Artikel oleh Lim Ching Long dalam ruangan Yuan Lun di muka surat A12, akhbar Nanyang Siang Pao, 13 Oktober 2010 ini menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MCA yang lalu.
AGM kali ini mengutarakan suara hati orang ramai. Jadi, Jawatankuasa Pusat tidak boleh pandang ringan. Oleh kerana ia mencerminkan suara orang ramai, maka ia bersabit dengan kepentingan dan keuntungan orang ramai serta isu-isu penting yang berlaku dalam masyarakat yang perlu MCA hadapi.
Tetapi menyedihkan, perhimpunan AGM pada 10 Oktober lalu menyaksikan dalam semua usul yang dibangkitkan, ia umpama menukar botol baru tetapi isinya tetap lama.
Sebagai parti kedua terbesar di negara ini, MCA tidak sepatutnya kemukakan usul yang begitu umum, kurang isi dan tidak mantap. Ia seperti mengemukakan usul untuk pandangan individu. MCA juga tidak sepatutnya mengusulkan cadangan dan sesuatu tajuk yang tidak jelas, contohnya isu-isu yang menyerang orang lain.
Sepatutnya, MCA mengemukakan usul yang boleh dilaksanakan. Jika semua usul hanya dapat tepukan dan sorakan penyokong, ia bukanlah satu keadaan yang tepat dan baik, seperti ikut arus tiupan angin. Perhimpunan AGM sepatutnya bersungguh-sungguh mengusulkan isu-isu yang lebih tepat, termasuk apa yang rakyat mahukan seperti pendidikan, ekonomi, budaya, politik dan masalah kehidupan dalam masyarakat.
Keseluruhan usul AGM pada 10 Oktober lalu tidak cukup menyeluruh, terutama sekali berkaitan pendidikan. Seperti ada satu kebocoran yang boleh menyebabkan penyelewengan dan tidak ada penghujungnya.
Kali ini, usul untuk pendidikan ada tiga iaitu menetapkan sistem peruntukan pembiayaan ke semua aliran sekolah, selain semua sekolah pelbagai aliran diletakkan di bawah tunggak pendidikan serta program pendidikan negara; yang kedua Kementerian Pelajaran perlu menghapuskan kandungan pelajaran yang tidak sesuai dan ketiga, menyeru kerajaan supaya terus membantu pelajar cemerlang serta memberi lebih banyak peruntukan terhadap mereka.
Apa yang kami tidak faham, kenapa AGM pada 10 Oktober lalu langsung tidak menyentuh mengenai pengiktirafan sekolah menengah Cina dan sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah Cina, termasuk penambahan sekolah-sekolah Cina serta guru-guru bahasa Cina di maktab perguruan. Adakah isu-isu ini sudah dapat diselesaikan dan tidak perlu lagi diusulkan?
Selain itu, semua ahli MCA perlu faham iaitu masyarakat Cina mahu lihat perkara yang jelas, bukan seperti menggelabukan pandangan melibatkan perkara-perkara tertentu. Contohnya pelajar sekolah menengah Cina boleh menggunakan keputusan SPM untuk masuk ke maktab perguruan, atau perlu membina sekolah Cina di kawasan bilangan penduduk kaum Cina yang ramai, dan bukan apa yang Liow Tiong Lai sebutkan, "kawasan perumahan lebih 3,000 penduduk kaum Cina" ataupun Chor Chee Heung umumkan "lebih 5,000 penduduk Cina di satu-satu kawasan, boleh buat tambahan bina sekolah rendah Cina".
Hanya usul yang menjurus kepada keuntungan dan kepentingan rakyat saja akan dapat sokongan rakyat. Sepatutnya, selepas AGM ini, MCA pusat perlu mengadakan beberapa sesi perjumpaan untuk membincangkan isu yang telah diusul untuk pelaksanaannya.
MCA juga perlu bersama-sama membincangkan isu-isu seterusnya, menjemput kementerian ataupun jabatan berkaitan untuk sama-sama duduk berbincang bagi selesaikan isu, menggunakan langkah-langkah untuk selesaikan masalah, selain menghantar laporan lengkap dan laporan balas kepada kementerian ataupun jabatan yang berkaitan dengan segera.
Tepat apa yang disebut oleh Ong Ka Chuan bahawa masyarakat Cina kini kurang yakin pada MCA dan ia dapat dilihat melalui keputusan beberapa pilihan raya kecil yang lalu. Bagi menangani pilihan raya umum akan datang, MCA sudah kesuntukan masa.
UMNO Ketandusan Pemimpin Pelapis
Cadangan pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Galas dalam Parlimen Gua Musang mendapat perhatian akhbar Sinchew Daily. Chang Yi Le dalam ruangan Oponion Corner akhbar ini di muka surat 30, bertarikh 12 Oktober 2010 menulis, pentas arena politik sekali lagi bermula. Besar kemungkinan Ku Li jadi calon BN untuk bertanding sekali gus membantu UMNO merampas kembali kerusi DUN tersebut. Pada pilihan raya lepas, kerusi tersebut dimiliki oleh Pas.
Isu ini agak sensitif, kerana ia kawasan Pas. Awal-awal lagi, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz berkata, jika UMNO lantik Ku Li untuk bertanding, ia satu penghinaan dan memperkecilkan diri sendiri. Maksud Nik Aziz, Ku Li adalah keturunan anak raja, pernah jadi menteri kewangan, berlatar belakang penghormatan yang tinggi tetapi bertanding kerusi DUN. Bukankah itu bermakna memperkecilkan kedudukan beliau.
Ku Li adalah ahli UMNO veteran yang berwibawa. Kata-kata Nik Aziz itu sudah tentu ada benarnya, tetapi apa yang Pas mahu beri perhatian sebagai (ahli sekutu dalam pakatan Rakyat) bukan soal mahu melihat kedudukan Ku Li, sebaliknya masalah sekarang iaitu bagaimana pakatan pembangkang boleh menang dalam pilihan raya itu.
Jika benar Ku Li bertanding di Galas, pakatan pembangkang akan mendapat tekanan yang agak sukar. Ini kerana Ku Li menyokong kerajaan Kelantan terhadap isu royalti minyak dan berdiri di barisan yang sama mengkritik Kerajaan Pusat. Inilah yang membuat Pas serba salah. Jika pihak pesaing itu adalah Ku Li, sudah tentu Pas akan lebih risau dan tidak keruan.
Selain itu, jika Ku Li bertanding di Galas, ia bukan satu strategi dan taktik untuk timbulkan isu. Ia diputuskan oleh UMNO pusat. Selepas tsunami pilihan raya Mac 2008 dan selepas Najib memegang jawatan Presiden UMNO, mereka bersikap sangat mahukan sokongan rakyat untuk menang pilihan raya.
Selepas 11 kali pilihan raya kecil, ia sudah cukup memperlihatkan bahawa UMNO perlu tumpukan bagaimana memperoleh masa yang paling tepat untuk menang. Dalam UMNO sekarang, sudah terlihat bahawa UMNO kekurangan kumpulan cerdik pandai.
UMNO pernah mahu mempertahankan kemenangan di DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan dengan terpaksa meletakkan orang kuat Mohd Isa Samad untuk kembali ke arena politik.
Hari ini, jika UMNO mahu tawan kembali DUN Galas, terpaksa letakkan orang veteran seperti Ku Li untuk bertanding. Sekali lagi, ia membuktikan UMNO kini kekurangan orang-orang berwibawa. UMNO ini sebenarnya ialah Barisan Nasional yang semakin lama semakin kekurangan orang-orang bijak yang boleh mentadbir negara ini.
Pandangan Mahathir Dikecam Hebat
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi mangsa celaan akhbar Cina. Terbaru, akhbar China Press menerusi ruangan perbincangan umum rakyat di muka surat C17 terbitan 8 Oktober 2010 mengecam Mahathir. Loh Han Zhou dalam artikelnya, menulis jika kita mengambil kira orang yang jiwanya sepi di dunia ini, bekas perdana menteri kita, Mahathirlah orang yang paling layak menyandangnya.
Selepas bersara, beliau tidak henti-henti bersuara, beliau anggap di Malaysia ini hanya beliau seorang saja yang layak mentadbir negara ini. Yang lain, semua tidak layak.
Han Zhou juga menempelak Mahathir dengan berkata, beliau seorang tokoh yang tidak sedar diri. Jika kita mahu bincang mengenai isu perkauman, pemikiran beliau masih terhenti pada 1950-an, jika mahu bincang berkaitan isu ekonomi, pemikiran beliau terhenti pada 1970-an.
Beliau tidak sepi lagi, masih mahu menunjuk ajar isu-isu semasa, ia bukan membantu malah semakin merosakkan negara ini. Kata-kata fanatik yang diutarakannya menakutkan pelabur asing dan mereka terpaksa ambil keputusan tinggalkan negara ini. Akhirnya ramai rakyat kehilangan pekerjaan.
Baru-baru ini, penyakit beliau kembali semula, menuduh pelabur asing tidak boleh dipercayai, tidak boleh diambil berat, kerana pelabur asing hanya mahu mengikis harta kita. Jika kita mengharapkan pelabur asing, kita tidak akan capai tahap negara maju.
Tetapi, sedarkah bahawa Mahathir adalah Perdana Menteri pertama mengundang pelabur asing ke negara ini. Pada 1980-an, ekonomi negara kita agak lembap tidak berganjak, graduan lepasan universiti banyak menganggur. Mahathir hapuskan akta undang-undang berkaitan sekatan industri untuk majukan bidang ekonomi, membawa masuk ramai pelabur asing.
Pada masa itu, Mahathir gembira terhadap prestasi pelabur asing di negara ini. Tetapi kenapa hari ini, Mahathir kata pelabur asing tidak boleh dipercayai? Rupa-rupanya pelabur asing punya banyak pilihan, mereka sudah tidak dapat terima sistem kuota yang dikenakan kepada mereka. Contohnya dimestikan melantik bumiputera sebagai pengarah syarikat atau pengurus syarikat, bilangan pekerjaan mesti ada kuota bumiputera yang tertentu, melantik kontraktor bumiputera, dimestikan melantik pembekal-pembekal bumiputera dan lain-lain lagi.
Pelabur asing kini sudah ada pilihan untuk ke negara lain. Pemikiran rasis Mahathir masih terhenti pada 1950-an. Sudah tentu beliau tidak puas hati terhadap tingkah laku pelabur-pelabur asing itu, tidak puas hati terhadap pelabur asing yang tidak sokong niat negara kita mahu susun semula masyarakat. Sebab itu, beliau seperti Ah Q secara bijak berkata, kita tidak boleh mempercayai pelabur-pelabur asing.
Apakah jenis manusia seperti ini di Malaysia kini, malah berkata pelabur asing tidak penting, dan tidak peduli sama ada pelabur asing mahu datang atau tidak. Mahathir adalah tokoh yang sudah berlalu. Orang ramai sepatutnya tidak ambil peduli terhadap kata-kata beliau.-UM
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan