Sabtu, Februari 18, 2012

Betulkah PAS, Anwar pejuang Islam tulin!


Tulis sajalah buku bantai kerajaan, hentam DS Najib, puja Nik Aziz, puji Anwar Ibrahim, buku, akhbar atau majalah macam ini pasti laris. Kenapa? Tak percaya ke? Inilah yang dikehendaki oleh pembaca yang telah disogokkan oleh budaya membenci pemimpin dan membenci kerajaan.

Ianya telah menjadi satu trend, trend suka pada cerita 'half truth', 'zero truth' dan fitnah. Yang penting bukannya kebenaran tetapi rakyat yang benci pada Barisan Nasional (BN) pasti seronok baca.

Berapa banyak buku-buku yang semacam ini yang terus terang menjadi penyebar fitnah dan ditulis oleh penulis-penulis yang tidak memikirkan implikasi terhadap majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kestabilan negara menjadi sangat popular.

Kenapa Raja Petra jadi sangat popular kalau bukan kerana berani, bukan kerana tunjuk berani dan bersikap 'anti establishment? Banyak majalah-majalah dan buku-buku seperti ini yang bahan-bahannya diambil dari e-mail-e-mail dan laman-laman web tertentu yang entah betul entah tidak ceritanya.

Anda tidak perlu terkejut kerana inilah laman-laman web yang paling popular dan paling ramai di kunjungi oleh mereka yang mudah termakan hasutan pihak-pihak yang sengaja mahu memfitnah menghina, mencaci dan memburukkan kerajaan sendiri. Sesiapa juga boleh menulis dan menyampaikan apa yang dirasakan menerusi Internet ini. Mereka fikir politik ini satu benda yang boleh kita seronok macam membaca majalah hiburan?

Akhirnya tulisan semacam ini samalah macam mempercayai cakap-cakap di kedai kopi. Bukankah e-mail dan Internet itu satu bentuk kedai kopi alaf baru? Hairan, pelik dan ajaib tapi benar. Bayangkan kalau bantai Anwar, biarpun apa yang ditulis itu adalah fakta yang betul, argumen yang munasabah dan masuk akal, namun bagi sesetengah mereka yang bergelar intelek sekalipun, sukar untuk mempercayainya terutama mengenai Anwar yang didakwa meliwat Saiful Bokhari walaupun Saiful sudah bersumpah di dalam masjid.

Mereka menjadi kurang rasional seperti ketika Anwar terlantar di dalam penjara. Mereka yang menyimpan gambar Anwar yang lebam mata dalam bilik tidur, bilik tamu, bilik dapur dan bilik mandi macam gambar Shah Rukh Khan dan Siti Norhaliza akan bersimpati yang amat sangat terhadap Anwar yang menjadi idola yang didewa-dewakan.

Mereka kecewa kerana kononnya Anwar adalah merupakan pejuang Islam yang sudah disingkirkan dan teraniaya. Bagi mereka seolah-olah Anwar itu maha suci, maha bersih. Anwar sudah dijadikan macam Imam Mahadi. Nabi Musa buat dosa tumbuk orang sampai mati, begitu juga Nabi Ibrahim yang kata berhala besar yang pecahkan berhala kecil.

Betulkah Anwar ini seorang pejuang Islam yang tulin? Setahunya jika seorang pejuang Islam tidak akan membuat kerja mengarut, mencaci dan menghina dan menghasut rakyat agar membenci pemimpin kerajaan tak kira didalam dan diluar negeri! Ibnu Taimiah di dalam bukunya Pentadbiran Politik Islam menjelaskan: "Bahawa urusan pemerintahan (politik) adalah merupakan salah satu kewajipan yang paling penting dan ulama dalam agama Islam".

Malah tidak ada agama tanpa pemerintahan (politik) kehidupan manusia tidak akan sempurna tanpa wujudnya masyarakat kerana fitrah mereka yang saling memerlukan antara satu sama yang lain. Oleh yang demikian mereka harus mempunyai pemerintahan. Berdasarkan kata-kata ulama Islam ini, kita terpaksa bertanya apakah perbuatan Anwar dan kuncu-kuncunya itu berlunaskan prinsip-prinsip politik dalam Islam? Takkanlah benda macam ini pun Anwar tak tahu. Kata rapat dengan para ulama Islam. Mana pergi Hassan Albana, Syed Kutub, Yusuf Qardawi?

Itu baru disentuh sedikit perihal kepimpinan dalam Islam. Belum lagi kita bercakap pasal "KEADILAN".

Bila kita sentuh sedikit pasal "keadilan" ini, bila menyebut pasal "adil" dan "tak adil", apakah mereka terlupa bahawa Anwar yang sudah jadi raja banduan menerima layanan yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa sebelum ini, termasuk Allahyarham Dato' Harun Idris dan Dato' Mokhtar Hashim. Adilkah ini namanya? Sejak bila pula Jabatan Penjara Malaysia memperkenalkan sistem kelas-kelas di dalam penjara?



Apakah mereka juga terlupa bahawa Anwar telah diberikan kesempatan untuk membela dirinya di mahkamah terbuka? Patut ke disebabkan Anwar dan para peguamnya gagal untuk membuktikan yang dia tidak bersalah maka kita salahkan pula sistem kehakiman dan kerajaan? Kalau mereka boleh menerima keputusan-keputusan yang dibuat oleh mahkamah, mengapa tidak Anwar dan para penyokong beliau?

Apakah keistimewaan Anwar sehinggakan keputusan yang dibuat oleh mahkamah perlu dicabar akan kewibawaannya ketika itu atau apakah kes Anwar ini perlu di bawa ke mahkamah khas? Pulau Pinang tak ada raja. Anwar nak jadi kerabat siapa? Mentang-mentang dia pernah disebut sebagai Subramaniam, nama dewa Hindu maka dia perlu disembah dan dipuja macam tuhan? Macam mana nak tegakkan keadilan kalau Anwar saja yang dianggap betul dan orang lain terutamanya yang tidak berpihak kepada Anwar dianggap salah?

Macam mana nak tegakkan keadilan menerusi parti bernama "KEADILAN RAKYAT" kalau makna "keadilan" yang paling asas pun tidak dapat difahami akibat dipengaruhi oleh emosi?

Ini yang menjadi persoalan dan yang lebih pelik lagi ialah apabila PAS sanggup bersubahat dengan orang-orang yang kufur nikmat semacam ini dan sedia pula menerima amanah untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mempengaruhi ahli Parlimen untuk mendapatkan majoriti walaupun perjuangan politik Anwar sudah tergelincir jauh dari landasan prinsip politik, kepimpinan dan kenegaraan Islam.

Hati-hatilah 'sikit brader', ini bukannya sekadar tergelincir rel keretapi. Tergelincir rel keretapi tak sama dengan terpijak kulit pisang. Tergelincir politik Melayu jadi hamba abadi dalam negerinya sendiri.

Bolehkah kita bersekongkol dengan pemimpin Melayu yang sanggup jual Melayu sebab nak jadi Perdana Menteri. Tan Sri Khalid Ibrahim yang nak buka UiTM pada orang bukan Melayu tu dari parti mana? Kenapa Anwar tak kutuk Majlis Peguam kerana mahu menganjurkan Forum yang tajuknya seolah-olah menghina Islam?

Islam adalah 'a complete way of life', cara hidup yang paling sempurna. Kalau terlibat dengan liwat, rasuah dan segala macam kemungkaran, sempurna ke? Islam adalah juga faktor dan Islam adalah matlamat yang tidak boleh dipisahkan dari politik Melayu, baik oleh PAS mahupun UMNO. Islam merupakan potensi kekuatan bangsa Melayu.


Islam tidak menganjurkan permusuhan dan perpecahan sesama sendiri. Sikap angkuh, sombong dan mendabik dada yang ditunjukkan oleh sesetengah pemimpin PAS dan PKR adalah juga dilarang keras oleh Islam. Kita mesti mempunyai sikap toleransi, tolak ansur dan mesti menghormati undang-undang. Ikut suara majoriti.

Macam mana kalau Pakatan Rakyat memerintah nanti, orang tidak hendak ikut undang-undang kerajaan Pakatan? Kita memerangi sikap negatif bukan institusi. Islam tidak menyuruh kita menolak politik dan aspek-aspek kehidupan yang lain. Malah Islam menganjurkan segala kebaikan.

Kebaikan yang dianjurkan dalam Islam itu bermula di peringkat individu. Jika individunya baik, maka barulah pentadbirannya baik. Bila pentadbirannya baik barulah negaranya menjadi baik. Tapi individu yang jadi idola sudah dibicarakan atas tuduhan meliwat dan 'terlepas' kerana kesilapan teknikal! Malah peguam beliau sendiri mengatakan 'liwat' berlaku secara suka sama suka?

'Baik' di sini bukan bermaksud menunjukkan perangai yang baik atau mempamerkan pakaian-pakaian yang baik yang bercirikan Islam. Tapi otak juga mahu baik. Kalau tak ada otak yang baik macam mana nak memperkembangkan agama Islam? Macam mana nak majukan negara? Macam mana nak pastikan setiap rakyat dapat hidup dengan sempurna?

Kalau sekadar perangai sahaja nampak baik dan setakat pakaian sahaja baik di mata Islam tapi otak tak sebaik mana, tak usahlah berangan-angan nak jadi pemimpin politik. Jadi ulama ajar fardu ain, tauhid dan Al-Quran adalah lebih bermanfaat, mendapat ganjaran pahala yang besar dan terlepas dari persoalan tanggungjawab kerana gagal memimpin ummah.

Ingatlah, nak jaga, nak beri makan 27 juta rakyat, nak memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka, satu kerja yang senang ke? Tidak dinafikan bahawa terdapatnya perbezaan pendapat, cara dan pendekatan adalah dibenarkan oleh Islam. Pertembungan antara PAS dan UMNO, UMNO dan PKR ialah pertembungan antara kaedah dan cara yang saling berbeza.

Perbezaan pendapat dan cara diizinkan. Ini bukan masalah usul (umbi, utama) tetapi masalah furu' (cabang). Pendekatan menuduh dan menafikan kesahihan aqidah dan keimanan pihak lain kerana perbezaan pendapat adalah satu kezaliman dan kemungkaran yang merosakkan perpaduan ummah.

Dalam hal kafir mengkafir ini cuba kita baca satu pandangan pakar pengkaji Islam, Bernard Lewis yang merupakan seorang Profesor Emeritus di Princeton University, Amerika Syarikat dalam buku beliau The Political Language of Islam.

Katanya: Al-Ghazali (d.1111), in an essay on the criteria of' distinction between Islam and heterodoxy, speaks with contempt of those "who would constrict the vast mercy of God to his servants and make paradise the preserve of a small clique of theologians." It is a common practice of theologians, he notes, to use takfir - denouncing someone as a kafir - against their rivals and opponents. This he strongly disapproves. A Muslim, he observes, who becomes a kafir is an apostate, and apostasy is a criminal offense under the law, with severe legal consequences. Such charges should not, therefore, be lightly made.



Tidakkah kita merasa amat sedih dulu kisah amalan 'kafir mengkafir' masih lagi berlaku, hari ini 'maki memaki' dan mencarut pemimpin masih lagi menjadi amalan pembangkang. Patutnya PAS membantu menyeru umat Islam di Malaysia ini agar memberi perhatian kepada soal perpaduan ummah, penguasaan ilmu sains dan teknologi, pencapaian ekonomi dan persediaan tercanggih dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai peluang untuk melemahkan mereka.

Kalau nak memilih pemimpin untuk jadi Perdana Menteri, janganlah pilih Anwar Ibrahim. Bagi mereka ini dicadangkan agar mereka baca balik Al-Quran dan tafsirannya mengenai "keadilan". Tapi janganlah menterjemahkan Al-Quran untuk kepentingan puak dan peribadi sendiri saja. Ini tak adil. Kalau dah baca, baca sekali lagi, fahamkan betul-betul. Jangan biarkan emosi mempengaruhi fikiran. Kalau sukar juga nak faham, bertafakur, beristiharah, bermeditasi serta minta hidayah daripada Allah swt.

Sebelum Anwar dipecat, ramai penyokong-penyokong Anwar termasuk Anwar sendiri yang mengaku bahawa Mahathir hebat dan bijak serta berjasa. Kritik terhadap Pak Lah yang disuarakan secara senyap-senyap pun ada juga. Dan yang memuji Pak Lah sebagai Mr. Clean pun ramai juga. Tetapi takkanlah setelah Anwar keluar dari penjara tiba-tiba sahaja sudah tidak ada kebaikan lagi yang harus dikaitkan dengan Pak Lah.

Kenapa Melayu mesti benci Melayu? Tak salah kita memperjuangkan nasib kaum lain, tapi jangan hina pemimpin Melayu yang menjadi 'institusi' negara. KeADILan cuba menimbulkan huru-hara dan kekacauan dengan mengadakan demontrasi jalanan. Kenapa Anwar mesti jadi seperti anjing tersepit? Sudah terlepas, gigit tuan. Apakah ini moral yang baik?

Ada kalanya jika kita perhati dan meneliti, kita akan dapati ramai yang terlupa hidup di atas muka bumi ini tak ubahnya sebagai satu sandiwara. Siapakah kita sebenarnya? Kita menudingkan jari ke arah orang lain, melabelkan manusia dengan berbagai-bagai gelaran, tapi kita sendiri bagaimana? Takkanlah pendapat kita saja yang betul? Telinga kita ada dua, mata kita ada dua, dengar dan pandang dari dua sudut. Baru adil namanya.

Beranikah penulis-penulis yang menjadi ahli PAS mengkritik Tok Guru, Ustaz dan ulama mereka, begitu juga dengan PKR? Kalau hebat sangat, cubalah kritik pucuk pimpinan parti sendiri pula sebelum mengkritik pemimpin Barisan Nasional. Macam ini barulah boleh dianggap berani dan bergelar wira.

Beranikah penulis-penulis yang menjadi ahli PAS, berani kritik kedua-dua belah pihak sekali. Janganlah asyik nak kritik kerajaan saja dan orang Melayu-Islam terutamanya ahli UMNO saban hari didalam lidah rasmi mereka, Harakah. Mana perginya soal ekonomi, kemasyarakatan, kenegaraan dan terutama sekali Islam bagi membantu dalam membangunkan negara ini? Boleh dikatakan peratusan kecil sahaja yang dipaparkan di dalam Harakah, itu pun syarahan dan pandangan dari Haji Hadi dan beberapa individu yang majoritinya mempunyai agenda hanya caci-maki politik dan Melayu.

Adakah PAS sesuai menjadi contoh kepada umat Islam atau hanya berselindung disebalik simbol perwatakkan alim dan jubah untuk menegakkan syiar Islam? Dalam masa yang sama semua pancaindera tidak mempamerkan keIslaman.

Ini penulis-penulis PAS dan PKR jadi lidah PAS dan PKR sahaja tapi dalam waktu yang sama mempertikaikan kebebasan akhbar milik BN. Wartawan Islam mana boleh macam itu. Kepada wartawan-wartawan ini, mereka sepatutnya mesti jadi macam lensa kamera. Jangan jadi macam laman web yang boleh ubah-ubahkan gambar sekehendak hati sendiri. Orang hitam jadi putih, orang berpakaian dibogelkan. Beranikah mereka membongkar penyelewengan dan korupsi dalam kerajaan PAS Kelantan?

Roh kita berasal dari Tuhan yang satu dan kita akan kembali kepada-Nya jua. Ramai di antara kita yang mengaku kelslaman masing-masing tapi yang disembah masih juga ego diri. Yang ditakuti adalah bayang-bayang kita sendiri. Yang ditaati adalah perintah dan kemahuan nafsu kita sendiri serta kata-kata pemimpin yang kita sayang dan puja setiap hari. Kenapa?

Alangkah baiknya kalau mereka mahu bertanya: Mengapakah Allah menimpakan malapetaka ke atas manusia seperti Anwar? Kenapa dia memperjuangkan Islam tapi boleh jadi hina macam itu sekali? Dan kenapa dia tak dapat jadi PM sedangkan di zaman Mahathir dia cuma perlu jalan selangkah lagi? Apakah kita tak percaya dengan qada dan qadar? Rukun iman kita lima perkara sahaja ke?

Tahukah kita apa erti kifarah? Apa erti hukum karma? Sebesar zarah atom kebaikan yang kita buat balasannya setimpal dan begitu juga dengan kejahatan. Kalau benar-benar beriman terimalah semua ini sebagai qada dan qadar, satu ujian dan cubaan Tuhan. Tetapi kenapa ada orang yang tak dapat terima ketentuan Tuhan terhadap Anwar? Malah ada penyokong, kalau betul pun Anwar Al-Buntuti, mereka tetap mahu Anwar sebagai Perdana Menteri. Bukankah Allah swt beserta dengan orang-orang yang benar.

Kita orang Islam, kita percaya pada akhirat, kita percaya pada hari pembalasan. Kalau balasannya tak kena di dunia, di akhirat pasti kena juga. Itulah paradigma kita. Sejauh ini apa yang berlaku ke atas Anwar menampakkan satu kezaliman disebabkan beliau dibicarakan di mahkamah sivil. Tak ada empat saksi yang boleh membuktikan kes liwatnya. Tapi bila sudah nyata Anwar telah berbohong, keraguan sudah tertanam di hati orang ramai. Anwar bukan maksum, bukan wali, setakat jadi wali YB Nurul Ezzah kahwin bolehlah.. Dia cuma manusia biasa. Kalau segala-galanya telah rosak bagi Anwar, beliau harus sedar bahawa itulah jawapan kepada soalan di atas.

Sudah semakin jelas, siapakah Anwar dan apakah stand Anwar terhadap Islam serta siapakah guru-guru Anwar? Kenyataan Anwar baru-baru ini yang menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel mula mendapat reaksi yang berbeza dari rakyat. Kata dua yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas mula menimbulkan perbalahan antara penyokong parti tersebut dengan Parti Keadilan Rakyat!


Guru Anwar bukan Haji Hadi atau Nik Aziz, tetapi kaum orientalis yang menetap di Amerika. Buktinya kenyataan media John L Esposito dan John O Voll yang disiarkan dalam Malaysiakini yang menyokong seratus peratus Anwar. Siapa John L Esposito dan John O Voll?

John O Voll adalah Kristian, mendapat pendidikan di Dartmouth College (1958), master dan Ph. D dalam bidang Middle Eastern Studies di Harvard University (1960-1969). Kepakaran beliau dalam bidang sejarah Islam dan pernah menjelajah ke seluruh pelusuk negara Islam untuk memahami sejarahnya. Beliau juga pernah tinggal di Cairo, Beirut,dan Sudan.

John L Esposito juga seorang Kristian, mendapat master dalam bidang agama (theology) di St Johns University. Pada 1974, menyambung PhD di Temple University, Pennsylvania, di bawah seliaan Almarhum Prof. Dr Ismail Al Faruqi (mentor Anwar dan pengasas the International Institute of Islamic Thought-IIIT)

Kepakaran Esposito dalam bidang agama khusus Islam. Kristian, Hindu dan Budhha. Di kenali sebagai 'Father Esposito' kerana kepakarannya dalam agama Kristian Katholik. Pernah menjadi pensyarah di the College of the Holy Cross (Catholic), Jesuit college di Massachusetts.

Semasa di Holy Cross, beliau menjawat the Loyola Professor of Middle East Studies position, iaitu pengerusi Jabatan Agama (the Department of Religious Studies, dan Pengarah Pusat Pengajian Antarabangsa di Georgetown Universiti. "Anwar Ibrahim of Malaysia suggests a pluralist solution that recalls the convivencia, the living-together, of Islam's golden age in Spain and Sicily, where Muslims lived as neighbors with Christians and Jews. He embraces some modernist ideas, including the "information revolution" and equal rights for women" . - Esposito

Fikir-fikirkan lah. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Februari 16, 2012

Najib ke perayaan Thaipusam, tidak menyalahi hukum syarak!


Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves, baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan kaum lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat. Lihat di sini.

"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau reda dengan perbuatan agama lain tidak mengapa, tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme Penceramah Agama UMNO Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.

Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik.

Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama. Oleh yang demikian, Mufti Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh menjadi fitnah. Lihat sini dan di sini.

"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.

"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal, balik pada musyawarah...soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah," katanya.

Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan reda dengan orang yang melakukan kufur.

Rabu, Februari 15, 2012

Masih sayangkah PAS pada Pakatan Rakyat!


Untuk mendapatkan kuasa, PAS sanggup menggugurkan penubuhan negara Islam PAS. PAS sanggup berkompromi ataupun bekerjasama dengan DAP dan PKR dengan memperjudikan prinsip perjuangan, semata-mata untuk dapat merasai kerusi empuk Yang Berhormat ataupun Menteri Besar.

Merasa tidak bersalah mengata UMNO dan orang-orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan parti komponen terbesar BN iaitu MCA dan MIC, tetapi pada masa yang sama apabila mereka bekerjasama dengan DAP dan PKR semuanya menjadi “ halal “. Dengan kata lain menghalalkan apa yang mereka haramkan sebelum ini. Bagi PAS, UMNO itu terlalu keji manakala DAP dan PKR adalah terlalu baik bagi mereka.

Sudah siang lagi bersuluh. Itulah rasa-rasanya kata-kata yang tepat digunakan untuk PAS ketika ini. Adakah PAS sedar akan kehadiran mereka untuk menceriakan Pakatan Rakyat sebenarnya telah menimbulkan kesangsian dikalangan ahli penyokong PAS itu sendiri. Siapakah yang membenarkan penggabungan itu sehingga menyebabkan PAS kini hilang cengkamam dalam usaha menubuhkan Negara Islam PAS. Adakah arahan dari Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi ataupun Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat?

Adakah PAS sedar yang Karpal Singh telah berjaya menguji kekuatan dan ketaatan PAS kepada ajaran Islam. Adakah PAS sedar ini adalah perancangan yang licik oleh Karpal Singh dan rakan-rakan dalam DAP untuk menguji kesetiaan PAS kapada Pakatan Rakyat! Pada pemikiran Karpal Singh, PAS hanya mementingkan kuasa pemerintahan berbandingkan agamanya dan PAS boleh pada bila-bila masa saja dijadikan budak suruhan dalam menjayakan agenda DAP.

Yang menariknya apabila ditegur mengenai Karpal atau DAP, PAS akan cepat melenting sambil mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa akhbar atau media massa yang lain cuba memperbesarkan isu-isu tersebut. PAS akan cuba sedaya upaya untuk menangkis segala dakwaan dan kenyataan dari pihak media seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah.

Walau apapun yang berlaku, PAS akan tetap mempertahankan Karpal Singh dan DAP kerana bagi mereka DAP adalah “ abang besar “. Kalau hitam kata DAP, maka hitamlah. Kalau putih, maka putihlah. Memanglah benar PAS hanya berkuasa di Kelantan dan Kedah, manakala di dua negeri lain PAS hanya diibaratkan sebagai “ Pak Turut “, menyokong setiap ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh DAP. PKR pula hanyalah penumpang dalam kesemua negeri Pakatan Rakyat. Secara tak langsung DAP telah menjadi kuasa penentu yang berkuasa kepada PKR dan PAS.

Takutkah PAS kepada DAP sehingga sanggup diperbudak-budakkan, diperkotak katikkan supaya terus kekal di dalam Pakatan Rakyat. Sayang sangatkah PAS pada DAP? Adakah PAS lebih takut dan sayangkan DAP daripada Allah S.W.T. Dimanakah sinar penubuhan negara Islam Pas yang dilaung-laungkan selama ini. Adakah ulama-ulama PAS lemah dan terkulai layu selepas di pergunakan oleh DAP tanpa mampu bangkit menentang.

Berkuasa betul DAP sehingga dapat mengunci mulut pemimpin-pemimpin PAS daripada menegur atau berkata sesuatu. Mereka lebih rela mencari kesalahan dalam apa jua yang dilakukan oleh UMNO kerana bagi mereka UMNO adalah sangat keji walaupun mereka tahu ahli-ahli UMNO adalah beragama Islam.

Inilah jadinya apabila memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Betapa ramai cendiakawan dalam PAS tetapi tak mampu memikirkan kesan kepada PAS. Islam bukan lagi menjadi agenda perjuangan PAS tatkala ini. Mereka hanya mahukan kerusi. Kalau dah gila kuasa beginilah jadinya.

Dan menjadi bertambah parah apabila Penasihat PKR, Anwar Ibrahim pula mengatakan beliau menolak penubuhan negara Islam. Beliau mengumumkan bahawa beliau memilih jalan moderate dimana PAS sebelum ini mengatakan moderate itu adalah sekular iaitu tolak Islam dan tolak ketuanan Melayu ke ketuanan Rakyat. Sanggupkah PAS bekerjasama dengan PKR untuk menubuhkan Negara Islam bilamana Penasihat PKR, Anwar Ibrahim secara terang-terang menolak penubuhan sebuah Negara Islam di Malaysia!

Sanggupkah PAS bekerjasama dengan kumpulan yang anti-Islam iaitu IFC yang mana rata-rata ahlinya adalah dari PKR. Sebab itulah Anwar Ibrahim sanggup mengenepikan cita-cita PAS untuk menubuhkan negara Islam PAS. Bagaimana pula dengan alim ulama dalam PKR ( jika ada ). Masih sanggupkah bersama PKR untuk menperjuangkan Islam bilamana pemimpin mereka sendiri yang tolak Islam.

Mungkin dalam kes terbaru ada nampak sedikit penentangan PAS terhadap Anwar Ibrahim dan PKR! Kata dua yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS kepada Anwar Ibrahim baru-baru ini berhubung dengan kenyataan beliau menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel mula menimbulkan perbalahan antara penyokong parti tersebut dengan PKR.

Ia berikutan tindakan majlis berkenaan, yang meminta Penasihat PKR itu menarik balik kenyataannya atau menyaman The Wall Street Journal. Tetapi adakah ini satu sandiwara PAS untuk menarik semula sokongan orang Melayu terhadap parti itu yang nampaknya semakin meninggalkan mereka akibat krisis dalaman yang melanda mereka sekarang!

Dalam apa jua hal pun, UMNO konsisten dalam memperjuangkan syiar Islam dibumi Malaysia. Cuma PAS dan PKR sahaja yang tidak tahu menilai dan menghargainya. DAP melalui Lim Kit Siang dan Karpal Singh sejak penubuhannya telah lama menolak Negara Islam. Manakala Anwar selepas bebas untuk membolehkan beliau berpolitik, menukar haluan PKR untuk menolak penubuhan Negara Islam.

Jadi dimanakah hala tuju PAS yang sebenarnya? Adakah PAS mahu atau masih setia dengan Pakatan Rakyat? Masih adakah hari esok buat PAS dengan negara Islamnya? Apa gunanya PAS bekerjasama dengan Pakatan Rakyat kalau semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Dimana letaknya darjat dan maruah Islam itu sendiri apabila untuk mendapatkan kuasa adalah lebih penting dari mempertahankan penubuhan Negara Islam PAS. Nasihat kepada PAS, sebelum terlambat kembalilah kepangkal jalan. Sama-sama kita fikir dan renungkan. Wallahuallam.

Taminsari
Shah Alam

Selasa, Februari 14, 2012

Alahai MB Khalid - Apa sudah jadi dengan pakej rangsangan ekonomi Selangor!


Pada tahun 2009 kerajaan negeri dipercayai telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi Selangor sebanyak RM 50 Billion. Nampaknya hanya janji dan omong-omong kosong sahaja kerana sehingga hari ini pelaksanaannya masih kabur lagi.

Konsep pakej ransangan ekonomi ialah satu peruntukan segera dengan jangka pelaksanaan dua tiga tahun untuk membantu kepesatan pertumbuhan ekonomi negeri jangka pendek bukan memakan masa panjang 10 – 15 tahun.

Semasa melancarkan Karnival Sungai Klang pada 23 Mac 2009, YAB. Menteri Besar telah mengumumkan Projek Pemulihan Sungai Klang yang menelan belanja sebanyak RM 50 Bilion yang akan disiapkan dalam tempoh 15 tahun. Kalau apa yang dilaporkan oleh Akhbar The Straits Times pada 15 Mac 2010 adalah benar, maka matlamat pakej ekonomi RM 50 Billion tidak akan mencapai matlamat dan sasarannya.

Seperti yang dilaporkan, RM 2 Billion telah diperuntukkan iaitu untuk membersihkan Sungai Klang sebanyak RM 1 Billion dan untuk pembangunan sebanyak RM 1 Billion dalam tempoh pelaksanaan selama 2-3 tahun. Lihatlah keadaan Sungai Klang sekarang! Semakin teruk dimana sampah-sarap memenuhi permukaan sungai!

Dikatakan tiga syarikat telah dipilih daripada 37 syarikat yang telah membuat tawaran dan sebuah syarikat DPZ Asia dipilih, ‘was approved’ dengan izin, oleh Menteri Besar.


Dalam konteks Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor sebanyak RM 50 billion ini, Menteri Besar sepatutnya memberi jawapan dan penjelasan kepada ( 7 ) soalan berikut kerana rakyat negeri Selangor perlu tahu?

(1) Daripada sumber mana RM 50 Billion didapati.

(2) Bagaimana RM 50 Billion dibelanjakan dan sila beri butir-butir terperinci termasuk jadual pelaksanaan projek.

(3) Selain daripada projek-projek besar infrastruktur, berapa banyakkah diperuntukkan untuk projek-projek kecil dan sederhana yang boleh memberi manfaat kepada syarikat kecil dan sederhana di negeri Selangor.

(4) Sejauh manakah pakej ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri Selangor bagi tahun 2009, 2010 dan 2011.

(5) Jika apa yang dilaporkan dalam akhbar The Straits Times pada 15 Mac 2010 betul mengenai empat ( 4 ) syarikat yang akan menjalankan projek pemuliharaan Sungai Klang, mengapa syarikat DPZ Asia dipilih sendiri oleh YAB. Menteri Besar dan tidak melalui proses tender terbuka.

(6) Salah satu daripada tiga syarikat yang Berjaya ialah Wessex Water I-Bhd Consortium. Adakah I-Berhad syarikat yang sama dengan pembangunan I-City Shah Alam.

(7) Adakah kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Presiden, Transparency International Malaysia (TI-M)supaya kerajaan negeri menandatangani ‘Integrity Pacts’ dengan izin, atau ‘perjanjian integriti’ dengan empat syarikat yang telah dipilih untuk mengendalikan projek pemuliharaan Sungai Klang bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, korupsi dan untuk meminimumkan kos – mempastikan integriti, ketelusan dan pertanggungjawaban.

Apa cerita MB Khalid! Boleh jawap ke?











Suara Politik
Taminsari

Isnin, Februari 13, 2012

Wal Halalku..Wa Harammu..!


Alahai Ketua Pemuda PAS Malaysia, janganlah nyamuk diseberang laut sahaja kamu nampak walhal gajah didepan mata kamu buat-buat tak nampak! Dah kehabisan modal ke nak menghentam Perdana Menteri? Sebelum inipun banyak yang PAS dan seangkatan dengannya lakukan lebih teruk lagi, namun mengapa kamu diam sahaja!

Selaku Perdana Menteri Malaysia, kehadiran DS Najib di Batu Caves amat dialu-alukan oleh rakyat berketurunan India bagi menyambut perayaan Thaipusam. Untuk pengetahuan semua, masyarakat Hindu terutama pemimpin-pemimpin agama Hindu di Batu Caves amat sensitif dengan hukum dan halal haram di dalam ajaran agama Islam.

DS Najib tidak berada di dalam kawasan kuil atau menyembah berhala. Tidak seperti PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat lakukan seperti "ritual" sembahyang roh Teo Beng Hok, melakukan upacara serta memakai jubah sami dan lain-lain lagi yang meragukan aqidah! Beliau hanya berada di pentas yang disediakan khas berdekatan dengan kuil di Batu Caves untuk memberi ucapan.

Lagipun, Perdana Menteri sendiri mempunyai Penasihat Khas Agama yang akan menasihati beliau. Takkanlah isu sebegini besar yang kononnya melibatkan aqidah DS Najib terlepas pandang oleh Penasihat Agama beliau? Yang menjadi persoalan sekarang adalah mengapa Nasarudin Hasan mempertikaikan perkara tersebut?


Adakah kerana PAS mengatakan mereka itu Islam dan lebih "Islam" dari UMNO dan BN maka apabila mereka buat tak mengapa Halal..Wal Halalku, tetapi bila kena pada BN mereka menganggap itu Haram..Wa Harammu.

Malah mereka meminta fatwa yang betul - betul jelas, berani serta telus dari pihak agama dan jangan dijual agama ini demi kepentingan sendiri.

"Kita minta fatwa yang betul-betul jelas, berani dan telus daripada pihak agama dan jangan jual agama demi kepentingan sendiri," tegas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Tetapi apabila perkara yang yang 'lebih teruk' dilakukan oleh para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, adakah Pemuda PAS tampil mempertikai aqidah pemimpin mereka? Kenapa ketika itu tidak meminta 'fatwa' dari Majlis Agama? Janganlah 'double standard' dalam mempertahankan aqidah jika benar-benar memperjuangkan agama Islam!

Sepatutnya, sebagai sebuah organisasi yang nak memperjuangkan Islam, mereka sendiri perlu faham mengenai isu tersebut. Jangan jadi macam meludah kelangit!

Mengambil contoh sewaktu UMNO dan BN memerintah, mereka kata dan menyalak sana sini yang UMNO halalkan disco, kilang arak dan apabila mereka memerintah dan berkuasa, mereka sendiri yang menyatakan tidak boleh haramkan disco dan menutup kilang arak.

PAS juga tidak mengekang gejala murtad yang dilemparkan kepada UMNO sedangkan merekalah yang membawa fahaman songsang. Demi menutup fahaman mereka, mereka alihkan kepada kerajaan dan UMNO.


Mereka berselongkol dengan pemimpin PKR dan DAP seperti Irene Fernandez berjuang kearah mencetak Bible ke dalam bahasa Melayu agar orang Islam di murtadkan. Peguam-peguam yang mewakili anak guam terdiri daripada mereka yang berkepentingan dalam DAP dan PKR yang merupakan pakatan dan rakan politik PAS.

Bahawasanya PAS, DAP dan PKR tidak pernah bersatu kerana sudah hakikat mereka ini tidak pernah bernaung dibawah satu ideologi. DAP lawan Islam manakala PAS memperjuangkan Islam konon-kononnya. Apa akan jadi agaknya kalau ketiga-tiga parti perosak ini menjadi pemerintah kita?

Satu sahaja jawapannya iaitu LINGKUPLAH SEMUA.

Sedarlah rakyat umat Islam-Melayu Malaysia, bahawasanya PAS bukan pejuang Islam sejati. Mereka hanya mengunakan Islam sebagai alat mendapatkan kuasa iaitu berselindung disebalik parti politik. Jika ianya bukan sebuah parti politik nescaya ia ibarat sama sahaja dengan kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang wujud di Malaysia. Kumpulan mereka meletakan syurga dibawah tapak kaki ketua-ketua mereka seolah-olah syurga mereka yang punya diakhirat kelak.


Tiada siapa diantara golongan mereka berani menegur perbuatan yang menyalahi ajaran Islam sepertimana ketua ajaran-ajaran sesat yang ada. Ini memberikan satu kuasa sampingan kepada ketua-ketua mereka untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat keuntungan politik. Al-Quran, Hadith, hukum-hakam, hal ehwan Islam menjadi mainan politik serta pertaruhan oleh ketua-ketua serta pengikut dan penyokong PAS untuk mengekalkan kuasa.

Demi DAP dan PKR, PAS dibawah pemimpin yang ada kini akan mengorbankan PRINSIP dan Undang-Undang Tubuh parti PAS sendiri. Ahli PAS dan penyokong PAS yang mahukan Islam ala-PAS, sedarlah bahawa tiada lagi perjuangan dan syariat Islam di dalam PAS. Perjuangan Hudud bukan lagi "make-up" buat PAS.

Kepada penyokong PAS yang sangat mentah untuk menilai semua ini kerana berpandukan emosi dan terpengaruh dengan lidah bercabang pemimpin PAS. TOLAK PAS, sebuah parti yang bertopengkan Islam yang sanggup merosakan agama Islam hanya untuk mendapat tempat di dalam Pakatan Rakyat. Janganlah tersesat dan mengadaikan AQIDAH demi kepercayaan tok-tok guru PAS yang berkepentingan. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, Februari 11, 2012

Sekarang baru Zaid Ibrahim tahu langit itu tinggi atau rendah!


Zaid mengharapkan panas sampai ke petang, tetapi rupanya hujan ditengahari! Bercakap dan mengkritik itu memang mudah. Bila sampai giliran kita menjadi ketua atau pemimpin barulah kita tahu bahawa langit itu tinggi atau rendah.

Inilah yang berlaku kepada Zaid Ibrahim presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA). Semasa menganggotai Kabinet selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (Portfolio Undang-Undang) beliau banyak melakukan tindakan yang dilihat tidak selari dengan parti yang disertainya. Kononnya untuk menegakkan keadilan dan sebagainya. Dalam banyak hal kenyataannya cukup lantang dan melihat orang lain semuanya tidak betul dan tidak pandai.

Akhirnya beliau keluar dari UMNO dan meletakkan jawatan sebagai menteri. Satu tindakan yang dilihat berani dan berprinsip. Alasannya kerana tidak dapat membetulkan kerajaan dari dalam. Selepas itu beliau memilih untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan diberi jawatan yang penting dalam parti.

Peringkat awal penyertaannya, beliau disanjung dan dianggap sebagai pejuang tulen keadilan. Setelah sekian lama belang sebenar Zaid Ibrahim yang berminat menjadi ketua ini mula ketara. Dikritiknya dasar parti secara terbuka dan sebagai mana biasa semua orang tidak betul.

Ringkas cerita, beliau keluar PKR sebagai tanda protes dan memimpin parti KITA. Akhirnya beliau berjaya menjadi seorang presiden. Inilah jawatan yang dicarinya selama ini. Allah maha kaya. Mungkin Allah SWT mahu membuka minda dan mata seorang yang bernama Zaid Ibrahim ini bahawa menjadi ketua ini bukannya mudah.

Setelah menjadi presiden parti selama setahun lebih barulah beliau mengerti betapa sukarnya tugas seorang ketua. Antara luahannya ialah beliau gagal menarik sokongan ahli, dana parti yang terhad untuk menggerakkan aktiviti parti, pihak media yang selalu memberi laporan negatif kepada partinya selain ramai orang yang suka mengkritik kepimpinannya.

Paling mahal sekali, beliau telah mengakui bahawa dirinya telah banyak melakukan kesilapan dalam hidup. Antara kesilapan itu ialah penubuhan parti KITA itu sendiri. Pengajarannya ialah berhati-hati dalam melontarkan kritikan dan cemuhan. Setiap pengikut mesti faham antara tugas seorang pengikut dan seorang pemimpin.

Jika kita tidak mampu menjadi pengikut yang baik sudah pasti terlebih sukar untuk menjadi pemimpin yang hebat. Lambat laun orang akan tahu juga kemampuan dan kebolehan kita yang sebenar. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Skandal pasir: Pemuda UMNO lapor polis!

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini meminta polis menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah membabitkan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang didedahkan Raja Petra Kamaruddin menerusi laman blog, Malaysia Today semalam.

Ketuanya, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal berkata, siasatan tersebut harus dilakukan segera bagi memastikan dakwaan itu berasas atau sebaliknya agar tindakan undang-undang boleh dilaksanakan terhadap mereka yang terlibat.

Menurutnya, ini kerana dakwaan penyelewengan melibatkan salah guna kuasa dan rasuah merupakan satu jenayah yang tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan wakil rakyat yang mempunyai kepentingan tertentu.

"Justeru, kita mahu polis menyiasat dakwaan berkenaan secara terperinci dan 'mencungkil' siapakah dalang sebenar dalam skandal penyelewengan pasir di Selangor seperti yang didedahkan menerusi laman blog itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Tambah Ungku Md. Salleh, berdasarkan dakwaan itu, Raja Petra mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari telah memberi sokongan bertulis pada surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil.

Ketika itu, katanya, Amiruddin memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkenaan pada 2010. Dakwaan Raja Petra itu turut melibatkan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dikatakan turut memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat yang sama.

"Berdasarkan dakwaan tersebut, persoalan yang timbul ialah bagaimana wakil rakyat itu menyokong surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir sedangkan mereka sendiri adalah Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang terbabit.

"Jika benar dakwaan itu, kita lihat ia mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa, ada konflik kepentingan," jelas beliau yang akan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin ini.

Sementara itu : Amiruddin mengaku beri surat sokongan untuk mohon aktiviti korek, jual pasir

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari hari ini mengaku pernah memberi surat sokongan kepada syarikat Double Dignity (M) Sdn. Bhd. untuk permohonan aktiviti mengorek dan menjual pasir di Selangor.

Beliau yang ketika itu merupakan Ahli Lembaga Pengarah Double Dignity berkata, surat sokongan berkenaan dikeluarkan dengan syarat semua prosedur dan tata kerja dipenuhi.

Bagaimanapun tegasnya, tidak timbul isu penyelewengan pasir yang melibatkan syarikat itu kerana Double Dignity tidak membuat permohonan berkenaan kepada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) iaitu syarikat pengendali industri pasir milik kerajaan negeri Selangor.

Beliau memberitahu, isu tersebut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2010 dan beliau memberi kerjasama penuh kepada agensi itu.

“Tidak timbul isu penyelewengan kerana KSSB telah mengesahkan tiada permohonan (dari Double Dignity) dan tiada kebenaran yang diluluskan.

“Saya mengaku memberi surat sokongan (kepada Double Dignity), namun ia selagi mana syarat semua prosedur dan tata kerja dipenuhi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Benarlah seperti apa yang menjadi persoalan bagi Ketua Pemuda UMNO Selangor, bukankah ini mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa apabila wakil rakyat itu sendiri menyokong surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir sedangkan mereka sendiri adalah Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang terbabit. Fikir-fikirkanlah...!!!

Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Februari 10, 2012

Adakah PAS hanya menang bersorak, maruah tergadai!


Baru-baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan dalam satu perhimpunan di Shah Alam bahawa tidak kisah PAS diperkudakan oleh DAP dan DAP yang diperkudakan oleh PAS asalkan jangan 'diperlembukan' oleh UMNO.

Kenyataan itu mengesahkan PAS tidak kisah apa pun yang diminta oleh DAP asalkan cita-cita PAS untuk bersama-sama parti berkenaan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawan Putrajaya menjadi realiti.

Sebab itulah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyatakan PAS dan PKR akan membantu DAP meyakinkan orang Melayu di Perak bahawa parti itu tidak bersifat cauvinis Cina dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kita tidak boleh menyalahkan Koo Ham kerana berterus terang, sebaliknya perlu berterima kasih kepada beliau. Ia memandangkan selama ini ramai tertanya-tanya kenapakah PAS begitu bersedia bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun berbeza ideologi dan arah perjuangan.

Malahan ramai juga bertanya bolehkah PAS bekerjasama dengan DAP yang secara terang-terang menentang penubuhan negara Islam sehingga PAS terpaksa menggugurkan perjuangan berkenaan.

Tetapi rupanya, DAP dan PKR menerima PAS disebabkan mereka amat memahami kekuatan yang ada pada parti tersebut iaitu menarik sokongan orang Melayu menyokong pembangkang termasuk DAP.

DAP mengetahui mereka tidak boleh bersendirian melakukan usaha meraih sokongan orang Melayu, biar pun sudah memulakan langkah dengan menarik beberapa orang Melayu menyertai parti itu.

Bagi DAP, hanya PAS sahaja yang mampu menandingi keupayaan untuk memecah sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional (BN) melalui UMNO. Oleh itu, PAS diterima masuk dalam pakatan pembangkang dengan jaminan DAP pula akan cuba 'mencuci' imej PAS yang dikatakan dilihat ekstrem.

Bagaimanapun, kita tidak pasti sejauh manakah DAP benar-benar jujur untuk membantu PAS kerana hakikatnya yang lebih memerlukan PAS ialah DAP, bukannya PAS.

Jika DAP mahu membantu mengikis imej yang dikatakan ekstrem itu, parti tersebut perlu membenarkan PAS bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina yang menjadi kubu kuat mereka terutamanya di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Tetapi kita pasti DAP jauh lebih bijak berpolitik berbanding PAS, ia memandangkan DAP tidak akan mengorbankan kekuatannya semata-mata atas dasar membantu PAS. Namun PAS akan bersedia berbuat demikian kerana parti itu sudah kemaruk hendak berebut kuasa bersama-sama DAP dan PKR.

Sebab itulah, selama ini kita lihat melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang PAS lebih banyak menjadi 'pak turut' dan diperalatkan. PAS seolah-olah cuba menafikan hakikat ini, sebaliknya gembira apabila ada penyokong DAP yang mengibarkan bendera PAS.

PAS menganggap itu petanda baik kerana menunjukkan kononnya masyarakat bukan Melayu menyokong parti itu. Parti tersebut sebenarnya tidak sedar bahawa DAP mahu memperalatkan PAS untuk meraih sokongan orang Melayu kerana mereka tidak boleh bergantung kepada PKR.

PKR ibarat parti yang semakin rosak dan penuh kekalutan akibat gelagat pemimpin-pemimpin kanannya. Ia berbeza dengan PAS yang mempunyai ramai ulama, kehadiran golongan ini akan memudahkan misi menarik sokongan orang Melayu.

Tambahan pula DAP amat memahami ketaksuban PAS untuk terus berada dalam pakatan pembangkang dan keghairahan PAS untuk menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu. Justeru keterujaan inilah yang akan menjadi senjata kepada DAP dan PKR untuk memperalatkan PAS.

Dan satu fakta lagi kita harus mengakui bahawa dari segi organisasi terutamanya pergerakan jentera pilihan raya, PAS jauh lebih tersusun berbanding kedua-dua parti berkenaan.

Ahli-ahli PAS sentiasa taat kepada arahan kepimpinan apabila diminta berkorban dan berjuang untuk parti. Mereka diserapkan dengan fahaman bahawa pakatan pembangkang perlu menumbangkan BN kononnya bagi memberikan harapan baru kepada rakyat dan 'Bersihkan Malaysia'.

Ahli-ahli PAS juga ditanamkan dengan fahaman bahawa musuh mereka yang paling nyata adalah UMNO, oleh itu 'jihad' mereka ialah menghapuskan kuasa politik UMNO biar pun parti terbesar orang Melayu itu telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Berikutan keadaan itulah, DAP dan PKR tidak akan meninggalkan PAS, apatah lagi PAS dilihat 'pak turut yang baik' kerana tidak pernah membantah kehendak, kemahuan dan arahan mereka. Bagaimanapun apa yang perlu difikirkan oleh orang Melayu apakah corak politik yang diamalkan pembangkang sekarang akan menguntungkan masa depan mereka atau tidak.

Pilihan raya umum akan datang bukan soal untuk memberi kuasa kepada mana-mana parti semata-mata tetapi sebaliknya menentukan survival perjuangan dan kepentingan orang Melayu tidak tergugat di samping memastikan kaum-kaum lain tidak dipinggirkan.

Jelaslah, DAP dan PKR menerima PAS bukannya bagi membantu parti yang diasaskan oleh para ulama tersebut meneruskan perjuangan Islam tetapi semata-mata untuk meraih kuasa politik. Seperti mana pernah diperkatakan sebelum ini, DAP dan PKR sama sekali tidak akan membiarkan PAS dominan atau menjadi tonggak utama pakatan pembangkang.

Jika DAP dan PKR ikhlas serta mengiktiraf PAS sebagai parti yang mewakili orang Melayu dan umat Islam yang merupakan kelompok terbesar rakyat di negara ini, maka mereka perlu benarkan PAS menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang. Melalui cara demikian barulah mimpi PAS siang dan malam untuk menggantikan UMNO akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun kita yakin, harapan untuk melihat PAS menjadi suara utama dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi kerana selain DAP dan PKR tidak akan mengizinkan, PAS juga ketandusan pemimpin yang layak menjadi pemimpin kepada ketiga-tiga parti berkenaan.

Sebab itulah, DAP dan PKR menyatakan kalau pun Anwar Ibrahim dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri kalau pembangkang menang pilihan raya umum nanti.

Oleh itu adalah diharapkan orang Melayu tidak harus terpengaruh dengan janji-janji manis pakatan pembangkang kononnya pakatan itulah alternatif terbaik bagi menggantikan BN serta PAS adalah pengganti UMNO.

Semua itu hanyalah omong kosong kerana fakta sebenarnya ialah kerjasama mereka bukanlah pakatan rakyat tetapi pakatan rapuh akibat berbeza ideologi politik dan hala tuju perjuangan.

Mereka juga perlu menerima hakikat bahawa PAS tidak akan mampu menggantikan UMNO kerana sepanjang perjalanan politiknya UMNO tidak pernah menjadi 'pak turut' sesiapa, UMNO tidak mengorbankan prinsip perjuangannya dan UMNO tidak pernah mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Apa pun UMNO lakukan adalah demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam serta bekerjasama dengan parti-parti komponen BN membela kaum-kaum lain supaya kita mampu mewujudkan sebuah rakyat yang bersatu-padu bagi membangunkan negara.

Tetapi apa akan berlaku jika rakyat menyerahkan kuasa kepada sebuah pakatan politik yang menyaksikan satu parti dilihat cauvinis, satu parti dilihat caca marba dan satu parti hanyalah 'pak turut'. Fikirkanlah!-UMO

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Februari 09, 2012

Usah terlalu kagum dengan teori kontrak sosial versi barat!






















Teori kontrak sosial yang menjadi salah satu teori utama menghurai kewujudan negara yang perlu difahami ialah asas dan semangat kontrak sosial itulah yang menjadi landasan kewujudan kontrak sosial kita. Justeru, tidak timbul soal pemimpin memutarbelitkan makna kontrak sosial daripada pencipta asalnya.

Perlu difahami, tiada satu pun teori dalam dunia ini dapat diikuti sepenuhnya. Latar belakang sejarah dan budaya sesebuah negara mesti diambil kira. Malah, negara Barat sendiri tidak dapat mengikut sepenuhnya erti kontrak sosial yang diteorikan oleh pencipta asalnya.

Teori kontrak sosial menjelaskan negara dibentuk atas kehendak dan kesediaan anggota masyarakat mengadakan kontrak bagi menjaga kepentingan dan keselamatan umum. Dalam teori ciptaan tuhan (negara teokrasi) menyatakan tuhan memberi mandat kepada raja untuk memerintah rakyat dan tuhan jugalah yang mencabut balik mandat kekuasaan apabila raja dianggap tidak memerintah dengan adil.

Sebaliknya, teori kontrak sosial yang ideanya muncul pada era pencerahan di Eropah memartabatkan 'rasionalisme', 'humanaisme' dan 'realisme' sebagai alur pemikiran utama. Ia meletakkan manusia sebagai pusat gerak dan segala peristiwa dunia, bukannya tuhan. Sebagai umat Islam kita tidaklah berpendirian demikian.

Kita akur bahawa Sahifah Madinah yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian kontrak sosial di antara orang Islam dan orang bukan Islam (Yahudi) meletakkan kebesaran dan kekuasaan Allah sebagai landasan utama pembentukan perlembagaan terbabit.

Dalam membincangkan teori kontrak sosial, pemikiran Thomas Hobbes, John Locke, dan Jean Jacques Rousseau perlu dirujuk kerana mereka dianggap pencetus idea kontrak sosial. Hobbes (1588-1679) menyatakan tindakan manusia secara kudratnya digerakkan oleh hasrat nafsu (appetite) dan keengganan (aversion).

Appetite manusia adalah hasrat terhadap kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan. Aversion manusia pula adalah keengganan untuk hidup sengsara dan mati. Hasrat manusia tidak terbatas tetapi pada masa sama ia tidak mahu hidup sengsara.

Kuasa antara sesama manusia menyebabkan kehidupan menjadi tidak aman. Penyelesaiannya ialah manusia mencipta 'kondisi buatan' (lawan kepada kondisi alamiah), iaitu apa yang dinamakan keperluan sivil.

Ini bermakna anggota masyarakat bersedia untuk bersetuju dan bersepakat untuk melepaskan hak-hak mereka dan memindahkannya kepada badan atau lembaga (organisasi) yang diberi kuasa tertentu bagi maksud menjaga kesepakatan itu supaya keselamatan rakyat terpelihara.

Locke (1632-1704) pula menyatakan, walaupun kudrat manusia adalah sama antara satu sama lain, manusia tidak ingin memenuhi hasrat dengan kuasa tanpa mempedulikan manusia lain. Menurut Locke, pada prinsipnya akal manusia mengajar bahawa ia tidak perlu melanggar dan merosak kemerdekaan dan kehidupan orang lain.

Locke melihat bahawa dalam kondisi alamiah sudah wujud pola pengaturan dan hukum alamiah yang teratur dan manusia mempunyai akal yang dapat menentukan apa yang benar, apa yang salah.

Menurutnya, huru-hara, kekacauan dan kemusnahan muncul kerana wujud beberapa golongan yang akalnya dipandu oleh dorongan dan kepentingan peribadi. Masalah tidak akan lahir sekiranya setiap orang dipandu akal murninya tetapi Locke sedar bahawa disebabkan agenda peribadi oleh mereka yang mengejar dan memiliki kuasa menyebabkan berlakunya onar di dalam masyarakat. Untuk itu kontrak sosial diperlukan. Melalui kontrak sosial ini anggota masyarakat bersedia menyerahkan sebahagian haknya.

Dalam tulisannya An Essay Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government dalam Social Contract (Oxford University Press, 1960) beliau menjelaskan pemerintah dan masyarakat tidak hanya diikat dalam hubungan kontrak, malah hubungan saling mempercayai (fiduciary trust).

Wujud tiga pihak dalam hubungan saling mempercayai iaitu orang yang mencipta kepercayaan (the trustor), orang yang diberi kepercayaan (the trustee) dan mereka yang memperoleh manfaat daripada pemberian kepercayaan itu (the beneficiary).

Perjanjian (kontrak) berlaku antara 'trustor' dan 'trustee' sedangkan antara 'trustee' dan 'beneficiary' tidak terjadi kontrak sama sekali. Namun, menurut Locke, masyarakatlah yang dapat bertindak sebagai 'trustor' sekali gus 'beneficiary'. Apa yang jelas ialah kewajipan dan kepatuhan masyarakat kepada pemerintah akan bertahan selama pemerintah masih dipercayai.

Apabila hubungan kepercayaan (fiduciary trust) terhakis dan musnah, maka pemerintah akan kehilangan kuasa untuk melaksanakan apa yang dimahukannya. Rousseau (1712-1778) pula menegaskan pada dasarnya manusia itu sama tetapi persekitaran serta faktor moral menciptakan ketidaksamaan.

Hasilnya, timbul hak-hak istimewa yang dimiliki golongan tertentu. Situasi inilah yang akhirnya membentuk organisasi sosial dalam masyarakat. Malangnya sering berlaku organisasi sosial diperkudakan oleh mereka yang berkuasa untuk menindas yang lain. Untuk menghindari keadaan ini, maka masyarakat melaksanakan kontrak sosial berasaskan kehendak bebas daripada semua semata-mata bagi mewujudkan keadilan untuk semua.

Rousseau menegaskan lembaga legislatif harus mengutamakan kehendak umum daripada kehendak semua. Kehendak bebas harus tercipta daripada kualiti kehendaknya, bukannya daripada kuantiti orang yang berkehendak (Social Contract, Oxford University Press, 1960).

Apabila Kontrak Sosial tidak dihormati lagi!

Pepatah Melayu ada mengatakan 'madu di beri, tetapi tuba yang dibalas'! Inilah yang berlaku apabila 'mereka-mereka ini' sudah lupa daratan dari mana asal usul mereka. Dasar orang yang tak pernah mengenang budi. Tidak pernah bersyukur dengan apa yang mereka dapat selama ini. 'Jus Soli' kurang menjadi ingatan kepada mereka lantaran ia tidak melahirkan penghargaan atas apa yang telah ada hari ini!

Agak mengejutkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan menerima saman pertama dalam bahasa Tamil, di samping bahasa Melayu yang disyaratkan.

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) semalam berkata akan memfailkan saman terhadap lelaki pertama dan kedua Malaysia itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Khamis.( Hari ini )

Pengasas bersama Hindraf P Uthayakumar dan peguam M Manoharan berkata, mereka akan memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya kesemua 523 sekolah Tamil ditaja sepenuhnya oleh kerajaan, setiap sekolah diberikan 10 ekar tanah dan sebuah kampus khas melatih guru India diadakan di Universiti Malaysia.

Mereka juga menuntut ganti rugi RM55 bilion setahun untuk dakwaan 55 tahun diskriminasi terhadap bekas penuntut sekolah Tamil oleh kerajaan dan sektor swasta.

"Kami sudah minta, dan minta, dan minta perkara itu ratusan kali," kata Uthayakumar yang turut mengedarkan risalah mencari sokongan di tengah-tengah perayaan Thaipusan di Batu Caves semalam.

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka membuat pelbagai tuntutan yang tidak masuk akal. Mereka berani bertindak sedemikian kerana apa? Mengapa mereka berani melanggar Kontrak Sosial yang telah dipersetujui selama ini! Sama-samalah kita fikirkan.

Apa yang dipaparkan di atas di kira memadai untuk memahami betapa pentingnya kewujudan kontrak sosial dalam kehidupan bernegara. Apalah salahnya kita melaksanakan versi kontrak sosial kita yang sudah wujud sejak merdeka kerana ia terbukti memberi manfaat kepada semua serta dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.

Jangan terlalu ideal dengan kontrak sosial pencipta asalnya. 'Lain padang lain belalangnya'. Selama ini kontrak sosial negara sudah cukup adil kepada semua. Jangan seperti 'tikus membaiki labu', nanti 'yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran' dan negara menjadi kucar kacir.

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Februari 08, 2012

Biarlah berlentur, tetapi tidak patah...!!!

Sejarah sentiasa mengajar kita tentang perjalanan nasib bangsa dan negara. Peperangan dunia dan darurat dalam negara kita, misalnya telah mencabar kekuasaan pemerintah imperial Jepun dan Inggeris di Tanah Melayu. Sekaligus juga perhubungan di antara kaum dan individu yang telah diperlaga-lagakan dalam percaturan kuasa imperial itu mencapai tahap pertentangan yang amat serius dan genting.

Orang Melayu, seperti juga orang Siam-mereka berkeyakinan tentang hak mereka ke atas negaranya sendiri sejak dari dahulu serta desakan hebat kuasa imperial Jepun, tidak berasa silu untuk bersama dalam perjalanan kuasa zaman Jepun itu. Apa lagi adanya layanan yang lebih baik dan untuk kesejahteraan bersama serta janji perlanjutan kuasa pemerintahan selepas perang, maka kehadiran Jepun membuka kesempatan yang amat berharga bagi orang Nelayu untuk kembali berkuasa di tanah airnya sendiri.

Kuasa imperial Inggeris tidak memandang keadaan zaman Jepun daripada rasa simpati yang sama atau sebagai tindakan yang wajar oleh orang Melayu lalu mereka menjadikan kerjasama dengan Jepun itu sebagai sebab utama untuk menakluk semula Tanah Melayu dengan sepenuhnya.Dengan mentafsir kerjasama Raja-Raja Melayu dengan Jepun sebagai pembelotan besar dan jenayah serius zaman perang terhadap kuasa imperial Inggeris, maka orang Melayu seluruhnya diancam dengan kejatuhan dan kehilangan kuasa oleh penaklukan ke atas negaranya melalui Malayan Union tanpa mereka sendiri menyedari akan perlucutan terhadap hak dan kuasa Melayu ke atas Tanah Melayu, bumi tanah air bangsa Melayu oleh tindakan Malayan Union itu.

Selama dua tahun orang Melayu tidak mempunyai negara sendiri, menjadi pelarian dan gipsi dalam negara mereka. Kuasa mereka telah lebur sama sekali hanya dengan satu tandatangan. Sejarah politik orang Melayu hapus di muka bumi dengan hanya persepsi serong imperial Inggeris di London terhadap orang Melayu.

Sejarah awal abad 19 yang membelahkan negara Melayu menjadi utara dan selatan khatulistiwa hanya dengan keputusan perjanjian Inggeris dan Belanda di Eropah pada tahun 1824 telah berulang lagi. Untuk pertama kalinya slogan `Melayu Hilang di Dunia"menjadi kenyataan yang amat pahit dan hampir kekal dan abadi.

Saat-saat selepas perang pula menyaksikan penindasan kuasa `belalang’ Bintang Tiga di padang yang kosong terhampar luas dan menghijau. Gerombolan penjahat golongan pendatang dengan idealogi asingnya telah turun dari segenap hutan untuk membunuh orang Melayu dengan rasa dendam dan hasad yang amat membencikan.

Dengan alasan bahawa Melayu telah bersubahat dengan Jepun serta dengan niat untuk menyebar idealogi baru, mereka membalas dendam dengan amat zalim. Tidak terkira ramainya bilangan orang Melayu yang terbunuh kerana tanggapan yang sama bahawa Melayu belot dengan Jepun.

Dalam negara sendiri, Melayu dituduh belot. Di manakah kuasa Melayu itu mempertahankan hak mereka? Selama tiga minggu, mereka menakluk dan dengan sedaya upaya yang termampu olehnya cuba menghapuskan kuasa Melayu kerana sifat orang Melayu itu sendiri yang terlalu lurus serta tidak bersedia untuk mengambil alih kuasa pemerintahan negara mereka dengan kekosongan yang ditinggalkan oleh Jepun.

Selama itu juga orang Melayu dimandikan dengan darah. Selepas itu mereka langsung dipupuskan oleh gagasan Malayan Union. Demikianlah sejarah penghapusan dan permandian darah orang Melayu kerana kelemahan diri dan perpecahan kepemimpinan politik pada zaman yang amat mencabar dan mengancam.

Orang Melayu bukan sahaja terbelah oleh yang moden dan yang tradisi, yang loyal dan yang repubalikan bahkan antara yang paling miskin dengan yang paling kaya serta antara yang paling berkuasa dan yang paling daif dan tidak berkuasa. Kini saat-saat mencabar yang mungkin lebih hebat dan tajam daripada sejarah silam itu sedang kembali berlegar di hadapan mata kita dengan ancaman perpecahan dan kehanduran yang tidak memungkinkan untuk bangun kembali lagi.

Ancaman yang demikian hebat sehingga tidak lagi perlu kepada suatu kuasa asing dan luar untuk mencapai matlamat kehancuran bangsa ini tetapi cukup dengan perbalahan dan pertentangan politik serta perjuangan sepenuhnya setiap `hantu politik’ antara satu sama lain dan bagaimana pada zaman dahulu orang mempertaruhkan dan menggadaikan tanah, daerah, jajahan atau negeri untuk berjudi dan bersabung ayam antara mereka sendiri.

Itulah bayangan yang sedang melintas di hadapan kita hari ini. Kita mungkin menggadaikan bangsa dan negara kita jika perjuangan politik yang terlalu sengit berlaku antara peribadi dan puak orang Melayu membawa kepada keruncingan konflik dalam masyarakat sendiri. Kita bukan Amerika atau Inggeris untuk menggunakan nilai dan prinsip demokrasi yang terlalu ekstrim untuk mencari dan menemui keputusan kepada perbalahan serta pertelingkahan politik kita sehingga tiba ke hujung lojik demokrasi itu.

Kita masih terkandung di dalam lingkungan nilai dan pertimbangan budaya yang meminta perundingan serta muafakat dalam proses mencari penyelesaian dan bukannya persaingan serta peraduan yang sengit serta genting untuk mencari dan menemui titik perhubungan. Dekad 80-an pula ternyata adalah suatu tempoh yang amat mendebarkan jantung dan seluruh hidup kita. Kita sentiasa bimbang menyaksikan sekian banyak kemelut dan pergolakan dalam masyarakat. Satu demi satu gegaran dan gempa sosio-politik meledak sehingga menggoncangkan seluruh binaan masyarakat kita sehingga ke akar umbinya.

Daripada awal dekad ini lagi sebenarnya sudah berterusan persinggitan antara golongan muslim dan kafir yang memfragmenkan idealogi serta iktikad bangsa sampai ke lunas-lunasnya . Kemudian bertiup pula ribut taufan Perlembagaan yang meruntuk akar umbi keutuhan bangsa dan masyarakat sehingga boleh menumbangkan pendiriannya.

Jurang antara individu dan puak terus meluas dalam merangkaikan fragmentasi tafsiran idealogi dan perjuangan agama yang amat berdarah dalam peristiwa Memali. Suasana goyah dan kemelut itu berlangsung dalam dengan menonjolnya nilai-nilai baru dan amalan prinsip demokrasi pemilihan para pemimpin sehingga mengenepikan tradisi pemilihan pucuk pimpinan Kerajaan.

Persaingan individu atas prinsip demokrasi dan akhirnya pembuangan puak-puak politik benar-benar meretak dan membelah masyarakat. Segala ini berlaku sebagai satu gelojak hanya dan semata-mata dalam masyarakat meskipun dalam seluruh konteks bangsa Malaysia yang lebih luas dan yang menjadi lingkungan hanya menjadi saksi berkecuali terhadap pergolakan itu.

Persoalan ini seolah-olah sebagai suatu permainan dan persabungan `jaguh-jaguh’ dan `galak-galak’ jantan milik Pak Kaduk dan Lebai Malang yang nanti akan menerima nasib ' ayam menang, kampung tergadai’ berlaku dalam suatu gelanggang bangsa Malaysia yang bergemuruk bersorak-sorai melihat Si Kaduk dan Si Lebai Malang bergaduh.

Kita sedang mendengar sorak dan sorai dan kita akan menang sorak tetapi alah sabung dalam jangka panjang ketika bersaing dengan orang lain dalam dunia yang terlalu pesat berubah dan membangun.Ketika kita sedar dan bangun dari tersungkur kerana pergaduhan itu, maka dari debu-debu kehancuran itu, kita yang masih mamai kerana bertumbuk akan melihat orang lain mencebek, mencekam dan menindas kita menjadi hamba dan ulun dalam negara sendiri.

Bukan pertama kali dan bukan tidak mungkin orang menguasai kita seperti sejarah telah mengajar kita tentang segala kemungkinan penjajahan dan penaklukan itu. Jika setiap hari kita terus mengutamakan matlamat diri lebih daripada matlamat bangsa dalam perjuangan kepimpinan politik ala demokrasi maka selama itu kita akan terus terdorong ke jurang kehancuran dan mungkin terjerumus ke dalam `bottomlesspit’ perhambaan dan sekali lagi pupus dalam kesinambungan sejarah.

Keadaan ekonomi, politik dan kemajuan dunia hari ini lebih-lebih lagi meminta kita memperteguhkan organisasi formal kita serta pengurusan masyarakat, bangsa dan negara. Justeru itu di dalam konteks negara kita, tidak ada tempat untuk menggunakan prinsip persaingan berkerat rotan, berpatah arang kerana akhirnya prinsip ini adalah prinsip kehancuran diri dan bangsa. Biarlah berlentur tapi tak patah, menyebar tetapi tidak berpecah-belah.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Februari 05, 2012

Salam Maulidur Rasul


Jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber ikutan

Hari ini umat Islam menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Namun, tujuan Maulidur Rasul bukanlah untuk mengingati keputeranaan baginda semata-mata tetapi perkara paling penting ialah ingatan dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mestilah dizahirkan dalam bentuk mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi yang mulia itu. Nabi Muhammad SAW adalah insan kamil yang memiliki akhlak dan peribadi bersumberkan wahyu.

Pada diri baginda terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Masyarakat jahiliyah Mekah yang menyembah berhala serta mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak turut mengurniakan gelaran 'Al-Amin' kepada baginda.

Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: "Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah al-Anbiya:107). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi 'Nur Ilahi' (cahaya ketuhanan).

Baginda juga diutus ke alam ini untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Justeru, selaku umat Islam, kita dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Terdapat banyak sifat dan akhlak mulia Nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Antara sifat-sifat kekuatan diri baginda yang patut dijadikan ikutan ialah tawaduk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qanaa dan lemah lembut. Nabi juga memiliki al-hikmah (kebijaksanaan) dan Al-Iffah (pengawasan diri).

Nabi juga menjadi contoh ikutan dalam beribadah. Dalam beribadah dan beramal sholeh, baginda mengajar tentang al-ihsan seperti mana maksud hadis baginda: "beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikan-Nya". 'Al-ihsan' merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara contoh amalan ibadah Nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, beristiqamah solat tahajjud, gemar melakukan iktikaf, banyak berpuasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, kuat berjihad, istiqamah dalam beramal, banyak membaca al-Quran, melazimkan siwak (bersugi), berjanggut, berserban dan berjubah.

Para pendakwah (da'i) patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia. Baginda sentiasa berinteraksi dengan masyarakat dengan cara yang maaruf. Rasulullah suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua.

Baginda juga sentiasa membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam dan menziarahi orang sakit. Rasulullah juga mengajarkan aspek tasamauh atau bertoleransi. Nabi bergaul secara maaruf dengan pelbagai kaum dan penganut agama lain. Rasulullah pernah mengizinkan delegasi Kristian dari Najran yang datang ke Madinah melakukan ibadat mereka di satu sudut Masjid Madinah.

Baginda berpesan kepada para sahabatnya jangan merosakkan hubungan dengan orang bukan Islam kecuali mereka menentang Islam atau merobek maruah umat Islam. Untuk membina masrakat Islam yang kukuh, Rasulullah sangat menekankan aspek ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial.

Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya. Orang Muslim juga diharamkan menumpahkan darah saudara Muslimnya serta diharamkan menceroboh harta benda dan kehormatannya.

Nabi juga mengajar umat Islam membantu meringankan kesusahan saudara Muslimnya dan membantu golongan miskin. Nabi menegah umat Islam mendedahkan aib atau keburukan saudara Muslimnya supaya keburukannya ditutup Allah di dunia dan di akhirat kelak.

Nabi Muhammad SAW merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Antara sifat-sifat Rasulullah sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh ialah murabbi, mualim dan muaddib. Nabi menjadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah serta bersifat sabar dan menggunakan pelbagai kaedah dalam mendidik.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga Rasulullah sentiasa bergaul secara maaruf dengan isteri dan ahli keluarganya. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta bersifat berlemah lembut terhadap isteri-isterinya. Baginda tidak pernah memukul dan menghina isteri-isterinya, sebaliknya bersifat sabar dengan kerenah isteri serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Dari segi kepemimpinan, Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Kepemimpinan baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur. Baginda memiliki kemampuan untuk menyusun strategi, bersifat berani, tegas dan berprinsip tetapi dalam masa yang sama baginda bersifat pemaaf dan pemurah.

Selain itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Sebagai pemimpin umat, baginda tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Kesimpulan, di tengah-tengah arus masyarakat yang semakin subur dengan sifat-sifat mazmumah (keburukan), maka wajarlah umat Islam kembali mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" (Al Ahzab:21).



Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Februari 03, 2012

Adakah DAP Parti Pelbagai Kaum!


Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?

Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.

Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Persepsi

Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi.

Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.

Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi.

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa.

Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum.

Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.











Suara Politik
Taminsari

Khamis, Februari 02, 2012

Sebelum berundur, eloklah Haji Hadi tarik semula ‘ Amanat Hadi’ dan perbetulkan dahulu akidah pengikut PAS!


Mungkin ramai yang menyambut baik kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Bagaimanapun sebelum berundur, Abdul Hadi perlulah tarik semula ‘Amanat Hadi’ dan bertanggungjawab untuk memperbetulkan kembali akidah pengikut PAS yang telah terpesong disebabkan amanat beliau mengkafirkan UMNO!

Ramai pengikut PAS masih berpegang kepada amanat tersebut yang menganggap mati syahid kerana menentang UMNO, sedangkan pegangan itu jelas bertentangan dengan Islam. Tidak cukup dengan Abdul Hadi berundur, beliau mesti bertaubat dengan dosa-dosanya melalui Amanat Hadi yang membawa malapetaka.

Ini termasuklah tercetuskan Peristiwa Memali, gerakan bawah tanah merekrut pelajar pusat pengajian tinggi untuk menentang kerajaan dan akidah pengikut PAS yang rosak kerana beriktikad dengan amanat tersebut!

Sebuah akhbar sebelum ini melapurkan kenyataan Presiden PAS itu menyatakan kesediaannya untuk tidak bertanding pada PRU-13 bagi memberi peluang kepada golongan pelapis. Menurut Abdul Hadi, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

Pada 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan amanat tersebut yang dibuat oleh Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kuala Terenggau pada 1981, sebagai bertentangan dengan Islam.

Malah salah seorang bekas anggota Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris yang sekarang ini juga Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, ketika ditemui memberitahu yang beliau masih ingat apabila turut terlibat dalam gerakan merekrut pelajar pusat pengajian tinggi untuk menentang kerajaan disebabkan beriktikad kepada Amanat Hadi itu.

“Saya sendiri terlibat sebab itu saya tahu. Begitu juga dengan peristiwa berdarah Memali berlaku kerana mereka menganggap menentang UMNO adalah jihad dan mati syahid. Mereka beriktikad orang UMNO kafir dan keluar PAS murtad. Sebab itu, gelaran ‘ustaz murtad’ sangat popular dan diberikan kepada golongan ustaz yang keluar daripada Pas,” katanya.

Sementara itu : Nik Aziz tolak hasrat Hadi

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu berundur daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi, menurut beliau, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

"Penjawat awam ada had masa untuk bersara tapi pimpinan parti tiada had masa, boleh berkhidmat sampai mati," katanya kepada pemberita di sini.

Persoalannya, perlukah Abdul Haji ‘berfikir semula’ untuk mengikut hasrat Nik Aziz atau Nik Aziz sendiri perlu berundur kerana rakyat sudah sedia maklum beliau sudah terlalu lama menjadi ‘ulama politik’?

Tun Mahathir, yang memerintah dengan membawa pembangunan, perubahan fizikal dan mental kepada masayarakat di Malaysia pun menyerlah dengan berhenti. Walhal beliau diharuskan untuk memerintah sehingga ke tahap maximum kerana beliau boleh membawa kejayaan umum masyarakat ke tahap yang lebih tinggi.

Abdul Hadi tidak perlulah mengikut nasihat dari Nik Aziz tentang undur diri dari bertanding. Berfikirlah dengan sebaik nya kerana, pemikiran yang bersih itu jauh dari nur atau tabiat jahat dari semasa zaman jahiliah.

Sebelum berundur, sekali lagi diingatkan eloklah Abdul Hadi bertanggungjawab untuk memperbetulkan kembali akidah pengikut PAS yang telah terpesong disebabkan amanat beliau sebelum ini! Demi perpaduan Islam, tarik semula ‘Amanat Hadi’ dan minta maaflah kepada seluruh umat Islam di negara ini. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Februari 01, 2012

Sampai bila PKR Selangor mahu sabotaj projek bekalan air mentah!


Reka bentuknya telah pun siap. Peruntukan untuk membina loji air ini juga telah tersedia. Malahan, tapak tanah untuk loji dan projek ini telah pun diambil dan siap sedia untuk digerakkan projek berdekatan Hulu Langat, Selangor ini.

Tetapi cuma kerajaan PKR Selangor melalui Majlis Daerah Perbandaran Hulu Langat tidak mahu mengeluarkan Development Order atau kebenaran merancang. Semuanya jadi tak kena menyebabkan projek Langat 2 ini tertangguh selama satu setengah tahun.

Tanpa Development Order ini, Kerajaan Persekutuan tidak boleh memanggil tender untuk membina loji tersebut.

"Dengan semua persiapan sudah tersedia, Kerajaan Persekutuan sudah mahu menggerakkan pembinaan loji ini tetapi masih memerlukan dua lot yang berdekatan dengan loji untuk projek tersebut.

"Tetapi kerajaan PKR Selangor melalui Exco kerajaan negerinya tidak mahu meluluskan pengambilan dua lot tanah ini untuk tujuan projek.

"Tidak tahu apa motifnya tetapi berkemungkinan besar kerana mereka ingin kawal 'business' air di negeri Selangor ini," kata seorang sumber kepada semalam.

Bercerita tentang air, negara sebenarnya telah pun menghadapi krisis bekalan ini pada 1998. Oleh sebab itu, kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) telah mula merancang mulai 1998 lagi untuk mengelak krisis air ini tidak berulang.

Kalau bekalan api elektrik tak ada tidak mengapa, tapi jangan tidak ada air, kata seorang rakan. Sangat pedih jika krisis air ini berulang. Sebab itu jika tindakan susulan tidak diambil segera, negara akan menghadapi krisis air sekali lagi pada 2014 nanti - dua tahun sahaja dari sekarang.

Ketika ini, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air sedang menjalankan Projek Air Mentah dari Pahang ke Hulu Langat. Projek membina laluan paip dan terowong sedang berjalan. Kos keseluruhan projek dianggarkan berjumlah RM8 bilion termasuklah kos pengambilan tanah, pembinaan dan jururundingnya.


Kerajaan Persekutuan pun sudah ada peruntukannya. Oleh kerana pentingnya projek ini, Kerajaan Persekutuan juga telah mendapat soft loan daripada Kerajaan Jepun berjumlah RM3 bilion untuk tujuan itu. Dan seperti masalah di atas dengan kerajaan PKR Selangor yang tidak tahu motifnya, projek ini tertangguh sehingga hari ini.

Apa akan berlaku kalau projek loji air di Hulu Langat ini terus tertangguh?

1. Krisis air akan berlaku di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

2. Cuma, sekiranya projek ini dapat disempurnakan, sebanyak 1.4 juta pemegang akaun air akan dapat menikmati air mentah bersih ini. Iaitu lebih kurang seramai 7 juta rakyat akan dapat menikmati air mentah bersih ini (1.4 juta akaun x 5 orang dalam sebuah rumah).

3. Kalau projek ini tertangguh lagi, kos pembinaannya akan bertambah tinggi.

4. Bila kosnya bertambah tinggi, kos air bersih kepada rakyat pada masa akan datang - akan bertambah tinggi juga.

5. Masalah akan timbul kepada bangunan-bangunan tinggi dan flat yang lebih dari 5 tingkat.

6. Tanpa air yang mencukupi, water pressure akan berkurangan. Maka, bangunan lebih 5 tingkat tidak akan dapat bekalan air.

7. Maka penduduk akan terpaksa mengambil air dari bawah flat atau bangunan dengan menggunakan tangki air.

8. Pemaju perumahan, pemaju hartanah dan pemaju pejabat-pejabat akan meminta assurance for future water supply untuk menjalankan projek-projek hartanah di Selangor. Sekiranya tiada, mereka akan melabur di tempat lain atau negeri lain.

Sebenarnya kementerian berkenaan telah beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Keputusannya - Abdul Khalid tidak bersetuju dengan projek ini.

Demi politik kerajaan PKR Selangor, rakyat seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya seramai lebih kurang 7.5 juta orang tidak akan menikmati air mentah bersih secara percuma mulai 2014.

Demi politik, kerajaan PKR Selangor sanggup menangguhkan projek ini dengan tidak mahu meluluskan Development Order dan '2 lot tanah' - agar projek air mentah bersih ini gagal.

Demi politik, kerajaan PKR Selangor sanggup menangguhkan projek loji ini di mana akan menyebabkan tarif air yang akan dibayar oleh rakyat Selangor nanti bertambah mahal dan tinggi.

Demi politik, Menteri Besar Selangor sanggup memberi rakyat potongan serta diskaun kepada tarif air yang dibayar sekarang.

Tetapi sebaliknya sabotaj projek air Kerajaan Persekutuan yang ikhlas membantu rakyat agar krisis air pada 2014 tidak berlaku.-UM.












Suara Politik
Taminsari