Isnin, Oktober 18, 2010

Sempena Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Mengembali perjuangan asal!

Perhimpunan Agung Ke-64 yang dijadualkan pada 19-23 Oktober ini bakal diadakan dalam sela waktu tahun-tahun terakhir sebelum menjelangnya pilihan raya umum akan datang. Meskipun belum ada tarikh yang jelas bilakah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan, namun ia tidak mungkin lebih lama dalam tempoh setahun dua dari sekarang.

Ini meletakkan UMNO dalam situasi yang genting terutamanya dari sudut sejauh mana parti itu bersedia turun ke gelanggang. Apakah pengajaran yang diterima daripada PRU-12 tiga tahun lalu sudah benar-benar diperkemaskan?

Pada dasarnya, UMNO dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini bergerak dalam landasan perubahan yang cukup tinggi. Pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan pada persidangan tahun lalu misalnya, adalah antara transformasi besar parti tertua bagi orang Melayu ini untuk kekal relevan dalam arus politik perdana.

Dari semasa ke semasa, UMNO juga dilihat bersungguh-sungguh untuk menjadikan parti itu lebih terbuka, demokratik dan inklusif. Namun, sejauh mana perubahan itu mampu mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO tidak boleh ditelah menerusi analisis dan pandangan.

Ia hanya akan terbukti selepas PRU-13 sekali gus meletakkan nasib dan masa depan UMNO masih dalam keadaan yang sukar.

Realiti dan cabaran politik semasa memperlihatkan perubahan yang cuba ditonjolkan oleh UMNO juga belum memadai. Masih ada beberapa kelemahan dan kepincangan dalam UMNO yang memerlukan tindakan serta perhatian segera.

Kekosongan paling ketara ialah siapa di dalam UMNO yang benar-benar memperjuangkan agenda asal penubuhan parti itu seperti menjuarai perjuangan mempertahankan Islam, Raja-Raja-Melayu, bahasa kebangsaan dan hak-hak bumiputera dan Melayu?

Pertanyaan ini mungkin sesuatu yang terlalu serius dan berat untuk dilontarkan kepada sebuah parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu ini. Namun, ahli-ahli UMNO perlu melihatnya dengan rasional dan tidak beremosi kerana ia tidaklah dilontarkan tanpa asas.

Ia juga bukanlah bermaksud UMNO sudah menyimpang daripada perjuangan asal. Cuma penubuhan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang seperti mengambil alih tempat UMNO seolah-olah memperlihatkan bahawa parti itu tidak lagi segagah dulu.

UMNO juga bagaikan terlalu banyak bertolak ansur dengan pihak yang menghina Islam dan Melayu. Kerana itu tidak hairan ramai ahli NGO Melayu adalah ahli UMNO yang kecewa dengan pendekatan terlalu bertolak ansur parti itu.

Justeru, bagi pemerhati politik tempatan Asri Abdullah, persidangan UMNO akan datang perlu memperlihatkan UMNO bersedia untuk mengambil alih peranan yang sudah digantikan oleh pihak lain.

''Paling utama, UMNO perlu menonjolkan kegagahan dalam teras perjuangan asal parti itu," jelas pensyarah pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran Dan Pengajian Polisi UiTM, Kampus Dungun Terengganu ini. Dalam masa yang sama, UMNO juga tidak wajar dilihat cuba memusuhi atau menjauhi NGO berasaskan Melayu, apatah lagi jika perjuangan NGO itu berteraskan Perlembagaan.

Sebaik-baiknya, NGO seperti itu dijadikan rakan strategik UMNO dan BN kerana ia mewakili sekurang-kurangnya suara mereka yang tidak mahu bernaung di bawah UMNO atau BN kerana beberapa faktor tertentu.

Memang tidak dinafikan tindakan bersekutu dengan NGO berasaskan Melayu itu boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan parti komponen BN yang lain. Ia juga bakal dijadikan senjata oleh pembangkang untuk menonjolkan UMNO sebagai parti perkauman.

Justeru, UMNO perlu berani dan bertegas dalam menerangkan kepada rakan-rakan parti komponen BN untuk bersahabat dengan NGO. Parti komponen itu juga perlu diingatkan bahawa NGO itu bukanlah penyebab mengapa BN kehilangan majoriti pada pilihan raya lalu atau pada 1999 dan 1969.

''Ini mungkin dilihat seperti satu risiko, tetapi UMNO tanpa sokongan majoriti bumiputera, Melayu dan Islam adalah jauh lebih berisiko untuk kehilangan lebih banyak kerusi," kata beliau.

Asri turut menjadikan Sabah sebagai contoh kekuatan UMNO yang mana penduduk Melayu, Islam dan bumiputera di negeri itu berpeluang memegang tampuk kekuasaan dan melindungi kepentingan agama dan kaum lain.

Sabah adalah contoh bagaimana UMNO sebenarnya mampu berkuasa dengan sokongan padu penduduk pribumi. Perpaduan pribumi inilah yang sebenarnya mendorong kepada kaum-kaum lain untuk menghormati UMNO.

''Jika sokongan terhadap UMNO di peringkat akar umbi kukuh, kaum-kaum lain juga akan turut sama menghormati dan menyokong UMNO. Negara yang dipimpin oleh orang Islam yang tetap berpegang kepada Islam, akan berlaku adil kepada semua kaum. Inilah yang kita lihat di Sabah," kata Asri.

Kehadiran NGO juga seharusnya semakin menyemarakkan lagi roh perjuangan sebenar UMNO di kalangan ahlinya yang tidak begitu dirasai oleh orang Melayu ketika ini. Sedangkan semangat perjuangan sebenar itu penting dalam memperbetulkan semula persepsi salah mengenai hala tuju UMNO.

Ahli-ahli UMNO yang masih tidur dan leka perlu disedarkan supaya memperkemas dan memperbetulkan niat berjuang dalam politik melalui UMNO. Dalam masa yang sama tambah Asri, persidangan kali ini juga wajar mengetengahkan kepada umum bahawa UMNO tidak pernah mengetepikan perjuangan menegakkan syiar Islam di negara ini.

Ia sekali gus menafikan persepsi bahawa hanya parti pembangkang sahaja yang memilih perjuangan Islam. Sedangkan isu perjuangan Islam oleh pembangkang sebenarnya lebih kritikal kerana ia secara terang-terangan mendapat tentangan daripada parti pakatan pembangkang yang lain.

Persidangan kali ini perlu mengambil peluang untuk menarik sokongan golongan muda dengan menekankan mengapa UMNO adalah pilihan terbaik bagi masa depan mereka.

Perwakilan UMNO perlu menerangkan bahawa parti itu tidak akan menghapus atau menidakkan hak-hak agama dan kaum lain. Malah, apa sahaja yang diperjuangkan pihak pembangkang di negara ini, sebenarnya adalah sebahagian daripada perjuangan UMNO.

''Generasi muda juga perlu sentiasa diingatkan bahawa parti ini bukan sahaja terbaik untuk orang Melayu dan Islam, malah juga bagi agama dan kaum lain di Malaysia," katanya.

Perwakilan juga patut mengambil peluang ini untuk memperlihatkan kecintaan orang Melayu terhadap perjuangan UMNO. Mana-mana pun orang Melayu tidak akan dapat menidakkan bahawa mereka masih dan tetap akan sayang kepada perjuangan UMNO.

Cuma, perwakilan perlu ambil peluang meminta supaya pemimpin lebih tegas menghukum anasir-anasir pengkhianat agama dan bangsa di dalam dan di luar parti.
Wallahuallam.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Unknown berkata...

SALAM, HIDUP UMNO!!!!!!!!!100X