Ahad, Mac 08, 2015

Sudah setahun hilangnya MH370?


Sudah setahun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berlalu tetapi jawapan mengenai situasi sebenar menimpa pesawat malang tersebut masih tidak diketahui walaupun berdepan dengan begitu banyak spekulasi dan teori konspirasi.

Tetapi apa yang nyata adalah kehilangan MH370 dianggap sebagai isu geopolitik yang menarik perhatian global kerana peristiwa ini bukan sahaja melibatkan komuniti penerbangan malah keseluruhan masyarakat antarabangsa.

Kejadian yang menimpa MH370 berbeza sedikit dengan peristiwa pesawat MH17 yang juga dianggap sebagai pertembungan geopolitik kuasa besar di mana Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) di satu pihak saling menuding jari dengan Rusia.

Walaupun secara hakikatnya hanya tiga negara utama iaitu Malaysia, Australia dan China yang terbabit secara langsung dalam isu MH370, tetapi oleh kerana ia diselubungi dengan misteri maka tahap kepayahan geopolitiknya dianggap lebih mencabar berbanding isu MH17.

Setiap langkah dan keputusan yang dibuat sama ada oleh Kuala Lumpur, Canberra atau Beijing akan menerbitkan berbagai interpretasi kerana semua pihak tidak arif dengan perkara sebenar yang menimpa MH370.

Beberapa minggu selepas peristiwa yang bermula pada 8 Mac 2014, Kuala Lumpur sebagai negara bermulanya penerbangan MH370 dituduh cuba menyembunyikan sesuatu apabila kawasan pencarian yang asalnya berkisar di Laut China Selatan beralih pula ke Laut Andaman dan Selat Melaka.

Begitu juga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman pada 24 Mac 2014 bahawa penerbangan MH370 telah berakhir di Lautan Hindi, timbul sekali lagi syak wasangka wujudnya konspirasi kehilangan MH370.

Seorang artis India, Sudarsan Pattnaik mengukir bentuk sebuah kapal terbang bagi memperingati tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan AirAsia QZ8501 di Golden Sea Beach, Puri.

Kenyataan tersebut yang diungkapkan oleh Perdana Menteri sendiri memerlukan kekuatan politik yang tinggi kerana perubahan kawasan pencarian ke Lautan Hindi langsung tidak diduga oleh semua pihak dan ia hanya bersandarkan kepada data komunikasi satelit Inmarsat.

Setiap keputusan yang dibuat walau bagaimana sukar hanya mempunyai satu niat iaitu untuk merungkai misteri kehilangan pesawat dan yang paling penting adalah untuk meyakinkan keluarga penumpang bahawa segala usaha telah dilakukan oleh ketiga-tiga negara terbabit.

Sebab itu, pada 29 Januari lalu Kuala Lumpur telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan secara rasmi bahawa MH370 telah menemui kemalangan dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.

Kenyataan tersebut yang dikeluarkan mengikut peruntukan penerbangan awam antarabangsa bertujuan memudahkan keluarga mangsa membuat tuntutan insurans tetapi disalah erti sebagai isyarat bahawa usaha pencarian di Lautan Hindi akan diberhentikan dalam masa terdekat.

Sebab itu, ditafsirkan geopolitik MH370 begitu sukar dihadapi kerana niat yang baik begitu mudah disalah tafsir. Menjelang genap setahun misteri kehilangan MH370, pemimpin ketiga-tiga negara terbabit bakal berhadapan dengan keputusan yang sukar kerana misi pencarian akan tamat pada penghujung Mei akan datang.

Setakat ini, sebanyak 40 peratus dari keseluruhan 60,000 kilometer (km) persegi kawasan pencarian utama telah diterokai tetapi misteri yang bermula setahun lepas tetap kekal dengan status tersebut sehingga hari ini.

Kuala Lumpur, Canberra dan Beijing perlu membuat keputusan sama ada perlu meneruskan pencarian melampaui keluasan 60,000 km persegi atau pun menamatkannya kerana ia melibatkan masa dan kos yang agak tinggi.


Pada ketika ini, Malaysia dan Australia menanggung kos pencarian sama rata di antara kedua-dua negara. Beberapa hari lepas, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa perbincangan sedang dijalankan di antara ketiga-tiga negara untuk membuat keputusan sama ada misi pencarian perlu ditamatkan dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Keputusan perlu diambil sama ada misi wajar diteruskan di kawasan pencarian seluas 1.1 juta meter persegi jika tiada apa yang ditemui. Perbincangan berhubung tindakan selanjutnya sudah dimulakan, termasuk kemungkinan pencarian dihentikan,” kata beliau.

Betapa sensitifnya isu pencarian MH370 kerana sehari selepas itu jurucakap pejabat Timbalan Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan balas yang berbeza dengan menegaskan ketiga-tiga tidak negara tidak berhasrat untuk menamatkan operasi mencari MH370.

Walaupun penumpang rakyat Australia hanya berjumlah enam orang berbanding China dan Malaysia masing-masing dengan 153 dan 38 penumpang, isu ini merentasi kepentingan semua negara yang terlibat.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dilaporkan akan membuat kenyataan khas dalam persidangan Parlimen sempena genap satu tahun dan diberitakan juga kesemua keluarga enam penumpang rakyat Australia dijemput khas untuk turut serta.

Kemungkinan besar kenyataan yang akan disampaikan pada hari ini (Khamis) berkisar kepada usaha Canberra dalam misi pencarian dan strategi ini penting untuk meyakinkan bukan sahaja rakyat sendiri tetapi juga semua negara terlibat bahawa segala usaha sedang dilaksanakan untuk merungkai misteri ini.

Begitu juga dengan Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada Isnin depan berkemungkinan bakal menyentuh isu MH370 kerana adsokongan moral secara berterusan perlu dihulurkan kepada keluarga penumpang dan untuk meyakinkan mereka bahawa usaha pencarian tetap diteruskan sedaya yang termampu oleh kerajaan.-UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Madey Kutty Ngok berkata...

Salam,

Kepada najib PM..
kenapa terlalu selektif dalam mencari MH370?

2-Kenapa terlalu bergantung kepada orang asing dalam menyiasat dan menganalisis data? Kenapa tidak ditubuhkan JK bersama melibatkan MAS, Ahli Akademik dan Pakar2 dalam Malaysia?

3- Kenapa tiada tindakan keras atau inkuiri awam berhubung kelalaian Pegawai tentera TUDM pada malam Radar Tentera mengesan objek asing terbang di udara Pulau Pinang? Kerana kelalaian itulah punca kepada keadaan sekarang, berbillion kos dibazirkan untuk mencari, sedangkan jika tindakan pantas Tentera pada malam itu MENYIASAT.. bukan menembak jatuh (ayat2 paling BODOH Hisham Kerismudin dalam menutup lemah negara).

Kenapa Najib PM bersikap lembik, bersandiwara seperti drama.. menekankan isu mengenang.. jangan spekulasi sedangkan Kerajaan Malaysia sendiri yang spekulasikan MH370 terbang tanpa arah ke Selatan Lautan Hindi? Fakta dari Rahib mana Najib beriman sgt sehingga tak boleh sentuh lagi teori2 lain??


Negara di risikokan oleh kepimpinan yang lemah dan bodoh.. maaf cakap..