Ahad, Disember 27, 2009

Usah terlalu kagum teori kontrak sosial versi Barat !





















Teori kontrak sosial yang menjadi salah satu teori utama menghurai kewujudan negara yang perlu difahami ialah asas dan semangat kontrak sosial itulah yang menjadi landasan kewujudan kontrak sosial kita. Justeru, tidak timbul soal pemimpin memutarbelitkan makna kontrak sosial daripada pencipta asalnya.

Perlu difahami, tiada satu pun teori dalam dunia ini dapat diikuti sepenuhnya. Latar belakang sejarah dan budaya sesebuah negara mesti diambil kira. Malah, negara Barat sendiri tidak dapat mengikut sepenuhnya erti kontrak sosial yang diteorikan oleh pencipta asalnya.

Teori kontrak sosial menjelaskan negara dibentuk atas kehendak dan kesediaan anggota masyarakat mengadakan kontrak bagi menjaga kepentingan dan keselamatan umum. Dalam teori ciptaan tuhan (negara teokrasi) menyatakan tuhan memberi mandat kepada raja untuk memerintah rakyat dan tuhan jugalah yang mencabut balik mandat kekuasaan apabila raja dianggap tidak memerintah dengan adil.

Sebaliknya, teori kontrak sosial yang ideanya muncul pada era pencerahan di Eropah memartabatkan 'rasionalisme', 'humanaisme' dan 'realisme' sebagai alur pemikiran utama. Ia meletakkan manusia sebagai pusat gerak dan segala peristiwa dunia, bukannya tuhan. Sebagai umat Islam kita tidaklah berpendirian demikian.

Kita akur bahawa Sahifah Madinah yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian kontrak sosial di antara orang Islam dan orang bukan Islam (Yahudi) meletakkan kebesaran dan kekuasaan Allah sebagai landasan utama pembentukan perlembagaan terbabit.

Dalam membincangkan teori kontrak sosial, pemikiran Thomas Hobbes, John Locke, dan Jean Jacques Rousseau perlu dirujuk kerana mereka dianggap pencetus idea kontrak sosial. Hobbes (1588-1679) menyatakan tindakan manusia secara kudratnya digerakkan oleh hasrat nafsu (appetite) dan keengganan (aversion).

Appetite manusia adalah hasrat terhadap kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan. Aversion manusia pula adalah keengganan untuk hidup sengsara dan mati. Hasrat manusia tidak terbatas tetapi pada masa sama ia tidak mahu hidup sengsara.

Kuasa antara sesama manusia menyebabkan kehidupan menjadi tidak aman. Penyelesaiannya ialah manusia mencipta 'kondisi buatan' (lawan kepada kondisi alamiah), iaitu apa yang dinamakan keperluan sivil.

Ini bermakna anggota masyarakat bersedia untuk bersetuju dan bersepakat untuk melepaskan hak-hak mereka dan memindahkannya kepada badan atau lembaga (organisasi) yang diberi kuasa tertentu bagi maksud menjaga kesepakatan itu supaya keselamatan rakyat terpelihara.

Locke (1632-1704) pula menyatakan, walaupun kudrat manusia adalah sama antara satu sama lain, manusia tidak ingin memenuhi hasrat dengan kuasa tanpa mempedulikan manusia lain. Menurut Locke, pada prinsipnya akal manusia mengajar bahawa ia tidak perlu melanggar dan merosak kemerdekaan dan kehidupan orang lain.

Locke melihat bahawa dalam kondisi alamiah sudah wujud pola pengaturan dan hukum alamiah yang teratur dan manusia mempunyai akal yang dapat menentukan apa yang benar, apa yang salah.

Menurutnya, huru-hara, kekacauan dan kemusnahan muncul kerana wujud beberapa golongan yang akalnya dipandu oleh dorongan dan kepentingan peribadi. Masalah tidak akan lahir sekiranya setiap orang dipandu akal murninya tetapi Locke sedar bahawa disebabkan agenda peribadi oleh mereka yang mengejar dan memiliki kuasa menyebabkan berlakunya onar di dalam masyarakat. Untuk itu kontrak sosial diperlukan. Melalui kontrak sosial ini anggota masyarakat bersedia menyerahkan sebahagian haknya.

Dalam tulisannya An Essay Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government dalam Social Contract (Oxford University Press, 1960) beliau menjelaskan pemerintah dan masyarakat tidak hanya diikat dalam hubungan kontrak, malah hubungan saling mempercayai (fiduciary trust).

Wujud tiga pihak dalam hubungan saling mempercayai iaitu orang yang mencipta kepercayaan (the trustor), orang yang diberi kepercayaan (the trustee) dan mereka yang memperoleh manfaat daripada pemberian kepercayaan itu (the beneficiary).

Perjanjian (kontrak) berlaku antara 'trustor' dan 'trustee' sedangkan antara 'trustee' dan 'beneficiary' tidak terjadi kontrak sama sekali. Namun, menurut Locke, masyarakatlah yang dapat bertindak sebagai 'trustor' sekali gus 'beneficiary'. Apa yang jelas ialah kewajipan dan kepatuhan masyarakat kepada pemerintah akan bertahan selama pemerintah masih dipercayai.

Apabila hubungan kepercayaan (fiduciary trust) terhakis dan musnah, maka pemerintah akan kehilangan kuasa untuk melaksanakan apa yang dimahukannya. Rousseau (1712-1778) pula menegaskan pada dasarnya manusia itu sama tetapi persekitaran serta faktor moral menciptakan ketidaksamaan.

Hasilnya, timbul hak-hak istimewa yang dimiliki golongan tertentu. Situasi inilah yang akhirnya membentuk organisasi sosial dalam masyarakat. Malangnya sering berlaku organisasi sosial diperkudakan oleh mereka yang berkuasa untuk menindas yang lain. Untuk menghindari keadaan ini, maka masyarakat melaksanakan kontrak sosial berasaskan kehendak bebas daripada semua semata-mata bagi mewujudkan keadilan untuk semua.

Rousseau menegaskan lembaga legislatif harus mengutamakan kehendak umum daripada kehendak semua. Kehendak bebas harus tercipta daripada kualiti kehendaknya, bukannya daripada kuantiti orang yang berkehendak (Social Contract, Oxford University Press, 1960).

Apa yang dipaparkan di atas di kira memadai untuk memahami betapa pentingnya kewujudan kontrak sosial dalam kehidupan bernegara. Apalah salahnya kita melaksanakan versi kontrak sosial kita yang sudah wujud sejak merdeka kerana ia terbukti memberi manfaat kepada semua serta dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.

Jangan terlalu ideal dengan kontrak sosial pencipta asalnya. 'Lain padang lain belalangnya'. Selama ini kontrak sosial negara sudah cukup adil kepada semua. Jangan seperti 'tikus membaiki labu', nanti 'yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran' dan negara menjadi kucar kacir.

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

sumandak bayu berkata...

Salam bro..

Nilah yang harus difahami oleh semua orang yang jelas cuba dimanipulasikan oleh pihak yang ade kepentingan diri..

sumandak bayu berkata...

bro.. mohon izin untuk sumandak copy n paste dalam blog sebab isu ni sering kali dipersoalkan dan tak de yang lebih jelas dalam penerangannya...

TQ ye

Taminsari berkata...

Salam Sumandak Bayu..apa khabar..Lama tak dengar berita. Tak ada masalah, silakan..

Salam perjuangan..