Selasa, April 12, 2011

6 Mei pengurusan kes Syabas saman kerajaan Selangor!






















Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Mei ini untuk pengurusan kes saman RM471.64 juta yang difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung kadar tarif air.

Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer menetapkan tarikh itu di dalam kamar apabila kes itu disebut hari ini.

Pada 10 November lepas, Syabas memfailkan saman pemula menuntut satu deklarasi bahawa berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Disember 2004, Selangor telah berhutang dengannya sebanyak RM471,642,916 bagi tempoh 1 Jan 2009 hingga 31 Disember 2009.

Syabas mendakwa menerusi perjanjian itu, yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia, kerajaan Selangor dan syarikat tersebut, ia telah diberikan konsesi selama 30 tahun untuk membeli air terawat daripada operator rawatan air dan membekalkannya ke kawasan pengagihan menurut terma yang tertera dalam perjanjian berkenaan.

Melalui surat bertarikh 31 Mac 2008, Syabas telah menghantar dokumen penyemakan kepada defendan bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada, iaitu RM1.39/m3 kepada tarif dipersetujui iaitu RM1.89/m3, bagi tempoh operasi ketiga mulai 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2011.

Namun defendan telah gagal memaklumkan plaintif sama ada defendan bersetuju menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada kepada tarif yang dipersetujui atau sebaliknya.

Syabas menyatakan, walaupun tarif dipersetujui telah ditentukan mengikut peruntukan perjanjian konsesi tersebut namun defendan tidak menerbitkannya dalam warta sebelum permulaan tempoh operasi ketiga.

Sehubungan itu, plaintif berpendapat syarikat itu berhak mendapat pampasan daripada defendan kerana pewartaan tarif dipersetujui sebagai tarif diwartakan telah ditangguhkan.

Bagi tujuan tersebut, menurut plaintif, pihaknya telah menghantar surat kepada defendan namun gagal mendapatkan sebarang maklum balas yang memuaskan.

Melalui surat bertarikh 23 September tahun lalu, Syabas mendakwa, pihaknya telah menuntut supaya defendan membayar tunggakan tersebut namun balasan yang diterima menunjukkan kerajaan negeri gagal, enggan atau mengabaikan perkara berkenaan.

Sementara itu, afidavit balasan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ketika itu, Datuk Ramli Mahmud menyatakan, menerusi pelbagai perbincangan yang diadakan, Kerajaan Negeri Selangor telah secara jelas memaklumkan kepada Syabas mengenai bantahan kenaikan tarif semasa yang diwartakan.

Menurutnya, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB) dan Kumpulan Perangsang (KPS) melalui pengarah-pengarahnya yang mewakili kerajaan negeri tersebut sebagai pemegang 30 peratus kepentingan dalam Syabas telah berulang kali menyatakan keengganan Kerajaan Negeri Selangor untuk menuruti permintaan Syabas.

Ramli mendakwa, berdasarkan pemerhatian beliau semasa mesyuarat Lembaga Pengarah Syabas ke-36 pada 23 Februari tahun lalu, Syabas telah memahami pendirian kerajaan negeri dalam hal itu dan syarikat tersebut tidak boleh mengatakan sebaliknya.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Unknown berkata...

SALAM, KHALID GAGAP SELAMA NI BAGI RAKYAT MINUM AIR HARAM, HUTANG TAK BAYAR.

matpanah berkata...

Salam bro,

Keluar topik sikit takpe ke?

Tolong tengok-tengok sama stadium, bukit dan taman Melawati (sebahagian masuk selangor kan?). Takut diaorang tukar Melawati kepada 'Meliwati'. Haru bro....

Pasai air...kat Kedah lagi best bro. Bil dah tak boleh bayar kat pej pos dah...

Tu la antara sumbangan kerajaan pakatan merapu tu kepada rakyat. Kedah Sejahtera, Rakyat Sengsara!