Khamis, April 23, 2015

Azmin tolak kenyataan Abdul Hadi mengenai Hudud?



SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin PR tidak menyokong hudud kerana lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya berbanding keselamatan dan keamanan negara.

Mohamed Azmin berkata, dasar bersama PR dalam hal ehwal keselamatan adalah jelas dengan memberi tumpuan penuh terhadap isu lebih besar yang dihadapi rakyat negara ini sekarang.

"Pemerkasaan ekonomi, kebajikan dan sistem pendidikan adalah isu keselamatan sebenar rakyat Malaysia sekarang dan dasar bersama PR berhubung perkara ini adalah jelas," kata Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam forum 'Bicara Minda Hudud dari Kaca Mata Hadi' bertempat di Kompleks Media Karangkraf di sini semalam, Abdul Hadi berkata, terdapat pemimpin dalam pakatan pembangkang yang menolak pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud kerana mementingkan kemenangan dalam pilihan raya serta takut akan kehilangan undi khususnya dalam kalangan pengundi bukan beragama Islam.

Kata Presiden Pas itu lagi tidak seperti parti komponen PR yang lain, matlamat Pas adalah mahukan negara yang selamat, kerana perjuangan Pas bukanlah perjuangan politik dan perjuangan pilihan raya tetapi untuk rakyat sepanjang masa.

Dalam forum itu juga, Abdul Hadi memberi jaminan masyarakat di negara ini akan hidup aman sekiranya hudud dilaksanakan.

Suara politik
Belantan

Tiada ulasan: