Isnin, Disember 06, 2010

MB Selangor berdegil dan mungkir janji!

Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman (kanan) untuk diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Selangor dari syarikat konsesi di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Mungkin disebabkan gagal menyerahkan memorandum berhubung isu pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Selangor mendahului GAPS, membuatkan MB Khalid memungkiri janjinya terhadap pihak polis! Sebelum itu, GAPS dengan 500 orang yang bersamanya berhasil mendahului kumpulan MB Khalid menyerah Memorandum Bantahan 30 Penyelewengan Kerajaan Selangor ke Istana Negara. Turut dibantah, isu Ketuanan Melayu yang dimainkan PKR baru-baru ini. Mereka berkumpul di Stadium Merdeka sebelum pengerusi dan 8 wakil GAPS menyerahkan memorandum kira-kira jam 1.00 petang.

Pun begitu, Khalid Ibrahim dan para pengikut beliau sempat bergelak ketawa sesama mereka selepas dibenarkan menyerahkan memorandum mereka jam 2.10 petang. Harakah mengatakan jumlah yang hadir bersama Khalid adalah lebih 15,000 orang, tetapi hakikatnya hanya 2,000 lebih sahaja! Kehadiran mereka bukan sahaja mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di Kuala Lumpur malah jelas ianya menganggu ketenteraman awam. Yang menjadi mangsa sebenar adalah rakyat biasa yang terperangkap didalam kesesakan tersebut.

Segala-galanya bermula akibat kedegilan MB Khalid mungkiri janji apabila membiarkan penyokong-penyokongnya berhimpun dan berarak ke Istana Negara bagi membantah kenaikan 37 peratus tarif air Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah yang kecewa dengan perkara itu berkata, perhimpunan dan perarakan itu tidak sewajarnya berlaku selepas satu persetujuan dicapai bahawa polis akan mengiringi Abdul Khalid untuk menyerahkan memorandum bantahan kenaikan itu kepada Istana Negara.

Katanya, persetujuan itu dicapai ketika pihaknya menghubungi Menteri Besar Selangor kira-kira pukul 10.20 pagi ini.

“Pihak polis sudah maklumkan tidak akan membenarkan perhimpunan dan perarakan ke Istana Negara kerana boleh menjejaskan ketenteraman awam. Kami boleh membantu mengiringi penganjur iaitu Abdul Khalid untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

“Abdul Khalid bersetuju dengan saranan dan nasihat polis, bagaimanapun selepas beliau selesai solat zuhur di Masjid Negara serta mengadakan sidang akhbar, penyokong-penyokongnya tetap tidak bersurai malah berarak ke Istana Negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli menganggap Abdul Khalid telah mungkir janji kerana membiarkan kumpulan penyokong itu berhimpun sejak pukul 11.30 pagi di Masjid Negara.

Beliau berkata, pihaknya telah menunaikan janji terhadap Menteri Besar Selangor itu apabila mengiringi beliau ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut tetapi tindakan Abdul Khalid yang mungkir janji amat dikesali. Jelasnya, sebilangan daripada ahli kumpulan yang berarak itu cuba menghalang tugas polis dengan membaling batu ketika arahan bersurai dikeluarkan.

“Oleh itu kita terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan semburan air bagi menghalang mereka daripada terus berarak,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan kumpulan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang berhimpun di Stadium Merdeka pukul 11 pagi ini kerana mematuhi arahan dan nasihat polis.

Katanya, kesemua ahli GAPS bersurai secara aman sebaik sahaja wakil kumpulan itu diiringi pihak polis ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mengenai 30 penyelewengan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sejak mentadbir negeri itu.

Sementara itu Abdul Khalid ketika ditemui di luar Istana Negara memberitahu, pihaknya berjaya mengumpul 250,000 tandatangan rakyat dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor berhubung kenaikan tarif air di Selangor. Kesemua tandatangan itu katanya, dikemukakan bersama memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah menerima surat tawaran daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air semalam berhubung penyusunan semula konsesi air Selangor.

Dalam kenyataan Khalid sebelum ini menyebut yang kerajaan negeri Selangor bersetuju menaikkan tarif air, tapi tak lebih 15 peratus! “Jika harga (air) sekarang 57 sen, had kenaikan saya ialah 15 peratus,” kata Khalid pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor November lalu.

Mengikut perjanjian penswastaan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Syabas yang dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 2005, tarif air dijangka akan naik sebanyak 37% pada 2009, 25% pada 2012, 20% pada 2015, 10% pada 2018 dan 5% pada 2021. Dijangkakan selepas 2021 tiada lagi kenaikan berikutan kos pembinaan dan penggantian infrastruktur seperti paip dan loji air tiada lagi.

Kenaikan Tarif Air seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan negeri hanyalah satu mainan politik kerana sebarang kenaikan tarif air perlu dipersetujui oleh Panel Penentuan Tarif Air yang membabitkan wakil Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Syabas. Justeru walau apa tuntutan dan dakwaan Syabas, tidak mungkin akan berlaku kenaikan tarif sebelum ia diluluskan oleh Panel ini.

Yang menjadi persoalan sekarang adalah mengapa perlu berdemontrasi dan menghantar memorandum ke Istana Negara? Jelas ia hanyalah agenda politik Pakatan yang sekarang ini terdesak dengan konflik dalaman dan mahu mengalih fokus umum daripada masalah dalaman parti dan pimpinan mereka.

Persoalan yang sepatutnya rakyat tanya ialah benarkah Kerajaan Negeri ada kemampuan kewangan untuk mengambil alih semua syarikat dalam industri air ini? Dan persoalan lebih penting ialah apakah kerajaan negeri boleh memberi jaminan ia mampu melakukan proses penggantian paip lama, merawat air dan menyediakan perkhidmatan yang efisyen tanpa sebarang kenaikan tarif?

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

abu zar berkata...

MB lain, seingat aku, selalu komplain sibuk tak cukup masa untuk rakyat, tak cukup masa untuk keluarga, banyak sangat kerja.

MB Selangor?? Sempat lagi berdemo....apa nak jadi ni. Malunya aku.....

anti bohmau berkata...

nak tanya, apa hukum orang yg berjanji tapi mungkir?

kalau dia orang biasa mungkin boleh dimaafkan. mungkin tidak pandai atau miskin atau tidak berkeupayaan dari segi fizikal.

tapi ni menteri besar!!!!!