UMNO Selangor bersikap terbuka terhadap kritikan termasuk penulis blog yang mendakwa parti itu gagal mengambil peluang daripada isu semasa dan tidak agresif dalam berhadapan dengan pakatan pembangkang.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, segala pandangan sama ada positif mahupun negatif akan diambil kira bagi memastikan UMNO terus diterima rakyat.
"Kami sangat mengalu-alukan pandangan orang ramai, tidak terhad kepada bloggers sahaja tetapi meliputi pelbagai pihak kerana kita semua ada hak untuk menyatakan pendapat. "Pada masa yang sama juga kita dapat lihat reaksi yang positif kerana kritikan itu menunjukkan orang ramai masih menaruh harapan dan memerlukan UMNO Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa UMNO Selangor dalam keadaan lesu sehinggakan ahli akar umbi mula bosan dan hilang semangat terhadap parti itu. Menurut Noh, UMNO Selangor tidak seharusnya goyah dan gentar dengan kritikan yang dilemparkan namun harus bangkit untuk meneruskan perjuangan dan memperkasakan lagi parti.
"UMNO Selangor harus bergerak maju ke hadapan dan memperkukuhkan lagi strategi untuk menawan hati pengundi di Selangor. "Selain itu, kita akan berusaha untuk memperbaiki diri sekiranya terdapat kelemahan dalam menerajui parti dan jika ia dapat diperbetulkan, pastinya kita akan menang pilihan raya akan datang," katanya.
Sebelum itu : Apa sudah jadi dengan UMNO Selangor?
ISU UMNO Selangor yang dikatakan gagal menggunakan peluang daripada pelbagai isu yang dihadapi oleh kerajaan Selangor mendapat perhatian ramai penulis minggu ini .
Blog Ruang Bicara Faisal ( ruangbicarafaisal.blogspot.com ) memetik satu e-mel yang dihantar kepada blog itu yang antara lain berkata, UMNO di Selangor kini terlalu lesu sehinggakan mereka di peringkat akar umbi sudah mula bosan dan hilang semangat.
Kata beliau, kumpulan di bawah kini kurang faham apakah strategi sebenar yang ingin dilakukan oleh UMNO Selangor terutama dalam usaha untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.“Agaknya nak tengok pakatan di Selangor bankrap baru nak bertindak.
Hello abang-abang di dalam perhubungan UMNO, kalau macam inilah cara nak bertindak bertambah payahlah kalau pakatan di Selangor pulih daripada kecedaraan. Lingkup UMNO di Selangor,” tulis e-mel tersebut yang disiarkan oleh blog berkenaan.
Hamidzun Khairuddin dalam Warisan 2057 (warisan2057.blogspot.com) yang memetik satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima berkata, UMNO Selangor sepatutnya ada skuad berani mati yang boleh menangkis isu daripada pihak pembangkang memandangkan banyak isu yang tidak tertangkis, terutama isu agama.
“Manakala isu yang besar seperti pasir yang sepatutnya boleh jadi bom atom bila dibantu oleh Ahli Parlimen Kapar, (ia) hanya jadi kentut mak nyah. Bolehkah (pada) PRU-13 (nanti), BN menang tanpa perlu serang pembangkang dan jawab isu.“Tanah, pasir, hutan, air dan hasil bumi ini isu mengurus masa depan anak-cucu kita, isu cukup emosional.
Khalid (Menteri Besar Selangor) pun dah kelam-kabut tetapi UMNO Selangor macam mengadap orang mati,” kata SMS tersebut.Justeru, penulis berkata, sudah masanya pemimpin UMNO baik di peringkat perhubungan negeri mahupun Pusat mendengar rintihan akar-umbi ini dan mereka perlulah berubah dan bukannya perubahan kosmetik, jika mahu mememangi pilihan raya umum akan datang.
Blog Gerakan Anti-PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula berkata, Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Satim Diman dikhabarkan akan melepaskan jawatannya selepas “diserang” oleh penulis-penulis blog berhubung kelesuan UMNO negeri itu menentang kerajaan pembangkang.
Kata penulis ini, memang UMNO Selangor masih lesu, pemalas dan tiada langsung pergerakan untuk melawan kerajaan pembangkang di negeri itu dan ini disebabkan oleh kegagalan para pemimpin mereka sendiri.“Percayalah, kami akan terjah kesemua pemimpin UMNO yang pemalas, tak boleh pakai dan tak menguntungkan perjuangan kita dalam mempertahankan Islam dan hak Melayu daripada terus dilacur oleh puak pakatan,” katanya.- UM.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan