Rabu, April 01, 2015

Hudud Pas : Kenapa nak salahkan UMNO?


Memualkan apabila membaca kenyataan sesetengah pemimpin Pas khususnya daripada golo­ngan Anwarinas yang mengaitkan perbalahan politik antara parti itu dan DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud mempunyai kaitan dengan UMNO.

Masalah yang berlaku sekarang ialah penentangan keras DAP yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap usaha Pas untuk membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan Akta Mahkamah Syariah 1965 dipinda untuk diselaraskan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan.

UMNO tidak pernah menghalang hasrat Pas untuk berbuat demikian ia dibuktikan di peringkat DUN Kelantan. Wakil rakyat UMNO memberi sokongan sebulat suara kepada enakmen tersebut manakala di peringkat pusat, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.

Puak yang menghalang dan menentang hasrat Pas bukannya UMNO tetapi kawan baik Pas iaitu DAP. Pemimpin yang menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan pelbagai tuduhan adalah pemimpin DAP bukan pemimpin UMNO.

Yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi bukan UMNO tetapi DAP. Yang bersekongkol dengan DAP menghalang usaha Pas me­laksanakan hukum hudud bukan UMNO tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Oleh itu kenapakah ada segelintir pemimpin Pas menuding jari kepada UMNO apabila Pas bertelagah dengan DAP? Kenapa mahu mendesak pucuk pimpinan UMNO menyatakan pendirian parti itu terhadap hukum hudud sedangkan kepemimpinan Pas sendiri kecut perut untuk mendesak DAP supaya memahami perjuangan Islam Pas?

Kalaupun hendak mengalih isu berikutan perbalahan antara Pas dan DAP, gunakanlah hujah-hujah yang lebih bernas, jangan membuat kenyataan sedap mulut sahaja kerana rakyat bukannya boleh diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya.

Mereka tahu parti yang dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dalam pakatan pembangkang ialah Pas, mereka memahami parti yang maruahnya terus diinjak-injak dalam kerjasama tersebut ialah Pas dan mereka juga mengerti parti yang sanggup menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata mahu menjaga hati PKR dan DAP ialah Pas.

UMNO tidak ada kaitan dengan pakatan pembangkang. UMNO tidak mempunyai hubu­ngan apabila DAP dan PKR mahu menjalani kerjasama dengan Pas walaupun mereka tahu antara ketiga-tiga parti mempunyai perbezaan ideologi perjuangan yang berbeza, oleh itu apa hal pula UMNO disalahkan apabila mereka berbalah?

Para pemimpin Pas perlu belajar menerima hakikat dan bercakap atas nama kebenaran untuk mengakui bahawa kerjasama dalam pakatan pembangkang selama ini hanya retorik dan hipokrasi kelas tertinggi yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga parti terlibat.

Isu hukum hudud yang berlaku menjadi bukti, justeru hentikan ‘kerja-kerja bodoh’ dengan menyalahkan UMNO dalam apa juga masalah yang menimpa pakatan pembangkang!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: