Kata Usman Awang, Melayu itu bangsa yang bijaksana, Melayu berani kerana benar, Melayu pengembara, kaya falsafah, menolak permusuhan serta baik hati. Kata Usman Awang juga Melayu itu kuat bersorak dan masih tetap bermimpi walau jatuh berkali-kali.
Penyair seperti Usman Awang seperti juga pemimpin, cendekiawan serta pemikir Melayu sepanjang zaman sudah puas berdebat mengenai Melayu. Mereka berusaha memberi kritikan membina untuk melihat Melayu menjadi lebih baik. Orang-orang tua Melayu juga kini sering berkeluh kesah mengenang nasib dan sikap Melayu.
Secara jujur seluruh umat Melayu mengakui apa yang diperkatakan mereka benar belaka. Tetapi, setiap dari kita bercakap seolah-olah kita hanya merujuk kepada Melayu lain, bukan kita. Di kala kedudukan Melayu semakin tercabar diasak dan ditekan dari berbagai sudut, dan sebelum kita mengasak kembali serta bertarung habis-habisan, mungkin kita patut bertafakur sebentar, berfikir sedalam-dalam dan memahami diri sendiri. Benarkah kita begitu teruk sekali?
Sebagai Melayu dari golongan rakyat biasa, penulis dengan penuh kesedaran telah cuba sedaya upaya yang termampu untuk menjadi Melayu yang baik. Penulis biasa bersaing dengan bangsa lain, dan penulis kira penulis mampu duduk dan berdiri sama tinggi dengan mereka di mana saja. Penulis juga dengan sedaya upaya cuba mendidik anak-anak agar mampu berbuat yang sama.
Namun, agak sukar kini kerana anak-anak tidak punya peluang untuk bersaing dengan bangsa lain di sekolah kerana bangsa lain lebih suka bersekolah berasingan. Satu-satunya peluang anak-anak untuk bergaul dengan bangsa lain ialah semasa di tadika, itupun jika kita memilih untuk menghantar mereka ke tadika swasta yang dimiliki oleh bangsa mereka. Jika tadika tersebut diuruskan oleh bangsa Melayu, mati hidup balik pun bangsa lain tidak akan menghantar anak mereka ke sana.
Penulis kira, kebanyakan dari kita orang-orang Melayu dari golongan rakyat biasa, golongan pertengahan dan pertengahan atas berkongsi kesedaran ini. Kita mampu bersaing sekiranya diberi peluang. Malangnya, memandangkan syarikat-syarikat besar di Malaysia adalah milik bangsa Cina, maka peluang ini sering ditutup sejak dari awal lagi. Dan sekiranya syarikat tersebut bukan milik mereka pun, dan merupakan syarikat multinasional diterajui oleh bangsa asing, tetapi selagi jawatan-jawatan tinggi dijawat oleh bangsa mereka, maka peluang untuk Melayu untuk bersaing akan ditutup serapat yang boleh.
Melayu yang dibiarkan melepasi sekatan peluang ini pula seringkali hanya Melayu yang dilihat mereka sebagai boleh diperalatkan iaitu yang tiada semangat kemelayuan yang kuat, sepertimana semangat mereka terhadap bangsa mereka. Jika ada seorang dua Melayu yang bersemangat Melayu dapat lepas ke atas, ia hanyalah untuk memenuhi syarat kuota ataupun kerana jawatan tersebut perlu berhubung dengan kerajaan dan pelanggan Melayu.
Kerana itu, Melayu sering kalah sebelum bersaing.
Tidak dapat tidak, jika Melayu ingin meningkatkan taraf ekonomi mereka secara keseluruhan, Melayu harus menjadi pemilik syarikat-syarikat besar, bangunan-bangunan perniagaan serta perniagaan-perniagaan sokongan secara meluas seperti mereka juga.
Majoriti Melayu sedar akan hal ini, dan Melayu yang terdiri dari peniaga-peniaga sememangnya telah berusaha merealisasikan perkara ini. Namun, membesarkan perniagaan bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam masa setahun dua. Selalunya, peniagaan Melayu tidak mampu pergi lebih lama dan lebih jauh. Kita melihat satu demi satu syarikat yang dibangunkan Melayu, apabila sudah menempa nama, tiba-tiba bertukar milik kepada bangsa lain.
Kita akui, masih ramai peniaga Melayu, walaupun bergelar peniaga, tetapi mereka sebenarnya masih belum pandai berniaga. Kebanyakan mereka melihat perniagaan mereka sebagai cara untuk mendapat wang untuk keperluan jangka pendek. Mereka tidak punya cita-cita untuk melihat perniagaan tersebut berkembang menjadi empayar. Kebanyakan sudah merasa puas jika perniagaan mereka mampu memberi anak isteri makan, dan menampung anak-anak belajar untuk masa ini.
Jika ada yang bercita-cita tinggi pula mereka terlalu gelojoh dan ingin mencapai cita-cita itu dalam masa yang singkat tanpa mengira cara dan akibat. Seringkali, mereka silap perkiraan atau tamak. Perniagaan dikembangkan dan asset peribadi serta asset syarikat ditambah secara berlebih-lebihan dalam masa yang singkat, tanpa berfikir panjang.
Peniaga Melayu juga amat lemah dalam menguruskan rekod perniagaan. Perniagaan yang baik tidak akan kelihatan baik jika tidak dapat dibuktikan dengan penyata bank yang baik, simpan kira yang tersusun serta akaun perniagaan dan kunci kira-kira semasa dan tahunan yang tepat. Ramai yang masih tidak memahami bahawa rekod perniagaan yang baik adalah satu-satunya kunci yang akan membolehkan perniagaan itu dikembangkan di masa hadapan.
Namun, apa yang lebih menyukarkan perniagaan melayu untuk berkembang ialah apabila mereka terpaksa bergantung kepada bangsa lain untuk menjadi pembekal atau menyediakan perkhidmatan sokongan. Pembekal dari bangsa lain akan memberi tekanan langsung dan tidak langsung seperti tidak memberi kemudahan kredit atau harga yang lebih mahal bagi menyukarkan Melayu tadi berniaga dan bersaing sama dengan bangsa mereka. Selain itu, pengguna bangsa lain juga tidak akan sekali-kali membeli dari peniaga bangsa Melayu selagi mereka punya pilihan.
Ini adalah hakikat.
Dan hakikat juga bahawa kerajaan, cendekiawan, pemimpin, penyair dan pemikir Melayu juga tidak mampu menangani masalah ini membuatkan Melayu terus menerus menjadi bangsa yang kalah.
Sebenarnya, kebanyakan Melayu seperti penulis, sentiasa belajar menangani kelemahan dan tabah menerima tekanan dari bangsa lain sebagai cabaran untuk terus berjaya. Kebanyakan kita telah berjaya mencapai kehidupan yang baik secara individu. Tetapi, Melayu sebagai satu bangsa, masih jauh dari berjaya.
Ini kerana, walaupun Melayu rakyat biasa sedang mencuba sedaya upaya untuk berubah tetapi apakan daya kita apabila pemimpin kita sendiri samada pentingkan diri atau terdiri dari orang-orang yang suka mengalah.
Walaupun bangsa lain sedikit pun tidak membuka peluang kepada Melayu, tetapi pemimpin Melayu tetap membuka peluang dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (Melayu) kepada mereka sedikit demi sedikit.
Dan mereka tidak akan berhenti setakat ini, mereka akan terus berjuang sehinggalah mereka menguasai semuanya sementara pemimpin Melayu hanya membiarkan sahaja. Petronas hanyalah permulaan bagi mereka menguasai kita sepenuhnya dan pemimpin Melayu hanya membutakan mata. Bukannya Melayu di Petronas tidak bangkit menentang dan bukannya Melayu rakyat biasa seperti kita tidak membangkang, tetapi apa yang boleh kita lakukan jika pemimpin kita yang membantu mereka mengalahkan kita?
Sekali lagi ditekankan bahawa Melayu majoritinya sudah berubah, yang tak berubah hanya pemimpin – tak kira di dalam UMNO, PAS mahupun PKR. Semuanya hanya ingin mengalah bila berhadapan dengan tuntutan dan cabaran kaum lain demi undi dan kepentingan diri.
Ini berlaku bukan sahaja dalam isu-isu dalam negeri, tetapi pemimpin Melayu mengalah dan dikalahkan termasuklah dalam isu antarabangsa.
Pemimpin kita mengalah dan dikalahkan oleh Singapura dalam isu Batu Putih, Air dan ruang udara. Walaupun rakyat menempelak dan mempertikai cara pemimpin kita menangani perkara ini, namun, kelantangan dan keberanian kita tenggelam dalam gelombang pengecut pemimpin kita sendiri.
Malaysia juga mengalah dan dikalahkan oleh Brunei dalam isu Limbang. Rakyat Malaysia tidak dapat menerima kekalahan mudah tanpa penjelasan konkrit. Rakyat inginkan pemimpin kita agar berjuang mempertahankan khazanah negara tetapi pemimpin kita seperti malas untuk memanjangkan isu apatah lagi memperjuangkannya. Itu semua perkara kecil, mengikut mata pemimpin.
Dan kini kita nampak seperti akan mengalah lagi dengan Indonesia dalam isu amah. Tidakkah terdapat sedikit pun perasaan ingin membela rakyat sendiri dalam diri pemimpin (Melayu) dalam isu ini juga?. Atas dasar apakah maka Malaysia bersetuju menimbang kenaikan gaji dan memberi hak yang sama kepada amah seperti mana-mana pekerja yang berkelayakan?
Tahukah pemimpin (Melayu) kita bahawa masih ada anak-anak kita berkelayakan SPM menjawat jawatan kerani di syarikat-syarikat swasta dengan pendapatan RM700 – RM800? Apakah kelayakan seorang amah? Apakah mereka mendapat sijil pembantu rumah professional? Jika ada siapa yang mengeluarkannya? Dan atas standard apakah ianya dikeluarkan?
Purata seseorang majikan di Malaysia yang mempunyai pembantu rumah berpengalaman menukar pembantu rumahnya 3-4 kali. Penulis dan ramai di kalangan rakan penulis sendiri telah berpengalaman dengan lebih dari 4 orang pembantu. Ada juga yang sudah serik sama sekali hanya selepas mencuba 1 – 2 orang pembantu.
Pembantu rumah Indonesia walaupun dikatakan melalui latihan tetapi latihan yang diperolehi mereka adalah terlalu asas dan tidak banyak membantu dalam menguruskan rumahtangga. Mereka tidak diajar tentang etika dan ‘common sense’ untuk membolehkan mereka menjadi pekerja yang boleh diharap, bertanggungjawab dan boleh dipercayai.
Jika mereka inginkan hak yang lebih sebagai pekerja, maka seharusnya pemimpin kita menjadi pembela dan berjuang untuk rakyat Malaysia agar Indonesia memastikan bahawa pembantu yang mereka bekalkan itu benar-benar berkualiti dan layak diberikan hak sebegitu.
Seorang ketua pejabat tentu merasakan yang dia kerugian jika setiausahanya tidak mampu berbuat kerja-kerja kesetiausahaan, tidak dapat berfikir sendiri dan sering memerlukan tunjuk ajar dalam kerja-kerja paling asas sekalipun.
Begitu jugalah halnya dengan pembantu rumah. Lebih buruk, pembantu rumah tidak boleh dimarahi sepertimana kita memarahi setiausaha di pejabat kerana sikap mereka yang tidak berpelajaran, amatlah tidak dapat dijangka. Latarbelakang yang susah dan bermasalah juga mempengaruhi pembentukan peribadi dan mentaliti mereka.
Dengan keselamatan anak-anak terletak dalam tangan mereka, majikan perlu memikirkan berbagai risiko sebelum memarahi pembantu rumah yang tidak dapat bekerja dengan baik itu.
Maka, akhirnya majikan terpaksa mengalah dan menelan segala karenah pembantu rumah demi anak-anak. Apabila sudah tidak sanggup lagi menghadapinya, maka majikan akan terpaksa memperjudikan wang dan nasib sekali lagi, untuk menukar kepada pembantu rumah yang lain. Semua ini kini harus dilalui oleh majikan di Malaysia kerana pemimpin kita yang rata-ratanya Melayu, amat suka mengalah.
Pemimpin Melayu bercakap tentang Melayu baru yang berani, maju, bijak dan lantang tetapi mereka sendiri masih pasif bila berjuang menegakkan hak, takut bila bila dicabar, lembab bila bertindak serta segan untuk bersuara bila ditawarkan wang dan kuasa.
Kita sayang pemimpin kita dan kita tidak mahu pemimpin kita dipijak, diperalat dan dipermainkan oleh sesiapa. Jika pemimpin kita diperlakukan begitu, bermakna kita juga diperlakukan begitu kerana pemimpin kita mewakili kita semua. Tetapi kita tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya jika dia sendiri pasif, takut, lembab dan segan silu tak menentu.
Kami orang-orang Melayu hanya memberi pandangan jujur agar pemimpin Melayu tidak tersungkur dan bangsa kita tidak hancur. Pandangan rakyat biasa seperti kami adalah ikhlas dari hati kerana kami sayangkan pemimpin seperti sayangkan bangsa kami sendiri.
Kami bukan terdiri dari mereka-mereka yang dibayar untuk menasihat dan kami juga tidak terlibat dengan mereka-mereka yang hanya menunggu masa untuk menjadi Perdana Menteri. Nasihat orang jauh, adakalanya lebih baik dari yang dekat kerana skop pandangan dari jauh adalah yang lebih luas dan menyeluruh.
Melayu itu bangsanya ingin berubah
Berusaha sudah, berdoa pun sudah
Namun,usaha Melayu itu tidak berbuah
Kerana pemimpin suka mengalah
Wallahuallam.
Oleh : Nihaz Mohd Yusoff
Suara Politik
Taminsari
1 ulasan:
Melayu bukan lagi kaum majoriti di Malaysia, tak sedar-sedar lagi ke?
Cuba ikut macam Chua Tee Yong anak Chua Soi Lek.
Di atas keberanian dia meliwat semua Ahli Parlimen Melayu dalam persidangan Parlimen pada 16 Mac lalu, MCA hadiahkan dia jawatan Timbalan Menteri!
Bacalah kisah kehebatan dia di www.merdeka-online.net.
Orang Melayu sekarang dah lumpuh ke… tidur ke?
Ada Belantan boleh diguna ke?
Catat Ulasan