangunan sukan negeri.
Sebelum ini, baginda pernah mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan mahu perjanjian penstrukturan perkhidmatan air di negeri Selangor dimuktamadkan dengan segera.
Dalam titah ucapan itu, baginda turut melahirkan kebimbangan terhadap kemunduran sukan negeri Selangor apabila gagal menyerlah dalam banyak arena termasuk kejohanan Sukma serta kegagalan pasukan bola sepak Selangor menjuarai Piala Malaysia, malah tidak layak sampai ke peringkat akhir.
Sedangkan titah baginda, kerajaan negeri telah banyak menyediakan kemudahan sukan sama ada ‘indoor’ atau ‘outdoor’ di setiap daerah termasuklah kemudahan bagi sukan bola sepak dan badminton yang merupakan sukan popular dalam kalangan rakyat.
“Apa yang membimbangkan beta ialah akhir-akhir ini beta dapati pentadbiran dan pengurusan beberapa kelab dan persatuan sukan di Selangor menghadapi masalah dalaman yang mengakibatkan kegagalan dan kemunduran sukan.
“Negeri Selangor telah mencapai tahap negeri maju, tetapi akhir-akhir ini bidang sukannya telah merosot dan mundur serta tidak mengikuti kemajuan yang dicapai oleh negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, pengurusan kewangan di sesetengah persatuan sukan juga didapati banyak menimbulkan masalah yang serius disebabkan kurang perancangan jangka panjang dan tidak mempunyai peruntukan kewangan yang seimbang.
Titah baginda, keadaan yang negatif itu jika berterusan akan melemahkan semangat para atlet dan pemain yang akhirnya akan menjejaskan prestasi mereka.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan