Sabtu, Julai 09, 2011

BERSIH 2.0 berselindung di sebalik 9 Julai?

Sama ada perhimpunan haram BERSIH 2 menjadi kenyataan atau pun tidak hari ini, ada pihak yang sudah pasti merasa puas dan tersenyum simpul kerana matlamat tersembunyi mereka sedikit sebanyak telah tercapai.

Adalah meragukan sekali tujuan sebenar perhimpunan ini ialah untuk menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kononnya di atas ketidaktelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya di negara ini. Antara yang tersirat dan tersurat di hati pihak penganjur adalah jauh berbeza.

Jika dahulu setiap perhimpunan haram yang dirangka hanya popular di dalam blog pembangkang dan di tempat-tempat strategik melalui pemasangan kain rentang atau poster-poster di tembok-tembok. Namun, kini publisiti melampau diberikan kepada penganjuran kali ini sehinggakan seluruh negara menantikannya dengan penuh minat. Pihak penganjur hanya tersenyum puas tanpa perlu keluar belanja yang besar kecuali mencetak kemeja-T berwarna kuning.

Pastilah yang paling lebar senyumnya ialah Timbalan Presiden Pas serta Ketua Umum PKR. Walaupun mereka turut mengakui bahawa respons negatif terhadap penganjuran ini daripada kelompok masyarakat yang lebih besar, namun sekurang-kurangnya tumpuan berlebihan kepada isu ini telah berjaya memberhentikan seketika isu sebenar yang pembangkang hadapi.

Bukti kepada publisiti berlebihan ini termasuklah fokus yang diberikan oleh media massa arus perdana sama ada media cetak, elektronik dan juga media siber seperti Internet dan blog.

Tidak cukup dengan pendedahan tersebut, mereka juga popular dengan bantuan laporan polis yang melebihi 3,000 di seluruh negara sehinggakan semua pihak berminat membicarakan isu perhimpunan BERSIH 2 ini.

Tidak pernah masyarakat desa mengenali siapa dia S. Ambiga, bekas Presiden Majlis Guaman tersebut. Namun dengan adanya laporan polis yang bertali arus serta sepanduk-sepanduk serta penyebaran kemeja-T berwarna kuning, nama beliau secara mendadak mewarnai dunia politik negara.

Senyap seketika isu negara berkebajikan Pas. Senyap sebentar isu video klip pemimpin pembangkang. Sepi sedikit fokus tentang keputusan kes liwat di mahkamah pada minggu depan. Reda sedikit isu kekalahan golongan ulama dalam pemilihan barisan kepimpinan Pas. Hilang sebentar segala isu kepincangan pentadbiran pakatan pembangkang di beberapa negeri yang mereka perintah.

Pihak SPR telah mengendalikan 12 Pilihan Raya Umum (PRU) dan sejak itu sistem yang digunapakai sentiasa diperbaiki dari masa ke masa. Pihak pembangkang setelah setiap kali pilihan raya berakhir pastilah akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pihak SPR kerana itu merupakan antara alasan mudah kenapa rakyat menolak mereka.

Gambaran yang ingin dibentuk di pemikiran rakyat ialah bukan rakyat menolak mereka, sebaliknya mereka tewas disebabkan oleh penipuan pihak SPR yang kononnya menyebelahi pihak kerajaan. Benarkah begitu?

Jika benar SPR menyebelahi kerajaan, kenapa Pas boleh menang selama 22 tahun di Kelantan? Jika benar SPR jadi alat kerajaan, kenapa calon Pas dalam PRU-11 yang hanya menang dengan satu undi pun kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan, sedangkan mudah sangat pegawai SPR nak memusingkan keputusan tersebut. Mereka hanya perlu menelan dua helai kertas undi ke dalam perut mereka, maka keputusan akan berubah.

Jika SPR selamanya menyebelahi kerajaan, maka sudah tentu ketika Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN, kerajaannya mudah ditumbangkan dengan pelbagai cara. Namun semua itu tidak terjadi kerana SPR sememangnya sebuah badan bebas yang turut diiktiraf oleh seluruh dunia.

Di negara lain keputusan undi dan pemenang pada setiap kali pilihan raya hanya dapat diketahui berhari-hari, berminggu-minggu, malah ada yang berbulan-bulan, selepas habis waktu mengundi. Di negara ini paling lewat jam 3 pagi, rakyat sudah tahu siapa yang membentuk kerajaan. Sungguh hebat SPR walaupun mengendalikan lebih 13 juta pemilih.

Ada sebuah parti yang hebat di negara ini. Mengendalikan tak sampai 2,000 kertas undi, sesak nafas dan pemenang Timbalan Presiden gagal diisytiharkan walaupun berjam-jam setelah tamat masa mengundi. Itulah kehebatan Pas selama ini.

Kelemahan SPR seperti di negara-negara lain juga berlaku dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. SPR sentiasa mendengar maklum balas dan responsif terhadapnya. Lalu apa perlunya demonstrasi jalanan untuk mengajar SPR supaya berubah. Tidak cukupkah wakil pembangkang yang begitu ramai di Parlimen untuk membincangkan isu penting tersebut di sana.

Hari ini penganjur perhimpunan bukan sahaja mahu meneruskan agenda mereka, tetapi juga mereka sudah kelihatan bongkak, angkuh, besar kepala dan tidak mahu mendengar nasihat.

Bagi mereka segala kekalutan yang bakal terjadi kelak akibat perhimpunan tersebut akan diletakkan ke atas bahu pihak pemerintah dan mereka akan bersikap baling batu sembunyi tangan. Cara itu akan memudahkan mereka mencapai matlamat iaitu membuatkan orang ramai membenci pihak kerajaan.

Jika pun perhimpunan kali ini gagal, mereka akan meneruskan agenda dengan menguar-uarkan pula perhimpunan pada 9 Ogos, 9 September, 9 Oktober dan seterusnya. Mereka tidak akan berhenti sehingga PRU-13 kerana ini satu cara untuk rakyat melupakan segala kepincangan mereka dalam mentadbir negeri-negeri tertentu. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: