Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, April 27, 2015
'Langkah Wan Azizah' calon re-cycle PKR di PRK Permatang Pauh?
Selepas Langkah Kajang yang mengunggulkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai 'hero’ penyelamat kemelut politik Selangor pada 2014, kini PKR dan DAP mahu mengusung orang yang sama sebagai Ketua Pembangkang.
Wan Azizah, 63, bagi PKR dan DAP sekali lagi mahu 'diboneka’ sebagai ketua mereka di Parlimen. Setelah Langkah Kajang gagal di Selangor akibat gerakan halus Pas, kemahuan kedua-dua parti ini seperti tidak lagi boleh dihalang.
Mereka mahu mencalonkan Wan Azizah mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Anwar Ibrahim yang terhumban ke penjara gara-gara perbuatan liwatnya. Dan hari ini Wan Azizah diumumkan untuk bertanding di P44.
Sejak kerusi P44 ini diumumkan kosong, Wan Azizah seperti lipas kudung berkejaran di serata Permatang Pauh untuk bersama penduduk. Wan Azizah malah turut kelihatan bersama program kerajaan DAP Pulau Pinang. Begitu sekali DAP mahu mengangkat Wan Azizah. Rasanya tidak sukar untuk menelah apa yang tersirat di sebalik kemahuan DAP itu.
Dulu, Wan Azizah pernah dipersembahkan oleh PKR dan DAP melalui Langkah Kajang selepas nafsu Anwar terganjal akibat perbuatan liwat. Kini, orang yang sama mahu dipersembahkan untuk jawatan Ketua Pembangkang menggantikan Anwar melalui kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Barangkali satu kebetulan kerana menggunakan cara yang sama dan plot cerita yang sama. Di Kajang, Wan Azizah menggantikan Anwar dan di Permatang Pauh ini, sekali lagi beliau menjadi pengganti diri.
Sekali lagi juga, ini tidak lebih merupakan kisah perseteruan politik antara PKR dan DAP dengan Pas. Lagi-lagi, ini semua angkara Anwar. Selama manakah kita boleh bersabar membuang waktu dan tenaga untuk mengurus orang ini dan keluarganya?
Di Kajang tanpa restu Pas, DUN Kajang dikosongkan pada Mac 2014 kononnya demi perjuangan ke Putrajaya dan menghalang cita-cita UMNO. Tetapi apa yang berlaku Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diganti.
Mujurlah Pas dapat mengubah strategi kotor Langkah Kajang. Orang nombor dua PKR, Azmin Ali akhirnya yang dipilih menjadi Menteri Besar. Wan Azizah pula dibiarkan terkebil-kebil mengurus DUN Kajang.
Begitu juga di Permatang Pauh, kehadiran Pas seperti tiada nilainya. PKR dan DAP seperti sengaja tidak mengendahkan mesej Pas yang menolak keluarga Anwar dinobatkan sebagai pemimpin utama.
Wan Azizah terang-terang ditolak oleh Pas untuk menjadi Menteri Besar. Tidak faham-fahamkah mereka?
Atau ini mungkin strategi PKR dan DAP sebagai signal bahawa pendirian Pas kini tidak lagi penting dalam gerakan pakatan pembangkang? ‘Pedulikan Pas’ barangkali sesuai untuk dijadikan slogan baharu mereka.
Realitinya Pas menurut tafsiran mereka tidak akan berada dalam kedudukan sekarang tanpa sokongan PKR dan DAP. Pas hanya mampu menjadi jaguh di Kelantan. Barangkali benarlah analisis pemimpin DAP bahawa Pas yang akan rugi jika meninggalkan pakatan. Inilah yang mahu DAP dan PKR buktikan.
Mereka pun sudah mendapat pengganti. Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), pertubuhan bukan kerajaan serpihan Pas sudah dipersiapkan menggantikan ketiadaan Pas kelak.
Bagaimanapun Pas belum membuat pendirian rasmi tentang calon P44. Setakat ini bantahan Pas hanya dibuat secara senyap-senyap. Pas masih mahu berbudi bahasa dan menjaga adab berkawan.
Seperti yang berlaku di DUN Kajang, Wan Azizah mempunyai peluang untuk menang di Permatang Pauh. Berdasarkan rekod, Parlimen ini adalah kubu Anwar. Sejak 1982, sama ada masih bersama BN atau PKR, kawasan ini umpama milik mutlak Anwar dan isterinya.
Ini merupakan kali kedua selepas 26 Ogos 2008, pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh yang mempunyai 70,760 pengundi itu. Apa yang berlaku di Permatang Pauh ini bahkan tidak pernah terjadi dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Pada 2008, Wan Azizah meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada suaminya itu. Kali ini, pilihan raya diadakan berikutan usaha terakhir Anwar memohon pengampunan diraja ditolak.
Biarpun adegan berulang tetapi orang Permatang Pauh selama ini tidak jelak untuk terus memilih orang yang sama. Sejak 1982, orang yang sama itulah silih berganti bertakhta di mata majoriti pengundi di situ.
Entah apa keramatnya. Entah apa manfaatnya tetapi realitinya Permatang Pauh tak ubah seperti milik keluarga ini. Setelah 33 tahun berlalu iaitu sejak 1982, mampukah Anwar dan Wan Azizah mempertahankan rekod aneh ini?
Kali ini, pada 7 Mei ini, senario berbeza berbanding pada pilihan raya umum 2013 mahupun pilihan raya kecil 2008. Pada pilihan raya kecil 2008, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi.
Pada pilihan raya umum 2013 pula, Anwar mempertahankan kedudukannya dengan majoriti menurun iaitu 11,721 undi sahaja. Walaupun dari segi data sejak 1982, undi yang diperoleh Anwar dan Wan Azizah sentiasa turun naik tetapi data itu wajar membuatkan jentera pilihan raya pakatan pembangkang resah.
Atas kertas, Wan Azizah ada kelebihan untuk mempertahankan kerusi P44 walaupun tanpa sokongan penuh Pas. Berulanglah drama Langkah Kajang dan kita pula, untuk kesekian kalinya akan terus dihidangkan dengan cerita politik yang sama.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan