Isnin, Disember 16, 2013

Hakikatnya rakyat terpaksa akui Selangor bukan 'the best'?


Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang menempatkan Pejabat Menteri Besar dan Dewan Undangan Negeri menjadi kebanggaan anak negeri. Dari kejauhan bangunan di Bukit SUK di Seksyen 5 Shah Alam itu kelihatan tersergam gagah.

Tetapi apabila dilihat dari dekat, bangunan yang baru berusia 28 tahun ini seperti tidak diendahkan. Rumput-rumput meliar di kawasan parkir, batu-bata pecah berselerakan dan lopak digenangi air di sana sini menjadikan persekitaran bangunan ini tak sedap mata memandang.

Sayang, Selangor negeri maju tetapi masih gagal menunjukkan kualiti warga kelas pertama. Di bangunan ini seperti tiada siapa yang peduli soal kenyamanan dan keselesaan. Mereka mewarisi bangunan dan kemudahan yang gah, tetapi lagi-lagi gagal membuat penyelenggaraan dengan baik.

Jika di rumah sendiri, di halaman sendiri tiada budaya senggara apatah lagi di tempat lain yang jauh dari pandangan Menteri Besar dan jajaran Exconya. Jika Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz boleh dijadikan kiasan, begitulah keadaan Selangor secara keseluruhannya.


Cubalah perhatikan kuarters-kuarters kerajaan negeri, semakin banyak yang terbiar. Tarikan pelancongan dengan mengambil contoh paling dekat iaitu kelip-kelip di Kampung Kuantan seperti tinggal nama sahaja. Sudah semakin sukar melihat kelip-kelip menerangi pokok berembang di tepian sungai akibat pembangunan tidak terkawal.

Cubalah juga tinjau kawasan Pelabuhan Klang, DUN yang dekat di hati Menteri Besar. Tiada yang `wow’ di kawasan ini, semuanya biasa-biasa sahaja malah persekitarannya kurang bersahabat.

Orang ingatkan dengan pentadbiran baharu yang pemimpinnya selalu memuja-muja slogan merakyatkan ekonomi Selangor, negeri ini akan menjadi tempat yang serba selesa untuk dihuni. Orang ingatkan dengan pemimpin serba baharu dan muda, corak pentadbiran akan lebih cekap, cepat dan inovatif.

Rupa-rupanya politik baharu tidak membawa banyak perubahan positif terhadap keselesaan hidup rakyat, malah banyak yang mengundur ke belakang. Jalan berlubang dan berlopak, rumput liar dan sampah sarap menjadi pandangan dan rungutan yang lazim.


Orang selalu bercakap hal itu tetapi kerajaan negeri buat-buat tak kisah. Sekurang-kurangnya jika pun tidak membina sesuatu yang ikonik, selenggaralah dengan baik apa yang ada. Itupun sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi.

Tetapi ada yang dibanggakan oleh kerajaan negeri? Menteri Besar dan Exco bangga dengan gaji baharu. Inilah cara mereka merakyatkan ekonomi Selangor. Barangkali kenaikan gaji sehingga 300 peratus itu akan menjadi satu-satunya `ikonik’ yang pernah dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang.

Nantinya, generasi akan datang bakal mengenang kerajaan negeri ini sebagai berani. Berani mengambil keputusan menaikkan gaji sendiri!

Berpolemik

Tapi malangnya dalam hal ini mereka pun nak berpolitik. Keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco sebelum diluluskan dalam DUN dibantah oleh rakan-rakan sekutunya sendiri. Berminggu-minggu mereke berpolemik soal gaji ini. Memang satu mesej yang mengelirukan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat ekonomi negeri dan Azmin Ali yang mengetuai pasukan penyokong kerajaan beria-ia mengkritik langkah Khalid itu. Apakah gerangan sandiwara yang mereka cuba mainkan? Mungkin strategis PKR berharapkan Khalid akhirnya akan akur dengan teguran Anwar supaya nanti kedua-dua belah pihak terlihat mengamalkan prinsip semak dan imbang.


Alih-alih kerana `gertakan’ itu, Khalid yang selalu menunjukkan imej sibuk dengan kerja sehingga rambut pun dibiarkan berserabut menunjukkan sikap tegas beliau. Walaupun mendapat asakan demi asakan, Khalid tetap bertegas mempertahankan kenaikan gaji tersebut.

Yang membuatkan sekutu Khalid ternganga ialah apabila beliau menggunakan kayu ukur Sarawak. Kepimpinan negeri bumi kenyalang itu dihentam kanan, kiri, depan dan belakang oleh pakatan pembangkang dijadikan rujukan oleh Menteri Besar ini.

Dalam menghentam, rupa-rupanya mereka mengakui kehebatan Sarawak. Dalam mempengaruhi rakyat supaya memberontak kerana kos hidup semakin tinggi termasuk memutarbelitkan fakta, mereka memperakui pentingnya gaji sendiri dinaikkan.

Gaji ahli politik di negeri besar itu, kata Khalid, masih lebih tinggi. Khalid malah mengakui Selangor masih bukan the best. Memang, dalam banyak segi Selangor bukan the best walaupun negeri ini sepatutnya mendahului negeri lain.

Dalam hal kecil seperti kebersihan sehingga hal kompleks seperti pelaburan, negeri ini tidak menunjukkan perkembangan positif. Hal ini menyebabkan rakyat berasa semakin tidak selesa walaupun Menteri Besarnya berbangga kerajaan negeri mempunyai rizab tunai lebih RM3 bilion.

Dengan kenaikan gaji setinggi itu, kerajaan negeri sepatutnya menyusulinya dengan KPI tertentu kepada setiap Exco beliau. Tiada ertinya kepada rakyat jika gaji naik menjulang tetapi tahap kerja masih di takuk lama.


Hal yang demikian kerana setiap kenaikan upah semestinya disusuli dengan peningkatan tahap perkhidmatan. Ataupun mungkin kerajaan negeri berasakan tahap perkhidmatan mereka sudah the best, maka sebab itu gaji mesti dinaikkan. Rasanya faktor ini yang merasuk kepimpinan kerajaan negeri sehingga sanggup menaikkan gaji sendiri.

Bayangkan kenaikannya begitu mendadak. Gaji Menteri Besar daripada RM14,175.15 kepada RM29,500; Exco RM6,109.29 kepada RM20,250; Speaker DUN RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker RM6,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN RM6,000 kepada RM11,250.

Dengan gaji sebanyak itu mulai Januari depan, kerajaan negeri seharusnya dilihat dan kelihatan berusaha untuk menjadi the best. Kerajaan dibentuk semata-mata untuk melayani rakyat. Mereka semestinya selalu menampilkan diri sebagai pelayan bagi rakyat, tak peduli seberapa besar jumlah dan beragamnya kepentingan mereka.

Semua ini boleh berlaku jika mentaliti kerajaan negeri mahu menjadi the best dalam semua hal, bukan sekadar berbangga dengan slogan dan angka. Soalnya mampukah mereka?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: