Sabtu, Januari 23, 2010

Al-Fatihah Buat DYMM Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail


Sembah takziah atas kemangkatan DYMM Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail semalam pada hari Jumaat 22 Jan 2010 bersamaan 6 Safar 1431. Mudah-mudahan roh Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail akan dicucuri rahmat dan berkat dari Allah serta dilimpahi syafaat Para Nabi, Para Wali... Insya Allah.

AL-FATIHAH

BELASUNGKAWA : Sultan Iskandar tepikan protokol

KEMANGKATAN Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Al Haj ibni Armarhum Sultan Ismail pada usia 78 tahun semalam amat dirasai. Sultan Iskandar akan terus dikenang sebagai seorang sultan yang penuh dengan ceritera berwarna- warni.

Menjadi Sultan Johor selama 19 tahun, baginda cukup dikenali sebagai seorang pemimpin yang sanggup mengetepikan protokol untuk bebas bergaul dengan rakyat jelata.

Biarpun adakalanya bersikap serius, baginda tidak segan silu menegur perbuatan yang dianggap tidak betul. Bahkan baginda gemar bertanya sesuatu isu dengan lebih lanjut pada majlis-majlis keramaian.

Sikap tegas baginda secara terbuka dapat lihat apabila membabitkan kepentingan rakyat negeri Johor. perkara ini terbukti pada tahun lalu apabila Sultan Iskandar tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dan Singapura.


Pendirian baginda itu disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar di Nusajaya.

''Saya dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa baginda tidak setuju dengan cadangan untuk membina jambatan ketiga," kata Tunku Ibrahim Ismail.

Selain itu, tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP tidak memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dua tahun lalu juga menunjukkan ketegasan baginda.

Sultan Iskandar mencabar empat ADUN itu untuk menunjukkan diri mereka di dalam dewan apabila baginda hadir merasmikan sidang pembukaan DUN itu. Baginda turut diingati kerana pendiriannya yang konsisten ke atas Tambak Johor apabila sentiasa mengulangi ia agar dirobohkan supaya saliran air di Selat Tebrau dapat mengalir secara sempurna.

Kemuncak ketegasan baginda apabila berikrar untuk mendapatkan semula hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang kini dimiliki Singapura, menyentuh hati semua rakyat Johor. Itulah antara karakter tegas yang dimiliki baginda walaupun sebenarnya almarhum bersikap ramah untuk menjadi seorang pemerintah yang disenangi dan disayangi rakyat sama ada di bandar atau pun di desa.

Sultan Iskandar yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932 juga terkenal dengan sifat prihatin, rendah diri dan tidak lokek dengan senyuman di sebalik raut wajah yang kelihatan agak garang.

Ternyata, tembok besar dan tinggi di Istana Bukit Serene tidak pernah menghalang putera Sultan Ismail Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad itu untuk mendekati dan menyelami hati rakyat.

Sultan Iskandar mangkat pada usia 78 tahun di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru setelah gering kerana diserang penyakit jantung. Almarhum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 pada 26 April 1984 untuk tempoh selama lima tahun menggantikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang tamat tempoh sebagai ketua negara. Baginda mempunyai dua putera dan lapan puteri daripada dua orang isteri.

Dengan isteri pertama, Josephine Trevorrow, baginda dikurniakan seorang putera dan tiga puteri iaitu Tunku Ibrahim Ismail yang merupakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Hajah Kamariah (Tunku Puteri Johor), Tunku Zabedah Aminah (Tunku Besar) dan Tunku Azizah Aminah Maimunah.

Selepas bercerai, baginda berkahwin dengan Tunku Zanariah pada 21 Ogos 1961. Hasil perkahwinan itu, baginda dikurniakan seorang putera, Tunku Abdul Majid Idris selaku Tunku Bendahara Johor dan lima puteri iaitu Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Pendidikan awal almarhum Sultan Iskandar bermula daripada pengajar persendirian dan Sekolah Inggeris Ngee Heng, Johor Bahru. Baginda menyambung pendidikan di English College yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar sebelum melanjut pelajaran di Australia dan Britain.

Baginda mendapat Ijazah Kehormat Sains, Universiti Teknologi Malaysia pada 10 April 1997 dan Ijazah Kehormat Undang-Undang, Universiti of Singapura berikutan sumbangan baik atas hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura pada 12 April 2007. Pada 2007, baginda dianugerahkan sebagai Ahli Payung Terjun Sayap Kehormat-Master oleh Menteri Pertahanan Singapura pada ketika itu, Teo Chee Hean.

Baginda diisytiharkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 8 Mei pada 1959 sebelum digantikan dengan kekanda bongsunya, Tunku Abdul Rahman pada 10 Ogos 1961. Pada 1966 hingga 1981, baginda dilantik sebagai Raja Muda Johor. Pada 29 April 1981, almarhum telah dilantik semula sebagai Tunku Mahkota Johor berdasarkan perjanjian dengan Majlis Mahkamah Diraja Johor.

Pada 9 Mei 1981, baginda dilantik sebagai pemangku Raja Johor semasa Sultan Johor gering sebelum diisytiharkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Dalam sektor kerajaan, baginda pernah menjawat jawatan Pegawai Kadet di Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Perbendaharaan bermula 25 Januari 1956 hingga 8 Mei 1959.

Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia pada 1960. Kebijaksanaan baginda dalam bidang perniagaan turut terserlah apabila menjadi ahli perniagaan semasa menjadi Raja Muda Johor selain terlibat dalam sebuah syarikat usahasama, Mados-Cito-Daiken.

Jasa baginda dalam bidang pendidikan juga tidak boleh dilupakan apabila dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 12 Disember 1981 selain Kolonel atau Komander Angkatan Tentera Johor dan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando).

Sumbangan Sultan Iskandar turut mendapat perhatian pelbagai pihak sama ada tempatan dan antarabangsa apabila menerima anugerah Venerable Order of St. John, Sovereign Head of the Order, Queen Elezabeth II pada 1980. Pada 1984, baginda dikurniakan Darjah Kehormat Marsyal Tentera Udara Diraja dan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (DKMB) oleh Kerajaan Brunei 1988.

Pada waktu lapang, baginda gemar memburu, bermain polo, golf, tenis, meluncur air, berenang dan payung terjun selain memiliki sijil juruterbang yang berkelayakan. Kira-kira 10 tahun lalu, Sultan Iskandar pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat dan pembedahan bahu di Hospital Tentera Diraja Thai di Bangkok, Thailand bagi rawatan kecederaan lama ke atas bahu ketika bersukan.

Sultan Iskandar sudah mangkat dan meninggalkan rakyat negeri Johor buat selama-lamanya, namun sumbangan baginda akan terus diingati oleh semua golongan. Pastinya nama baginda akan bersemadi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Mahmood Iskandar, Parit Saidi, Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmood Iskandar 1 and 2 di Pontian.

Kejohanan Golf Terbuka Iskandar, wilayah koridor pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia dan Bangunan Sultan Iskandar tetap menjadi mercu tanda kegemilangan pemerintahan baginda.- UM

AL-FATIHAH

Suara Politik
Taminsari

5 ulasan:

Juragan Malawati berkata...

Negara kehilangan Sultan yang tegas

Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail merupakan seorang Sultan yang tegas dan berani dalam aspek pentadbiran selain amat dekat dengan rakyat.

Beberapa pemimpin politik yang merafak sembah takziah menyifatkan kemangkatan baginda sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan rakyat jelata.

Pada masa yang sama, mereka melahirkan keyakinan Tuanku Ibrahim Ismail yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Johor ke lima hari ini mampu meneruskan legasi kepimpinan baginda.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Almarhum merupakan seorang pemerintah yang berhati mulia dan terkenal dengan sikap tegas.

"Kita berharap Tuanku Ibrahim dapat mewarisi apa yang telah Almarhum lakukan dengan meneruskan aktiviti mendekati rakyat melalui aktiviti seperti Kembara Mahkota Johor.

"Melalui program sedemikian, rakyat berpeluang menatap wajah Tuanku dan dapat menyembah salam sekali gus menterjemahkan konsep raja berjiwa rakyat kerana kualiti itu sebenarnya sudah ada dalam diri baginda," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jasa baginda bukan sahaja terpahat dalam lipatan sejarah Johor bahkan turut tercatat di peringkat nasional sewaktu menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mengucapkan takziah di atas pemergian baginda dan mendoakan semoga roh baginda dicucuri rahmat.

"Peranan baginda sewaktu bergelar Yang di-Pertuan Agong pada masa itu juga berjaya membantu meredakan beberapa isu, jasa baginda akan terus dikenang," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, seluruh rakyat berdukacita dengan kemangkatan seorang Sultan yang mempunyai aura dan keistimewaan tersendiri.

"Baginda ada aura khusus, malah apabila disebut Sultan Johor terbit rasa gerun dan ini menunjukkan baginda berjaya memainkan peranan sebagai seorang Sultan dengan berkesan dan rakyat pula akan mengambil berat titah baginda.

"Saya sendiri sering mendengar bagaimana mesranya baginda dengan rakyat dan apabila mereka dipanggil menghadap di istana, baginda dikatakan akan memastikan mereka menjamu selera terlebih dahulu," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, walaupun baginda telah tiada, namun jasa-jasanya kepada negara tetap akan dikenang.

"Bagi pihak UMNO Selangor, saya ucapkan takziah kepada seluruh kaum kerabat baginda, walaupun baginda bersikap tegas ia dilakukan dengan cara tersendiri dan amat mementingkan kebajikan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja dan rakyat Johor.

"Takziah kepada rakyat Johor atas kemangkatan Almarhum. Semoga roh baginda dicucuri rahmat," katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, seluruh rakyat jelata khususnya rakyat Johor kehilangan seorang Sultan yang berani dan amat sangat prihatin kepada nasib rakyat.

"Baginda juga sanggup mengetepikan soal protokol dan itu menggambarkan sikap baginda sebagai seorang Sultan yang mudah didekati rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut merafak sembah takziah ke atas kemangkatan Almarhum.

"Almarhum pergi pada saat umat Islam khususnya berhadapan dengan kemelut dan masalah serangan terhadap agama Islam yang tidak berkesudahan, dan mengharapkan pembelaan seorang raja yang tegas dan berani," katanya.

Juragan Malawati berkata...

Sultan Iskandar selamat disemadi

Jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini pukul 4.10 petang.

Lebih 2,000 orang menghadiri majlis pemakaman itu sebagai tanda penghormatan terakhir mereka kepada Sultan Iskandar.

Jenazah baginda dibawa menggunakan pedati yang ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat Istana dengan diiringi 77 das tembakan meriam.

Turut menaiki pedati mengiringi jenazah Almarhum ialah Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Pedati membawa keranda jenazah Almarhum yang ditutupi dengan bendera diraja berlambang bulan dan bintang berwarna biru diarak dari Istana Besar tiba di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer, pukul 2.45 petang untuk istiadat pemakaman.

Jenazah Almarhum dimasukkan ke liang lahad oleh Raja Muda Johor dan beberapa cucunda baginda yang lain.

Bacaan doa dan talkin dipimpin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot mulai pukul 3.25 petang.

Ketika itu, suasana pilu mula menyelubungi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah apabila kelihatan ramai hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menitiskan air mata tatkala doa dan talkin dibacakan.

Pelbagai pihak turut menyampaikan kalungan bunga sebagai tanda ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Johor yang diletakkan di satu sudut di pekarangan makam berkenaan.

Selesai bacaan doa, Sultanah Zanariah kemudian menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum, diikuti Sultan Ibrahim Ismail yang kemudiannya disusuli Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Sejurus itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum yang disusuli Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Beberapa ahli kerabat yang lain turut menabur bunga dan menyiram air mawar di atas pusara baginda.

Antara yang turut menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum Sultan Iskandar ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Ahli kerabat, pembesar negeri dan orang kenamaan mula meninggalkan Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pukul 4.30 petang.

Sultan Iskandar yang memerintah negeri Johor dari 11 Mei 1981 mangkat pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri.

Almarhum berusia 77 tahun.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه berkata...

Satu catatan yang boleh mengamit kerinduan kepada baginda. Kemangkatan baginda satu kehilangan besar kepada negeri dan negara.

Johor berkabung seperti mana pilu dan sayunya ketika kemangkatan Sultan Ibrahim, Sultan Johor Moden yang ke 2 dahulu......Saya mohon copy tulisan ini buat kenang-kenangan.

Al-Fatihah.

Juragan Malawati berkata...

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot menyifatkan Almarhum Sultan Iskandar merupakan seorang insan yang cukup istimewa kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan atau Raja di negara ini yang pernah menyampaikan khutbah di masjid-masjid.

''Semasa sihat baginda akan mengutuskan untuk menunaikan sembahyang Jumaat di masjid utama di daerah-daerah dan atas kesediaan, baginda menzahirkan hasrat untuk menyampaikan khutbah di masjid terbabit.

''Ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat khasnya masyarakat Islam di negeri ini,'' katanya.

Beliau yang pernah menjadi Timbalan Mufti dan Mufti Johor selama 10 tahun berkata, itulah keunikan dan kelebihan yang ada pada baginda.

Nooh berkata, pada dasarnya baginda seorang Sultan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya terutamanya mengenai agama Islam.

Menurutnya, semasa menjadi mufti beliau dikurniakan darjah kebesaran antaranya Pingat Ibrahim Sultan (PIS), Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Setia Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Lama Dalam Perkhidmatan (PLP).

''Sebagai tanda kasih dan sayang saya terhadap baginda, malam tadi saya bersama Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin serta beberapa imam dan pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak tidur hinggalah ke saat pemakaman baginda.

''Kami bersama kerabat diraja Johor hinggalah saat baginda menghembuskan nafas terakhir telah menguruskan upacara pemakaman baginda dengan harapan berjalan lancar. Ini merupakan sumbangan terakhir saya untuk Almarhum yang amat dikasihi,'' katanya.

Nooh berkata, Istana Besar akan mengadakan bacaan tahlil selama tiga hari berturut mulai malam ini, manakala masjid-masjid di daerah-daerah akan mengadakan perkara sama untuk tempoh berkenaan.

''Sama-samalah kita berdoa agar roh baginda ditempatkan bersama roh-roh orang yang soleh dan mendapat keampunan, rahmat daripada Allah SWT," katanya.

Juragan Malawati berkata...

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempunyai kenangan istimewa bersama Almarhum Sultan Iskandar yang tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat.

''Semasa perasmian pusat pertadbiran baru kerajaan negeri Johor, Kota Iskandar di Nusajaya tahun lalu, baginda telah menegur rakan di sebelah saya yang membuat isyarat menyembah terhadap baginda.

''Lalu baginda menegur 'apa sembah-sembah, aku pun manusia juga macam engkau' Moralnya, baginda tidak mementingkan darjat dan kedudukan sebagai sultan yang berjiwa rakyat," katanya apabila ditanya kenangan yang tidak mampu dilupakan bersama Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat semalam.

Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, seluruh rakyat Johor sebenarnya telah kehilangan seorang sultan yang berjiwa rakyat.

Menurutnya, walaupun baginda nampak tegas, namun keprihatinan terhadap rakyat dan pembangunan negeri menjadi keutamaan sehingga meletakkan pembangunan Johor berada di tahap yang kukuh dan mampu berdaya saing dengan Singapura.

Bagi Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, pemergian Sultan Iskandar amat dirasai kerana baginda sentiasa mengambil tahu mengenai rakyat jelatanya.

''Saya punya kenangan manis bersama baginda semasa menjadi Ketua Puteri UMNO apabila berpeluang makan bersama baginda dan tetamu kenamaan lain di Istana Besar.

''Pada pertemuan itu baginda menunjukkan mood gembira sambil bercerita dengan gaya penyampaian yang cukup menarik,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merafakkan sekalung takziah kepada seluruh kerabat diraja Johor atas pemergian baginda dan menganggap ia satu kehilangan besar bukan sahaja kepada warga Johor malah seluruh rakyat di negara ini.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, baginda merupakan legenda kesultanan di negara ini kerana mempunyai gaya dan cara tersendiri semasa menjadi Sultan Johor.

"Hakikatnya, era kesultanan baginda amat dikagumi dan diikuti serta kedaulatannya menaungi seluruh rakyat jelata secara adil tidak ada tolok banding.

''Selaku Ketua Wanita UMNO saya telah meminta Wanita UMNO Johor di peringkat cawangan dan bahagian mengadakan bacaan tahlil bagi memohon roh baginda dicucuri rahmat," katanya.