SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng seharusnya mencermin diri dan parti itu terlebih dahulu sebelum dengan mudah menyamakan Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana mendakwa ia bersikap perkauman dan menyebarkan fitnah.
Sebenarnya, tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kenyataan Guan Eng itu kerana kalau dikaji, orang ramai boleh menilai siapa sebenarnya seperti penjahat. Jika Guan Eng menuduh Utusan Malaysia bersikap perkauman, bagaimana dengan parti DAP itu sendiri, apakah selama ini mereka tidak bersikap perkauman? Bagaimana dengan tindakan mereka ketika pilihan raya umum lalu yang berkempen bahawa kalau mengundi Gerakan dan MCA di Pulau Pinang ia sama seperti memberi kuasa kepada UMNO.
Apakah bukan satu tindakan seperti penjahat, apabila berkuasa sahaja Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Guan Eng melarang akhbar Utusan Malaysia dan sebuah lagi akhbar arus perdana daripada menghadiri acara-acara kerajaan negeri? Tidakkah tindakan tersebut boleh dianggap seperti penjahat kerana menghalang kebebasan media sedangkan Guan Eng dan rakan-rakannya dalam pakatan pembangkanglah yang begitu beria-ia bercakap soal kebebasan tersebut.
Kalau Guan Eng berfikiran terbuka sudah tentulah, beliau tidak akan menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Malah tindakan yang sama juga berlaku apabila pembangkang menguasai Perak selama 11 bulan. Sepanjang tempoh itu, DAP bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menghalang akhbar ini menghadiri majlis Kerajaan Negeri Perak.
Apakah boleh diterima apabila Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dari parti itu, Koid Teng Guan yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas memperlekeh dan menghina Barisan Nasional (BN) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sedang rancak berjalan, baru-baru ini.
Tidakkah perbuatan Teng Guan boleh menyinggung perasaan orang apabila dalam SMS yang ditulis dalam bahasa Cina, dia menyeru rakyat Pulau Pinang untuk 'kebumikan' BN dan bersembahyang untuk roh mereka pada perayaan 'Qing Ming'. Walaupun Teng Guan sudah memohon maaf tetapi adakah Guan Eng yang ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abd. Aziz membiarkan sahaja wakil rakyat seumpama itu?
Apakah seseorang itu tidak boleh disamakan seperti penjahat apabila sebagai seorang yang berkuasa dalam sesebuah parti membiarkan sahaja ahli-ahlinya melakukan perbuatan biadap memijak gambar-gambar wakil rakyat yang mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat Bebas di Perak.
Penulis hanya mengambil beberapa contoh bagi menunjukkan bagaimana Guan Eng tidak layak untuk sewenang-wenangnya menyamakan mana-mana pihak termasuk akhbar ini seperti penjahat. Hakikatnya, Guan Eng harus mengaku sahaja bahawa beliau sebenarnya bimbang dengan laporan-laporan akhbar seperti Utusan Malaysia yang boleh membuatkan rakyat mengetahui fakta sebenarnya.
Kalau hendak bercakap soal perkauman, Guan Eng sepatutnya mengkaji dahulu laporan-laporan akhbar Cina, apakah mereka itu tidak perkauman? Adakah kerana memperjuangkan nasib sesuatu kaum itu apatah lagi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara dianggap perkauman? Bagaimana pula dengan akhbar-akhbar Tamil yang turut memaparkan masalah masyarakat India, adakah itu tidak perkauman?
Menuduh sesuatu media mengamalkan perkauman adalah taktik yang acap kali digunakan oleh parti pembangkang bagi mengelakkan rakyat terus membaca akhbar-akhbar arus perdana yang hanya menyiarkan kebenaran dan fakta sebenar berhubung sesuatu perkara serta mendedahkan dakyah pembangkang. Oleh itu, istilah perkauman dan fitnah yang digunakan oleh Guan Eng boleh dipertikaikan kerana sasaran serangan Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya kepada Utusan Malaysia bukannya akhbar-akhbar berbahasa Cina atau Tamil.
Kalau Guan Eng berniat baik hendak menasihatkan orang supaya 'menjauhi penjahat', maka beliau juga harus bersedia bersikap baik bagi memperbetulkan semula kenyataannya berhubung perkara itu. Ia memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz telah menafikan bahawa beliau hanya menegur Utusan Malaysia berkenaan isu perkauman, sebaliknya peringatan supaya menjaga sensitiviti kaum itu ditujukan kepada semua pengamal media di negara itu.
Bukankah kenyataan bahawa Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi dibuat bagi mengulas kenyataan Nazri yang terdahulu? Seperkara lagi, tidak perlulah Guan Eng berfikiran dangkal apabila mendakwa tindakan akhbar ini telah mempengaruhi media massa lain sehingga sesetengah blog kini turut menyebarkan berita dan artikel berunsur fitnah.
Inilah sikap yang bak kata orang, 'gajah di seberang nampak, kuman di depan mata tidak nampak'. Guan Eng harus lebih banyak menghabiskan masa untuk mengkaji blog- blog. Melalui tindakan itu beliau akan mendapati berapa banyak blog pro pembangkang yang menyebarkan fitnah kepada kerajaan dan media arus perdana.
Tetapi malangnya Guan Eng mungkin tidak akan berbuat demikian kerana beliau tahu terdapat banyak blog dan media baru yang bukan sahaja menyokong DAP serta parti pembangkang tetapi lebih banyak menyiarkan artikel-artikel bersikap perkauman. Berdasarkan hujah itu, seruan Guan Eng supaya akhbar ini lebih bertanggungjawab kerana laporan yang dibuat boleh merosakkan perpaduan negara tidak perlu dilayan.
Biarlah Guan Eng fikirkan sendiri wajar atau tidak kenyataan sedemikian, sedangkan pada masa yang sama lebih banyak media lain yang dilihat bersikap perkauman. Apa pun hujahnya, demikianlah sikap pemimpin-pemimpin DAP dan parti pembangkang. Mereka lebih suka mencari salah orang lain daripada mengkaji kelemahan diri sendiri.
Bagi pemimpin seperti Guan Eng dalam apa juga hal hanya mereka sahaja yang betul, mereka sahaja tidak perkauman dan mereka sahaja bercakap benar. Tetapi Guan Eng tidak harus lupa banyak tindak-tanduk DAP sama ada di peringkat pusat mahupun di Pulau Pinang boleh membuka laluan untuk mana-mana pihak (termasuk dalam blog-blog dan ahli politik) untuk menyamakan parti itu ''seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana ia bersikap perkauman dan menyebarkan fitnah.''
Sama ada persepsi itu benar atau tidak, ia soal kedua memandangkan persepsilah yang memungkinkan parti pembangkang memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu termasuk di Pulau Pinang.
Sumber : ZULKIFLEE BAKAR
Suara Politik
Taminsari
8 ulasan:
Salam,
Kalau surat khabar Melayu tak ada salahnya tulis mengenai kepentingan Melayu. Kalu surat khabar Melayu tak tulis surat khabar Tamil dan berbahsa cina ke mahu tulis?. DAP ini dari dulu hingga kini perangai rasis tak ubah, dah jadi darh daging mereka. Tengok sajalah pakaian parti mereka sama dengan parti PAP tak ada ciri malaysian pun tapi kata Malaysian malaysia...hahahha!.Parti DAP ini sepatutnya diharamkan selepas peristiwa 13 Mei dulu. Kita ini amat berlembut sangat. Kadang kala kena belajar cara LKY Singapura mendidik mereka ini dengan cara paksa terima perubahan. Fahaman rasis yang asas adalah sekiranya "sesuatu kaum memikirkan merekalah yang terpandai dari kaum-kaum yang lain" sudah jadi rasis. Kita tanya siapa yang rasis sebenarnya di negara ini...jawapannya DAP!
Kewartawanan arus perdana di Malaysia belum lagi mati, walaupun ada cubaan mahu membunuhnya. Walaupun ada cubaan mahu membunuh Utusan Malaysia, akhbar berpengaruh rakyat Malaysia yang mahu disenyapkan terus.
Di Malaysia sesiapa yang berpengaruh akan dibunuh sehingga mati. Istilah sains politiknya disebut pembunuhan karekter. Tun Mahathir Mohamad pernah dicap sebagai Maha Firaun dan bermacam lagi panggilan nista yang membunuh. Pembunuhan jenis ini bukan sahaja dilakukan ke atas manusia, tapi juga kepada organisasi.
Itulah niat orang tertentu apabila menuduh akhbar keramat ini sebagai akhbar rasis. Orang ramai yang tidak tahu peranan sebenar akhbar berusia 71 tahun ini akan menerima masak-masak tuduhan itu. Itulah yang dinamakan pembunuhan karekter. Akhbar ini diharamkan memasuki Singapura sekian lama kerana republik itu tidak mahu orang Melayunya terpengaruh dengan pengaruh akhbar itu. Kini di Pulau Pinang akhbar ini diharamkan dibaca oleh kakitangan kerajaannya. Begitu juga di negeri Selangor. Bagaimanapun, terima kasih Kedah dan Kelantan yang tidak mengambil pendekatan ala cauvanis itu.
Bagi orang yang tidak faham dengan sepak terajang politik, itulah politik. Permainan perang psikologi untuk menundukkan musuh.
Salam perjuangan
Salam Ziarah dan Salam perjuangan,
Tahniah atas paparan ini.
DAPlah yang paling bangga selepas Konvensyen Pakatan Rakyat. Kisah dan sejarah mentalak PAS dalam Barisan Alternatif selepas PRU 2004, padam dan hangus.
Konvensyen PR 19 Dec yg lalu menyebut TWO Parti System secara halus atau "delicate" yang tidak disedari oleh PAS akan menyapu bersih idelogi PAS ke dalam Tong Sampah.
Bayangkan Israel dan Amerika berunding dengan Fatah dan Hamas dengan mengenepikan MASALAH POKOK IATU BAITULMAKDIS DAN MASJID AL AQSA. Rundingan Kem David berulang kali gagal kerana penafiah masalah pokok.
Begitulah Konvensyen PR ala Kem David. PKR dan DAP mengenepikan ideologi dan idealisma PAS yang ingin menegakkan "Sistem Kerajaan Islam" . Pas mengiya dan menuruti saja segala kehendak DAP dan PKR. Paling DAP gemari ialah statment TGNA yg mengatakan dia "terlalu jijik menghampiri UMNO" dan "Di dada Karpal ada Bulan". Berdentum dewan konvensyen PR.
Tidak cukupkan iktibar dari Palestine dalam rindingan Kem David dan pelbagai rundingan lagi, Perundingan Muawiayah dengan Khalifah Ali (AS) atau nak ditayangkan semula kehidupan Omar Mokhtar slepas kecundang dalam meja rundingan... PAS terlalu lemah dan vulnerable dari segi kuasa negosiasi dalam Pakatan rakyat. Semua tandatangan saja..walaupun mereka mempunyai kekuatan idealisma dalam politik negara, mereka kelihatan seperti "Pak Turut" kepada gagasan yg bertentangan dengan idealisma Parti mereka. Kalu ini bukan diperalat saya tak tahu apa lagi.
Sampai bila PAS menyedari keadaan ini? Bila leher mereka terjerut?
Utusan Malaysia dituduh akhbar yang mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian kaum. Lebih ekstrem lagi, akhbar ini dilabelkan sebagai penjahat. Jika akhbar itu penjahat bermakna wartawan, kolumnis dan juga penulis akhbar ini juga penjahat.
Persoalan saya, apakah akhbar tabloid parti ultra kiasu dan parti-parti politik perkauman lain dan mereka yang bersekongkol tidak jahat?
Parti ultra kiasu dan kuncu-kuncunya bukan sahaja jahat, tetapi terang dan nyata lagi berniat jahat dengan menolak kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan serta mencabar perkara-perkara sensitif yang telah dipersetujui bersama. Rakan sekutu parti ultra kiasu langsung tidak berani bersuara kerana takut hilang sokongan.
Bila mereka tidak dapat apa yang dihajatkan maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah mendapatkan simpati. Rakan-rakan perkauman mereka dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya mempunyai pendirian yang sama. Mereka pandai berstrategi. Ultra kiasu menyalak di luar, di dalam rakan-rakan mereka menjalankan kerja. Mereka sebenarnya senada. Cuma kita masih terlepas pandang.
Saya tidaklah menyatakan bahawa Utusan Malaysia semuanya baik. Tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia, kecuali Allah SWT dan Rasul-Nya. Ingatan saya kepada ultra kiasu, janganlah gajah depan mata tidak nampak, kuman seberang laut jelas kelihatan. Berpada-padalah dalam memberikan pandangan. Jangan asyik nampak kesalahan orang lain, tanpa muhasabah diri.
Dalam memahami politik Malaysia, isu-isu perkauman dibangkitkan untuk mendapatkan sokongan politik dan menyedarkan kaum masing-masing siapa mereka dan apa yang sepatutnya diperolehi. Manakala isu-isu sensitif dibangkitkan untuk mendapatkan hak sama rata dan sama rasa bagi kumpulan ultra kiasu. Mereka tahu perkara ini tidak boleh dibangkitkan secara terbuka kerana ia boleh dikenakan tindakan di bawah akta hasutan. Mereka sengaja mahu menguji UMNO yang ketika ini berada dalam keadaan agak tertekan disebabkan tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan perpecahan Melayu Islam.
bersambung 1....
sambungan 1...
Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti tahu bahawa konsep sama rata dan sama rasa tidak menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan, walaupun konsep Malaysian Malaysia yang selalu dilaung dan didesak oleh parti ultra kiasu. Ingat, agama Islam agama majoriti masyarakat negara ini. Jika ada 'kelebihan' pada agama Islam, ia bukanlah satu diskriminasi kerana selaku majoriti, Melayu Islam berhak, apatah lagi ia telah dipersetujui melalui kontrak sosial. Tidak perlu dipertikaikan atau dituduh tidak adil.
Untuk mengelakkan daripada parti ultra kiasu ini menjadi bertambah jahat, setidak-tidaknya kita mesti menggariskan formula bagi menyelesaikan kejahatan ini. Formula saya adalah berasaskan kepada pecahan statistik agama dan bangsa di negara ini. Mengikut bancian tahun 2000, anutan agama rakyat Malaysia adalah seperti berikut 60.4 peratus Islam, 40 peratus bukan Melayu (12 peratus-Buddha-Taoisme- Konfusius, 9 peratus Kristian, 6 peratus Hindu, 3 peratus lain-lain). Formula ini boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan bernegara termasuk hak-hak beragama dan sambutan perayaan setiap kaum, bagi mendapatkan keadilan. Formula ini menepati sebahagian maksud keadilan dalam Islam yang membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya walaupun tidak sepenuhnya.
Atas dasar toleransi, formula ini boleh dikatakan langsung tidak diterima pakai, sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.
Saya fikir, umat Islam di negara ini amat berlembut dan bertoleransi tinggi. Upacara perayaan keagamaan dan kematian begitu beradab serta mudah. Jalan raya tidak sesak. Kuburnya begitu kecil.
Formula yang saya sebutkan perlu dijadikan panduan. Adakah adil bila mana bilangan orang bukan Islam tidak ramai, tetapi kubur mereka menenggelamkan kubur orang Islam. Pernahkah kita bertanya pandangan orang Islam dan sensitiviti mereka? Mereka yang mempunyai wang akan membina kubur setinggi-tinggi dan seluas-luas serta secantik-cantik kubur dengan patung-patungnya yang didirikan saujana mata memandang. Sedangkan kubur orang Islam, apa jua kedudukannya, kuburnya amat sederhana kerana Islam tidak percaya kepada reka bentuk kubur. Tiada kubur pun tidak ada masalah. Apa yang penting ialah iman dan takwa yang dibawa ke alam kubur atau barzakh.
Contoh lain, seorang profesor Kristian di tempat kerja saya berhujah dengan saya baru-baru ini. Katanya, hak beragama mesti berasaskan formula sama rata sama rasa. Antara contoh yang diketengahkan ialah jika ada kelas baca yasin dan solat Jumaat untuk pelajar-pelajar Islam, maka pelajar Kristian mesti diberikan hak yang sama untuk mempelajari agama mereka dan membawa paderi masuk.
bersambung 2...
sambungan 2...
Bacaan
Saya katakan kepada beliau, bacalah kitab masing-masing ketika itu, lagipun bacaan yasin dan solat jumaat bukanlah 'kelas agama' ia adalah tanggungjawab individu Islam. Kalau ada kelas agamapun untuk orang Islam, tidak semesti orang bukan Islam sama keadaannya. Tambahan pula, bilangan pelajar Kristian atau bukan Islam amat sedikit bilangannya, cukup dengan kemudahan yang telah disediakan selama ini. Profesor ultra kiasu ini dengan nada beremosi mengatakan itulah adalah hak mereka yang mesti ditunaikan. Saya jawab, apakah hak mereka selama ini tidak ditunaikan? Apakah kita pernah menghalang mereka untuk ke gereja setiap hari ahad? Jangan bandingkan dengan umat Islam kerana cara ibadat kita berbeza. Keperluan kita berbeza. Begitu juga dengan keperluan sembahyang jamaah.
Justeru, konsep sama rata dan sama rasa hendaklah berasaskan formula yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan pecahan kaum (agama). Marilah kita melakukan perubahan sebelum terlambat. Jangan akhirnya nanti agama kita merempat di bumi sendiri. Ketika itu sudah terlambat.
Lihat pula dalam toleransi politik. Terbaru, Gerakan begitu marah dengan cadangan UMNO agar kerusi pengerusi BN digilirkan di Pulau Pinang kerana UMNO mempunyai kerusi majoriti. Pengerusi Gerakan dan BN Pulau Pinang berkata, kerusi pengerusi BN telah disandang selama 35 tahun. Kenapa perlu diserahkan kepada orang lain? Persoalan saya, jika UMNO boleh korbankan kerusi parlimen Gerik, kenapa tidak Gerakan? Siapakah yang lebih bertoleransi dan bersifat memberi?
Saya masih ingat, setelah sekian lama UMNO bertanding di parlimen Gerik, kawasan majoriti Melayu, tiba-tiba kerusi itu diserahkan kepada Gerakan. Bekas Menteri Besar Perak ketika itu sedih untuk melepaskan kerusi tersebut. Tetapi disebabkan oleh semangat setiakawan dan kerjasama dalam BN, UMNO terpaksa tunduk dan patuh dengan menyerahkan kerusi Gerik kepada Gerakan. Majoriti Melayu terpaksa mengundi bukan Melayu (Gerakan) walaupun pahit. Inilah sifat mulia Melayu Islam. Adakah toleransi ini dihargai? Ibarat anjing menggigit tuannya, masihkah kita ingat bahawa Ahli Parlimen Grik Gerakan inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa Melayu itu juga adalah pendatang?
Kenapa Gerakan terlalu kuat menentang? Mereka takut selepas ini kerusi Ketua Menteri akan terlepas kepada UMNO jika ditakdirkan BN memerintah semula. Pokok pangkalnya semua kuasa, kuasa, kuasa dan sikap ultra kiasu. Semua meletakkan kepentingan bangsa di hadapan bukannya kepentingan nasional. Kalau inilah cara pembawaannya, saya fikir, gagasan 1Malaysia terlalu jauh untuk dicapai. Ia hanya akan diperalatkan oleh mereka bersikap musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Pada mereka kuasa bangsa mesti dipertahankan walaupun apa jua alasan dan cabaran mendatang. Persoalan saya, siapakah yang sebenar penjahat dan lebih jahat?
Dr.Mohd Ridhuan Tee
Salam perjuangan
Kita semakin didendangkan dengan irama RASIS sejak kebelakangan ini. Pihak-pihak pembangkang terutamanya DAP seringkali menuduh bahawa parti Umno telah menyemai fahaman RASIS didalam media arus perdana seperti Utusan dan sewaktu dengannya.
Manakala dipihak Pas pula seringkali mengaitkan semangat kebangsaan yang diungguli oleh Umno adalah merupakan sifat Assobiyah yang mempunyai sama makna dengan RASIS juga. Umno dituduh mengamalkan sifat perkauman sempit yang menindas kaum lain didalam negara ini melalui media semasa.
Apakah semua ini benar ataupun ianya merupakan satu lagi agenda percaturan politik pihak pembangkang untuk memburukkan persepsi masyarakat terhadap Umno?
Didalam negara ini, jika mahu dibandingkan RASISnya akhbar-akhbar berbahasa cina dengan media yang berbahasa melayu adalah seperti langit dengan bumi. Jika siapa yang boleh berbahasa cina pasti akan dapat melihat betapa hasutan dan juga pemainan perkauman adalah lebih teruk didalamnya berbanding dengan akhbar-akhbar melayu.
Baru-baru ini Lim GE telah menuduh akhbar Utusan menyampaikan agenda RASIS didalam memberi maklumat kepada rakyat. Ini disahut pula oleh kelompok melayu-melayu didalam Pas dan PKR yang selama ini tidak menyenangi berita kebenaran yang disampaikan didalam akhbar tersebut.
Tetapi tiada siapa pun yang berani mendedahkan dan mengungkapkan sentimen perkauman yang galak dimainkan didalam akhbar cina.
Sikap RASIS yang dimainkan didalam akhbar-akhbar utama cina tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. Sentimen memperjuangkan kebudayaan cina dan juga identiti bangsa cina amat tebal didalam setiap penulisan mereka sejak dari merdeka lagi.
Apakah fungsi sebenar Kementerian Dalam negeri tentang isu ini? Jika akhbar berbahasa melayu yang memainkan isu yang disifatkan perkauman, begitu cepat sekali mereka bertindak. Tetapi didalam kes akhbar berbahasa cina ini, nampak seperti mereka hanya menutup sebelah mata sahaja.
Apakah tidak cukup penterjemah dan juga pakar bahasa didalam KDN hingga membiarkan ketidak adilan ini berlaku? Jika didalam penerbitan akhbar berbahasa melayu, bukan main pantas lagi mereka mengambil tindakan menggantung permit dan dikenakan ancaman penjara dan denda kerana menyalahi peraturan. Tetapi sebaliknya pula berlaku kepada akhbar cina.
bersambung...
sambungan..
Mengapa ini pula yang terjadi? Apakah wujud sikap "double standart" didalam peraturan KDN? Ataupun semua ini hanya untuk menunjukkan bahawa sikap belas kasihan kepada bangsa minoriti itu di negara ini didalam soal penyebaran maklumat?
Tindakan memberi kebebasan total kepada akhbar berbahasa cina sebeginilah yang mendorong pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng menghentam akhbar berbahasa melayu seperti Utusan.
Begitu juga kesempatan sama yang diambil oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang lainnya didalam turut sama memperlekehkan medium rakyat ini.
Mereka melihat bahawa akhbar berbahasa melayu seperti Utusan ini tidak mempunyai "pelindung" sepertimana akhbar-akhbar berbahasa cina mereka. Mereka juga berasakan tulisan-tulisan perkauman didalam akhbar mereka itu "kebal" kerana selama ini tidak pernah pun ada tindakan yang diambil kepada mereka.
Ingatkah lagi semua perihal wartawan yang menulis didalam sebuah akhbar berbahasa cina tentang isu ucapan "pendatang" oleh Dtuk Ahmad Ismail? Lihat sahaja betapa wartawan cina ini dijaga dan diberi perlindungan diatas permainan perkauman yang dibuat sewaktu kes ini heboh diseluruh negara.
Cuba jika isu yang sama ditulis pula oleh wartawan akhbar berbahasa melayu. Tentunya dia akan diambil tindakan dan akhbar itu akan di cop sebagi RASIS dan juga menyampaikan berita bersifat subversif kepada rakyat.
Inilah sebenarnya yang membezakan kebebasan media berbahasa melayu dengan lain-lain media dinegara ini. Kita hanya disarankan untuk tidak mencalarkan hati bangsa lain sedangkan secara tak sedar sentimen perkauman lebih rancak dimainkan dikalangan akhbar bukan melayu.
Dipihak kita, akhbar dan media semasa harus menjaga hati semua kaum. Tetapi yang diamalkan dipihak mereka hanyalah berpaksi kepada kepentingan serta kehendak bangsa mereka sahaja.
Sampai bilakah ini harus dibiarkan berterusan? Siapa pula harus dipersalahkan.
Wallahuallam
Catat Ulasan