Sabtu, Februari 28, 2009

Bantah guna perkataan ‘Allah’!

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria terkejut dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Tokoh Maal Hijrah itu menegaskan Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan berbeza dengan agama lain.

“Mengapa hendak bertolak-ansur sangat dalam hal ini? Kalau ikut enakmen jabatan agama islam negeri pun memang tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia hari ini mendesak kerajaan membatalkan semula pewartaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah pewartaan tersebut mampu mencetuskan kegelisahan di kalangan orang Islam.

“Keputusan itu juga dilihat melanggar arahan Jemaah Menteri yang dibuat pada 19 Mei 1986,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainul Rijal memberitahu, mahkamah sepatutnya tidak membenarkan penggunaan kalimah tersebut bagi digunakan oleh orang bukan Islam, tambahan lagi 10 buah negeri telah menggubal undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Enakmen tersebut memperuntukkan adalah menjadi kesalahan menggunakan kalimah tersebut untuk kegunaan orang bukan Islam.

Dalam perkembangan sama, Zainul Rijal memberitahu, mahkamah tidak sepatutnya mengatasi keputusan Jemaah Menteri dan undang-undang yang diperkenankan oleh raja Melayu.

‘‘Hal ini seolah-olah ingkar dengan titah perintah raja yang melibatkan hal ehwal agama Islam,” katanya.

Di PULAU PINANG pula, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya terkejut dengan keputusan KDN membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama Kristian.

Beliau, yang bimbang dengan perkembangan itu, menggesa KDN membuat penelitian sedalam-dalamnya berhubung perkara itu kerana ia menyentuh sensitiviti agama suci itu dan umat Islam di negara ini.

“Bagi saya ini amat bahaya kerana ia boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat terutama yang beragama Islam.

“Dalam kes penerbitan Herald – The Catholic Weekly, perkara tersebut masih menjadi perdebatan. Kenapa warta ini boleh dikeluarkan?’’ soalnya.

Lebih menghairankan Shabudin, mengapa isu itu dibangkitkan pada masa sekarang walaupun agama Islam sudah diangkat sebagai agama rasmi.

KOMEN : Mengapa tiba-tiba KDN mengubah pendirian? Apakah KDN
terpaksa menerima desakan dari Ahli-ahli Parlimen Sabah dan
Sarawak yang beragama Kristian. Adakah KDN sedang bermain
tarik tali dengan Ahli Parlimen Kristian dari Sabah dan
Sarawak dalam membuat keputusan ini? Adakah ini satu lagi
permainan Anwar untuk menarik ahli Parlimen Kristian dari
Sabah & Sarawak? Apakah tujuan pihak gereja besar Sabah
meminta supaya Tan Sri Bernard Dompok supaya campur tangan?
Sama-samalah kita fikirkan?

YANG SUDAH LAMA MENYOKONG ....











Menghairankan mengapa puak Kristian mahu gunakan kalimah ALLAH dan Bahasa Malaysia didalam penerbitan majalah mereka selepas lebih 50 tahun merdeka. Adakah ini peluang terbaik bagi mereka apabila melihat orang Melayu yang beragama Islam sesama sendiri berbalah. Adakah disebabkan sokongan ( lampu hijau )yang diberikan oleh Khalid Samad,Anwar dan Dewan Ulama Pas untuk menggunakan nama Allah membuatkan mereka semakin besar kepala.

Tidakkah mereka-mereka ini manusia yang bertopengkan ugama boleh dianggap petualang bangsa dan ugama sehingga membuatkan puak Kristian sudah berani cuba memijak kepala umat Islam dinegara ini . Adakah dengan kemenangan mereka didalam pru-12 lepas memberi mereka " lesen besar " untuk menyakitkan umat Islam dinegara ini? Ditambah pula dengan sokongan hebat petualang-petualang bangsa dan ugama ini?

Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam ) tanpa segan silu semasa berceramah di dalam sebuah gereja Kristian di Shah Alam selepas kemenangannya, menyatakan bahawa masyarakat Kristian tidak perlu takut dan gentar untuk menggunakan terjemahan 'Allah' untuk merujuk kepada kalimah 'God' dalam Kristian dan ajarannya. Khalid juga berpendapat bahawa perkataan 'Allah' hanyalah terjemahan kepada perkataan 'God'.

"Anwar berkata sejak generasi rakyat Malaysia membesar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi, beliau melihat tiada sebab mengapa penganut Kristian Malaysia tidak boleh menggunakan istilah Bahasa Arab untuk Tuhan- ‘Allah’ dalam ritual mereka."

Satu kenyataan paling berani Anwar, bukan berkaitan isu ekonomi, isu sosial, tetapi isu agama yakni berkenaan kalimah Allah.

Kenapa tiba-tiba penganut Kristian di Malaysia begitu terdesak memohon menggunakan istilah Arab "Allah" menggantikan "Tuhan"? Kenapa minta di depan Anwar ? Kenapa baru sekarang dan tidak dari dahulu lagi ?

Kenapa Christian Federation of Malaysia (CFM) tidak memohon kalimah Arab "Rab" yang bermaksud "Tuhan" dan kenapa hanya pohon kalimah "Allah" ?

Penulis melihat semua ini mempunyai agenda tersirat yang berniat jahat. Apakah ini bermaksud untuk mengelirukan orang-orang Melayu Islam supaya tidak dapat membezakan kalimah "Allah" dalam Bible dengan kalimah "Allah" dalam Al Quran ? Motifnya seperti mahu merencanakan projek mengkristiankan Melayu secara besar-besaran.

Ya benar seperti didakwa Irene Fernandez, tidak dinafikan bahawa Allah digunakan di dalam Bible Bahasa Arab. Sebenarnya penggunaan Allah telah wujud sejak zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi. Kebanyakan Nasrani (Kristian) pada masa itu berpegang kepada syariat nabi Isa - bukan seperti Kristian zaman sekarang.

Rata-rata orang Arab Kristian memegang kepada kepercayaan Christian Orthodox , seperti di Palestine, Lebanon , Syria , Jordan dan sebagainya.

Namun begitu, majoriti Kristian menafikan kewujudan ‘Allah ‘ terutamanya Bible dalam bahasa Hebrew atau pun Greek.

Maka jelaslah penafian ini menidakkan hujah Sheikh Ahmed Deedat bahwa kewujudan perkataan Allah di dalam Bible sejak dari dahulu lagi.

Persoalannya;

1) Mengapa Irene Fernandez dan sekutunya beria-ria mahu menggunakan perkataan ‘Allah’ walhal di dalam masyarakat Kristian sendiri, menolak kalimah "Allah" di dalam Bible asal?

2. Adakah Kristian Malaysia dari negara Arab atau Barat ? Kalau dari negara Barat, kenapa tidak menggunakan kalimah Tuhan yang biasa digunakan oleh majoriti penganut Kristian di sana, kenapa perlu ditukar kepada Allah ?

3) Adakah dengan menggantikan kalimah "Allah", Irene menerima hujah bahawa Allah memang wujud di dalam Bible asal dan menerima kewujudan ‘prophecy of Nabi Muhammad’ di dalam Bible ?. baca disini...

Maka jelaslah, pada penulis, usaha penukaran istilah Tuhan di dalam Bible di Malaysia iaitu Tuhan kepada Allah sememangnya mempunyai agenda tersirat yang berniat jahat.

Mereka mahu orang Melayu Islam di Malaysia jadi keliru, melihat tiada perbezaan antara Bible dan Quran. Jadi dengan itu, orang-orang Melayu Islam yang akan mudah terpengaruh dan tertipu dengan kalimah Allah di dalam kitab Bible.

Selain itu, hakikat yang perlu kita lihat dari sudut pandangan lain juga iaitu penggunaan dan penukaran istilah di dalam Bible secara sewenang-wenang itu membuktikan bahawa “Bible is Corrupted”.

Bolehkah kitab yang kononnya dipercayai sebagai ‘words of God’ sewenang-wenangnya ditukar mengikut citarasa manusia ?

Bolehkah kitab sebegini dianggap suci dan ‘holy’?

Berlainan dengan AlQuran sebagai Kitab Suci Umat Islam di mana seluruh umat Islam di dunia ini menggunakan hanya satu Al Quran tetapi diterjemahkan ke dalam bahasa asing tanpa menggangu atau mengubah konteks dan susunan serta makna ayat-ayat Al-Quran itu.

Sesungguhnya Bible yang wujud sekarang ini adalah bible yang telah di’edit’ dan dikotori oleh tangan manusia. Malangnya manusia yang dulunya berjuang Islam, bernama Anwar Ibrahim sendiri, menyokong tindak-tanduk musuh Islam kononnya atas dasar “FREEDOM OF EXPRESSION”

Apakah niat sebenar Anwar, untuk kebenaran atau untuk mendapat saham politik ? Wajarkah semata-mata mahu meraih sokongan dan populariti, agama dan kalimah "Allah" diperjudikan ?

Bertambah parah apabila Pas yang dikatakan berjuang untuk menegakkan Islam Pas di negara ini secara tidak disangka-sangka tanpa berdolak-dalik juga memberi " lampu hijau " kepada puak Kristian ini. MasyaAllah..adakah mereka mengetahui akan akibatnya kelak. Sepatutnya jika mereka mengatakan yang mereka adalah penegak Islam dinegara ini, merekalah yang sepatutnya berdiri dibarisan hadapan untuk menghalang segala usaha dari pihak Kristian. Ini tidak malah menyokongnya lagi.

Adakah Pas mengetahui jika puak Kristian dibenarkan menggunakan khalimah Allah dan Bahasa Malaysia didalam buletin Kristian secara tidak langsung Pas juga merestui upacara " pengkristianan " orang Melayu Islam secara perlahan-lahan dan Pas dan Anwar jangan terkejut akan ramai anak muda Melayu Islam akan menjadi murtad kerana tidak boleh membuat perbezaan antara Islam dan Kristian.

Tidak Salah Penganut Kristian Guna Kalimah ALLAH – Dewan Ulamak PAS Pusat Ditulis oleh Harakah , Thursday, 03 January 2008, Oleh: Azamin Amin

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YB Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi menjelaskan, tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah 'Allah' malah ia sering digunakan oleh umat Krristian dan Yahudi sejak dari dahulu.

"Cuma jika Allah itu dikaitkan dengan perbuatan dan pemujaan syirik seperti mendua atau mentigakan Tuhan, itu adalah bertentangan dengan agama dan syarak dan dilarang umat Islam mengikut serta; tetapi jika mereka merujuk Tuhan yang sama tidak mengapa," katanya ketika dihubungi Harakah.

Kontroversi berhubung penggunaan kalimah 'Allah' timbul apabila akhbar rasmi Gereja Katolik Malaysia, Herald The Catholic Weekly menggunakan perkataan 'Allah' bagi merujuk kepada 'God' dalam seksyen bahasa Melayu akhbar tersebut.

Pemilik akhbar itu juga menghadapi masalah untuk memperbaharui permit penerbitannya akibat isu tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom, keputusan itu dibuat berasaskan 'kepada satu laporan yang dikemukakan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan kementerian berkenaan.

"Herald boleh guna perkataan lain tetapi bukannya 'Allah'; itu akan mengelirukan orang ramai," Johari dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Dato’ Mohamed berkata, ayat-ayat al-Quran turut menyatakan bahawa orang bukan Islam juga memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT termasuk menyebut kalimah Allah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jika akhbar Herald mempunyai agenda tertentu seperti mengelirukan orang ramai bahawa Allah juga meredai agama mereka, maka itu adalah dilarang.

Menurutnya, Islam mengakui Kristian dan Yahudi adalah agama langit (samawi) tetapi setelah Islam dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., ajarannya memansuhkan agama-agama samawi sebelumnya.

Akhbar terbabit sebelum ini pernah menyelitkan sebuah rencana di seksyen bahasa Melayu pada Mei lalu di bawah tajuk "Kasih Allah: Tidak membeza-bezakan" di muka surat 23 yang dilihat cuba mempengaruhi orang Melayu yang beragama Islam terutama golongan remaja.

Herald diterbitkan oleh The Archbishop of Kuala Lumpur bagi pihak The Bishops of Peninsular Malaysia, yang beralamat di Petaling Jaya.

Sumber: http://ulamak.pas.org.my/

Ya Allah ya tuhan ku, selamatkan umat Islam Malaysia daripada pemesongan aqidah ini. Berilah petunjuk kepada mereka agar kembali kejalan yang benar. Amin.

Belantan - Taminsari

10 ulasan:

USD berkata...

Salam, entahlah tuan apa yg dfikir oleh KDN dlm soal ini...Pak Menteri jgn tanya, dia sibuk kempen skg ni...PAS ? PAS kan prti politik...tentula nak undi durang!

Taminsari berkata...

Kristian boleh guna 'Allah'

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi : ''Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan 'Khusus Untuk Penganut Agama Kristian'.''

Nizam memberitahu demikian semasa sebutan kes semakan kehakiman (undang-undang) oleh Gereja Katolik terhadap larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly di hadapan Hakim Lau Bee Lan.

Sehubungan itu, Nizam berkata, permohonan semakan kehakiman kini telah menjadi akademik (tak terpakai).

Peguam Porres P. Royan yang mewakili pemohon Gereja Katolik memberitahu, dengan perkembangan terbaru itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan.

''Permohonan kami dibuat melalui Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, oleh itu kami perlu mengkaji perintah yang dikeluarkan kementerian tersebut sama ada ia boleh dimansuh atau dibatalkan dan kesan selanjutnya,'' katanya.

Menurutnya, jika pihaknya menerima baik penjelasan tersebut, sudah tentu kes semakan kehakiman itu tidak akan diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan mengenainya dan pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah jika terdapat persetujuan kes itu secara baik.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 28 Mei ini untuk mendengar permohonan Gereja Katolik bagi mengetepikan permohonan tujuh Majlis Agama Islam Negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Majlis Gurdwara Malaysia sebagai pencelah dalam kes semakan kehakiman itu.

Tujuh Majlis Agama Islam Negeri terbabit ialah Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka.

Hakim Bee Lan juga menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan sama ada kes itu perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik menamakan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.

Gereja Katolik memohon perintah bahawa keputusan responden-responden pada 12 Februari 2008 berhubung larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly adalah salah di sisi undang-undang.

Gereja Katolik juga memohon perintah bahawa pihaknya berhak menggunakan perkataan Allah dan perkataan Allah tidak khusus kepada agama Islam.

Tai berkata...

Naj, inilah akibatnya kalau memberikan kemenangan kepada PR. Inilah akibatnya. habis semua dirompak oleh mereka. Sultan dan raja pun hendak dirompak sama.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه berkata...

Salam Taminsari,

Allah Ada Dua Ajaran Agama ?

Saya tidak terkejut apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian. Jika Melayu dan Islam kuat keadaan ini tidak berlaku. Mudah sahaja, BN perlu sokongan daripada Kristian di Sabah dan Sarawak kerana di situ undi penentu BN dalam pilihanraya akan datang.

Apapun alasan yang diberi oleh umat Islam, suara mereka bukan lagi majoriti. Kehendak orang lain seperti puak kristian dengan sokongan PKR dan PAS sudah cukup membuatkan BN tertekan. Jadi sekarang ini Bible boleh dibaca di dalam Bahasa Melayu dan perkataan 'God' dalam Injil telah diganti dengan perkataan 'Allah'.

Bagi pemahaman orang kampung seperti saya, 'Allah' yang pertama adalah Allah bagi tuhan orang Islam dan membawa ajaran dan segala undang-undang serta peraturan-peraturan Islam seperti mana yang terkandung di dalam Al-Quran. Allah yang 'kedua' adalah yang membawa ajaran Kristian dengan segala peraturan dan undang-undang mengikut versi Kristian seperti yang tertulis dalam kitab Injil.

Allah bukan lagi satu, tetapi Allah sudah menjadi dua iaitu tuhan bagi orang Islam dan tuhan bagi orang Kristian. Allah bagi Islam meletakkan Muhamad s.a.w sebagai nabi terakhir dan Al-Quran itu telah melengkapkan dan menyempurnakan Islam. Bagaimana Allah dan Nabi Isa a.s di dalam kitab Injil? Allah yang mana satu yang betul? Bagaimana pemahaman umat Islam jika membaca versi Injil Bahasa Melayu dengan suruhan dan larangan Allah kristian?

Umat Islam boleh mengiktiraf agama Kristian kerana separuh penduduk dunia beragama Kristian tetapi kita tidak boleh mengiktiraf kitab Injil yang telah 'dirosakkan' itu dengan bersetuju menerima perkataan 'Allah' atas dasar leberalisasi di dalam versi Bahasa Melayu.

Saya pasti, ramai Melayu akan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan Kristian kerana Allah Kristian lebih mudah daripada Allah Islam. Allah Islam ada menyebut hukum hudud yang menjadi polimek yang tidak berkesudahan bagi umat Islam di Malaysia, kemungkinan besar Allah Kristian tidak menyebut langsung hukum hudud di dalam ajarannya. Jadi Kristian adalah lebih mudah ,flexsibel dan selamat.

Bagaimana kita hendak menghalang umat Islam daripada membaca Injil versi Melayu ini. Kekecohan begini pun sudah merupakan suatu iklan dan promosi tentang wujudnya Injil Versi Melayu ini. Selepas ini ramai orang tercari-cari dan cuba membacanya. Lebih-lebih lagi jika telah 'dihalalkan' oleh sebahagian pemimpin-pemimpin Islam.

Saya tidak mahu membincangkan tentang rasional atau tidak perkataan 'Allah' digunakan dalam Kitab Injil Versi Melayu ini. Jauh disudut hati ada perkara yang tersirat menjadi agenda tersembunyi golongan tertentu apatah lagi perkataan 'Allah' ini hanya untuk kitab Injil versi Melayu sahaja dan ianya dituntut oleh Kristian di Malaysia bukannya Kristian di seluruh dunia.

Tidak mustahil KDN membenarkan penggunaan 'Allah' kalau BN mendapatkan tekanan politik daripada kumpulan yang diiktiraf lebih Islam seperti yang ditulis oleh Harakah , Thursday, 03 January 2008, Oleh: Azamin Amin

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YB Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi menjelaskan, tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah 'Allah' malah ia sering digunakan oleh umat Kristian dan Yahudi sejak dari dahulu.

Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam-PAS ) tanpa segan silu semasa berceramah di dalam sebuah gereja Kristian di Shah Alam selepas kemenangannya, menyatakan bahawa masyarakat Kristian tidak perlu takut dan gentar untuk menggunakan terjemahan 'Allah' untuk merujuk kepada kalimah 'God' dalam Kristian dan ajarannya. Khalid juga berpendapat bahawa perkataan 'Allah' hanyalah terjemahan kepada perkataan 'God'. (www.belantan.blogspot.com)

Lebih lama dari itu, "Anwar berkata sejak generasi rakyat Malaysia membesar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi, beliau melihat tiada sebab mengapa penganut Kristian Malaysia tidak boleh menggunakan istilah Bahasa Arab untuk Tuhan- ‘Allah’ dalam ritual mereka."

Satu kenyataan paling berani Anwar, bukan berkaitan isu ekonomi, isu sosial, tetapi isu agama yakni berkenaan kalimah Allah.(www.belantan.blogspot.com)

Ini lah bencana paling besar yang akan dihadapi oleh orang Melayu. Satu usaha secara bersepadu, licik, bijaksana dan mengikut undang-undang untuk mengkristiankan Melayu di Malaysia. Kekuatan Melayu adalah terletak kepada Islam dan Jihadnya. Secara tersiratnya mereka telah berjaya memecahbelahkan Melayu daripada segi politik dengan meracik-racik Melayu itu kepada Melayu UMNO, Melayu PKR dan Melayu PAS. Hari ini sekali lagi mereka meracikkan Melayu itu kepada Melayu Islam dan Melayu Kristian.SIAPAKAH MEREKA ITU?

Penjajahan kepada umat Melayu pada 1511 hingga 1957 berjaya mengubah politik Melayu, mengubah lanskap ekonomi Melayu, mengubah prasarana penduduk Tanah Melayu tetapi mereka tidak berjaya mengubah akidah dan tauhid Melayu daripada Allah dan Islam. SIAPAKAH MEREKA DAN KUNCU-KUNCUNYA ITU?

Jika saya khilaf atas pemahaman saya, saya pohon maaf. Jika saya keliru memang benar saya terkeliru dan memang sah penggunaan perkataan 'Allah' dalam Injil mengelirukan.


Amir Hamzah
Batu Pahat.
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Cucu Tok Selampit berkata...

Terima kasih Taminsari di atas artikel yang sangat berguna ini.

Taminsari berkata...

Salam buat ustazSAID,AmirHamzah dan salam sejahtera buat sedingin salju..

Terima kasih diatas ulasan yang diberikan. Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh saudara AmirHAmzah. Minda umat Islam diMalaysia akan menjadi keliru. Keliru kerana Allah sudah ada dua. Didalam Islam kita diajar yang tuhan itu maha esa iaitu tuhan yang satu ( Allah SWT ). Apabila kristian menggunakan Allah, mereka menganggap yang nabi Isa adalah anak Tuhan ( selepas itu dikatakan Allah ). Islam mengajar yang tuhan itu ( Allah SWT )satu, iaitu tidak beranak dan tidak diperanakkan berbanding dengan Kristian. Tidakkah ini menimbulkan kekeliruan umat Islam.

Dan saya bertambah kuatir apabila Mufti Perak pernah menyebut sudah ramai orang Melayu memohon untuk jadi murtad. Dengan keputusan KDN dan sokongan PKR & PAS, seolah-olah memberi " lampu hijau " kepada golongan ini untuk merialisasikan impin mereka untuk keluar dari agama Islam. MasyaAllah!!!

pisau berkata...

HIDUP PAS!HIDUP PKR!HIDUP PR!

PERJUANGAN ANDA BERHASIL! NAMA ALLAH BERJAYA KRISTIAN GUNA UNTUK HERALD TRIBUNE.

SILA LAWAT BLOG SAYA
http://pi5au.blogspot.com/

Taminsari berkata...

Salam...Berita Terbaru!

Dilarang guna Allah ....

Pewartaan kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian dibatalkan kerana terdapat kesilapan pada warta tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah yang diwartakan pada 16 Februari 2009 itu juga bertentangan dengan keputusan kerajaan sebelum ini dan ia dibuat sebelum mahkamah memberikan keputusan.

Sehubungan itu katanya, kementerian membatalkan pewartaan tersebut dan memperbetulkan segera kesilapan berkenaan.

“Dalam perkara larangan penggunaan nama Allah itu, kita tidak akan mengatasi keputusan kerajaan yang tidak membenarkan penggunaan nama Allah oleh agama lain selain Islam dan kita juga tidak akan mendahului keputusan mahkamah.

“Saya mengaku berlaku kesilapan dalam pewartaan larangan penggunaan nama Allah itu dan kita akan mengambil tindakan untuk membetulkannya,” tegas beliau kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, kesilapan tersebut berlaku di peringkat ‘penggubalan maksud arahan’.

“Apa yang diberitahu pada saya dan apa yang akhirnya berlaku adalah dua perkara yang berbeza. Oleh itu, berlaku kesilapan dan kesilapan itu membawa implikasi yang amat mendalam,” katanya.

Beliau menambah, keputusan kerajaan sangat jelas bahawa perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh agama selain daripada Islam.

Ditanya sama ada ruang untuk membetulkan pewartaan itu, Syed Hamid berkata: “Pewartaan itu dibuat oleh saya. Oleh itu saya akan membatalkan pewartaan tersebut”.

Mengenai tindakan seterusnya, beliau berkata, kementerian akan membetulkan kesilapan tersebut dan seterusnya menunggu keputusan mahkamah.

“Kita sudah membuat keputusan sebelum ini tetapi mereka cabar dengan membawa kes itu ke mahkamah. Sebelum mahkamah buat keputusan, kita tidak akan membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) semalam diberitahu bahawa penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi : “Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan ‘Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’.

Nizam memberitahu demikian semasa sebutan kes semakan kehakiman (undang-undang) oleh Gereja Katholik terhadap larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly di hadapan Hakim Lau Bee Lan.

Taminsari berkata...

Salam..keterangan penuh Menteri KDM
Dato' Syed Hamid..!

Saya akan batalkan pewartaan - Syed Hamid

MINGGUAN Malaysia: Apa sebenarnya berlaku?
SYED HAMID: Ada satu kesilapan yang dibuat dari segi pewartaan itu kerana ia tidak mengikut apa yang telah diputuskan. Saya mengaku berlaku kesilapan dalam pewartaan larangan penggunaan nama Allah dan kita akan mengambil tindakan membetulkannya.

Masih ada ruang untuk buat pembetulan?

SYED HAMID: Apa yang diberitahu pada saya dan apa yang akhirnya berlaku adalah dua perkara yang berbeza. Oleh kerana itu, kesilapan itu membawa implikasi yang amat mendalam.

Dalam perkara itu, kita tidak akan mengatasi keputusan kerajaan dan kita tidak akan mendahului keputusan mahkamah.

Maksudnya?

SYED HAMID: Keputusan kerajaan ialah perkataan itu tidak boleh digunakan (dalam penerbitan Kristian) dan mereka mencabar keputusan kerajaan di mahkamah.

Sebelum keputusan mahkamah, tak kan kita hendak mendahului.

Apa asas pembatalan itu?

SYED HAMID: Pembatalan itu kerana pewartaan tidak mengikut keputusan saya yang berasaskan keputusan kerajaan dan juga membuat keputusan sebelum dibuat oleh mahkamah, maka saya akan membatalkan pewartaan tersebut.

Sebagai menteri, Datuk Seri ada kuasa berbuat demikian?

SYED HAMID: Ya, pewartaan itu saya punya pewartaan. Oleh itu saya akan membatalkan pewartaan tersebut.

Selepas pembatalan ini dibuat apa lagi prosedur yang mesti dipatuhi?

SYED HAMID: Kita tunggu keputusan mahkamah. Apa yang mahkamah cakap. Selain itu, kita akan memperbetulkan kesilapan.

Sebenarnya kenyataan saya macam ini sahaja: Saya, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan akhbar mengaku berlaku kesilapan dalam pewartaan penggunaan nama Allah. Pembetulan akan dibuat dengan melarang penggunaannya. Kesilapan tersebut amat dikesali.

Taminsari berkata...

Salam..

PAS - LEBIH PENTINGKAN POLITIK DARI KESUCIAN AGAMA ISLAM

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang penuh dengan keberkatan. Pada hari ini umat Islam akan berhimpun dan beribadat kepada Allah SWT.

Semalam Sidang Dewan Rakyat bergema, hangat membincangkan soal penggunaan nama Allah oleh agama lain. Semasa Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggulung perbahasan, isu kalimah Allah menyaksikan pertembungan pendapat yang ketara antara dua kumpulan dalam PAS.

Kumpulan muda dalam PAS yang dilihat cukup liberal pendiriannya dan kumpulan ulama yang meletakan pensucian agama mengatasi kepentingan kepartian.

Ia bermula dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Seri Gading, Datuk Mohamad Haji Aziz meminta penjelasan Zahid pihak manakah yang seharusnya membuat keputusan tentang permohonan agama lain untuk menggunakan nama Allah sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Keduanya, beliau memberikan ingatan tentang bahaya jika nama Allah boleh digunakan oleh agama lain kerana dikhuatiri generasi muda Islam pada masa akan datang akan berpendapat dan melihat semua agama adalah sama kerana nama Allah digunakan oleh banyak agama.

Malah beliau menegaskan sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini, kalimat Allah tidak seharusnya digunakan oleh agama lain dan ia akan menjadi satu perkara yang mencabar Perakra 11 Perlembagaan Persekutuan jika ia mahu terus digunakan.

Namun belum pun sempat Zahid memberikan jawapan, dua Ahli Parlimen iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) berkata persoalan mengenai penggunaan perkataan Allah tidak harus timbul kerana berpendapat kalimah Allah turut digunakan oleh bukan Islam. Malah beliau memetik ayat Al-Quran menjelaskan mengenai perkara tersebut dan seterusnya menegaskan, larangan pihak lain untuk menggunakan kalimah Allah seolah-olah mencabar kandungan Al-Quran.

Khalid pula menyokong pandangan Dzulkefly dengan membaca sepotong lagi ayat al-Quran yang menunjukkan orang bukan Islam mengakui bumi ini diciptakan Allah. Beliau juga menyatakan tidak ada salahnya penganut agama lain menggunakan nama Allah dan larangan mengenainya akan memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama tertutup.

Setelah itu Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) turut bangun memberikan gambaran bahawa kini seolah-olah semua pihak telah menerima konsep ‘Tuhan Allah”. Malah katanya, pengalaman beliau melawat kuil dan tokong, penganut agama lain menyebut mereka percaya kepada “Tuhan Allah”.

Selain itu juga Khalid dan Dr Dzulkefly menyatakan ia adalah keputusan yang dibuat oleh Dewan Ulama PAS baru-baru ini. Manakala Johari menegaskan padangannya adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi PKR.

Setelah itu Ahmad Maslan (BN-Pontian) bangun dan mencadangkan agar Datuk Taib Azamudden Mat Taib memberikan pandangan untuk memperjelasakan perkara berkenaan. Cadangan itu disambut oleh Halimah Sadique (BN-Tenggara) yang berkata, Taib adalah seorang yang bekas Imam Besar Masjid Negara dan lebih layak memberikan pandangan.

Zahid kemudiannya memohon kebenaran Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kemudiannya membenarkan Taib memberikan pandangan beliau.

“Saya ini lebih fokus pada pensucian Islam itu sendiri dari kepartian. Terpulang kepada tafsiran orang nak letak kedudukannya di mana,” Taib memulakan penjelasannya.

Bagi beliau kalimah Allah berasaskan Tauhid ia tidak boleh digunakan oleh agama lain dan berpendapat Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

“Sebab itu kalau kita nak bahaskan masalah Allah yang disebut dalam Al-Quran, kita kena lihat Asbabbul Nuzul (sebab sesuatu ayat itu diturunkan) dan kalau kita nak buka erti Allah kepada yang lain-lain, Al Quran juga pernah mendedahkan dalam surah At Taubah (sambil beliau membacakan ayat berkenaan)

“Yang bermaksud, orang Yahudi kata Uzzir anak Allah, orang Kristian kata Al Maseh, anak Allah. Daripada penjelasan ringkas ini, kita nampak Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi lain daripada Allah Tauhid kita.

“Allah yang dimaksudkan orang-orang Masihi adalah dan orang lain adalah lain daripada Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

“Sebab ketauhidan makna Al Ahadiyah dan As Samadyiah itu tidak jadi satu tunggak kepercayaan yang lain daripada Islam sebab itu yang didakwa orang agama lain sedangkan bagi kita, kita tahu Allah tidak ada anak, tidak diperanakkan dan tidak beranak,” jelasnya panjang lebar.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan memberikan penegasan mengenai perkara berkenaan agar ia dapat mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Beliau turut memberikan memberikan pandangan betapa jika kekeliruan mengenai penggunaan kalimah Allah tidak dijelaskan, dikhuatiri pertembungan yang sengit akan berlaku.

“Misal saya katakan, maaf saya pada sahabat-sahabat yang beragama Buddha, Hindu atau agama Kristian. Andai saya bertanya kepada yang agama Hindu, sahabat hendak pergi mana, mereka kata nak pergi sembah Allah, Tanya pula sahabat dari Batu Pahat (Dr Puad Zarkashi) atau Sri Gading (Mohamad Aziz), sahabat hendak pergi ke mana, mereka juga jawab, saya nak pergi sembah Allah.

“Ini Allah yang mana? Sebab itu saya lebih suka dalam isu ini, saya menasihati temrasuk diri saya, kalau masalah menyentuh aqidah dan sentuh agama kita tak payah sibuk-sibuk,” ujar beliau.

Setelah memberikan pandangan yang panjang lebar, Zahid terus bangun dan menegaskan apa yang dinyatakan oleh Taib itu adalah pandangan yang sama dengan pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung soal penggunaan kalimah Allah.

“Apa yang dinyatakan oleh Baling, itu adalah sama dengan pendirian Majlis Faktwa Kebangsaan, apa yang ditegaskan oleh Baling itu, samalah dengan pendirian Jabatan Kemajuan Islam, apa yang disebut oleh Baling itu, samalah dengan pendirian kerajaan,” ujar Zahid.

Walaupun Dzulkefly dan Khalid cuba bangun untuk memberikan penejlasan mereka lagi, namun tindakan tersebut disampuk dengan teguran beberapa Ahli Parlimen lain. Antaranya kedengaran yang berkata, “cukuplah dengan penjelasan Baling, beliau ahli dalam bidang itu.” "Ini bukan politik tetapi kesucian agama "

Terbukti sekali lagi - ramai ulama celup dalam PAS.