Ahad, Februari 14, 2010

Kerajaan Selangor abaikan kebajikan!


POLITIK, politik dan politik...Mungkin itulah sahaja yang ada dalam fikiran para pemimpin negeri Selangor hari ini yang dilihat sering mengaitkan soal tersebut dalam apa jua tindakan dan keputusan dalam pentadbiran. Ia termasuk melibatkan kebajikan rakyat negeri itu.

Akibat terlalu memikirkan soal politik, baik dari peringkat kampung, daerah sehinggalah peringkat negeri, sehingga kini masih belum banyak usaha pembangunan terutama menaik taraf ekonomi rakyat negeri itu secara total seperti yang termaktub dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Lihat sahaja penduduk di kawasan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kuala Selangor sendiri pun tidak berpuas hati dengan pimpinannya dalam menangani soal rakyat di kawasan itu sehinggakan sebanyak 13 barisan ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bahagian itu meletak jawatan pada 20 Januari lalu.

Itulah yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar yang menyatakan tindakan mereka itu adalah disebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid dalam menjaga kepentingan rakyat serta ahli parti yang dipimpinnya di kawasan itu.

Menurut Arshad, Abdul Khalid juga bersikap bias terhadap para pengundi dan hanya menjaga mereka yang berkepentingan dengan masa depan politik Menteri Besar itu sahaja, selain mengabaikan pihak yang banyak membantu dan memilihnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok serta Menteri Besar Selangor ketika ini.

Namun, jika difikirkan, apa yang dilontarkan oleh Arshad itu merupakan sebahagian daripada episod kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan negeri itu pada hari ini.

Paling terbaru dalam episod 'kecewa' di Selangor melibatkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor yang terpaksa 'berputih mata' apabila tanah sumbangan kerajaan negeri sebelum ini seluas 876 hektar di Serendah, Rawang akan ditarik balik oleh kerajaan negeri walhal tunggakan 13 tahun cukai tanah sebanyak RM5.7 juta telah pun dijelaskan oleh yayasan itu dengan bantuan Yayasan Melaka.

Apa yang menjadi persoalan adalah syarat pembayaran tunggakan cukai berkenaan ditetapkan oleh kerajaan negeri sendiri, sekiranya yayasan itu mahu menjalankan rancangan pembangunan serta membasmi kemiskinan di Selangor, termasuk pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Akan tetapi, kenapa kerajaan negeri boleh menolak bayaran tersebut dan mengatakan YBK gagal membayar tunggakan cukai berkenaan. Soalnya, apakah agenda sebenar di sebalik keputusan kerajaan negeri?.

Adakah kerajaan negeri mempunyai agenda lain ke atas tanah tersebut lebih-lebih lagi apabila Abdul Khalid mengalihkan isu tersebut dengan mengaitkan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini gagal meminta bayaran cukai tanah tersebut daripada YBK yang telah banyak membantu meningkatkan taraf sosial rakyat di Selangor sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

Malah lebih menimbulkan tanda tanya apabila Abdul Khalid sendiri tidak menolak kemungkinan bahawa kerajaan negeri sedia memberi tanah berkenaan kepada pihak lain yang berminat untuk tujuan pembangunan sekiranya ada permohonan dibuat mengikut prosedur serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Pengerusi YBK, Zainal Abidin Sakom dalam laporan akhbar pada 28 Januari lalu menjelaskan bahawa tunggakan cukai tanah itu berlaku bukan atas kehendak yayasan itu sendiri. Sebaliknya, ia disebabkan yayasan itu mempunyai kesukaran dari segi kemampuan kewangan.

Jelas, Zainal Abidin, pihaknya memang tidak mampu membayar cukai tersebut kerana peruntukan yang ada hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian 300 orang anak yatim di bawah tanggungan yayasan itu pada ketika ini.

Menurutnya, dengan pembinaan kampus UiTM di atas tanah berkenaan, Zainal Abidin memberi jaminan yayasan itu akan menyelesaikan tunggakan tersebut sebaik sahaja pembangunan kampus UiTM yang bernilai RM300 juta itu siap dengan syarat kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran tunggakan cukai tanah itu yang berakhir pada 29 Januari lalu.

Di sebalik dua isu berkenaan, apa yang jelas dilihat kerajaan negeri hari ini termasuklah Abdul Khalid sendiri lebih cenderung memilih untuk berpolitik serta mencari keuntungan baik dari segi wang ringgit mahupun sokongan politik daripada memikirkan soal kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Sebagai sebuah kerajaan yang memimpin negeri, kepimpinan Selangor harus faham bahawa untuk menguruskan sebuah kerajaan dan rakyat meliputi pelbagai lapisan masyarakat dan status ekonomi, mereka tidak seharusnya berlagak seolah-olah menguruskan sebuah syarikat korporat yang hanya mahu mencari peluang keuntungan semata-mata.

Sebaliknya, mereka juga harus memikirkan peranan mereka untuk menjaga kebajikan rakyat tidak mengira apa bentuknya sama ada sosial, ekonomi dan sebagainya yang ada kalanya tidak membawa apa-apa keuntungan ke dalam poket kerajaan negeri.

Ini kerana, tugas menjaga kebajikan rakyat termasuk golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) seperti yang dilaksanakan oleh YBK itu merupakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat yang harus dipikul oleh kerajaan negeri.

Malah, tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat itu merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan dan ia tidak boleh dibuat 'ikut sedap tekak' kerajaan negeri atau mengikut sokongan politik semata-mata.

Dalam masa yang sama, sekiranya ada pihak yang tidak berkepentingan seperti YBK sedia membantu kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat, maka pihak itu seharusnya dibantu, selain mengadakan kerjasama yang baik bagi memastikan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat tercapai, bukannya mengambil sikap memusuhi badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Ini kerana, penglibatan NGO itu sebenarnya banyak membantu tugas kerajaan negeri selain menjimatkan masa, guna tenaga serta kos tanggungan kerajaan negeri sendiri dalam menguruskan kebajikan rakyat di Selangor.

Sebagai contoh, sekiranya membelanjakan peruntukan menguruskan kebajikan rakyat sebanyak RM10 juta setahun, dengan adanya NGO berkenaan kos itu mungkin boleh dikurangkan sekurang-kurangnya antara 20 hingga 30 peratus setiap tahun.

Ini kerana, NGO berkenaan seperti YBK memiliki tenaga, kepakaran serta dana sendiri dalam menjalankan program kebajikan rakyat dan ada kalanya mendapat sedikit bantuan daripada pihak lain termasuk kerajaan negeri seperti sebelum ini.

Malah, NGO tersebut sebenarnya mampu memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kepada kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat mengenai situasi sebenar keadaan kebajikan di Selangor mengikut kawasan tertentu.

Peranan itu pada akhirnya akan memudahkan kerajaan negeri membuat perancangan serta dasar untuk kemakmuran rakyat.

Sehubungan itu, apa yang terbaik adalah kerajaan negeri tidak harus mengaitkan segala yang berkaitan pentadbiran dengan politik hanya kerana mahu mengekalkan kuasa, selain mengamalkan sikap menyalahkan orang lain sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran di negeri Selangor.

Adalah lebih baik jika kerajaan negeri mendalami titah Sultan Selangor, Sultan Saharafuddin Idris Shah yang pada 12 Disember lalu melahirkan rasa bimbang dengan situasi di negeri itu yang lebih mengutamakan kepentingan politik daripada agenda pembangunan.

Baginda turut meminta pihak tertentu termasuk kerajaan negeri tidak banyak bercakap, tetapi hendaklah melaksanakan perkara-perkara berfaedah kepada rakyat.

Titah baginda itu ada benarnya kerana tindakan kerajaan negeri yang sering membesar-besarkan sesuatu isu termasuk mencampuradukkan isu rakyat dengan politik telah mencetuskan suasana yang tidak sihat kepada pembangunan di Selangor.

Jadi, sekiranya kerajaan negeri melaungkan slogan 'negeri berkebajikan' dan 'merakyatkan ekonomi Selangor', mereka harus melaksanakan tanggungjawab dengan wajar, adil tanpa membeza-bezakan rakyat termasuk fahaman politik masing-masing.

Ini kerana, slogan itu tidak membawa sebarang makna kepada rakyat sekiranya kerajaan negeri tidak melaksanakannya apa yang dinobatkan itu.

Suara Politik
Taminsari