Penduduk Pangsapuri Taman Permai Indah di Pandamaran, Klang semalam memegang sepanduk bantahan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang tidak mengotakan janji membaik pulih lif yang rosak sejak 10 bulan lalu.
“Kerajaan Pakatan Rakyat Tipu Rakyat, Ronnie Liu Janji Kosong”. Itu rasa yang diluahkan kira-kira 2,032 keluarga di Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran di sini setelah janji kerajaan negeri melaksanakan kerja baik pulih lapan lif di empat blok kediaman itu yang rosak sejak 10 bulan lalu gagal dilaksanakan sehingga hari ini.
Rata-rata penduduk menyatakan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang itu selain menyifatkan janji yang dibuat hanyalah sekadar di mulut sahaja tanpa sebarang tindakan susulan.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, A. Prakash, masalah itu telah dikemukakan kepada Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad dan beliau berjanji akan memperbaiki kerosakan lif tersebut pada Mac 2009.
Bagaimanapun, sehingga kini katanya, tiada sebarang kerja-kerja pembaikan dilakukan kecuali alasan yang diberikan pihak berkenaan kononnya peralatan untuk membaiki lif berkenaan hilang dan rosak.
Malah Prakash turut mengemukakan masalah itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu namun beliau juga tidak turun menjenguk kawasan kediaman mereka.
“Sebaliknya Ronnie menghantar seorang Ahli Majlis Perbandaran Klang untuk meninjau kerosakan tetapi tiada juga tindakan dilakukan.
“Adakah kerajaan negeri hari ini hanya pandai membuat janji dan bagaimana dengan kami yang terpaksa berhadapan dengan masalah ini sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurutnya, tindakan itu bertentangan dengan janji pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu yang mahu menjaga kebajikan rakyat.
Tambah Prakash, selain kerosakan lif, penghuni pangsapuri itu turut berdepan masalah sampah yang tidak dikutip pihak berwajib meskipun bayaran penyelenggaraan sebanyak RM38.50 sebulan telah dilunaskan oleh mereka. Malah katanya, Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga telah mengeluarkan notis meminta semua penghuni menjelaskan cukai pintu sebanyak RM117 setahun.
“Jika ini keadaannya, adakah wajar kita membayar wang penyelenggaraan dan cukai pintu sedangkan keadaan hidup kita di pangsapuri ini lebih teruk daripada kawasan setinggan. “Mana perginya perkhidmatan perbandaran yang diberikan kepada kami?” soalnya.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo yang mengadakan pertemuan dengan penghuni pangsapuri berkenaan hari ini memberitahu, beliau akan mengemukakan masalah tersebut kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung esok.
Selain masalah lif, katanya, penduduk juga memohon agar jalan masuk ke pangsapuri 11 tingkat itu dinaik taraf ekoran keadaannya yang daif meskipun kediaman itu telah siap sejak lima tahun lalu.-UM
Suara Politik
Taminsari
1 ulasan:
salam.....
Semenjak menang PRU12 tidak dijangka
tersebut...masa honeymoon tu takpelah
jugak..sedap dan syok berjanji...umpama dalam mimpi jer..
walhal dibenci kebanyakkan rakyat
yg sedar..sepenggal utk menyamun rupanya...tergelarlah geng 6 jahanam atau geng Penyamun Rakyat....
pantang ada peluang masyuk..rembat!!
masalah rakyat?carilah pihak lain!
Catat Ulasan